The Strategic Future of Islamic Resurgence

Masa Depan Strategik Kebangkitan Islam

Sementara memerhatikan perkembangan politik tanahair dan gelagat segelintir ahli politik yang begitu mengecewakan, kembara ilmu Adelaide-Bahrain minggu ini seakan memberikan sinar harapan kepada perasaan dan pandangan peribadi saya mengenai masa depan kebangkitan. Berdiskusi dan berwacana bersama pelajar-pelajar yang boleh saya katakan mewakili generasi baru politikal Islam begitu kritikal dan kritis memerhatikan perkembangan gerakan Islam termasuk halatuju dan akhlak parti politik yang membawa nama Islam. Mereka bertanyakan apakah model dan pendekatan terbaik gerakan Islam kontemporari bagi mendepani cabaran abad ke-21 ini. Ikhlas, kadangkala, saya tidak merasa bimbang sangat dengan keadaan anak muda yang selalu digembar gemburkan dengan ramai yang hanyut dengan arus pemodenan dan sebagainya tetapi sebenarnya lebih bimbang dengan sejauh mana peranan generasi lama mampu membimbing mereka.

Berkesempatan berbincang dan berbicara dengan anak muda pelajar-pelajar di sini mengenai buku terkini yang bakal diterbitkan ‘Masa Depan Strategik Kebangkitan Islam’. Mungkin tidak keterlaluan untuk mengatakan di sini, buku ini cuba untuk menjawab the Failure of Political Islam oleh Olivier Roy, the Future of Political Islam oleh Graham Fuller, Post-Islamism oleh Asef Bayat dan beberapa karya lain yang merujuk kepada politikal Islam. Buku ini sudah mula diusahakan pada 2013 dan akhirnya setelah merasakan sudah sampai masanya untuk mempromosi wacana ‘Masa Depan Strategik Kebangkitan Islam’ ini, kami bersetuju untuk menerbitkannya pada tahun ini. Merasakan buku ini juga adalah sesuai sebagai rujukan untuk diwacanakan bagi menghadapi PRU14, analisis masa depan politikal Islam di Malaysia.

Istilah ‘masa depan strategik’ dalam buku ini merujuk kepada masa depan yang dibentuk menerusi perancangan yang strategik, bukan hanya bernostalgia dengan kegemilangan masa lalu dan bukan juga beremosi dengan kemunduran yang membelenggu. Perancangan strategik dan menyeluruh dengan mengambil kira semua aspek kehidupan berpandukan nas sahih bakal menentukan kebangkitan Islam di abad ke-21 ini. Kebangkitan Islam pula tidak bermakna Islam itu perlu bangkit atau Islam itu perlu dibangunkan. Sesungguhnya Islam itu sudah sempurna dan ia tidak perlu kepada agenda kebangkitan. Apa yang dimaksudkan dengan kebangkitan Islam di sini ialah kebangkitan umat Islam sama ada dari aspek minda, intelektual, sosioekonomi, politik, tamadun, sains dan teknologi, dan kesemuanya. Kebangkitan yang diaspirasikan di dalam buku ini juga merujuk kepada agenda kebangkitan yang ‘genuine’ dan ‘sustainable’ dengan menjadikan konsep rahmatan lil’alamin atau rahmat kesekalian alam sebagai asas KEBANGKITAN.

Nantikan kemunculan “MASA DEPAN STRATEGIK KEBANGKITAN ISLAM”. InshaAllah.

Bahrain, 12 April 2017

Leave a Reply

SUBSCRIBE

Get the latest posts delivered to your mailbox: