Selamat Hari Guru 1440h/2019m

Selamat Hari Guru 1440h/2019m

Pendahuluan

Saban tahun kita menyambut Hari Guru dengan pelbagai sambutan dari segenap lapisan masyarakat. Tetapi tahun ini merasakan terdapat sedikit kelainan dan perubahan. Kenyataan Kesatuan Guru mengiktiraf 18 penyelesaian isu berkaitan pendidikan oleh KPM memberikan sedikit harapan kepada masa depan pendidikan negara dan kebajikan guru. Pelbagai inisiatif yang diumumkan dan prestasi dalam masa setahun pentadbiran baru KPM meliputi manfaat pelajar B40, meletakkan guru sebagai fokus utama, murid sebagai tonggak, komitmen menangani isu sekolah dhaif, perhatian penuh kepada OKU, meningkatkan kewibawaan institusi pendidikan, peningkatan kerjasama pendidikan, pendidikan teknikal dan latihan vokasional dan pemerkasaan bahasa, budaya dan sastera sedikit sebanyak mengembalikan semula keyakinan umum terhadap komitmen pemerintah terhadap mutu pendidikan.

Pada tahun ini, Hari Guru bertemakan ‘Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi’. Tema ini memberikan makna yang begitu besar kepada bukan sahaja warga pendidik tetapi semua rakyat Malaysia. Guru merupakan tunjang kepada perubahan, islah dan transformasi. Tanpa guru, negara ini tidak akan mampu membawa apa-apa perubahan. Guru memainkan peranan penting sebagai pendidik yang secara berterusan berusaha membina karakter, kualiti, syahsiyah, intelektual dan akhlak bagi membentuk warga yang seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelektual. Pembinaan dan pembentukan nilai-nilai ini sudah pasti perlu berasaskan kepada ilmu, budi dan hikmah. Sejarah telah membuktikan bahawa kegemilangan sesebuah negara bergantung kepada kecemerlangan rakyatnya dan orang yang berperanan besar mewujudkan kegemilangan tersebut, ialah guru.

Peranan guru atau pendidik paling utama adalah untuk menyampaikan ilmu pengetahuan agar dapat membina insan yang seimbang dari aspek rohani, jasmani, emosi dan intelektual. Dalam erti kata lain, guru mempunyai misi dan tanggungjawab untuk menyampaikan ilmu bagi memanusiakan manusia agar menjadi manusia yang mempunyai nilai dan kualiti kemanusiaan. Oleh itu, guru perlu benar-benar memahami apa itu makna ‘ilmu’ dan fungsi ilmu itu sendiri. Muhammad Naquib al-Attas mendefinisikan ilmu sebagai ‘Dengan tibanya jiwa kepada makna dan menghasilkan hasrat serta kehendak diri’. Makna ilmu di sini memberi tiga dimensi penting iaitu jiwa, makna, serta sifat-sifat  dan kegunaan ilmu pengetahuan. Ini bermakna adalah menjadi tanggungjawab pendidik untuk memahami dan menghayati bahawa ilmu pengetahuan itu berperanan untuk memposisikan jiwa manusia sebagai entiti spiritual yang aktif untuk mempersiapkan diri dalam menerima kehadiran makna yang akhirnya menatijahkan kebenaran dan dapat menentukan antara hak dan batil.

Dalam melaksanakan tanggungjawab ini, pendidik mestilah menjadikan Rasulullah Sallallahualaihiwasallam sebagai suri teladan dan rujukan dalam setiap aspek kehidupan. Islam amat menitikberatkan ilmu pengetahuan dan meletakkan darjat yang tinggi kepada orang yang menyampaikan ilmu. Ini telah dirakamkan oleh Allah Subhanahuwataala di dalam surah al-Mujadalah ayat 11 yang bermaksud: “Allah meninggikan darjat orang yang beriman dan di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama beberapa darjat”. Ayat ini menunjukkan bahawa orang yang berilmu mempunyai darjat yang lebih tinggi dan guru sebagai individu yang berilmu pengetahuan dan menyampaikannya pasti mendapat tempat yang istimewa disisi Tuhan. Seiring dengan peranan guru yang begitu signifikan dalam masyarakat hatta pembinaan tamadun, setiap pendidik perlu berusaha untuk menghayati ciri-ciri pendidik merangkumi Mudarris, Muallim, Murabbi, Muaddib dan Mursyid. Kualiti inilah yang akan menentukan sejauh mana keberkesanan pengajaran, pendidikan, tarbiyah dan penyampaian akan membentuk dan menyentuh hati pelajar-pelajar.

Mudarris, Muallim, Murabbi, Muaddib dan Mursyid

Mudaris bermaksud mengajar ataupun pengajaran. Pendidik hendaklah bertanggunjawab menyampaikan ilmu yang ada padanya kepada pelajarnya yang boleh membina pemikiran, rohani, jasmani,emosi dan juga sosial. Apa yang diketahuinya hendaklah disampaikan kerana kerja pengajaran adalah sebahagian daripada amal soleh. Pendidik sebagai mualim boleh didefinisikan sebagai mengajar atau menyampaikan limu kepada orang lain dan mengamalkan apa yang disampaikan di samping berusaha menambah ilmu pengetahuan. Mualim mempunyai rasa belas kasihan kepada pelajar. Mualim mengajar kerana Allah Subhanahuwataala dan bukannya kerana ganjaran dan tidak mengharapkan balasan daripada pelajar.

Murabbi bermaksud memperbaiki, memimpin dan mentadbir. Pendidik sentiasa menyayangi pelajar dan menasihati dan membimbing dalam pembentukan syahsiyah mereka. Pendidik juga membentuk nilai budaya yang baik dan menjadi contoh tauladan kepada pelajar. Muaddib bermaksud mendidik ke arah memperelokkan akhlak pelajar. Pendidik yang muaddib membentuk peribadi, meyampaikan ilmu dan mendidik akhlak dan adab.

Pendidik yang mursyid berupaya memberi panduan jalan hidup yang benar dan betul dengan nilai dan sikap yang benar dan berperanan sebagai hamba Allah Subhanahuwataala dan khalifahNya dimuka bumi. Mursyid menunjukkan kepada jalan yang benar dari sudut ilmu dan memberikan petunjuk kepada jalan yang lurus. Pendidik yang Mursyid mempunyai tingkah laku baik dan terpuji, bersih dari akhlak tercela, tidak taasub atau fanatik, zuhud pada amalan dan perbuatan dan mempunyai tokoh kepimpinan.

Keikhlasan Mencari Keredhaan Allah Subhanahuwataala

Seorang pendidik perlu memastikan niatnya untuk bersifat ikhlas terhadap Allah Subhanahuwataala dalam segala amal pendidik yang dilakukannya. Allah telah merakamkan dalam al-Quran surah al-Bayyinah ayat 5 yang bermaksud ”Dan tiadalah mereka itu diperintahkan, melainkan supaya mereka menyembah Allah dalam keadaan mengikhlaskan agama kepadanya”. Ini dikuatkan lagi dengan sabda Rasulullah Sallallahualaihiwasallam yang bermaksud: ” Sesungguhnya Allah tidak akan menerima suatu amalan melainkan apa yang ikhlas kepadaNya dan yang ditujukan hanya untukNya. (Riwayat Abdu Daud dan an-Nasai). Pendidik hendaklah menunjukkan setiap pekerjaan yang dilaksanakan itu hanya semata-mata kerana Allah kerana hanya dengan keikhlasan beliau akan mendapat keredhaan dan keberkatan bahkan akan dikasihi dan dihormati oleh pelajar mahupun masyarakat.

Peribadi Mulia

Pendidik bukan sahaja menjadi ”role model” atau pun ikutan kepada pelajar menerusi sifat spiritual seperti ikhlas, jujur, sabar, kasih sayang, warak dan takwa, bahkan menerusi sifat-sifat fizikal atau lahiriah seperti tutur kata, tingkah laku, kebersihan diri, pakaian, tempat tinggal dan lain-lain. Justeru itu, bagi mencapai keberkesanan proses pembelajaran dan pengajaran serta pembentukan peribadi mulia, Islam mengutamakan tutur kata, tingkah laku yang baik dan nasihat berguna serta menarik. Hal ini dapat dilihat jika kita merujuk dakwah yang dijalankan oleh Nabi Musa dan Nabi Harun, ketika mereka menyampaikan seruan agama kepada Firaun yang amat zalim seperti yang difirmankan oleh Allah Subhanahuwataala dalam al-Quran surah taha ayat 43 yang bermaksud:-” Pergilah engkau berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia derhaka. Katakanlah kepadanya perkataan yang lemah lembut, mudah-mudahan ia akan dapat pengajaran atau takut kepada tuhan”.

Menjaga Kehormatan diri

Sudah menjadi tanggapan masyarakat mahupun pelajar bahawa seorang pendidik adalah seorang yang mempunyai kehormatan diri dan kehebatan ilmu pengetahuan. Oleh itu, sudah semestinya pendidik untuk beramal dan berpegang teguh dengan ilmu yang dimilikinya. Setiap amalan mestilah dilakukan dengan istiqamah dan seterusnya menjadikan diri untuk lebih bertakwa kepada Allah Subhanahuwataala. Pendidik tidak sepatutnya melakukan perkara yang berlawanan dengan ilmu yang dimiliki kerana ini akan menjatuhkan kehormatan diri dan mengurangkan rasa hormat pelajar kepadanya. Hal ini telah dirakamkan oleh Allah Subhahanahu Wataala di dalam surah al-Maidah ayat 44 yang bermaksud:-” Adakah patut kamu menyuruh manusia membuat kebajikan dan kamu lupakan diri kamu sendiri sedangkan kamu membaca kitab Allah, tidakkah kamu berakal”.

Menguasai Ilmu dan Kaedah Pengajaran

Pendidik sememangnya perlu memiliki ilmu yang mantap dan mendalam dalam bidang yang diceburi. Pelajar akan lebih yakin dan mudah menerima ilmu yang disampaikan sekiranya pendidik benar-benar menguasai ilmu tersebut. Selain itu, pendidik juga perlu kreatif dan inovatif dalam menggunakan kaedah atau teknik pengajaran berkesan. Dalam dunia moden masa kini, pendidik perlu arif dalam penggunaan teknologi dan dalam masa yang sama sentiasa mempelbagaikan teknik pengajaran agar lebih berkesan dan menarik minat pelajar.

Akauntabiliti, Kepimpinan dan Profesionalisme

Akauntabiliti sebagai pendidik merupakan perkara yang amat penting untuk dipelihara oleh setiap guru. Akauntabiliti pendidik merujuk kepada tanggungjawab seorang pendidik kepada setiap perkara mahu pun hasil kerjanya. Sebagai seorang yang profesional, pendidik perlu memelihara dan melaksanakan tanggunggjawabnya dengan penuh ikhlas dan sebaik mungkin. Ini adalah kerana pendidik merupakan pihak yang bertanggungjawab menghasilkan manusia yang baik dalam pelbagai bidang demi keperluan negara bahkan umat seluruhnya.

Aspek kepimpinan ini adalah sangat signifikan yang perlu ada pada setiap pendidik. Kepimpinan yang dimaksudkan adalah keupayaan mencorak, mengemudi dan memandu dalam proses pencapaian matlamat kecemerlangan individu pelajar dan juga institusi. Pendidik yang mempunyai ciri kepimpinan yang baik akan dapat mengatur strategi dan berusaha mempertingkatkan kualiti, berusaha penambahbaikan kecekapan dan kejituan ilmu dan proses penyebaran ilmu pengetahuan. Ciri kepimpinan ini akan diturunkan kepada pelajar-pelajar menerusi pembelajaran dan pengajaran serta aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan. Kepimpinan melalui teladan merupakan teknik paling berkesan bagi melahirkan kepimpinan yang lebih baik pada masa depan.

Profesionalisme dalam konteks pendidik merujuk kepada keupayaan dan kecekapan melaksanakan sesuatu tanggungjawab berdasarkan kepada panduan ilmu dan latihan, serta kepakaran. Di dalam melaksanakan sesuatu perkara seorang pendidik yang profesional adalah terikat dengan etika profesion yang merangkumi etika dalam keilmuan, etika sikap dan etika kemahiran. Pendidik juga perlu menjaga amanah ilmu bukan sahaja bertindak untuk memperkayakan ilmu dalam diri sebaliknya sentiasa berusaha menyalurkan idea-idea dan ilmu dengan penuh integriti.

Bersifat kasih sayang

Pelajar merupakan golongan yang masih muda dan perlukan perhatian oleh pendidik mereka. Oleh itu pendidik mesti mempunyai sifat kasih kepada pelajar. Dengan sifat ini, pelajar akan lebih mudah mendekati guru dan dapat membangunkan potensi mereka dengan lebih efisyen. Sifat ini juga akan dapat menerbitkan suasana mesra di antara pelajar dan pendidik dan seterusnya akan memudahkan lagi proses pentarbiyahan dan pembentukan karakter.

Penutup

Seiring dengan perkembangan dunia pendidikan yang mencabar di era pasca modenisasi ini, adalah amat penting bagi seorang guru untuk berusaha secara berterusan memenuhi dan kualiti dan ciri-ciri pendidik unggul. Kualiti murabbi, mudaris, mualim, muaddib dan mursyid yang ditunjukkan oleh Rasulullah Sallallahualaihiwasallam memberikan panduan utama serta menjadi penanda aras, standard atau piawaian seorang pendidik yang unggul. Sesungguhnya seorang pendidik perlu berusaha memenuhi kualiti ini bagi membimbing pelajar bukan sahaja untuk mendalami ilmu pengetahuan malahan membentuk mereka menjadi insan yang seimbang berilmu, berbudi dan berhikmah. Berdasarkan kualiti dan peri penting peranan inilah yang menjadi asas bahawa guru sememangnya profesyen yang sangat mulia. Sesungguhnya kita perlu memberikan pengiktirafan dan penghargaan setinggi-tingginya kepada semua guru yang telah menabur budi, jasa dan bakti. Tanpa guru siapalah kita. Selamat Hari Guru kepada semua guru-guruku dan semua warga pendidik. Moga Allah sentiasa melimpahkan keberkatan dan kerahmatan.

Share this post

FacebookTwitterLinkedInGoogle +Email

Author

zulkiflihasan

Leave a Reply

SUBSCRIBE TO WEBSITE VIA EMAIL

Enter your email address to subscribe to this website and receive notifications of new posts by email.

Join 58 other subscribers

Email Address

Subscribe

RECENT POSTS: ZULKIFLIHASAN.COM

GE14 and the Year Since: My Personal Reflection

May This Ramadhan be the Best Ramadhan for All of Us

Spend Your Cognitive Surplus for Humanity

MEMAHAMI ISLAMOFOBIA: ANTARA PERSEPSI DAN REALITI

Serious Gaps in Islamic Banking and Finance

POST CATEGORIES

zulkiflihasan.comFacebookInstagram© Copyright 2016. All Rights Reserved. | ContactSUBSCRIBE

Get the latest posts delivered to your mailbox:Skip to toolbar

Log Out

Share this post

Leave a Reply

SUBSCRIBE

Get the latest posts delivered to your mailbox: