Pooling Resources to Empower Person with Disabilities at Universities

Berganding Bahu Memberdaya OKU di Universiti 

Falsafah Pendidikan Kebangsaan memberikan penekanan untuk melahirkan rakyat Malaysia yang seimbang dari aspek rohani, jasmani, emosi dan intelektual. Visi ini mesti diangkat dan dilaksanakan secara inklusif merangkumi semua lapisan masyarakat termasuk Orang Kurang Upaya (OKU). OKU menurut Akta Orang Kurang Upaya 2008 ditakrifkan sebagai mereka yang mempunyai kekurangan jangka panjang fizikal, mental, intelektual atau deria yang apabila berinteraksi dengan pelbagai halangan, boleh menyekat penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam masyarakat. Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan dan semua pihak bagi memenuhi hak sosial OKU dengan menyediakan kemudahan dan keperluan yang sewajarnya secara menyeluruh.

Kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif berkenaan dengan hak-hak OKU. Seiring dengan pelaksanaan Dasar Sifar Penolakan​, tahun ini sehingga April sahaja mencatatkan peningkatan pendaftaran OKU di peringkat sekolah iaitu seramai 83,039. Ini selaras dengan Peraturan-Peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 2013 yang menyatakan kesaksamaan akses kepada pendidikan yang sesuai di mana OKU boleh meneruskan persekolahan di sekolah aliran perdana menerusi Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) atau masuk ke Sekolah Pendidikan Khas. 

Selain daripada itu, kerajaan juga telah memulakan usaha untuk melengkapkan semua sekolah dengan kemudahan mesra OKU secara berperingkat di Sekolah Pendidikan Khas dan Program Khas Integrasi. Ini merangkumi keperluan utama OKU seperti susur tangan, susur landai, tandas OKU, parkir OKU, kelengkapan bilik belajar khas, laluan khas pejalan kaki cacat penglihatan dan kenderaan untuk memudahkan urusan. Kerajaan mensasarkan penyertaan OKU di Program Pendidikan Inklusif Murid Berkeperluan Khas sebanyak 75 peratus pada tahun 2025. Tahap pengetahuan dan profesionalisme guru-guru pendidikan khas juga akan diperkukuhkan melalui pelbagai kursus dan pelbagai program bina upaya.

Inisiatif di atas umumnya fokus kepada sekolah rendah dan menengah dan seharusnya perkara ini perlu juga diberikan perhatian di peringkat pengajian tinggi. Berdasarkan kepada peningkatan akses pelajar OKU di peringkat sekolah, sudah pasti bilangan pelajar OKU yang akan memasuki universiti juga akan bertambah secara signifikan. Dasar kerajaan yang menetapkan bahawa pelajar OKU akan mendapat laluan khas untuk ke Universiti Awam juga pastinya akan mempengaruhi bilangan kemasukan pelajar OKU ke Universiti dalam masa terdekat. 

Di peringkat pengajian tinggi, sudah ada universiti yang mempunyai Polisi Inklusif OKU seperti UIAM, Universiti Malaya dan UiTM dan  ada universiti lain juga sedang merangka polisi ini di kampus masing-masing. Kerajaan juga ada menyediakan skim Bantuan Kewangan OKU di universiti. Dari aspek persekitaran fizikal dan akses pembelajaran, kerajaan telah meminta agar semua universiti mematuhi piawaian SIRIM serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Malahan audit akses OKU juga diperkenalkan bagi menilai sejauh mana kemudahan dan persekitaran fizikal secara holistik dapat disediakan.

Selaras dengan visi, misi dan falsafah Rahmatan Lil’alamin(Rahmat Sekelian Alam), UIAM telah memperkenalkan Polisi Inklusif OKU untuk dilaksanakan di semua kampus. Polisi ini merangkumi kesemua aspek kerangka keperluan dan kebajikan bukan sahaja pada pelajar OKU malahan kesemua warga OKU UIAM termasuk tenaga akademik, kakitangan pentadbiran dan pihak luar. Bagi maksud memperkukuhkan lagi pelaksanaan ini, UIAM menubuhkan Unit Khas Perkhidmatan OKU yang menjadi peneraju utama. Unit Khas ini dibantu oleh Kelab Ibn Ummi Maktum dianggotai pelajar OKU yang bergiat sangat aktif membantu UIAM merealisasikan visi ini. Di peringkat pimpinan pelajar, UIAM memperuntukkan kerusi khas wakil pelajar OKU dalam Majlis Perwakilan Pelajar termasuk parlimen mahasiswa UIAM yang dikenali sebagai IIUM Student Leaders Assembly.

Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan di UIAM seperti memperuntukkan penginapan khas di Mahallah atau kolej kediaman, menaik taraf fasiliti di sekitar kampus, menyediakan kemudahan umum termasuk bantuan kewangan, pembelian peralatan dan keperluan, kemudahan akses pembelajaran dan beribadat dan bermacam lagi. Inisiatif ini dapat direalisasikan menerusi jalinan kerjasama dengan badan korporat termasuk agensi kerajaan dan Majlis Agama. Sebagai contoh, Affin Islamic Bank Berhad telah menaja Sahala Wudhu Station di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah UIAM dan Lembaga Zakat Selangor telah menyumbangkan mobiliti van untuk perkhidmatan kenderaan OKU. Pelbagai program kesedaran telah dianjurkan termasuk mengadakan Sukan Bola Tampar Duduk dengan kerjasama Pasukan Bolatampar Duduk Kebangsaan, Ekspedisi Everest dan banyak lagi. Alhamdulillah, pelajar OKU UIAM Azrulkhan Hasrullah Matsah telah menerima Anugerah Belia Perdana oleh YAB Perdana Menteri dan Malaysia Book of Records atas kejayaan menakluk ‘Everest Base Camp’. Terkini, UIAM sedang merangka dan membuat kajian secara komprehensif Rekabentuk Sejagat dan Alam Bina diterajui Kuliyah Senibina dan Rekabentuk Alam Sekitar. Kajian dan inisiatif adalah lebih bersifat inklusif di mana ia bersifat universal bukan sahaja melibatkan keperluan OKU tetapi juga golongan lain seperti warga emas yang sewajarnya diberikan perhatian. 

Walau apapun pelbagai inisiatif yang cuba dilaksanakan, pengalaman menunjukkan bahawa usaha ini perlu mendapat perhatian serius semua pihak khususnya peruntukan dan sokongan kewangan daripada kerajaan. Secara umumnya, dengan peruntukan sedia ada yang hanya mencukupi untuk membiayai operasi universiti dan kos penyelenggaraan, universiti pastinya akan menghadapi realiti dan cabaran besar untuk melengkapkan dan menaiktaraf kemudahan OKU menepati piawaian yang ditetapkan. Usaha-usaha ini sememangnya melibatkan perbelanjaan besar dan implikasi kewangan yang tinggi. Dengan peningkatan pelajar OKU menerusi Dasar Sifar Penolakan di peringkat sekolah, pastinya peningkatan mendadak akses ke universiti pelajar OKU akan berlaku dan universiti perlu bersedia seberapa segera dalam kadar yang pantas untuk memastikan pelajar OKU ini mendapat akses pembelajaran yang terbaik. 

Berdasarkan kepada realiti semasa seiring dengan hasrat kerajaan serta visi dan misi universiti itu sendiri, penulis mencadangkan kerajaan memberi peruntukan khas kepada universiti selain sekolah-sekolah bagi memenuhi keperluan dan kemudahan pelajar OKU di kampus selari dengan piawaian yang ditetapkan. Peruntukan khas ini juga tidak bermakna universiti tidak lagi perlu mendapatkan tajaan badan korporat dan pihak lain. Universiti perlu meneruskan jalinan kerjasama dengan pihak industri, badan bukan kerajaan dan pihak luar bagi maksud ini. Selain daripada itu, kesedaran yang agak rendah di kalangan warga Malaysia sepertimana yang dibuktikan beberapa kajian ilmiah, mungkin juga sudah sampai masanya untuk Malaysia memperkenalkan Akta Diskriminasi Ketidakupayaan seperti mana di negara-negara maju. Akta Diskriminasi Orang Kurang Upaya Britain 2001 umpamanya telah menjadikan diskriminasi terhadap OKU di institusi-institusi pengajian tinggi sebagai satu kesalahan di sisi undang-undang. Kajian menunjukkan undang-undang ini mampu menjadi  antara pemangkin kepada usaha-usaha meningkatkan kesedaran dan kualiti perkhidmatan untuk pelajar-pelajar OKU.

Bagi memastikan apa jua usaha yang dirancang dan dilaksanakan berjaya memenuhi aspirasi, kita perlu memahami bahawa sesungguhnya menyediakan akses pendidikan yang adil dan saksama dan persekitaran fizikal yang kondusif serta suasana harmoni merupakan tanggungjawab dan tuntutan yang bukan sahaja menjadi tanggungjawab kerajaan tetapi ia perlu dipikul bersama oleh semua pihak.

Zulkifli Hasan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. zulkiflihasan.com

Share this post

Leave a Reply

SUBSCRIBE

Get the latest posts delivered to your mailbox: