Ijtihad Politik PRU14

Ijtihad Politik PRU14

Artikel ringkas ini ditulis semasa penerbangan dari Tehran ke Kuala Lumpur setelah menghadiri 10th Forum on Islamic Capital Market menghimpunkan pakar-pakar pasaran modal Islam dari seluruh dunia. Penulisan ini bersifat tidak terlalu akademik dan tiada melibatkan data dan maklumat yang komprehensif serta sekadar lontaran refleksi peribadi kepada perkembangan terkini PRU14. Dengan keterbatasan rujukan dan akses kepada maklumat sewaktu penerbangan, maka saya mengakui penulisan ini menyajikan analisis PRU14 yang bersifat umum dan santai serta memerlukan kajian lanjut boleh diwacanakan dengan lebih mendalam. Pandangan yang dinyatakan ini adalah bersifat peribadi tidak mewakili mana-mana institusi atau organisasi dan ia datang ikhlas dari hati yang telah lama memendam rasa mengharapkan kepada PERUBAHAN.

Mengikuti secara dekat perkembangan PRU14 yang semakin hangat dirasakan membuatkan saya merasa terpanggil untuk memberikan analisis dan pandangan mengenainya. Umumnya, pasti ramai yang menganjurkan kita untuk merujuk sumber nas yang sahih bagi membuat pilihan dalam PRU14 kali ini. Namun bagi saya, ia perlu lebih daripada itu bagaimana kita memahami nas itu dari sudut teks dan konteks.

Dalam permusafiran di bumi Parsi ini, terasa ingin berkongsi lontaran idea bagaimana membuat pilihan dan berijtihad politik PRU14 menggunakan metodologi “future studies” dan dalam masa yang sama mengaplikasikan teknik “risk management” bagi melihat secara menyeluruh aspek keseluruhan makro implikasi kepada ijtihad politik dalam PRU14. Ijtihad politik yang dimaksudkan di sini bukan bermakna ijtihad dalam konteks fatwa atau memutuskan sesuatu hukum syarak tetapi ia merujuk kepada kemampuan akal setiap individu untuk membuat keputusan berdasarkan nas dan maklumat menggunakan teknik dan metodologi yang difikirkan sesuai dalam konteks PRU14 kali ini. Bermanfaat juga untuk dikongsikan bahawa artikel ini tidak membuat analisa secara mendalam menggunakan metodologi dan teknik yang disebutkan kerana ia perlu melibatkan data yang komprehensif menerusi kajian khusus. Oleh itu, perbincangan ini adalah bersifat lontaran idea awal bagaimana untuk melakukan ijtihad politik secara saintifik dan perspektif makro melihat kepada implikasi masa depan.

Umumnya rakyat Malaysia mempunyai 4 pilihan dalam PRU14 iaitu “No Change”, “Marginal Change”, “Adaptive Change” dan “Radical Change”. Persoalannya adakah kita akan terus selesa dengan “Used Future” atau bersedia dengan “accidental future” atau berpuashati dengan “disowned future”? Saya berpandangan kita perlu berani untuk mencipta “alternative future” dalam kerangka yang strategik bagi membuat perubahan dalam PRU14.

Dalam konteks pilihanraya di Malaysia, rakyat sebenarnya mempunyai pilihan untuk tidak membuat perubahan “no change” atau bersedia untuk membuat perubahan. Sekiranya perubahan yang diharapkan pada PRU14 kali ini maka perubahan ini pula melibatkan kepada beberapa kategori dan tahap perubahan iaitu ‘marginal change’, ‘adaptive change’ dan ‘radical change’.

Sekiranya rakyat selesa dan berpuashati dengan prestasi dan pencapaian politik parti pemerintah sedia ada, maka dalam konteks “no change”, rakyat akan terus menggunakan “used future” sebagai pilihan tanpa akan ada perubahan yang signifikan. Dalam konteks politik di Malaysia, melihatkan kepada kebobrokan dan amalan politik pada waktu ini, pastinya ‘no change’ dan ‘used future’ bukan pilihan kita pada PRU14. Pilihan ini juga sangat tinggi risiko sekiranya negara berdepan dengan “accidental future” yang akan menguji kemampuan tadbir urus politik sedia ada. Dalam keadaan ini, negara bakal berhadapan dengan krisis kerana ketidaksediaan untuk berubah.

Saya merasakan seluruh rakyat Malaysia pastinya inginkan perubahan khususnya dalam aspek politik dalam PRU14 kali ini. PRU13 telah menyaksikan bahawa parti pemerintah tidak melaksanakan perubahan fundamental yang dimaksudkan secara signifikan. Berpandukan kepada metod ‘macro history’, sejarah membuktikan bahawa dengan amalan tadbir urus dan gaya pentadbiran pemerintah sedia ada menyaksikan berlakunya undang-undang kontroversi diluluskan secara tergesa-gesa, terdapat pemimpin yang terus sombong menafikan hak orang lain, ketidaktelusan urus tadbir, persepsi penyalahgunaan kuasa dan rasuah yang terang tetapi dijenamakan sebagai derma, individu memegang jawatan strategik negara ditukar bagi melindungi kepentingan peribadi dan kuasa yang terlalu luas dimiliki oleh pemimpin. Oleh itu, umumnya kita akur akan keperluan kepada perubahan, cuma isunya di sini adalah apakah bentuk dan tahap perubahan yang diinginkan sama ada ia bersifat ‘marginal’ atau ‘adaptive’ malahan ‘radical’.

Perubahan yang bersifat “marginal” dan “adaptive” tidak memerlukan kepada pertukaran parti pemerintah tetapi ia lebih kepada harapan untuk melihat kerajaan sedia ada bersedia untuk melakukan reformasi dan transformasi. Namun begitu, dengan data dan maklumat serta bukti-bukti sedia ada, perubahan atau transformasi yang diharapkan menerusi parti pemerintah sedia ada yang telah terlalu lama berkuasa selalunya hanya bersifat gimik dan bermusim serta tidak menjanjikan apa-apa yang meyakinkan. Perubahan ‘marginal’ dan ‘adaptive’ yang diharapkan menerusi penambahbaikan tadbir urus tanpa melibatkan pertukaran parti pemerintah ini kerap kali mengecewakan. Sebagai contoh, sudah sekian lama kita menyaksikan dengan penuh gelisah bagaimana dua jawatan utama negara dipegang oleh orang yang sama terus diamalkan walaupun PRU demi PRU berlalu sejak era lewat 90an. Perubahan yang berlaku selepas PRU13 di bawah parti pemerintah sedia ada juga dilihat sebagai terlalu bersifat ‘marginal’ walaupun hasrat dan harapan rakyat yang tinggi untuk berlakunya transformasi ke arah amalan politik yan lebih baik. Perubahan bersifat ‘marginal’ dan ‘adaptive’ ini hanya akan mampu mendepani ‘used future’ dalam tempoh masa yang terhad dan tidak akan efisyen dalam menangani cabaran ‘accidental future’ yang signifikan.

Berdasarkan kepada amalan demokrasi negara maju yang telah melalui revolusi dan kebangkitan rakyat serta sejarah yang panjang, umumnya perubahan dan transformasi politik hanya akan berlaku secara signifikan menerusi “Radical Change”. Dalam konteks Malaysia, perubahan radikal ini bukan bermaksud transformasi politik melibatkan pertumpahan darah kacau bilau mahupun persengketaan tetapi ia menuntut kepada perubahan politik yang signifikan membuka lembaran baru amalannya yang beretika lebih telus dan membela hak rakyat secara adil dan saksama.

Sistem politik sesebuah negara ini diseimbangkan dengan “check and balance” menerusi peranan efisyen parti pemerintah dan parti pembangkang. Rakyat akan menghukum mana-mana parti yang gagal untuk melindungi dan memperjuangkan hak rakyat menerusi kertas undi. Parti pemerintah bertukar ganti dan rakyat sentiasa menilai prestasi mereka secara sistematik. Kuasa Pemimpin Tertinggi negara yang terlalu berkuasa dihadkan malahan mesti tertakluk kepada suara rakyat menerusi parlimen. Tiada lagi pemimpin yang memegang lebih satu portfolio kementerian yang strategik kerana ia hanya menambahkan lagi kuasa sedia ada yang dimiliki. Tempoh memegang jawatan pemimpin utama negara juga perlu dihadkan kepada dua atau tiga penggal sahaja. Pemimpin yang terpalit dengan skandal dan rasuah dibawa ke muka pengadilan dengan telus dan saksama.

Perubahan radikal yang dimaksudkan ini akan dapat dirasai sekiranya rakyat bersedia dan punya tekad untuk membuat perubahan menerusi pertukaran parti pemerintah sama ada ia diperingkat negeri mahupun persekutuan. Perlu diingatkan bahawa perubahan ini bukan bermakna kita ingin menjatuhkan kerajaan tetapi hanya melibatkan pertukaran parti pemerintah secara demokratik. Ini juga bukan bermaksud kita anti atau benci dengan pimpinan negara sedia ada tetapi hanya dengan cara ini perubahan sistem dan amalan politik negara boleh mengalami perubahan yang signifikan. Dengan pengalaman baru parti pembangkang yang akan menjadi parti pemerintah baru dan pengalaman baru parti pemerintah sedia ada sebagai pembangkang pastinya akan memberikan banyak faedah dan kelebihan. Masing-masing akan nampak kelemahan mereka dan akan memainkan peranan yang lebih efisyen. Parti yang dulunya sombong dengan kuasa yang sedia ada kini akan insaf dan bertaubat kerana dihukum rakyat dalam pilihanraya. Parti pemerintah baru yang sebelum ini gah mengkritik kerajaan kini juga insaf dan sedar betapa besar dan beratnya amanah mentadbir negara. Bahkan parti pembangkang baru ini akan lebih efisyen mengkritik parti pemerintah baru memainkan peranan ‘check and balance’ kerana pengalaman mereka mentadbir Malaysia sejak merdeka. Parti pemerintah baru pula tidak punya banyak waktu untuk bersenang lenang dan perlu sentiasa fokus memperjuangkan hak rakyat kerana menyedari mereka sentiasa dipantau dan bakal dihukum sekiranya gagal menunaikan amanah ini dalam pilihanraya akan datang.

Mahu tidak mahu, rakyat perlu berani mencipta ‘alternative future’ untuk memastikan perubahan akan berlaku. ‘Alternative future’ ini menuntut kepada kita untuk berani mengambil risiko. Risiko yang sering kali dibangkitkan dengan tujuan menakut-nakutkan rakyat seperti tergugatnya kuasa politik Melayu, hak istimewa orang Melayu, kedudukan Islam, kedudukan Raja-raja, ketuanan Melayu dan banyak lagi sememangnya menjadi perhatian ramai dan ia tidak boleh dipandang ringan. Namun, kita mesti faham bahawa politik dan pilihanraya juga tidak lari daripada teknik pengurusan risiko. Risiko ini juga berbeza dengan tahap perubahan yang akan diambil. Kategori perubahan ‘no change’, ‘marginal change’ dan ‘adaptive change’ bahkan ‘radical change’ boleh sahaja ditangani dengan pengurusan risiko yang baik. Malahan, kerangka Perlembagaan Persekutuan sedia ada merupakan ‘tool’ yang sangat efisyen menguruskan risiko yang disebutkan di atas. Perlembagaan melindungi dan menguruskan secara ketat dan kemas risiko-risiko melibatkan perkara fundamental dalam sistem politik negara di mana kedudukan Islam, Raja-raja, orang Melayu dan lain-lain mendapat tempat istimewa. Parti pemerintah baru tidak akan dapat sewenang-wenangnya menukarkan perkara ini dengan kerangka perlembagaan sedia ada.

Selain daripada pengurusan risiko menerusi kerangka perlembagaan dan undang-undang sedia ada, pengurusan risiko oleh rakyat boleh sahaja dilaksanakan menerusi pemerkasaan aktivisme masyarakat sivil. NGO dan organisasi masyarakat sivil, persatuan penduduk, mahasiswa, ilmuwan dan sarjana dan semua akan memainkan peranan memantau dan menjadi “pressure group” kepada parti pemerintah agar perubahan yang diharapkan pasti berlaku. Pemerkasaan dan pengasingan badan ‘executive judiciary dan legislative’ secara serius juga boleh menambah baik urus tadbir sistem politik negara. Bukan itu sahaja, parti pembangkang baru pastinya akan tegas melakukan apa sahaja bagi mendapatkan semula kepercayaan rakyat. Mungkin pada masa ini parti pembangkang baru ini akan lebih dekat menghayati denyut nadi rakyat dan luar biasa hebat memperjuangkan hak rakyat dan pastinya mereka bakal dipilih semula oleh rakyat pada PRU15 yang akan datang.

Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai potensi besar untuk menjadi model sebagai sebuah negara majoriti Muslim mempunyai sistem pentadbiran yang efisyen dan strategik. Selaras dengan kedudukan Islam yang istimewa dalam perlembagaan, Malaysia juga berpotensi untuk memberikan tasawwur dan imej yang lebih rahmah dan hikmah kepada dunia yang boleh dijadikan model kepada semua. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa kemakmuran dan keharmonian di Malaysia ini diperolehi menerusi faktor kestabilan politik. Namun begitu, bukti-bukti dan tanda-tanda yang ditunjukkan dan dapat dilihat dalam amalan politik dan tadbir urus negara mutakhir ini adalah sangat membimbangkan. Faktor parti pemerintah yang sama telah terlalu lama berkuasa sejak merdeka seumpama tidak menjanjikan perubahan yang signifikan dan lebih membimbangkan ia akan hanya melindungi pihak berkepentingan dan potensi untuk penyalahgunaan kuasa meneruskan ‘used future’ yang dinikmati sekian lama.

Maka sudah tiba masanya rakyat untuk berani membuat perubahan mencipta ‘alternative future’ dengan melakukan ‘radical change’ dalam PRU14. Walaupun diakui bahawa pastinya perubahan ini mempunyai risikonya, namun kita mesti berani mengambil risiko untuk memperolehi hasil yang diimpikan. Ijtihad politik PRU14 bukan sahaja perlu dilakukan dengan merujuk nas yang sahih tetapi ia juga memerlukan analisis saintifik menerusi pelbagai metodologi yang boleh digunapakai. Walau apapun yang cuba dilontarkan dalam penulisan ini, kita harus sentiasa ingat bahawa setiap individu berhak membuat pilihan berdasarkan kepada pertimbangan masing-masing dan ia perlu dihormati. Selamat melaksanakan tugas sebagai pengundi pada PRU14 dan tunaikan tanggungjawab ini secara rasional dan amanah demi masa depan yang lebih baik.

Ini kalilah atau dulu, kini dan selamanya…..

3 Syaaban 1439H

Comments (4)

  • Razak Reply

    Penulisan yg santai,sempoi memberi cakna pd semua.TERBAIK

    April 19, 2018 at 2:05 am
  • Asma Reply

    HIDUP DR ZUL….

    April 19, 2018 at 7:51 am
  • Laila Izzati Reply

    Terima kasih Dr Zul.. perkongsian yang baik.

    April 24, 2018 at 2:52 am
  • muhamad mirzan Reply

    penulisan yang baik dr zulkifli.terima kasih.

    August 28, 2018 at 6:51 am

Leave a Reply

SUBSCRIBE

Get the latest posts delivered to your mailbox: