Fiqh al-Muwatanah Dalam Naratif Malaysia Baharu

Fiqh al-Muwatanah Dalam Naratif Malaysia Baharu

A’uzubillah Mina as-Syaitanirrajim, Bismillahirrahmanirrahim

Assalamu’alaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh 

  1. Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izinNya kita dapat bersama menjayakan Seminar Fiqh Kewarganegaraan 2018, sebuah Majlis Ilmu bertemakan Fiqh al-Muwatanah Dalam Naratif Malaysia Baharu yang julung kalinya diadakan di Negeri Sembilan. Lebih bermakna lagi apabila Seminar ini diadakan seiring dengan perubahan lanskap politik Malaysia setelah 60 tahun menyambut kemerdekaan. Satu penghormatan harus diberikan kepada seluruh rakyat Malaysia yang berani membuat perubahan mencipta naratif baru ke arah masa depan yang lebih gemilang. Adalah suatu penghormatan bagi saya untuk berada di Seminar Fiqh Kewarganegaraan ini, seminar yang khusus dianjurkan untuk membina dan mencetus kefahaman dan kesedaran mengenai teori, konsep, falsafah dan aplikasi Fiqh al-Muwatanah dalam konteks Malaysia.
  2. Seminar Fiqh Kewarganegaraan 2018 ini merakamkan sejarahnya yang tersendiri di mana Majlis Ilmu dengan tema yang agak berat seumpama ini mendapat sambutan, dokongan dan sokongan daripada pelbagai institusi, jabatan, badan bukan kerajaan serta orang ramai dan masyarakat umum berlainan latarbelakang. Ia seakan menerbitkan satu harapan baharu ke arah masa depan Malaysia yang lebih gemilang dengan masyarakatnya yang lebih matang dan progresif.
  3. Sesungguhnya dunia pada hari ini berada dalam era perubahan yang penuh dengan cabaran. Di era post-secularism, abad ke-21 bakal menyaksikan dunia akan lebih beragama dan sekularism akan mula luntur. Di era post-modernity kita akan melihat bentuk masyarakat post-modern yang obsessed dengan kesamarataan sebagai hak asasi manusia. Di era post-capitalism, modal dan buruh bukan lagi asas utama penciptaan kekayaan tetapi ilmu pengetahuan adalah ‘basis of wealth’. Di era post-industry, sektor perkhidmatan dan teknologi maklumat mencipta lebih kekayaan berbanding sektor pembuatan. Di era post-Islamism, kita melihat perkembangan generasi baru kebangkitan Islam mendepani realiti dalam kerangka sistem demokrasi.
  4. Dalam konteks politik hari ini, kita sebenarnya berada di dalam era dinamakan sebagai post-truth yang melihat kebenaran itu sesuatu yang bersifat relatif. Dalam erti kata lain, dunia hari ini boleh juga dikatakan berada dalam era post-normal di mana banyak perkara luar jangkaan dan kadangkala sukar untuk dirasionalkan berlaku dalam masyarakat.
  5. Oleh itu, dalam era ‘post’ atau pasca ini yang menyaksikan dunia berubah dengan begitu pantas, kita perlu bersedia dengan ilmu pengetahuan dan hikmah agar boleh terus relevan dan dapat mendepani cabaran hari ini dan masa depan. Dalam konteks dunia masakini menerusi kerangka konsep negara bangsa seiring dengan perubahan lanskap politik tanahair, konsep Fiqh al-Muwatanah atau Fiqh Kewarganegaraan ini seharusnya difahami dengan makna yang lebih luas dan terbuka. Dalam ruang demokrasi dibawah ruang lingkup Islam, dasar dan tasawwur mengenai hubungan sesama warganegara dan bukan Islam sama ada di negara majoriti Muslim dan juga di mana Muslim adalah minoriti perlu diberikan perhatian. Konsep al-Ukhuwah al-Islamiyah, al-Ukhuwat al-Wataniyah dan al-Ukhuwat al-Insaniyyah atau al-Ukhuwah al-Basyariah perlu dijadikan tema perbincangan dan diberikan ruang yang sewajarnya untuk dijadikan satu pendekatan yang lebih segar dan berkesan khususnya dalam mengolah semula konsep ukhuwah dan hubungan semasa Muslim dan bukan Muslim.
  6. Asas Fiqh al-Muwatanah ini sebenarnya sudah pun terukir kukuh dalam Sahifah Madinah atau Piagam Madinah yang dimeterikan pada Tahun Pertama Hijrah bersamaan 622M dengan 43 Fasal di mana 23 fasal membicarakan tentang hubungan antara umat Islam sesama umat Islam iaitu antara Ansar dan Muhajirin dan 24 fasal selebihnya membicarakan tentang hubungan umat Islam dengan umat bukan Islam. Mungkin seiring dengan ruh Piagam Madinah yang lalu, kami ingin mencadangkan kepada pihak Kementerian dan Kerajaan Negeri untuk menganjurkan Sambutan Khas 1440 Tahun Sahifah Madinah di Peringkat Negeri dan Kebangsaan dengan mengangkat tema Rahmatan Lil’alamin. Ini juga boleh dijadikan asas dan kerangka utama model pendekatan Pakatan Harapan dalam membina Malaysia baharu yang lebih gemilang. Jika di Barat mereka telah membuat Sambutan Magna Carta 1215 secara besar-besaran yang kini berumur 803 tahun, umat Islam sepatutnya lebih berbangga dengan Sambutan Sahifah Madinah 1440 tahun yang mendahului zaman.
  7. Tahun 1440h/2018m menyaksikan ABIM Negeri Sembilan genap usianya 46 tahun menabur bakti di bumi barakah ini. Dengan suasana persekitaran dan cabaran yang sangat mencabar pada hari ini, kami akui perlu menggunakan setiap peluang yang ada dengan lebih agresif dan progresif untuk meneruskan agenda dakwah dengan misi pencerahan dan tidak lagi boleh hilang fokus dengan perkara-perkara yang tidak menguntungkan. Kami akan terus istiqamah berusaha memainkan peranan menerusi pelbagai aktiviti keilmuan dan kemasyarakatan melakukan reformasi dan Islah dalam pembangunan umat dan masyarakat. Dalam Seminar kali ini, kami juga akan melancarkan program yang sangat bermanfaat iaitu Seminar Keibubapaan Tolak Pornografi atau STOP yang akan diadakan pada 29 September 2018 dan dirasmikan oleh YB Tuan Eddin Syazlee Shith Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia. Bukan itu sahaja, selaras dengan tradisi ABIM yang sentiasa mengangkat tema budaya ilmu, Seminar ini juga akan menyaksikan peluncuran julung kalinya 25 buah bukuterbitan ABIM Press 2018 yang sangat berkualiti dan relevan dengan tema Malaysia baharu.
  8. Akhir kalam, saya mewakili saf pimpinan ABIM Negeri Sembilan ingin menzahirkan rasa terima kasih dan mengucapkan setinggi-tingi penghargaan dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat khususnya Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan, Wadah Negeri Sembilan, Persatuan Pelajar Islam Negeri Sembilan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Negeri FM dan Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara serta semua pihak yang terlibat di atas usaha merealisasikan penganjuran Seminar Fiqh Kewarganegaraan 2018. Terima kasih juga diucapkan kepada Yang Amat Berhormat Tuan Haji Aminuddin Harun Menteri Besar Negeri Sembilan, Yang Berhormat Dato’ Dr Mujahid Yusuf Rawa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Presiden ABIM, YDP Wadah, YDP PPINS, dif-dif kehormat, panelis forum, rakan-rakan-rakan strategik ABIM, dif-dif jemputan, semua hadirin dan peserta yang sudi hadir dan memeriahkan majlis pada kali ini. Tidak lupa juga kepada semua warga kerja Seminar yang menjayakan Seminar kali ini dengan penuh dedikasi, semangat dan keterujaan. Saya sudahi ucapan ini dengan Firman Allah SWT yang bermaksud; ‘Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka diantara mereka ada yang gugur. Dan diantara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikitpun tidak merubah (janjinya)’. (Al Ahzab. 23).

Sejahterakan Malaysia Dengan Dakwah

 

Leave a Reply

SUBSCRIBE

Get the latest posts delivered to your mailbox: