INTELLECTUAL REFORMATION

KEDUDUKAN KANAK-KANAK APABILA SALAH SEORANG IBU BAPA MEMELUK ISLAM MENURUT PERSPEKTIF UNDANG-UNDANG DAN SYARIAH
February 8, 2018
The Financial Industry Needs to Start Planning for the Next 50 Years, Not the Next Five
February 22, 2018
KEDUDUKAN KANAK-KANAK APABILA SALAH SEORANG IBU BAPA MEMELUK ISLAM MENURUT PERSPEKTIF UNDANG-UNDANG DAN SYARIAH
February 8, 2018
The Financial Industry Needs to Start Planning for the Next 50 Years, Not the Next Five
February 22, 2018

REFORMASI INTELEKTUAL

Pendahuluan

 

Merenung kepada keadaan dan kedudukan dunia Islam di kalangan negara-negara dunia yang dibelenggu pelbagai permasalahan, krisis dan konflik pastinya membuatkan setiap umat Islam tidak dapat tidur lena. Mungkin tidak berlebihan juga untuk mengatakan bahawa umat Islam pada hari ini tidak boleh lagi bersenang lenang, ‘complacent’, perlahan, lembap, beralasan dan berkonflik jika ingin terus relevan dalam dunia moden yang penuh cabaran ini. Laporan institusi global dan dunia seperti Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa, Pertubuhan Persidangan Negara Islam (OIC) dan pelbagai laporan mengenai sosio-ekonomi, politik, tatakelola, kebolehsaingan, sains dan teknologi, pendidikan, alam sekitar, tanggungjawab sosial hampir kesemuanya meletakkan dunia Islam terkebelakang berbanding dunia majoriti bukan Muslim. Ini menimbulkan tanda tanya sejauh manakah projek islah atau reformasi yang telah pun diinspirasikan sejak pembebasan dunia Islam daripada penjajahan sekitar abad ke-20 yang lalu.

 

Kegagalan umat Islam untuk menunjukkan bahawa mesej yang dibawa oleh Rasulullah SAW itu sebagai rahmat kepada sekalian alam telah menyebabkan Islam terus diserang dan membentuk persepsi negatif masyarakat dunia. Fenomena Islamofobia terus menyelubungi dan menutupi mata masyarakat umum. Islam itu dilihat tidak berupaya untuk menyesuaikan dengan ‘modernity’ dan tidak relevan dalam dunia yang serba moden hari ini. Meyer, (2006), dalam bukunya Islam and Human Rights: Traditions and Politics mendakwa bahawa Islam adalah tidak selari dan sesuai serta gagal untuk melindungi beberapa aspek hak asasi manusia. Lewis, (2004) menerusi karyanya Crisis of Islam: Holy War and Unholy Terror mengkritik Islam kerana tidak mampu menyesuaikan dengan ‘modernity’. Kuran, (2012) dalam bukunya the Long Divergence, How Islamic Law Held Back the Middle East cuba membuktikan bahawa undang-undang Islam yang statik antara penyumbang atau faktor utama kemunduran yang berlaku di dunia Islam khususnya di Timur Tengah.

 

Begitu juga dengan Wael Hallaq, (2014) dalam buku terkini berjudul the Impossible State, Islam, Politics, and Modernity’s Moral Predicament. yang mengupas secara mendalam konsep ‘Islamic State’ dan ‘Modern State’. Malahan, beliau menukilkan bahawa; “The Islamic State, judged by any standard definition of what the modern state represents, is both an impossibility and a contradiction in terms’. Wael Hallaq berpandangan; “Modern Muslims are faced with the challenge of reconciling two facts; first the ontological fact of the state and its undeniably powerful presence and second, the deontological fact of the necessaity to bring about a form of Shari’ah governance”. Umumnya, Wael Hallaq cuba untuk membuktikan menerusi aspek ‘ontology’ dan ‘deontology’ bahawa konsep Negara Islam itu adalah berlawanan dengan konsep ‘modernity’ dan ‘the modern project’. Beliau melihat konsep Negara Islam Moden itu adalah sesuatu yang tidak seiring dengan ‘paradigmatic modern state’.

 

Ramai lagi sarjana barat dan timur yang mewujudkan perspektif negatif terhadap Islam dan ia seakan dekat pada kebenaran apabila melihat keadaan dan kedudukan dunia Islam pada hari ini yang dibelenggu konflik dan krisis berterusan. Persepsi negatif ini diburukkan lagi dengan kegagalan umat Islam untuk menangani persepsi ini termasuk kelemahan untuk menghasilkan karya yang mampu menyaingi kesarjanaan pemikir-pemikir yang mengkritik Islam ini. Walaupun tidak dinafikan bahawa terdapat karya bermutu tinggi intelektual Muslim yang pada dasarnya boleh menangkis serangan dan kritikan ini dari sudut keilmuan, namun, kefahamannya masih lagi bersifat ekslusif dan tidak membumi hingga ke akar umbi masyarakat umum. Malahan, ia kerap kali berlegar di sekitar kelompok tertentu dan kadangkala sukar untuk difahami serta tidak bersifat inklusif.

 

Seiring dengan keperluan kepada reformasi dan panggilan islah untuk meneruskan momentum projek mengembalikan kegemilangan Islam menerusi slogan ‘Islamic resurgence’, ‘Islamic revivalism’, ‘Islamic Renaissance’, Sahwah (Kebangkitan), Ihya (menghidupkan), tanmiya (pembangunan), nahda (reinassance), taghyir (perubahan) dan tanwir (pencerahan), artikel ini cuba untuk menelusuri kembali peranan intelektual Muslim dan sumbangannya menjadi pemangkin kebangkitan Islam. Harus diakui bahawa sudah terdapat begitu banyak buku, makalah, karya dan penulisan sarjana dan pemikir Muslim tersohor yang telah membicarakan topik ini seperti Muhammad Iqbal, Abul A’la Maududi, Syed Muhammad Naquib al-Attas, Seyyed Hossein Nasr, Fazlur Rahman, Syed Qutb, Ismail Raji al-Faruqi, Abdul Hamid Abu Sulayman, Yusuf al-Qaradawi, Ziauddin Sardar, Tariq Ramadan dan Muhammad Umer Chapra. Penulis menyarankan untuk merujuk dan meneliti karya-karya ini secara khusus berbanding dengan apa yang ingin dikongsikan menerusi makalah ini.

 

Di samping mengiktiraf karya-karya terdahulu mengenai peranan intelektual Muslim dan tidak berniat untuk mengangkat makalah ringkas ini sebagai sesuatu yang perlu dirujuk dan diwacanakan, penulis cuba untuk mengupas tajuk ini dari sudut dan pendekatan yang sedikit berbeza dengan memfokuskan kepada beberapa aspek yang relevan dan signifikan bersesuaian dengan perkembangan semasa dan dunia hari ini. Penulis mengakui bahawa adalah menjadi satu tugasan yang amat berat untuk mengupas tajuk yang begitu mencabar dan luas ini. Lebih-lebih lagi ia disediakan dalam masa yang singkat di samping tugasan rasmi yang perlu dilaksanakan. Pandangan dan idea yang terkandung dalam makalah ini pastinya dipenuhi dengan banyak kekurangan dan kelemahan dan diiringi dengan permohonan kemaafan.

 

Tradisi Intelektual Muslim

 

Budaya intelektual dan keilmuan merupakan tradisi dalam ketamadunan Islam. Islam meletakkan ilmu itu di tempat yang sangat istimewa dan ilmuan itu mempunyai kedudukan yang sangat tinggi. Allah SWT berfirman yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (daripada kalangan kamu) beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan. (al-Mujadalah: 11)

Sejarah membuktikan bahawa tradisi intelektual itu sangat dekat dengan ketamadunan Islam. Intelektual Muslim memainkan peranan yang sangat signifikan kepada pembangunan daulah mahupun sumbangan pada disiplin ilmu itu sendiri. Dalam erti kata lain, banyak ilmu dan kemajuan yang ada pada hari ini sebenarnya tidak akan dapat dicapai sekiranya tiada sumbangan intelektual Muslim. Lihat sahaja sumbangan al-Khawarizmi kepada dunia sains, teknologi, matematik dan geografi. Tidak berlebihan untuk mengatakan bahawa dunia pada hari ini tidak akan mencapai tahap kecanggihannya sekiranya tiada penemuan penting al-Khawarizmi.

 

Intelektual Muslim mempunyai karakternya yang tersendiri. Ziauddin Sardar, (1979) dalam bukunya, the Future of Muslim Civilization, menegaskan intelektual Muslim adalah suatu segmen Muslim terdidik yang mempunyai peranan khusus dalam mengembangkan ilmu dan nilai-nilai yang memberikan sumbangan dalam mendidik masyarakat. Ini bermakna tradisi intelektual Muslim itu adalah bersifat inklusif iaitu sangat dekat dengan masyarakat dan umat. Intelektual Muslim itu bukan sahaja dilihat pada kualiti ilmu pengetahuannya tetapi juga peranannya dalam pembangunan umat dan sejauh mana ia mampu memberi sumbangan kepada masyarakat.

 

Fazlur Rahman, (1975) seorang pemikir yang mempelopori gagasan pembaharuan neo-modenisme Islam menggunakan istilah ’public intelectual’. Penulis merasakan bahawa istilah ini mempunyai persamaan dengan terminologi intelektual Muslim. Fazlur Rahman menggariskan bahawa ’public intelellectual’ mempunyai ciri-ciri khusus iaitu (a) Menemukan suatu gagasan utama atau prinsip dasar yang utama yang mengandungi segala realiti, lalu dia mentafsirkannya dengan jelas dan menjadikannya sesuatu yang baru dan penting; (b) Gagasan pokok itu seterusnya mampu merubah perspektif kita dalam berinteraksi dengan realiti tersebut; dan (c) Mampu mengemukakan suatu penyelesaian yang baru dan jitu terhadap segala permasalahan yang setelah lama mengganggu fikiran manusia. Pandangan Fazlur Rahman ini adalah sangat tepat di mana beliau merumuskan bahawa ’public intellectual’ atau intelektual Muslim mempunyai ciri-ciri keilmuan, kemampuan merubah, inovatif dan kreatif bagi menyelesaikan sebarang permasalahan. Oleh itu, adalah menjadi tradisi dalam keintelektualan Muslim untuk bukan sahaja menguasai ilmu pengetahuan tetapi ia perlu lebih daripada itu. Intelektual Muslim akan menggunakan penguasaan ilmu pengetahuannya untuk umat dan masyarakat. Lebih bermakna, intelektual Muslim itu akan sentiasa membawa rahmat bersama ilmunya di mana-mana dan masyarakat akan merasakan manfaat dan sumbangannya.

Krisis Intelektual

 

Umumnya, masih menjadi perdebatan para sejarawan mengenai tarikh atau era bermulanya kejatuhan atau kemunduran tamadun Islam. Ada yang mengatakan ia bermula sekitar abad ke-18 dan ada juga yang berpandangan ia bermula sejak abad ke-16 lagi iaitu apabila bermulanya era ‘modern’. Sepanjang sejarah jatuh bangunnya kerajaan Islam bermula zaman Rasulullah SAW sehingga hari ini, intelektual atau ilmuan Muslim memainkan peranan yang penting dan signifikan. Di era kegemilangan Islam lahirnya ilmuan Muslim yang memberikan sumbangan besar kepada dunia menerusi ilmu sains dan teknologi, falsafah dan sebagainya. Di zaman krisis dan kejatuhan, ilmuan Muslim juga bertindak menyelamatkan dan menanam kesedaran kepada masyarakat untuk mengembalikan semula pembangunan dan kemakmuran. Dalam erti kata lain, ilmuan Muslim menjadi agen dan nadi masyarakat pada setiap masa sama ada ketika di puncak kegemilangan mahupun di era kejatuhan. Ini memberikan keyakinan kepada kita semua bahawa akan tiba masanya kegemilangan tamadun Islam menerusi sumbangan intelektual atau ilmuan Muslim pada abad ini.

 

Menerusi literatur mengenai sejarah jatuh bangun tamadun Islam, umumnya kemunduran umat Islam itu dipengaruhi oleh beberapa faktor. Chapra, (2008) dalam bukunya Muslim Civilisation, The Causes of Decline menghuraikan dengan begitu menarik mengenai faktor kejatuhan tamadun Islam. Beliau berpandangan bahawa terdapat tiga faktor utama kemunduran umat Islam. Faktor ini merangkumi aspek 1) Permasalahan Kewangan Negara berikutan rasuah yang berleluasa[1] dan pembaziran 2) Kegagalan sektor kedua iaitu sektor swasta memainkan peranan dalam ekonomi dan 3) penggunaan kuasa untuk memaksa penerimaan doktrin tertentu antara ‘rationalist’ dan ‘conservative’ yang akhirnya memisahkan antara ilmu agama dan sains. Ada juga intelektual Muslim lain seperti al-Faruqi dan al-Attas yang berpandangan bahawa sekularisasi merupakan punca utama krisis intelektual yang berlaku pada dunia Islam hari ini. Kesemua faktor ini akhirnya telah menyebabkan kemunduran umat Islam dari aspek pendidikan, sains dan teknologi, ekonomi dan sosial dan politik. Terdapat banyak lagi literatur yang membicarakan penyebab utama kepada kemunduran umat Islam. Namun, penulis tidak berhasrat untuk membincangkan karya-karya ini kerana ingin memfokuskan kepada aspek peranan intelektual Muslim di abad ke-21 ini.

 

Bagi menilai keadaan dan kedudukan umat Islam di persada dunia hari ini, adalah wajar kita merujuk beberapa laporan dan indeks yang dibangunkan oleh institusi global dunia seperti Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa, OIC dan lain-lain. Dari sudut ekonomi, laporan OIC Economic Outlook merekodkan bahawa daripada 57 negara OIC, dua pertiga daripadanya dikategorikan sebagai miskin dan satu pertiga diklasifikasikan sebagai sangat kaya (Alpay, 2014). 22 negara OIC pada hari ini terus dikategorikan sebagai Heavily Indebted Poor Countries (HIPC) oleh Bank Dunia. Dari aspek penyelidikan dan pembangunan, keseluruhan negara Islam hanya memperuntukkan 2.1% daripada Gross Domestic Product (GDP) untuk bajet tahunannya bagi tujuan ini. Dari sudut kualiti pendidikan, the Times Higher Education dan QS World Ranking University menyaksikan tiada universiti negara OIC yang menduduki senarai 100 universiti terbaik dunia. The Programme for International Student Assessment (PISA) juga merekodkan bahawa negara OIC berada di tangga tercorot.

 

Begitu juga aspek sains dan teknologi di mana negara OIC terus ketinggalan berbanding negara majoriti bukan Muslim. Ini boleh dilihat menerusi peratusan permohonan paten antara negara OIC dan negara lain. Rekod menunjukkan bahawa permohonan paten keseluruhan negara OIC hanya 0.6% iaitu sebanyak 60,000 sedangkan Amerika Syarikat, Jepun, China dan Korea Selatan merangkumi 70% atau 7 juta permohonan paten. Permohonan paten ini serba sedikit menggambarkan setakat mana inovasi dan kualiti penyelidikan sesebuah negara di dunia.

 

Krisis intelektual dunia Islam juga kadangkala dijadikan jenaka dan satu peluang untuk mewujudkan persepsi negatif kepada masyarakat umum. Richard Dawkins saintis terkenal dunia mengkritik sinis dunia Islam dengan mengatakan bahawa keseluruhan dunia Islam tidak mampu menanding Trinity College, Cambridge University yang telah melahirkan lebih 30 pemenang Anugerah Nobel. Keseluruhan dunia Islam hanya melahirkan kurang 10 pemenang anugerah Nobel. Beberapa indeks di dunia telah merekodkan bahawa dunia Islam hanya menyumbang sebilangan kecil dalam dunia sains dan jika ada pun ia adalah kurang berkualiti. Di kala ada negara OIC yang kaya raya, negara OIC hanya menyumbang sebanyak 5% dalam bidėng sains dan teknologi. Peratusan ini berdasarkan kepada kadar citation dan penerbitan jurnal yang menjadi rujukan utama pemegang taruh. Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa kita perlu memikirkan satu perancangan agar dapat melahirkan intelektual Muslim yang mempunyai ruh reformist dan berilmu.

Intelektual Muslim Sebagai Reformis

 

Adalah suatu perkara yang penting bagi kita untuk menelusuri tradisi keintelektualan sarjana Muslim dan sumbangannya untuk mereformasikan masyarakat. Intelektual Muslim ini bukan sahaja bertindak secara ‘reactive’ dan ‘pro-active’ malahan mendahului zamannya bagi merencanakan perubahan dan kesedaran dalam masyarakat. Intelektual Muslim ini mempunyai visi yang jelas dan memiliki kekuatan ilmu yang jitu serta melibatkan diri di tengah kancah masyarakat. Bukan itu sahaja, intelektual Muslim reformis ini mempunyai daya tahan luar biasa dan berprinsip yang tiada tandingannya apabila terus dengan agenda pengislahan umat walaupun diseksa, dizalimi dan dipenjarakan.

 

Setiap kurun pastinya akan muncul reformis yang memberikan sumbangan besar kepada umat sama ada di kala kegemilangan mahupun di era kejatuhan. Malahan, di kala konflik dan krisis, intelektual Muslim ini tampil di tengah masyarakat mengharungi cabaran untuk mengembalikan umat agar berada di landasan yang sebenar. Setelah era khulafa al-Rasyidin, di kala umat Islam mengalami krisis politik, kita dianugerahkan dengan Umar Abdul Aziz. Ketika berlakunya krisis fiqh Islam hinggakan mengancam disiplin ilmu, umat Islam dianugerahkan pula dengan Imam al-Shafii. Pada era konflik akidah, umat Islam amat bertuah kerana Imam Abu Hasan al-Asy’ari menjadi penyelamat. Apabila berlakunya kekacauan pemikiran dan falsafah, Imam al-Ghazali menghasilkan karya-karya signifikan yang digunakan sehingga hari ini. Abdul Majid Irsan al Kailani dalam bukunya Hakadza Zhahara Jilu Shaluddin Wa Hakadza ‘Adat Al-Quds (Kebangkitan Generasi Salahuddin dan Kembalinya Al-Aqsa ke Pangkuan Islam) menukilkan projek Islah oleh Imam al-Ghazali dan Sheikh Qadir al-Jailani dalam mempersiapkan generasi terbaik untuk membela Islam. Projek ini mengambil masa yang agak lama tetapi berjaya melahirkan generasi yang mampu mengembalikan semula hak dan kegemilangan Islam (al-Kailani, 2001).

 

Berbanding dengan abad sebelumnya, abad ke-20 dan ke-21 merupakan zaman yang agak berbeza dengan sebelumnya. Ini memandangkan pada era ini, tiadanya sistem khalifah di mana wujudnya konsep negara bangsa. Konsep negara bangsa ini kemudiannya sangat sinonim dengan istilah negara Islam yang diperkenalkan oleh beberapa intelektual Muslim abad ke-20[2]. Maka antara keunikan wacana intelektual Muslim pada era ini termasuklah keperluan menubuhkan negara Islam. Dalam erti kata lain, intelektual Muslim pada era ini perlu mendepani ‘realiti’ yang agak berbeza dengan ‘realiti’ abad kesebelumnya. Realiti ini termasuk ‘modernity’, ‘post-modernity’ dan ‘alternative modernity’.

 

Seiring dengan pembebasan dan kemerdekaan banyak wilayah Islam dan tertubuhnya negara-negara baru di sekitarabad ke-20, arus kebangkitan Islam itu itu terus dicetuskan oleh intelektual Muslim. Ini dapat dilihat menerusi usaha dan sumbangan tokoh reformis intelektual Muslim seperti Jamal al-Din al-Afghani, Muhammad Abduh dan Rashid Rida yang mempelopori gagasan pembaharuan modenisme Islam, Hassan al-Banna melalui gerakan alIkhwan al-Muslimun, Abul A’la al-Mawdudi dengan Jamaat Islami dan Bediuzzaman Said Nursi dengan Risalat al-Nur. Akibat daripada Colonialism, Nationalissm, Secularisation dan Globalisation, pelbagai pendekatan diperkenalkan bagi mengembalikan umat Islam agar berada di landasan yang sebenar. Maka timbullah beberapa pendekatan seperti model ‘theo-democratic’, ‘Islamisation’, “De-westernisation’, ‘Neo-Modernisme’, ‘Tawhidic Paradigm’, ‘value-oriented reformation’ dan sebagainya. Esposito dan Voll, (2001) dalam buku mereka bertajuk Makers of Contemporary Islam telah menyenaraikan beberapa tokoh reformis Muslim kontemporari dan menghuraikan sumbangan tokoh ini kepada masyarakat. Ini bermakna, setiap kali reformasi umat, ia pastinya digerakkan menerusi kekuatan ilmu dan ia sangat bergantung kepada sejauh manakah signifikannya intelektual Muslim pada zaman itu.

 

Reformasi Intelektual

 

Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa sudah terdapat banyak buku-buku dan karya-karya hebat merungkai dan menghurai konsep islah dan reformasi yang perlu dilaksanakan oleh umat Islam. Karya Shariati, (1986) yang bertajuk What is to be done, the Enlightened Thinkers and An Islamic Renaissance telah menghuraikan dengan mendalam mesej kepada ilmuan Muslim mengenai peri pentingnya reformasi dan islah dalam kehidupan. Nasr, (2003) pula telah menulis karya yang signifikan iaitu A Young Muslim Guide to the Modern World sebagai panduan kepada umat Islam untuk menghadapi dunia moden. Diikuti oleh al-Attas, (1977 dan 2014) yang telah menghasilkan nukilan penuh bermakna dalam ucaptamanya semasa the World Conference on Muslim Education di Mekah yang bertajuk the Concept of Islamic Education termasuk koleksi makalahnya ‘Risalah Untuk Kaum Muslimin’. Faruqi, (1983) pula dalam bukunya Tawhid: Its Relevance for Thought and Life (Muslim Training Manual) juga telah menggariskan pendekatan Islamisasi ilmu berasaskan prinsip Tawhid sebagai sebahagian daripada projek Islamisasi. Terdapat banyak lagi karya-karya penting yang mengupas dan memberi panduan kepada umat Islam khususnya dalam mentransformasikan pemikiran dan daya intelektual.

 

Namun, apa yang dilihat menerusi apa yang berlaku di dunia Islam pada hari ini menunjukkan bahawa reformasi dan islah yang berlaku masih lagi diperingkat yang awal. Malahan kerap kali reformasi ini tersekat di tengah jalan apabila di ‘hijack’ oleh musuh Islam. Reformasi dan revolusi di Mesir, Libya, Tunisia, Iran, Algeria dan lain-lain negara, kesemuanya menghadapi masalah dan melibatkan pertumpahan darah dan kerosakan. Eksperimen Revolusi Tahrir di Mesir misalnya telah gagal dan ia telah digantikan dengan rejim yang lebih kejam dan zalim. Revolusi Iran juga adalah sesuatu yang tidak boleh dibanggakan. Reformasi yang cuba dibawa oleh pemerintah Pakistan dan Sudan juga gagal. Revolusi di Tunisia juga mula menghadapi pelbagai permasalahan. Reformasi di Iraq, Libya, Syria dan Yaman hanya menambahkan lagi kesengsaraan rakyat. Reformasi yang berlaku di Malaysia juga menempuhi pelbagai cabaran malahan pada hari ini terdapat segelintir gerakan Islam yang seakan bergerak kebelakang dalam mengharungi arus kebangkitan Islam. Kesemua ini menunjukkan reformasi yang berlaku di dunia Islam pada hari ini adalah sesuatu yang tidak masak atau tidak seimbang dan tidak melibatkan reformasi intelektual secara menyeluruh.

 

Keadaan umat Islam khususnya di dunia Arab ditambah pula dengan rujukan dan bacaan pelbagai laporan oleh Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa, OIC dan banyak lagi, mengesahkan betapa perlunya dunia Islam kepada reformasi dalam kerangka yang lebih segar, dinamik dan progresif. Ada juga yang menggunakan istilah lain seperti Sahwah (Kebangkitan), Ihya (menghidupkan), tanmiya (pembangunan), nahda (reinassance), taghyir (perubahan). Kesemua istilah ini merujuk kepada perkara yang sama iaitu menunjukkan betapa umat Islam memerlukan satu refomasi. Reformasi ini mestilah dapat menjelmakan peranan Islam sebagai agama yang menjadi ‘Rahmatan lila’lamin’.

 

Reformasi intelektual perlu bermula dengan Islah al Nafs. Semuanya bermula dengan pembinaan diri. Al-Kailani, (2001) dalam bukunya Hakadza Zhahara Jilu Shaluddin Wa Hakadza ‘Adat Al-Quds (Kebangkitan Generasi Salahuddin dan Kembalinya Al-Aqsa ke Pangkuan Islam) menukilkan projek Islah oleh Imam al Ghazali dan Sheikh Qadir al Jailani dalam mempersiapkan generasi terbaik untuk membela Islam. Perkara yang paling ditekankan oleh tokoh ulung ini ialah persiapan asas pembinaan diri sebelum beralih kepada apa-apa persediaan yang lain. Ini bertepatan dengan Firman Allah SWT yang bermaksud:

 

Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum hingga kaum itu mengubah keadaan diri mereka sendiri.”(al Ra’d: 11)

 

Kerangka Islah yang dimaksudkan di sini bukanlah bermakna ia menuntut kepada ajaran baru ataupun melibatkan aspek yang asing dalam Islam. Abul A’la Maududi menghuraikan Islah atau ’renewal’ sebagai ‘the purification of Islam of all aspects of jahiliyya (non-Islamic practices)’ iaitu mensucikan ajaran Islam dari sebarang aspek jahiliya atau perkara yang tidak menepati hukum syarak. Berdasarkan kepada huraian al-Maududi ini, reformasi yang dituntut ini bukanlah bermaksud membawa ajaran baru tetapi ianya merujuk kepada usaha dan agenda untuk mensucikan dan mengembalikan ajaran Islam kepada ajaran yang sebenarnya sepertimana yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah.

 

Reformasi yang diperlukan dunia Islam adalah pembaharuan yang bersifat ‘genuine, balanced and integrated’. Reformasi yang sempurna melibatkan aspek moral dan spiritual, intelektual dan ideologi, pendidikan, politik dan sosio-ekonomi. Islah juga bukan hanya merujuk kepada reformasi dalam aspek undang-undang Islam atau fiqh bahkan ia merangkumi apa-apa reformasi yang berkaitan dengan Islam dan yang lebih utama melibatkan kesungguhan untuk mengislahkan daya intelektual dan keilmuan umat Islam.

 

Dalam konteks dunia hari ini yang sentiasa mengutamakan pengkhususan, reformasi intelektual juga tidak boleh lagi berlaku secara individu tetapi ia mesti melibatkan ‘institutional reform’ dan ‘collective reform’. Mungkin pada zaman dahulu bersesuaian dengan kekuatan ilmu intelektual Muslim pada masa itu seperti al-Shafii dan al-Ghazali, maka reformasi diterajui individu itu adalah relevan. Pada hari ini ‘institutional and collective reform’ adalah lebih realistik. Reformasi yang diterajui oleh individu tertentu Reformasi politik sahaja tidak akan mampu membawa ke mana umat Islam pada hari ini. Namun, umat Islam di seluruh dunia majoritinya nampak lebih cenderung dengan reformasi politik. Penulis melihat reformasi politik tanpa reformasi intelektual dan moral hanya akan menuju kegagalan. Masyarakat tanpa Islah ilmu hanya akan terus jahil dan tidak dapat membuat perubahan dalam sistem politik. Bertepatan dengan era hari ini yang dikenali sebagai pasca modenisma, Islah ini bukan lagi hanya sebagai reaksi tetapi lebih kepada ‘projek’ dalam mengembalikan semula kegemilangan Islam. Peri pentingnya Islah ini telah dinukilkan oleh Allah SWT berfirman yang bermaksud:

 

“Aku tidak bermaksud kecuali ‘al Islah’ mendatangkan perbaikan selama aku masih bersanggupan dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan pertolongan Allah SWT. Hanya kepada Allah aku bertawakkal dan kepadaNyalah aku kembali”. (al Hud: 88).

Reformasi Intelektual yang Berorientasikan Nilai dan Etika (Value-Oriented)

 

Sudah sampai waktunya dalam konteks dunia moden pada hari ini di mana reformasi yang berorientasikan nilai atau ‘value-oriented’. Ramadan, (2008) menerusi karya signifikannya bertajuk Radical Reform, Islamic Ethics and Liberalisation membuat gagasan untuk mengintegrasikan ‘Islamic legislation’ dengan ‘ethics’. Farooq, (2011) dalam bukunya Towards Our Reformation From Legalism to Value-Oriented Islamic Law and Jurisprudence juga membuat gagasan yang hampir sama di mana memberi penekanan pada aspek nilai dan etika bagi mentransformasikan disiplin ilmu fiqh. Karya Abu Sulayman, (1998) bertajuk Islamisation of Knowledge: New Approach Towards Reform of Contemporary Knowledge juga merupakan antara sumbangan yang signifikan[3]. Beliau mengenalpasti dan menghuraikan faktor krisis intelektual yang menyebabkan kemunduran umat Islam. Gagasan ini menuntut intelektual Muslim untuk mentransformasikan ilmu pengetahuan yang bercirikan ‘value-oriented’ dan bersesuaian dengan dunia moden.

 

Bagi menjamin reformasi yang menyeluruh, ia perlu bersifat ‘value-oriented’ atau berorientasikan nilai dan etika. Reformasi intelektual ini juga perlu seiring dengan nilai dan etika yang bersifat sejagat atau universal. Ciri kesejagatan inilah yang akan membuatkan reformasi ini lebih bersifat inklusif. Bukan itu sahaja, islah berorientasikan nilai dan etika ini juga akan menyerlahkan Islam itu sebagai agama yang membawa rahmat kepada sekalian alam. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud:

 

Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”. (al-Anbiya: 107)

Peranan Intelektual Muslim Dan Realiti Dunia Moden

 

Shariati, (1986) menerusi karyanya bertajuk What is to be done, the Enlightened Thinkers and An Islamic Renaissance menggariskan peranan intelektual muslim untuk membantu membangunkan masyarakat agar berkembang dengan lebih cepat agar tidak ketinggalan dengan dunia moden. Umumnya, intelektual Muslim berperanan untuk mencetuskan kesedaran agar ruh ajaran al-Quran dan al-Sunnah diamalkan dalam kehidupan, menegakkan keadilan dan terlibat secara langsung dengan masyarakat serta menyumbang kepada pembangunan yang seimbang. Peranan intelektual Muslim adalah sangat signifikan dan mencabar terutamanya apabila mendepani realiti dunia moden pada hari ini.

 

Antara pendekatan intelektual Muslim yang ada pada hari ini bagi mendepani realiti dunia moden ialah idea ‘Islamisation’ mahupun ‘de-westernisation’ yang cuba menangani permasalahan sekularisasi ilmu. Punca utama kemunduran umat Islam ini sebenarnya bermula dengan sekularisasi ilmu seperti yang dinukilkan oleh al-Attas dalam magnum opusnya Islam and Secularism[4]. Oleh itu, intelektual Muslim perlu menjadikan kerangka Islamisasi sebagai antara pendekatan yang paling ideal untuk kemaslahatan umat. Islamisasi ini pula tidak boleh dilaksanakan dalam keadaan paksa ataupun dipaksakan penerimaannya tetapi ia perlu melalui cara yang berhikmah.

 

Sekularism bukan sahaja menjadi permasalahan kepada Islam tetapi juga tipikal kepada agama lain. Cox and Swyngedouw (2000) dalam artikelnya the Myth of the Twentieth Century: The Rise and Fall of Secularization sendiri telah mengkritik sekularisme. Sekularisme akan menjadi tidak relevan dengan pembangunan dan perkembangan masyarakat pada abad ini. Karen Armstrong juga dalam buku terbaru beliau bertajuk ‘Fields of Blood, Religion and the History of Violence’ menolak tuduhan dan persepsi buruk terhadap Islam melalui ‘cultural and historical approaches’. Beliau memberikan dimensi baru yang cuba membetulkan persepsi umum bahawa agama khususnya Islam adalah faktor utama kepada berlakunya pertumpahan darah dan peperangan. Melalui pendekatan budaya dan sejarah beliau menelusuri faktor utama berlakunya pertumpahan darah yang sebenarnya sarat dengan cita-cita politik termasuk bahaya ‘secularism‘ (Armstrong, 2014).

 

Paradigma ‘Tawhidic’ dan ‘Ummatic’

 

Peranan utama intelektual Muslim pada hari ini ialah menghadirkan ‘Tuhan’ dalam sistem kehidupan. Hamza Yusuf, pengasas Zaytouna Institute kerap kali mengingatkan kepada umum mengenai situasi yang dihadapi umat Islam hari ini iaitu menghadapi masalah krisis intelektual atau yang beliau namakan sebagai ‘crisis of knowledge’. Apa yang menjadi punca permasalahan utama pada manusia hari ini adalah ‘the absence of God’ dalam sistem kehidupan. Dalam erti kata lain dimensi Tawhid ini menuntut manusia untuk berjiwa ummatic iaitu berperanan menegakkan prinsip-prinsip keadilan, etika dan moral dalam sistem kehidupan sama ada politik, ekonomi dan sosial. Ini dinukilkan oleh Ibn al-Qayyim:

 

“Everything that lapses out from justice into injustice, and from mercy into its opposite, and from Maslahah to mafsadah, and from wisdom into the frivolous, does not belong to Syariah, even if it is inducted into it by interpretation.”

 

Sebagai contoh, nilai keTuhanan atau pradigma Tawhid itu mesti dijadikan sebahagian daripada dimensi dalam sistem ekonomi. Akibatnya sistem ekonomi yang ada pada hari ini bercirikan ketidakadilan dan ketidaksamarataan. Karya Joseph Stiglitz bertajuk ‘The Price of Inequality’ mengupas secara mendalam fenomena ini. Pada hari ini kita dapat lihat bagaimana 1% individu di dunia ini yang memiliki lebih 48% kekayaan dengan hanya meninggalkan 52% untuk dikongsikan oleh lebih 99% penduduk dunia. Nilai perdagangan saham setahun dianggarkan USD33 trillion mankala ekonomi sebenar hanya dianggarkan USD250 billion. Sistem ekonomi didominasi spekulasi iaitu kira-kira 99.2% berbanding ekonomi sebenar yang hanya mewakili 0.8%. Lihat sahaja saiz Derivatif yang berjumlah $600-700 trillion dengan Credit Default Swap USD55 trillion sedangkan GDP dunia hanya sekitar USD66 trillion. Bayangkan pada 2014, 80 individu terkaya di dunia memiliki kekayaan berjumlah lebih USD1.9 trilion. Di kala 1% individu ini menguasai ekonomi dunia, kemiskinan terus membelenggu umat manusia. Kebuluran dan kemiskinan dunia telah meningkat kepada 2 bilion orang pada 2015, di mana 1.4 bilion hidup dengan pendapatan kurang USD1.25 sehari.

 

Walaupun tidak boleh dinafikan faktor sikap dan tadbir urus adalah antara penyumbang kepada ketidaksamarataan, namun, sistem yang wujud pada hari ini tanpa orientasi keTuhanan mahupun Tawhid juga menyebabkan ia terus melebar tanpa penghujungnya. Karl Polanyi sejarawan ekonomi tersohor Eropah dalam karyanya ‘the Great Transformation: The Political and Economic Origins of Our Time’ ada menghuraikan perbandingan sistem yang wujud dalam dunia menerusi pendekatan ‘historial approach’. Sistem yang wujud pada hari ini lebih menjurus kepada sistem yang tidak berasaskan kepada ‘real economy’ yang beliau namakan sebagai ciri ‘embeddedness’. Sistem kapitalis yang dikuasai golongan pemodal yang mengalami sindrom ‘Excellence Without Soul’ membuatkan jurang ketidaksamarataan ini akan terus membesar walau apapun usaha dan inisiatif yang dilakukan. Agenda golongan pemodal ini menerusi Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA) misalnya dan dasar luar negara-negara maju bakal terus mendominasi dunia Islam dan Negara dunia ketiga. Ini bermakna, satu reformasi sistem yang berasaskan kepada falsafah Tawhid perlu dilaksanakan. Tanpa reformasi sistem, dunia akan terus dibelenggu oleh ketidaksamarataan dan fenomena ini bakal mengundang konflik bahkan pertumpahan darah dan krisis kemanusiaan.

 

Minda al-Quran

 

Abdul Latif, (1983) dalam bukunya the Mind al-Quran Builds merupakan karya yang perlu dirujuk bagi membicarakan aspek ini. Adalah menjadi peranan intelektual Muslim untuk membentuk pemikiran masyarakat yang berjiwakan al-Quran. Generasi atau masyarakat yang berminda al-Quran ini akan mempunyai jati diri yang kuat dan mampu untuk meneruskan agenda kebangkitan Islam. Kekuatan intelektual tanpa sentuhan al-Quran hanya akan melahirkan modal insan yang bermasalah dan tidak dapat memenuhi aspirasi umat.

 

Syed Qutb menggunakan istilah generasi al-Quran apabila merujuk kepada kualiti para sahabat semasa zaman Rasulullah SAW. Kualiti para sahabat Rasulullah SAW adalah tiada tandingan kerana mereka begitu dekat dengan al-Quran dan aspirasi kehidupan keseluruhannya berorientasikan al-Quran.Inilah juga yang dimaksudkan dengan generasi berminda al-Quran. Rasulullah SAW telah memberikan contoh terbaik menerusi pembinaan generasi al-Quran sehingga pernah menukilkan perumpamaan sahabat baginda umpama bintang-bintang di langit. Modal insan yang berminda al-Quran ini akan mencetuskan idea-idea bernas bukan untuk kepentingan peribadi mahupun individu tetapi pastinya demi kemaslahatan umat dan masyarakat.

Wasatiyah (Kesederhanaan)

 

Dunia pada hari ini adalah dunia persaingan. Persaingan ini berlaku dalam setiap aspek kehidupan dan ia semakin hari semakin mencabar. Persaingan yang perlu dihadapi ini merangkumi persaingan ekonomi, persaingan pemikiran, persaingan politik, persaingan agama, persaingan teknologi dan segala macam persaingan yang lain. Umat Islam perlu sentiasa bersedia dan memastikan generasi muda juga bersedia untuk menghadapi dan mendepani cabaran dunia persaingan yang semakin hari semakin mencabar dan merumitkan. Dunia persaingan ini benar-benar akan menguji sejauh mana umat Islam akan mampu mengembalikan kegemilangan tamadun Islam dalam era post-modernism ini. Dalam konteks dunia Islam, persaingan pemikiran adalah sesuatu yang paling membimbangkan termasuk yang terkini doktrin ‘Islamic State’ atau ISIS. Pertelingkahan tiada penghujungnya antara puak yang mendakwa sebagai salafi dan sufi juga menimbulkan pelbagai polemik dan ada yang membawa kepada pertumpahan darah. Isu syiah dan sunni pula terus menghantui umat Islam. Konflik Syria, Yaman, Iraq dan seluruh dunia Islam berlegar dengan isu permasalahan sunni v syiah ini yang akhirnya menghancurkan umat Islam.

 

Bagi menangani permasalahan ini, sudah menjadi kewajipan intelektual Muslim untuk menggunakan apa sahaja pendekatan yang terbaik khususnya wasatiyah atau kesederhanaan. Intelektual Muslim mesti bertindak secara pro-aktif bagi memastikan idea pendekatan wasatiyah ini diarusperdanakan. Islam merupakan agama yang mengutamakan pendekatan wasatiyah (kesederhanaan). Pendekatan kesederhanaan ini memperlihatkan Islam sebagai agama yang berhikmah. Fahaman yang menyuruh pengikutnya berkelakuan ekstrim dan melakukan keganasan adalah jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Bahkan, ajaran Islam melarang sebarang bentuk kezaliman sekalipun di dalam peperangan. Rasulullah SAW melarang tentera Islam di dalam peperangan untuk merosakkan harta awam, tidak memusnahkan tempat ibadat, ihsan kepada wanita dan kanak-kanak dan menegakkan keadilan walau di mana berada. Ini menunjukkan wasatiyah yang dituntut dalam Islam ini sangat dekat dengan falsafah keadilan dan konsep ihsan yang menjadi antara prinsip utama ajaran Rasulullah SAW.

 

Manifestasi wasatiyah ini bukan sahaja dituntut dalam bentuk individu tetapi lebih utama mewujudkan umat dan masyarakat yang mengamalkan wasatiyah ummatan wasatan’. Ini bermakna antara ciri umat Islam dituntut oleh Islam itu merujuk kepada masyarakat yang menjadikan pendekatan wasatiyah sebagai panduan dalam kehidupan. Ini dinukilkan oleh Allah SWT di dalam al Quran yang bermaksud:

 

Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu”. (al-Baqarah; 143).

 

Pendekatan wasatiyah ini menolak sebarang sikap ekstrem dan gerakan yang berbentuk keganasan. Dalam konteks Malaysia, pendekatan wasatiyah menolak elemen yang berlebihan dalam beragama (al-ghuluw) seperti anasir yang boleh menyalakan api perkauman dan tindakan yang menceroboh hak peribadi seseorang. Pendekatan wasatiyah ini juga menolak ketaksuban terhadap pemimpin tertentu dan hanya mengiktiraf pemimpin yang amanah dan bertanggungjawab. Ini merupakan sebahagian daripada pendekatan wasatiyah berorientasikan kefahaman kepada fiqh waqi’ yang dituntut dalam Islam. Dengan itu, setiap umat Islam perlu membudayakan dan menyerapkan wasatiyah dalam kehidupan terutamanya dalam membuat sebarang keputusan. Wasatiyah bukan lagi hanya pada individu tetapi ia perlu menjadi amalan dan dibudayakan dalam masyarakat.

 

Masyarakat Sivil (al-Mujtama’ al-Madani)

 

Penulis berpandangan bahawa Intelektual Muslim juga berperanan untuk memasyarakat sivilkan umat atau dalam perkataan yang lain memberdayakan masyarakat untuk berdikari dan kurang kepergantungan dengan negara atau kerajaan. Dalam era moden ini, gerakan masyarakat sivil memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan dasar dan polisi masyarakat. Antara kelebihan negara maju khususnya dunia Barat ialah kekuatan gerakan masyarakat sivilnya. Pertubuhan bukan kerajaan dan komuniti memainkan peranan yang sangat aktif dalam masyarakat. Terdapat pelbagai gerakan dan pertubuhan yang memperjuangkan hak-hak masing-masing dan secara sukarela membantu golongan yang memerlukan. Gerakan masyarakat sivil ini adalah sangat signifikan kepada masyarakat dan ia memberikan sumbangan yang amat besar kepada pembangunan dan sosio-ekonomi. Gerakan masyarakat sivil ini bergerak dalam pelbagai bentuk dan mendapat pembiayaan daripada badan korporat, komuniti dan orang persendirian.

 

Berbanding dengan negara-negara maju, negara dunia Islam sangat lemah dengan gerakan masyarakat sivilnya. Malahan, terdapat banyak negara OIC yang mengharamkan segala bentuk gerakan masyarakat sivil seperti mengharamkan persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan. Umat Islam di dunia Islam disekat dan dihalang daripada bergerak secara aktif dengan gerakan masyarakat sivil dan ini menjadikan masyarakat terlalu bergantung dengan kerajaan. Maka, tidak hairanlah dunia Islam pada hari ini kebanyakannya dipimpin dan diterajui oleh diktator dan pemimpin yang zalim. Kita dapat menyaksikan negara OIC yang dinamik dan progresif adalah negara yang mengamalkan polisi dan dasar secara terbuka dan membuka ruang kepada warganya berpatisipasi dalam kegiatan yang bermanfaat. Negara seperti Turki, Indonesia dan Malaysia mendahului negara-negara OIC yang lain dari aspek gerakan masyarakat sivil. Umat Islam akan lebih berdikari dan bebas daripada bergantung kepada bantuan kerajaan. Gerakan masyarakat sivil ini akan berperanan membantu negara dalam apa jua projek pembangunan dan pembaharuan yang sedang diusahakan.

Meneruskan Legasi Intelektual

Pengurusan Bakat (Talent Management) dan Akademi Intelektual

 

Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa telah wujud grup mahupun kluster yang menghimpunkan ilmuan-ilmuan muda dan ‘senior’. Beberapa pertemuan dan program telah diadakan dari masa ke semasa bagi mengekalkan momentum minat dan kecenderungan kepada wacana intelektual. Menerusi pemerhatian, kita sebenarnya memang mempunyai modal insan yang mempunyai pelbagai bakat dan kemahiran. Kadangkala dapat dirasakan bahawa berlakunya pembaziran bakat mahupun pengabaian terhadap bakat dan kemahiran modal insan yang ada.

 

Sehubungan dengan itu, penulis merasakan sudah sampai masanya jika difikirkan sesuai untuk kita merancang satu modul atau dasar yang boleh dilaksanakan untuk menguruskan bakat-bakat sedia ada. Modal insan yang ada memiliki pelbagai bakat dan kemahiran yang boleh dibangunkan untuk lebih menonjol dan professional. Ada anak-anak muda yang sangat berbakat dalam bidang seni dan budaya, ada yang dianugerahkan dengan kemahiran dan kreativiti multimedia, ada pula yang hebat pidato dan perucapan awamnya, ada juga dianugerahkan dengan bakat penulisan, ada yang begitu mahir dengan teknologi pengkomputeran dan media digital, ada yang sangat berpotensi dengan memiliki bakat kepimpinan, ada yang berbakat dalam bidang penterjemahan dan pelbagai jenis bakat lagi. Ini semua memerlukan satu dasar dan polisi yang boleh menguruskan bakat dan kecenderungan modal Insan.

 

Dengan cabaran yang begitu banyak dan sumber yang terhad, kita perlu memastikan bahawa adalah menjadi satu tuntutan untuk mengenali diri sendiri dan menggunakan kekuatan serta kelebihan yang ada bersesuaian dengan kemahiran dan bakat yang ada. Rasulullah SAW sendiri menggunakan dan mengenal pasti bakat-bakat para sahabat dan membangunkan bakat ini seperti bakat Abdul Rahman Auf dalam bidang perniagaan, Usamah bin Zaid dalam bidang peperangan, Abu Hurairah sebagai ilmuan, Ali Ibn Abi Talib sebagai bidang perundangan dan ramai lagi seiring dengan firman Allah SWT yang bermaksud:

Tidak sepatutnya bagi orang-orang yang Mu’min itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya supaya mereka itu dapat menjaga dirinya”. (al Taubah: 122)

 

Bersandarkan kepada peri pentingnya pengurusan bakat ini, maka kita perlu membentuk Grup Intelektual Muslim seperti mana berlakunya penubuhan begitu banyak Professional Societies di abad ke-18 seiring dengan kemajuan Eropah satu ketika dulu. Namun, bergerak dalam grup atau unit mahupun dalam gerakan yang tidak berstruktur dengan tersusun, ia tidak akan memberikan impak yang begitu berkesan. Oleh itu, mungkin boleh difikirkan idea untuk mewujudkan Akademi Intelektual. Akademi Intelektual ini bukan sahaja akan berperanan sebagai ‘think-thank’ tetapi juga menguruskan bakat-bakat modal Insan termasuk membuat perancangan jangka masa pendek dan panjang untuk melahirkan sekumpulan intelektual Muslim yang berjiwa reformis dan bertaraf dunia. Akademi Intelektual ini akan mengenalpasti bakat-bakat modal Insan ini sejak dari pra-persekolahan sehingga ke peringkat institusi pengajian tinggi dan seterusnya melaksanakan program bersesuaian. Akademi Intelektual ini juga bakal meneruskan legasi generasi terdahulu dalam proses penerbitan dan penghasilan karya bermutu agar ia dapat dikongsikan dengan masyarakat.

Mengangkat Idea Tokoh Intelektual Nusantara

 

Kita sering melihat bahawa tokoh-tokoh intelektual nusantara yang diakui dan diiktiraf kekuatan ilmu dan intelektual tetapi pemikirannya tidak disebarluaskan dan diangkat sepatutnya sebagai pemikiran arus perdana. Apa yang disaksikan, pemikiran dan wacana yang didakwa intelektual itu didominasi oleh watak-watak yang masih muda dan boleh dipertikaikan kewibawaannya. Sekiranya merujuk kepada pemikiran tokoh intelektual dunia luar seperti Bediuzzman Said Nursi, al-Ghannoushi dan ramai lagi, idea-idea dan pemikiran mereka ini boleh diakses di mana-mana malahan begitu banyak terjemahan dalam pelbagai bahasa. Ini bermakna idea dan pemikiran tokoh-tokoh seperti ini sebenarnya dipromosikan dan diarusperdanakan oleh pengikut, pelajar dan pendokong gerakan yang mereka sertai.

 

Sudah sampai masanya untuk kita memikirkan secara serius bagaimana untuk mengangkat idea tokoh intelektual nusantara agar ia diarusperdanakan dan menjadi rujukan utama dalam gerakan dakwah dan keintelektualan. Mungkin perancangan dari sudut penterjemahan, penyebarluasan idea dan pemikiran, wacana dan diskusi pemikiran serta program-program keilmuan yang lain boleh dirancakkan di samping menjamin kualiti intelektualnya. Penulisan mengenai pengalaman, biografi tokoh, koleksi makalah mengenai pemikiran dan sebagainya boleh dirancang dengan lebih teliti dan tersusun. Ini kerana tokoh-tokoh intelektual kita sememangnya mempunyai kualiti dan kekuatan tersendiri seiring dengan kesaratan pengalaman sebagai perintis gerakan kebangkitan Islam di Malaysia sejak awal penubuhannya hingga hari ini.

 

Penutup

 

Sesungguhnya dunia Islam pada hari ini terus dibelenggu pelbagai permasalahan. Walaupun dikatakan bahawa zaman ini adalah era dan arus kebangkitan Islam, apa yang berlaku adalah ia masih diperingkat permulaan dan kerap kali juga kebangkitan Islam itu tergendala akibat daripada halangan dan cabaran yang dihadapi. Umumnya, arus kebangkitan Islam ini dicetuskan oleh intelektual Muslim yang telah memberikan sumbangan yang amat besar kepada umat. Ilmuan Muslim ini menerusi karya dan aktivisme mereka dalam masyarakat bergiat aktif menanamkan kesedaran dan memimpin usaha kebangkitan Islam. Dalam erti kata lain, sudah menjadi tradisi intelektual Muslim bertindak sebagai pencetus dan pemangkin kebangkitan Islam pada setiap zaman sehinggalah hari ini.

 

Fenomena arus kebangkitan Islam ini sangat relevan untuk dikaitkan dengan beberapa perkembangan dunia Islam seperti revolusi yang berlaku di Timur Tengah seperti di Iran, Mesir, Tunisia, Libya, Iraq, Algeria, Yaman. Kegagalan demi kegagalan disaksikan di mana revolusi yang diharapkan untuk membebaskan rakyat daripada kezaliman, akhirnya telah digantikan dengan kezaliman yang lain. Antara faktor utama keadaan ini adalah merujuk kepada permasalahan daripada sudut reformasi intelektual. Umat Islam pada waktu ini menghadapi krisis intelektual iaitu ketidakmampuan untuk mendepani realiti dunia moden akibat daripada kemunduran penguasaan ilmu.

 

Kelemahan dan kegagalan reformasi dan revolusi yang berlaku di dunia Islam menuntut kepada satu reformasi intelektual. Reformasi intelektual yang dimaksudkan mesti bermula dengan pembinaan syahsiyah diikuti dengan aspek idealisme, aktivisme dan spiritualisme dan ia mesti berorientasikan nilai dan etika. Tiga aspek utama ini mampu memastikan reformasi intelektual yang dimahukan menepati kehendak masyarakat dan umat. Peranan intelektual Muslim dalam arus kebangkitan Islam adalah sangat signifikan. Intelektual Muslim mempunyai tanggungjawab untuk memainkan peranan dalam membentuk pemikiran masyarakat umum mahupun mewujudkan generasi yang berilmu pengetahuan. Peranan intelektual Muslim yang dimaksudkan di sini ialah fungsi ilmuan Muslim menerajui umat dan masyarakat bagi memelihara keharmonian dan kemakmuran.

 

Usaha reformasi intelektual ini adalah peranan semua dan bukan terletak di bahu sesetengah pihak ataupun tanggungjawab gerakan Islam semata-mata. Ia perlu dilaksanakan oleh setiap individu. Adalah menjadi kewajipan pada setiap kita untuk bersama dalam arus kebangkitan Islam. Sejarah menyaksikan bagaimana pejuang-pejuang dan penggerak-penggerak Islam khususnya intelektual Muslim sehingga hari ini telah meninggalkan legasi perjuangan yang penuh bermakna. Kini, terpulanglah kepada kita sama ada berazam dan bertekad untuk meneruskan usaha meletakkan Islam itu ditempat yang sepatutnya sehingga ke akhirnya ataupun ia hanya terhenti di pertengahan jalan. Ini semua merupakan ujian manifestasi keimanan yang menguji setakat manakah keyakinan dan iman seseorang terhadap Tuhannya.

 

[1] Hodgson, (1977) dalam analisisnya mengenai situasi kerajaan Uthmaniah merumuskan betapa seriusnya rasuah pada era kejatuhan dengan menyatakan ‘everyone in a public position seemed to be for sale’. Inalchik, (1970) pula merekodkan bagaimana kerajaan Uthmaniah terpaksa berhutang dengan kadar riba yang tinggi bukan untuk pembangunan atau pendidikan tetapi bagi menampung kos pentadbiran dan pembaziran kerajaan.

[2] Antara sarjana Muslim yang awal memperkenalkan istilah Negara Islam ini adalah Muhammad Rasyid Ridha dan beberapa pemikir Muslim yang lain seperti Syed Qutb, Abul A’la Maududi dan Muhammad al Ghazali. Al Maududi di dalam karyanya seperti ‘The Islamic Law and Constitution’ membuat gagasan Negara Islam bermodelkan ‘theo-democracy. Sayyid Qutb pula membicarakan Negara Islam melalui beberapa konsep seperti al hakimiyyah, masyarakat jahiliah dan ketamadunan. Ali Abd al Raziq, (1925) antara intelektual terawal yang mengkritik idea Negara Islam di dalam buku kontroversinya ‘Al Islam wa usul al Hukm’. Abdelwahab El Effendi, (2008) pula di dalam karyanya yang popular ‘Who Needss An Islamic State’ secara kritikal mengetengahkan hujah-hujah yang mempersoalkan beberapa gagasan Negara Islam. Beliau berpandangan bahawa aspirasi penubuhan Negara Islam ini adalah lemah sama ada dari sudut nas mahupun aspek al siyasi. Begitu juga dengan Hallaq, (2014) yang berpandangan konsep Negara Islam itu adalah berlawanan dengan konsep ‘modernity’ dan ‘the modern project’. Beliau melihat konsep Negara Islam Moden itu adalah sesuatu yang tidak seiring dengan ‘paradigmatic modern state’.

 

[3] Abu Sulayman, (1998) juga berpandangan bahawa sistem khilafah merupakan sistem yang paling mengelirukan umat pada hari ini dan ia perlu diberi penafsiran semula. Pandangan ini pastinya bertentangan dengan konsep negara Islam yang ditafsirkan oleh sesetengah pihak seperti ‘Khilafat Movement’ di India termasuk Hizb al Tahrir yang menganggap usaha mengembalikan sistem khilafah adalah satu tuntutan akidah.

[4] Menarik juga untuk melihat bahawa karya Edward Said, (1978) berjudul Orientalism juga diterbitkan dan dihasilkan pada tahun yang sama iaitu 1978. Islam and Secularism dan Orientalism merupakan dua karya yang mesti dibaca untuk memahami kedinamikan Islam dengan realiti dunia moden hari ini.

Leave a Reply

SUBSCRIBE

Get the latest posts delivered to your mailbox:

Page Reader Press Enter to Read Page Content Out Loud Press Enter to Pause or Restart Reading Page Content Out Loud Press Enter to Stop Reading Page Content Out Loud Screen Reader Support