Towards Malaysian Common Law Through Harmonisation 

USIM MENERUSKAN ASPIRASI HARMONISASI UNDANG-UNDANG

Pengenalan Harmonisasi Undang-undang

 

Malaysia kini diiktiraf sebagai di antara negara Islam yang berdaya maju, dinamik dan progresif. Pencapaian ini bukan sahaja terbukti dari aspek sosio-ekonomi malahan ia meliputi perkembangan sistem perundangan menerusi aspirasi harmonisasi undang-undang. Syariah dan common law adalah dua sistem undang-undang yang telah berkembang secara harmoni di Malaysia. Kedua-dua sistem undang-undang ini adalah unik sama ada dari aspek sumber perundangan, hirarki autoriti, teori dan amalan termasuk metodologi dan penaakulan atau ‘reasoning’.

 

Harmonisasi undang-undang dan hubungkait antara Syariah dan common law bukanlah sesuatu yang baru. Ia dibuktikan telah lama berlaku dan menyumbang kepada pembangunan dan perkembangan masyarakat dalam pelbagai bidang. Sarjana dan cendiakawan undang-undang termasuk sejarawan telah membicarakan aspek harmonisasi Syariah dan common law ini secara tidak langsung dalam karya-karya mereka. Malahan, lebih menarik apabila Profesor John Makdisi dalam artikel berjudul ‘the Islamic Origins of Common law’ membuktikan secara akademik bahawa perkembangan common law itu sendiri sebenarnya dipengaruhi oleh perkembangan undang-undang Syariah. Ini juga dipersetujui oleh Cristopher Gregory Weeramantary, bekas Timbalan Presiden, Mahkamah Keadilan Antarabangsa dalam bukunya berjudul ‘Islamic Jurisprudence: An International Perspective’. Beliau membincangkan dalam karya ini bagaimana undang-undang Syariah telah mempengaruhi ahli falsafah perundangan yang akhirnya menyumbang kepada perkembangan common law di England. Beliau pernah menyampaikan Syarahan Umum Syariah dan Undang-undang bertajuk “International Law and Human Rights: Islamic and Western Perspective” di USIM pada 2007.

 

Apabila melihat kepada pengaruh Syariah dan Common law dalam sistem perundangan negara termasuk sebarang usaha ke arah penambahbaikan, kita tidak boleh menafikan bahawa betapa pentingnya untuk memahami ‘realiti’ negara ini. Sesungguhnya Malaysia adalah sebuah Negara yang berbilang kaum, berbilang budaya dan berbilang agama dengan sistem perundangan yang mengiktiraf kepelbagaian sumber perundangan termasuk undang-undang adat, Syariah dan Common law. Dalam sebuah negara yang demokratik, sebarang perubahan dan transformasi dalam sistem perundangan sedia ada perlu mengikuti proses demokrasi secara aman dan harmoni. Apa yang lebih penting adalah ia menepati dan selari dengan kerangka Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara.

Harmonisasi Undang-undang Sebagai Aspirasi Negara

 

Syariah dan common law adalah dua sistem undang-undang yang amat berbeza dan berkembang melalui tempoh masa yang berlainan. Kedua-duanya adalah unik dari segi sumber undang-undang dan hierarki autoritinya, peraturan dan amalan undang-undang, sistem perundangan dan pentadbiran keadilan, hak asasi dan kaedah penyelesaian pertikaian dan hujah-hujah yang dikemukakan oleh sarjana masing-masing. Di samping meraikan perbezaan yang wujud antara kedua-dua sistem sebagai keistimewaan tersendiri, sebarang masalah yang wujud tidak wajar dilihat sebagai kekangan bagi mencapai matlamat keadilan. Disebabkan ketiadaan analisis yang jelas dan pemahaman yang tepat mengenai nilai-nilai, etika, prinsip-prinsip yang wujud dalam kedua-dua system, pertelingkahan akan berterusan. Oleh demikian, kerangka yang lebih baik dalam bentuk perundangan dan polisi, kerjasama dua pihak atau pelbagai pihak atau apa mekanisme yang bersesuaian perlu dikaji untuk faedah dan kebaikan masyarakat.

 

Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan perasmiannya di Seminar Antarabangsa Syariah dan Common law 2015 anjuran USIM telah menyebut secara khusus kepentingan kerangka perundangan dan keperluan meneroka pendekatan wasatiyah dalam Proses Harmonisasi Undang-undang Syariah dan Common law. Beliau menyatakan:

 

Sebenarnya, jika kita mengesan sejarah pembangunan sistem perundangan kita, proses mengharmonikan undang-undang Syariah dan Common telah berlaku sejak lebih dua dekad di negara ini. Ini sememangnya penting bagi menyemai rangka kerja perundangan yang berwibawa, cekap dan kondusif serta mewujudkan persekitaran kawal selia yang dinamik. Dalam sebuah negara yang demokratik, apa-apa perubahan dan penambahbaikan yang kita mahu perlulah dilakukan menerusi cara yang demokratik. Lebih penting lagi, kita perlu melakukannya mengikut batasan Perlembagaan”.

 

Dalam Seminar yang sama, Ketua Hakim Negara pada waktu itu, Yang Amat Arif Tun Ariffin Zakaria dalam Ucaptamanya dengan tajuk “Judicial Attitudes Towards Malaysian Common law Post 1956” juga menyentuh aspek pendekatan Mahkamah bagi mengimbangi perbezaan dan konflik undang-undang yang akhirnya mewujudkan Malaysian Common law iaitu undang-undang yang mengikut acuan dan identity masyarakat Malaysia.

 

Harmonisasi undang-undang ini telah pun berlaku dan kita dapat menyaksikan bagaimana undang-undang common law telah mempengaruhi pemakaian undang-undang prosedur atau tatacara juga undang-undang keterangan dalam sistem undang-undang yang dilaksanakan di Mahkamah Syariah. Dalam masa yang sama terdapat juga beberapa aspek undang-undang Syariah yang dirujuk dan relevan telah digunapakai di Mahkamah Sivil. Ini bermakna, harmonisasi undang-undang ini adalah sangat signifikan dan dapat memberikan manfaat kepada penambahbaikan sistem perundangan negara.

 

Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkukuhkan lagi sistem dan infrastruktur perundangan Negara dalam sistem kewangan Islam misalnya, Malaysia lebih awal telah menubuhkan Jawatankuasa Pengharmonian Undang-undang pada 2010 yang dipengerusikan oleh Tun Abdul Hamid Mohamed, Mantan Ketua Hakim Negara yang juga merupakan penerima Ijazah Doktor Kehormat Syariah dan Kehakiman, Fakulti Syariah dan Undang-undang, USIM. Jawatankuasa ini yang dianggotai oleh tokoh-tokoh terkemuka perundangan Negara telah melaksanakan pelbagai inisiatif ke arah pengharmonian undang-undang Syariah dan common law yang berkaitan dengan sistem kewangan. Bukan itu sahaja, selain daripada Jawatankuasa Teknikal Syariah dan Undang-undang Sivil yang ditubuhkan kerajaan, Jabatan Peguam Negara juga telah mewujudkan Bahagian Shariah khas bagi menasihati dan membantu jabatan dari aspek Syariah.

USIM dan Aspirasi Harmonisasi

 

USIM adalah sangat sinonim dengan aspirasi harmonisasi. Ini dapat dilihat menerusi pendekatan integrasi ilmu naqli dan aqli yang diangkat sebagai agenda dan visi utama universiti dalam proses pemartaban ilmu pengetahuan. Dengan hasrat untuk menjadi peneraju pendidikan yang mengintegrasikan ilmu bersifat duniawi dan ukhrawi, ilmu yang bersifat wahyu dan berasaskan akal pemikiran, dan ilmu moden dan turath, harmonisasi undang-undang juga merupakan antara aspirasi USIM.

 

USIM melihat bahawa universiti adalah antara institusi yang paling ideal bagi menyediakan platform yang bersesuaian di mana para sarjana dapat bertukar-tukar pandangan dalam bidang Syariah dan common law. Oleh kerana kedua-dua sistem perundangan berbeza antara satu sama lain, adalah sesuatu yang amat penting bagi memahami kepelbagaian yang wujud antara mereka dan untuk mencadangkan penyelesaian yang berkemungkinan dalam usaha mempertingkatkan perkaitan dan hubungan antara kedua-duanya. Adalah sangat penting agar semua pihak yang terlibat dalam bidang ini sama ada dari peringkat pengamal undang-undang, pimpinan politik, pentadbir, penggubal undang-undang, pembuat dasar dan pelaksana dasar, ahli akademik dan sesiapa sahaja untuk memahami dinamika peranan undang-undang syariah dan common law secara menyeluruh.

 

USIM menerusi Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU) telah mengorak langkah dan terus istiqamah menyumbang ke arah harmonisasi undang-undang dan dalam masa yang sama memartabatkan undang-undang Syariah agar berdiri sama tegak dan duduk sama rendah dengan undang-undang sivil. Berbanding dengan fakulti undang-undang mahupun fakulti Syariah di universiti lain, FSU merupakan salah sebuah fakulti di negara ini yang menggabungkan dua bidang iaitu Syariah dan Undang-Undang. Program akademik yang dibangunkan termasuk kesemua tenaga pengajar FSU terdiri daripada ahli akademik dalam bidang undang-undang dan Syariah.

 

Menunjukkan betapa seriusnya USIM dengan aspirasi harmonisasi ini, FSU telah secara khusus meletakkan Visinya yang jelas dengan berazam menjadi pusat pengajian Syariah dan undang-undang terulung untuk menyumbang kepada pembangunan agama, masyarakat dan negara. Visi ini disokong dengan Misi untuk melahirkan graduan dan penyelidikan berkualiti dalam bidang Syariah dan undang-undang yang mendapat pengiktirafan di peringkat nasional dan antarabangsa melalui kaedah pengajaran dan pembelajaran berkualiti serta penyelidikan terkini berasaskan nilai akhlak dan etika profesional.

 

Dengan usianya yang muda, FSU telah menerima dan mendapat pengiktirafan daripada tokoh terkemuka undang-undang dalam dan luar negara yang mengakui keunikan dan kelebihan penggabungan dan pengharmonian Syariah dan undang-undang yang ada. Keunikan FSU ini diakui sendiri oleh Professor Mashood Baderin, Professor of Law, SOAS, University of London (Profesor Pelawat FSU) yang menyatakan:

 

The design and content of the program is very comprehensive and covers all the relevant core Civil Law modules as well as the Syariah Law counterparts. The modules are also very well distributed over the five-year period of the programme in a way that facilitates a coherent progression from one level to another. I am of the view that the combined law programme in Syariah and Civil Law offered by the Faculty is very unique and should be applauded as a necessary and valuable means of training future legal experts who would not only be well grounded in the Syariah but also in the Civil Law System”.

 

Pengiktirafan kepada FSU juga dizahirkan sendiri oleh Professor Andrew James Harding, Professor of Law, Victoria University, Canada (Profesor Pelawat FSU) menerusi laporan penilaian program yang antaranya menyebut:

 

The USIM law programme is unique in melding common law and Islamic law subjects. The programme is extensive, well organised and carefully thought out. I was impressed by the range of topics taught within each subject, the level at which they are thought, and the profesionalism with which the course contents had been put together including the readings and the course structures. Students graduating from this programme have the unique advantage of being fully qualified in both the common law and the Shariah. USIM is to be congratulated on establishing this programme and on recruiting young, accomplished and dynamic faculty with an interesting range of academic backgrounds.”

 

Malahan yang terkini, Professor Dermot Cahill Dean, Bangor University School of Law, Wales, United Kingdom, Chairman, Institute for Competition & Procurement Studies, Solicitor (Profesor Pelawat FSU) dalam laporan penilaian program 2017 sendiri memuji dan mengiktiraf program akademik dan pendekatan FSU di mana beliau menulis:

 

I commend your Faculty on the progress it has made to elevate the breadth of the programme: the professionalism of the staff; the quality of the documentation; and importantly the quality of the students I have encountered on your campus. I am very impressive that a large number of your Faculty have studied abroad, with many having studied in the UK. This will make your staff familiar with international best practice in Legal Education, and I see that many of your Quality Assurance indicators are in line with UK norms.

 

Pengiktirafan kepada keunikan dan kelebihan FSU bukan sahaja diakui oleh sarjana undang-undang terkemuka antarabangsa, mantan Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi yang juga Profesor Adjung FSU mengakui kemampuan pelajar yang mengikuti pengajian di FSU yang menggabungkan bidang Syariah dan undang-undang dengan menyatakan:

 

I have been meeting and lecturing to USIM law students. I notice much improvement in their confidence and practical knowledge of the law amongst the majority of students“.

 

Walaupun tidak dapat dinafikan bahawa USIM masih baru di kalangan universiti-universiti yang lain di negara ini dari aspek pengajian undang-undang dan Syariah, USIM terus berusaha menampilkan kelainan dan menawarkan sesuatu yang signifikan serta dalam masa yang sama cuba menyumbang ke arah agenda harmonisasi undang-undang seiring dengan aspirasi negara ini. Dengan usia yang masih muda dan kekurangan pengalaman berbanding institusi lain, USIM berjaya membuktikan kerelevanannya dan telah mendapat pengiktirafan yang signifikan daripada sarjana undang-undang tersohor antarabangsa termasuk Mantan Ketua Hakim Negara serta pengamal undang-undang dan Syariah dalam dan luar negara.

 

Usaha-usaha dari aspek akademik dan keilmuan ke arah harmonisasi yang menyeluruh dilaksanakan untuk mempromosikan persefahaman yang lebih utuh mengenai Syariah dan common law. Di samping itu, USIM juga melihat betapa pentingnya aspek lain yang perlu diberikan perhatian dan ini termasuk konflik, pertembungan dan persamaan dalam kedua-dua sistem perundangan Syariah dan common law. Ia mensasarkan kepada pembentukan perkongsian secara komprehensif dalam bidang jurispruden atau usul fiqh dan pengalaman berbentuk praktikal yang boleh diterapkan demi kebaikan dan kesejahteraan ummah. Pembentukan perkongsian tersebut dapat dijadikan asas kepada satu pembinaan sistem undang-undang yang unik berdasarkan Syariah dan common law dan ia adalah amat penting bagi negara-negara yang mengamalkan sistem dwi-perundangan seperti Malaysia.

 

USIM juga mempromosi gagasan bernas harmonisasi undang-undang menerusi pendekatan wasatiyah. Ini dapat dilihat dengan jelas menerusi beberapa siri Seminar Antarabangsa Syariah dan Common law yang telah diadakan yang menampilkan pimpinan utama negara dan barisan pengamal undang-undang tersohor. Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan perasmiannya di Seminar Antarabangsa Syariah dan Common law 2015 anjuran USIM telah menyebut secara khusus peri pentingnya pendekatan wasatiyah dalam Proses Harmonisasi Undang-undang Syariah dan common law.

 

Tema wasatiyah dalam Proses Harmonisasi Undang-undang Syariah dan Common law dalam ucapan Timbalan Perdana Menteri ini menjelaskan bahawa usaha yang dilaksanakan USIM ini adalah sangat selari dengan polisi dan dasar kerajaan, di mana pendekatan kesederhanaan secara berhikmah sentiasa menjadi asas utama pentadbiran Negara. Ini bertepatan dengan konsep wasatiyah yang dinukilkan dalam al-Quran dalam surah al-Baqarah ayat 143 yang bermaksud. Allah berfirman:

 

Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.

 

Ayat ini secara jelas menerangkan konsep ‘ummatan wasatan’ iaitu umat terpilih yang menegakkan keadilan dalam setiap perkara tidak mengira warna kulit, bangsa dan agama. Ini juga relevan dengan latin maxim dalam common lawFiat justitia ruat caelum’ yang bermaksud ‘let justice be done though the heavens fall’.

 

Aspirasi harmonisasi undang-undang USIM ini diteruskan menerusi Siri Syarahan Umum Syariah dan Undang-undang yang boleh dianggap antara Syarahan Undang-undang berprestij di Malaysia. Syarahan sulung pada 2005 Bagi Siri Syarahan Umum Syariah dan Undang-undang ini telah disampaikan sendiri oleh Ketua Hakim Negara pada waktu itu, Yang Amat Arif, Tun Dato’ Sri Ahmad Fairuz bin Dato’ Sheikh Abdul Halim dengan tajuk Syarahan yang begitu signifikan iaitu ‘The Relationship Between Syariah dan Civil Law in the Malaysian Legal System: Development and Future Possibilities’. Beliau membicarakan aspek hubungan antara Syariah dan undang-undang sivil mengemukakan gagasan bernas bagi mengharmonikan keduanya sesuai dengan perkembangan undang-undang semasa.

 

Tradisi keilmuan dan keintelektualan ini dengan bertemakan Syariah dan Undang-undang dalam pelbagai aspek perundangan negara dan isu undang-undang antarabangsa diteruskan dengan beberapa siri Syarahan Umum. Antara ikon perundangan terkemuka yang tampil menyampaikan syarahan ialah Chief Justice Iftikhar Mohammad Chaudry, Ketua Hakim Negara Pakistan diikuti Honourable Judge Cristopher Gregory Weeramantary, mantan Timbalan Presiden, Mahkamah Keadilan Antarabangsa, Professor Mashood A. Baderin, (School of Laws, SOAS, London), Professor Dr. Javaid Rehman (Brunel Law School, Brunel University, London) dan Profesor Andrew Harding (Faculty of Law, University of Victoria, Canada.)

 

Chief Justice Iftikhar Mohammad Chaudry, Ketua Hakim Negara Pakistan dalam Syarahannya bertajuk “The relationship between law and morality in Islamic and Common law Systems” pada 2006 anjuran USIM ini membicarakan aspirasi harmonisasi antara Syariah dan common law berkenaan dengan aspek ‘morality’. Beliau berpandangan bahawa:

 

In Islam, law and morality are interlinked and intertwined. They supplement each other and work in unison in building a just and humane society. There is no wrong and there is no problem with the Islamic law, or its content. It is only the implementation of the law a function of the humans, which needs to be worked on for the right results”.

 

Menzahirkan betapa pentingnya aspirasi harmonisasi ini, Profesor Mashood Baderin dalam Syarahannya pada 2009 yang juga diterbitkan dalam Malaysian Journal of Syariah and Law iaitu jurnal terbitan USIM bertajuk Administration of Justice under the Shari‘ah, Common law and Civil Law Systems: Towards a Better Understanding menyebut bahawa:

 

Domestically, there are ongoing academic and judicial efforts in different Muslim countries including Malaysia, to explore possible ways of realising necessary harmony between the principles of administration of justice under the Shari‘ah and Common law or the Shari‘ah and Civil Law systems respectively. In view of the continuing interaction between the three legal systems in different countries of the world today, there is a need to continue promoting a better understanding of the systems to enhance an effective administration of justice across the legal systems globally”.

 

USIM juga memberikan pengiktirafan kepada tokoh penting negara yang menyumbang ke arah harmonisasi undang-undang. Bagi menghargai usaha dan jasa mereka serta menjadi inspirasi kepada semua, USIM telah menganugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Syariah dan Kehakiman kepada Mantan Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamed pada Majlis Konvokesyen 2011. Tun Abdul Hamid Mohamed merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengharmonian Undang-undang yang terlibat secara langsung dalam usaha-usaha mengharmonikan undang-undang di Malaysia secara menyeluruh. Dalam ucapan penerimaan Ijazah Doktor Kehormat tersebut bertajuk ‘Harmonisation of Syariah and Common law: The Way Forward”, Tun Abdul Hamid Mohamed menyatakan bahawa:

 

The use of the word “harmonisation” in this area is quite new. However, the fact that the word “harmonisation” was not used earlier does not mean that the work of harmonisation was not done. We were doing the very same thing without calling it harmonisation. The laws now being used in the Shari’ah Courts, for example, the Shari’ah Civil Procedure Enactment, the Shari’ah Criminal Procedure Enactment, the Shari’ah Evidence Enactment are the product of harmonisation of Shari’ah and common law.

 

Aspirasi USIM dalam usaha harmonisasi undang-undang ini dizahirkan juga menerusi penerbitan jurnal berwasit Malaysian Journal of Syariah and Law. Jurnal ini secara khusus memilih tema Syariah dan undang-undang yang membuka ruang kepada ahli akademik dan pengamal undang-undang Syariah mahupun sivil menerbitkan karya asli mereka. Malaysian Journal of Syariah and Law ini telah berjaya menghimpunkan banyak makalah-makalah yang signifikan dan bermutu tinggi membincangkan isu-isu berkaitan Syariah dan undang-undang dan menjadi antara rujukan penting sehingga kini.

 

USIM menerusi FSU juga telah menubuhkan Kursi Akademik berprestij yang juga mengunakan tema yang sama iaitu Kursi Syariah dan Undang-undang. Kursi Syariah dan Undang-undang ini adalah antara satu-satunya Kursi Akademik yang ada di institusi pengajian tinggi yang menggabungkan dua bidang iaitu Syariah dan Undang-undang. Seiring dengan aspirasi harmonisasi undang-undang ini, USIM telah melantik Tan Sri Syeikh Ghazali Abdul Rahman sebagai Pemegang Pertama Kursi Syariah dan Undang-undang yang berpengalaman sangat luas dalam bidang perundangan negara. Beliau ialah mantan Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia yang pertama dan juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Syariah dan Undang-undang Sivil.

 

Menerusi Kursi Akademik yang dibiayai oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan ini, USIM telah mempergiatkan lagi usaha harmonisasi undang-undang menerusi kegiatan penyelidikan, wacana ilmu, penerbitan malahan agenda merakyatkan ilmu kepada masyarakat. Antara aspek harmonisasi undang-undang yang dimulakan dan sangat signifikan cuba direalisasikan USIM ialah isu tanah adat yang telah membelenggu sekian lama masyarakat. Penyelidikan yang dijalankan telah cuba untuk mengharmonisasikan antara undang-undang adat, sivil dan Syariah dengan mengambil kira kemaslahatan umum dan kepentingan rakyat secara menyeluruh. Hasil penyelidikan ini telah diterbitkan dalam bentuk buku dan artikel dalam jurnal berindeks dan berimpak tinggi sebagai pengiktirafan kepada kualitinya.

Harmonisasi Undang-undang dan Cabaran Masa Depan

 

Dengan peredaran zaman dan perkembangan teknologi yang begitu pesat, kita memerlukan sistem undang-undang yang fleksibel dan adil, mengiktiraf kepelbagaian dan memelihara kepentingan semua. Sesuai dengan falsafah relativisme budaya (cultural relativism), aspek sosiobudaya dan agama juga adalah penting bagi menentukan bentuk undang-undang yang ada di Malaysia. Sejarah telah membuktikan harmonisasi undang-undang telah berlaku sekian lama di Malaysia bahkan ia juga diamalkan di negara-negara lain di dunia.

 

Harmonisasi undang-undang juga merupakan antara aspirasi negara yang cuba direalisasikan. Kerajaan telah melaksanakan pelbagai pendekatan dan usaha ke arah harmonisasi undang-undang. Badan kehakiman juga menunjukkan kecenderungan yang sama di mana tema mewujudkan Malaysian Common law kerap kali ditimbulkan dan menjadi tema utama perbincangan. Malaysian Common law yang diperkatakan ini bukanlah undang-undang common law yang dicedok secara langsung tetapi adalah hasil daripada proses harmonisasi undang-undang yang berlaku. Harmonisasi Syariah dan common law antaranya telah banyak membantu perkembangan sistem keadilan negara selaras dengan ruh Perlembagaan Persekutuan.

 

USIM semakin dikenali dan sangat sinonim dengan aspirasi integrasi ilmu. Dengan visi untuk mengintegrasikan ilmu naqli dan aqli, USIM dilihat berpotensi besar untuk menerajui usaha-usaha integrasi dan ini termasuk harmonisasi undang-undang. Usaha dan pendekatan USIM menyumbang ke arah harmonisasi undang-undang ini dibuktikan menerusi pelbagai inisiatif yang bersifat akademik, intelektual, advokasi mahupun menyediakan sumber manusia. USIM yakin dengan nilai-nilai universal dan sejagat yang ada pada sumber undang-undang yang dirujuk sama ada Syariah dan undang-undang, ia boleh diharmonisasikan dengan mengambil pendekatan secara wasatiyah dan demokratik.

 

Dalam usianya yang masih muda dan merupakan pemain baru dalam bidang pengajian perundangan, USIM menerusi FSU telah membuktikan bahawa usaha-usaha ke arah harmonisasi undang-undang dari sudut akademik adalah signifikan. Penjenamaan dan advokasi program yang mempromosi aspirasi harmonisasi undang-undang dilaksanakan secara strategik dan ini merangkumi program akademik Syariah dan undang-undang, siri Seminar Antarabangsa Syariah dan Common law, siri Syarahan Umum Syariah dan Undang-undang, Malaysian Journal of Syariah and Law dan Kursi Akademik Syariah dan Undang-undang. Melalui usaha-usaha bersepadu ini, USIM telah mendapat pengiktirafan sarjana undang-undang terkemuka dalam dan luar negara yang terlibat secara langsung menilai fakulti dan pelaksanaan program yang menggabungkan bidang Syariah dan undang-undang secara menyeluruh. Sehinggakan Professor Mashood Baderin, Professor of Law, SOAS, University of London menyatakan bahawa program yang menggabungkan Syariah dan undang-undang yang ditawarkan di USIM adalah sangat unik dan beliau sendiri menulis:

 

I am intending to propose a similar 4-yeard double major LLB [Hons) programme in English Common law and Islamic Law in the Schoool of Law here at S0AS, University of London”.

 

Dengan melihat perkembangan dunia semasa, Malaysia akan terus menghadapi pelbagai cabaran dan halangan dari aspek undang-undang di masa hadapan. Konflik undang-undang, isu-isu kontroversi perundangan, krisis kepercayaan kepada sistem perundangan dan bermacam lagi pastinya akan terus menjadi perbincangan dan perdebatan bukan sahaja oleh pengamal undang-undang, ahli akademik, pembuat dasar dan pelaksana dasar malahan masyarakat umum. Bagi menangani perkara ini dengan berhikmah, harmonisasi undang-undang ini dilihat sebagai antara pendekatan paling strategik yang boleh dilaksanakan dengan mengambil kira semua aspek dan mengiktiraf kepelbagaian serta memelihara kepentingan umum. USIM sebagai salah sebuah institusi yang mengangkat agenda integrasi ini dilihat sangat ideal untuk mengangkat idea ini dan seharusnya USIM terus berusaha menyumbang ke arah merealisasikan aspirasi harmonisasi undang-undang demi kemaslahatan semua.

 

 

 

 

 

Leave a Reply

SUBSCRIBE

Get the latest posts delivered to your mailbox: