TUDUHAN LIWAT DAN QAZAF MENURUT PERSPEKTIF UNDANG-UNDANG

TUDUHAN LIWAT DAN QAZAF MENURUT PERSPEKTIF UNDANG-UNDANG

Secara umumnya, Qazaf merujuk kepada kes yang melibatkan tuduhan ke atas seseorang melakukan perbuatan zina tanpa membawa bukti yang mencukupi dari segi hukum syarak. Majoriti fuqaha termasuk mazhab Shafii berpandangan bahawa tuduhan liwat juga meliputi kesalahan Qazaf dan ia boleh dikenakan hukuman had. Namun begitu, realiti yang ada pada peruntukan undang-undang Syariah di Malaysia menimbulkan beberapa persoalan dan seterusnya menimbulkan kekeliruan. Peruntukan undang-undang di bawah Enakmen Jenayah Syariah negeri-negeri hanya menyebut kesalahan Qazaf sebagai tuduhan zina dan tidak menyatakan secara jelas kedudukan tuduhan liwat. Oleh itu, timbul persoalan sama ada Pendakwa Syarie boleh memulakan prosiding Qazaf kepada sesiapa yang didapati telah membuat tuduhan liwat bukan zina ke atas seseorang tanpa membawa saksi yang mencukup dari segi hukum syarak. Sehubungan dengan isu ini, penulis akan cuba membincangkan beberapa aspek berkaitan dengan tuduhan liwat dan Qazaf menurut perspektif Syarak dan ini merangkumi ruang lingkup undang-undang, pendekatan pentafsiran, pandangan majoriti fuqaha, maslahah dan maqasid Syariah serta undang-undang tatacara.

Abstrak

Kata kunci: Liwat, Qazaf, Syarak dan Maqasid al-Syariah.

Pendahuluan

Mutakhir ini masyarakat umum sekali lagi disajikan dengan berita-berita sensasi perlakuan tidak beretika berkaitan salah laku seksual. Isu yang sama pernah berlaku dalam kes Dato’ Seri Anwar Ibrahim v. PP & Another [2015] CLJ JT (3) (Lihat juga PP v. Dato’ Seri Anwar Ibrahim [2001] 3 MLJ 193, PP v. Dato’ Seri Anwar Ibrahim [2014] CLJ JT (1-1). Kewujudan beberapa pihak yang teruja untuk mensensasikan perkara ini sebenarnya menimbulkan begitu banyak persoalan.

Walau apapun, unsur politik bukanlah menjadi isu utama dalam hal ini, apa yang menjadi kerisauan adalah potensi berlakunya Qazaf secara berleluasa tanpa disedari. Umat Islam secara tidak sedar berkemungkinan boleh terjerumus melakukan kesalahan ini sekiranya ia tidak dibendung. Kesannya adalah begitu signifikan apabila melibatkan aspek kesaksian dan keruntuhan moral serta berpotensi menjadi kanser kepada keharmonian institusi keluarga dan masyarakat. Ia juga sangat berkait rapat dengan tuntutan memelihara keaiban dan maruah selaras dengan prinsip maqasid Syariah.

Mengambil perhatian perkara ini dengan serius, penulis ingin berkongsi pandangan mengenai isu ini dengan tujuan agar ia boleh dijadikan sebagai antara pencerahan kepada beberapa persoalan berkaitan dengan kerelevanan liwat dalam kes Qazaf di Mahkamah Syariah. Artikel ringkas ini hanya membincangkan secara umum beberapa persoalan mengenai kesalahan Qazaf dan kaitannya dengan liwat dengan merujuk kepada peruntukan undang-undang. Penting untuk diingatkan bahawa penulisan ini tidak bermaksud untuk membicarakan topik ini secara menyeluruh dan mendalam mahupun menyentuh segenap aspek ruang lingkup Qazaf. Rujukan lanjut kepada kitab-kitab muktabar, enakmen dan akta berkaitan serta makalah yang relevan perlu dilakukan bagi memastikan kefahaman yang lebih baik bagi memahami isu yang dibincangkan.
Beberapa Persoalan Mengenai Kesalahan Qazaf dan Kaitannya Dengan Kesalahan Liwat

Persoalan demi persoalan ditimbulkan mengenai kes Qazaf ini dan ini merangkumi aspek hukum syarak dan undang-undang. Antara yang menjadi persoalan utama adalah berkenaan dengan kerelevenan Qazaf dalam kes melibatkan tuduhan liwat sama ada menurut perspektif Syariah mahupun undang-undang yang diperuntukkan di bawah enakmen negeri-negeri. Masyarakat juga ingin tahu mengenai prosiding kes Qazaf di Mahkamah Syariah dan bagaimanakah Mahkamah boleh membicarakan dan mendengar kes seumpama ini. Ini merupakan antara beberapa persoalan yang menjadi perbincangan dan perdebatan di mana sekiranya tidak ditangani dengan baik akhirnya boleh menimbulkan pelbagai spekulasi dan kekeliruan.

Sebelum ini, percubaan untuk mendapatkan perintah Mahkamah Syariah untuk meminta pendakwa syarie memulakan prosiding Qazaf pernah ditolak oleh Mahkamah Syariah. Mahkamah telah menolak rayuan pemohon dengan alasan bahawa sebarang campur tangan dalam urusan pendakwaan boleh dilihat sebagai suatu maksiat dan mahkamah tidak boleh bertolak ansur dengan sebarang perbuatan maksiat. Mahkamah juga memutuskan bahawa Ketua Pendakwa Syarie perlu menggunakan pertimbangan professional dan mesti dilihat adil, bebas dan tidak melibatkan pandangan peribadi atau fahaman politik dalam melaksanakan tugasnya. Mahkamah melihat sebarang urusan campur tangan daripada mana-mana pihak termasuk pihak ketiga atau hakim dilihat sebagai satu maksiat. Mahkamah sebulat suara menolak permohonan untuk mengeluarkan perintah tersebut.

Berikutan dengan perkembangan dan kes yang diputuskan oleh Mahkamah Syariah dalam isu Qazaf di atas, ia telah menimbulkan persoalan yang signifikan dari sudut hukum syarak dan undang-undang. Persoalan-persoalan ini boleh dirumuskan kepada lima isu utama iaitu (i) Apakah Perspektif Hukum Syarak Mengenai Qazaf Dalam Kes Tuduhan Liwat?; (ii) Apakah Menuduh Orang Lain Melakukan Liwat Secara Paksa Dianggap Qazaf?; (iii) Adakah Qazaf Masih Relevan Dalam Kes Tuduhan Liwat Terhadap Seseorang yang Telah Disabitkan Kesalahan Seks Luar Tabii di Mahkamah Sivil? (iv) Adakah Peruntukan Undang-undang Mengenai Qazaf Merangkumi Kesalahan Menuduh Orang lain melakukan Liwat atau Ia Terhad Hanya Pada Kesalahan Zina?; dan (iv) Apakah Prosiding Qazaf Dalam Kes Tuduhan Seseorang Melakukan Liwat?.


Apakah Perspektif Hukum Syarak Mengenai Qazaf Dalam Kes Tuduhan Liwat?

Qazaf merupakan sesuatu kesalahan yang unik dan berlainan dengan kesalahan jenayah Syariah yang lain dalam Islam. Ia bertujuan untuk melindungi maruah dan kehormatan seseorang yang menjadi antara salah satu aspek utama yang perlu dipelihara dalam prinsip maqasid Syariah. Pengajaran mengenai Qazaf ini diriwayatkan secara terperinci dalam peristiwa Ifk di mana kesalahan Qazaf ini dianggap bukan sahaja sebagai salah satu dosa besar malahan memberikan impak yang begitu besar dan ini termasuk implikasi kesaksian seseorang yang tidak diterima selama-lamanya. Allah SWT berfirman di dalam al Quran: Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka sebatlah mereka (yang menuduh itu) 80 kali sebatan dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasik (Surah al Nur 24: 4-5).

Qazaf secara umumnya merujuk kepada tuduhan ke atas seseorang yang baik akhlaknya dengan berzina, atau menafikan keturunannya yang sah. Qazaf merupakan salah satu daripada kesalahan hudud dan sesiapa disabitkan dengan kesalahan ini boleh di hukum had. Berkenaan dengan kesalahan zina dan liwat berkaitan Qazaf, jumhur termasuk mazhab Shafii berpandangan bahawa liwat adalah hudud dan pesalah boleh dikenakan hukuman had zina. Menurut pendapat fuqaha’ mazhab Syafi’i, dalam kitab Fiqh al Manhaji menyebut ‘Liwat adalah persetubuhan pada dubur baik yang disetubuhi itu lelaki mahupun perempuan. Menurut pendapat yang sahih, hukum perbuatan ini ialah hukum zina bagi pelaku sekiranya wujud bukti dan pengakuan’. Wahbah Zuhaili juga berpandangan bahawa Qazaf meliputi tuduhan zina dan liwat, dengan lafaz yang jelas (Zuhaili, 2006: 380). Berbanding dengan pandangan jumhur, hanya Imam Abu Hanifah yang berpandangan bahawa liwat tidak diwajibkan hukuman had ke atas kedua-dua pelaku liwat dan penerimanya sama ada lelaki atau perempuan.

Merujuk kepada kesalahan Qazaf dalam pertuduhan liwat, majoriti fuqaha daripada empat mazhab berpendapat bahawa liwat adalah sama sahaja dengan zina. Tuduhan liwat ke atas seseorang mengikut Imam Malik, Imam Shafi’i dan Imam Ahmad sama dengan menuduh seseorang melakukan zina kerana liwat adalah zina dan peliwat adalah penzina sama ada ia sebagai pelaku atau penerima perlakuan itu, sama ada ia lelaki atau perempuan. Sekiranya jika disabitkan dengan kesalahan Qazaf menerusi tuduhan liwat maka si pesalah boleh dikenakan hukuman had bagi kesalahan Qazaf. Imam Abu Hanifah pula berpandangan bahawa tuduhan liwat termasuk dalam hukuman takzir kerana beliau berpendapat bahawa liwat bukannya zina, justeru tuduhan liwat tidak dikira sebagai tuduhan zina (Hanafi, 1970: 262). Dalam isu ini, pendekatan Mahkamah Syariah kebiasaannya mengutamakan pandangan jumhur dan mazhab Shafii. Oleh itu, tuduhan liwat juga boleh ditafsirkan untuk merangkumi tuduhan zina dan Qazaf.

Apakah Menuduh Orang Lain Melakukan Liwat Secara Paksa Dianggap Qazaf?

Pada asasnya, sesiapa yang menuduh sesiapa meliwat tanpa bukti empat orang saksi lelaki yang cukup syarat atau pengakuan tertuduh boleh dianggap melakukan jenayah Qazaf. Ini menimbulkan persoalan bagaimana dengan kes liwat secara paksa. Adakah pihak yang mendakwa dilihat boleh menuduh seseorang melakukan liwat secara paksa dan terlepas daripada hukuman Qazaf? Adakah pihak ketiga juga boleh menuduh orang lain melakukan liwat secara paksa dan bebas dari tuduhan melakukan Qazaf? Dalam hal ini, penulis berpandangan bahawa umat Islam hendaklah berusaha untuk menjauhkan diri daripada sebarang perbuatan yang boleh menjerumuskan diri dengan dosa Qazaf walaupun tuduhan sebegini boleh memungkinkan boleh terlepas daripada kesalahan Qazaf di atas dunia ini tetapi belum tentu di hari akhirat nanti.
Apabila membicarakan isu ini, perlu diingatkan bahawa hanya mangsa atau pihak yang mendakwa diliwat yang berhak untuk membuat tuduhan liwat secara paksa dan bukan pihak ketiga. Bukan itu sahaja, orang yang mendakwa dirinya diliwat perlu mengemukakan bukti dan keterangan yang boleh diterima di Mahkamah bagi menyokong dakwaannya itu. Keterangan dan bukti itu mesti menunjukkan bahawa adanya unsur paksaan dan jika dia tidak dapat mengemukakan bukti diliwat maka dia boleh dianggap melakukan tuduhan Qazaf terhadap seseorang. Amaran keras mengenai dosa qazaf ini dirakamkan Allah SWT di dalam al Quran yang bermaksud ‘Sesungguhnya orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik lagi beriman (dengan tuduhan berzina), mereka dilaknat di dunia dan di akhirat, dan bagi mereka azab yang besar ‘(Surah Al Nur, 24: 23)

Perlu diingatkan juga bahawa tuduhan melakukan liwat secara paksa adalah sama sekali tidak sama dengan tuduhan dalam kes gangguan seksual atau ‘sexual harrasment’. Tanggapan yang mengatakan bahawa kes liwat secara paksa boleh dianalogikan dengan gangguan seksual seperti dalam kes yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan baru-baru ini adalah sesuatu yang mengelirukan dan jauh daripada kebenaran. Berbanding liwat, gangguan seksual boleh berlaku tanpa adanya berlaku perlakuan hubungan seksual. Oleh itu, beban pembuktian untuk pembuktian adanya unsur paksaan dalam kes gangguan seksual adalah berbeza dengan kes tuduhan liwat secara paksa. Beban pembuktian kes liwat secara paksa memerlukan keterangan dan bukti yang kukuh bagi membuktikan bahawa adanya elemen paksaan.


Merujuk kepada isu adakah pihak ketiga atau sesiapa selain daripada mangsa liwat secara paksa boleh melakukan kesalahan Qazaf ia adalah sesuatu yang perlu diberikan perhatian secara amat berhati-hati. Asasnya, tiada sesiapa termasuk pihak ketiga boleh menuduh sesiapapun dengan tuduhan liwat sama ada secara paksa atau rela. Walaubagaimanapun, dalam kes di mahkamah melibatkan tuduhan melakukan liwat yang dijalankan Pendakwa Syarie, Pendakwa Syarie hanya dianggap mewakili pihak yang mendakwa diliwat. Isu pendakwa Syarie berpotensi melakukan Qazaf tidak lagi relevan kerana beliau hanya mewakili pihak yang mendakwa diliwat dan pendakwa syarie tidak boleh dijatuhkan hukuman kesalahan Qazaf sekiranya tidak dapat dibuktikan bahawa tertuduh telah melakukan liwat secara paksa.


Oleh itu, pendakwa syarie mesti menjalankan pendakwaan mewakili dan berdasarkan kepada maklumat dan keterangan oleh mangsa liwat yang mendakwa diliwat secara paksa. Sekiranya pihak yang mendakwa diliwat mengatakan ia berlaku secara paksa maka pendakwa syarie tidak boleh pula mengatakan bahawa liwat berlaku secara sukarela seperti yang berlaku dalam kes liwat yang diputuskan di Mahkamah Persekutuan baru-baru ini. Ia jelas bertentangan dengan dakwaan pihak yang mendakwa kena liwat dan ini menyalahi prinsip asal pendakwaan dalam kes zina dan liwat.
Adakah Qazaf Masih Relevan Dalam Kes Tuduhan Liwat Terhadap Seseorang yang Telah Disabitkan Kesalahan Seks Luar Tabii di Mahkamah Sivil?

Wujudnya tanggapan bahawa sesiapa tidak boleh dianggap melakukan Qazaf atau terlepas daripada kesalahan Qazaf apabila membuat tuduhan liwat terhadap seseorang yang telah disabitkan kesalahan seks luar tabii di Mahkamah Sivil. Ini merupakan suatu tanggapan salah yang perlu diberikan perhatian. Umumnya, sabitan kesalahan di Mahkamah Sivil seperti yang diperuntukkan dalam Kanun Keseksaan tidak bermakna seseorang itu berhak atau boleh membuat tuduhan liwat. Malahan sebarang pertuduhan terhadap sebarang kesalahan seumpama ini hanya boleh dibuat dihadapan hakim di Mahkamah Syariah.


Sabitan kesalahan melakukan seks luar tabii di bawah Kanun Kesiksaan di Mahkamah Sivil tidak membolehkan seseorang terlepas daripada kesalahan Qazaf apabila menuduh seseorang yang telah disabitkan kesalahan tersebut dengan tuduhan liwat. Ini bersandarkan kepada pembuktian yang tidak menepati hukum syarak dan sabitan juga berlaku tidak berasaskan kepada sama ada kepada iqrar ataupun empat orang saksi lelaki. Bukan itu sahaja peruntukan di bawah Hukuman yang diperuntukkan di bawah Kanun Kesiksaan juga bukan merupakan hukuman hudud. Walaupun telah disabitkan kesalahan di Mahkamah Sivil di bawah Kanun Keseksaan hatta di Mahkamah Syariah di bawah Enakmen Jenayah Syariah Negeri sekalipun, sesiapa sahaja tidak boleh membuat tuduhan liwat terhadap sesiapapun melainkan ia dilakukan di Mahkamah. Sebarang pertuduhan hanya boleh dilakukan di hadapan hakim di Mahkamah Syariah.


Adakah Peruntukan Undang-undang Mengenai Qazaf Merangkumi Kesalahan Menuduh Orang lain melakukan Liwat atau Ia Terhad Hanya Pada Kesalahan Zina?

Seksyen 36 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 dan seksyen 41 Akta 559 Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 memperuntukkan bahawa “Kecuali dalam kes li’an, mana-mana orang yang menuduh orang lain melakukan zina tanpa mengemukakan, mengikut Hukum Syara’, empat orang saksi lelaki atau iqrar orang yang dituduh itu adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.” Meneliti peruntukan ini, umumnya ia bukan bersifat secara mutlak dan boleh ditafsirkan secara literal atau konstruktif. Ia bergantung kepada Mahkamah Syariah untuk menentukan pendekatan pentafsiran mengenai kesalahan Qazaf sama ada ia hanya terhad pada kesalahan zina atau ia termasuk kesalahan zina dan liwat.

Pentafsiran secara literal menghadkan kesalahan Qazaf kepada tuduhan zina atau tuduhan seseorang lelaki dan perempuan melakukan persetubuhan haram tanpa ikatan perkahwinan yang sah. Pendekatan pentafsiran secara literal ini akan mengecualikan kes menuduh orang lain melakukan liwat tanpa bukti yang mencukupi sebagai kesalahan Qazaf. Ini bermakna laporan yang dibuat terhadap seseorang yang menuduh orang lain melakukan kesalahan Qazaf dalam kes liwat adalah tidak relevan. Pendakwa Syarie hanya akan memulakan prosiding Qazaf sekiranya beliau berpuashati dengan siasatan dalam kes tersebut dan hanya perlakuan yang melibatkan pertuduhan ke atas seseorang melakukan zina dan bukan liwat.

Pandangan yang menghadkan kesalahan Qazaf ini kepada tuduhan zina juga merujuk kepada pandangan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan yang memutuskan untuk tidak mendakwa kes Qazaf melibatkan liwat kerana tuduhan liwat tidak merangkumi kesalahan Qazaf sepertimana yang terkandung di bawah seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 (Zurairi, 2015). Seksyen 2 Akta yang sama juga telah mentafsirkan zina sebagai ‘persetubuhan antara lelaki dan perempuan tanpa nikah yang sah’ dan liwat sebagai ‘perhubungan seks sesame lelaki’.

Secara umumnya dari satu sudut penulis bersetuju dengan pendangan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan. Namun demikian, penulis mendapati bahawa Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan telah membuat tafsiran sendiri yang boleh jadi betul atau salah tanpa berusaha membawa perkara ini untuk ditentukan oleh Mahkamah Syariah. Mahkamah Syariah adalah institusi yang berbidang kuasa untuk mentafsirkan sebarang peruntukan undang-undang termasuk isu khilaf dalam pentafsiran tuduhan liwat dalam kes Qazaf.

Penulis juga berbeza pandangan yang menyatakan ulama secara sepakat berpandangan Qazaf hanya meliputi tuduhan zina. Pandangan yang menghadkan hanya tuduhan zina sebagai Qazaf bukanlah pandangan yang disepakati. Selari dengan tuntutan maqasid Syariah yang menuntut kepada pemeliharaan maruah seseorang yang dituduh dengan tuduhan yang amat berat seumpama liwat, Pendakwa Syarie sebenarnya masih boleh membawa kes ini ke Mahkamah Syariah untuk diputuskan oleh hakim.

Walaupun Seksyen 36 dan 41 di atas tidak menyebutkan liwat dalam kesalahan Qazaf, namun tidak bermakna ia boleh menghalang untuk Mahkamah Syariah membuat tafsiran secara konstruktif. Peruntukan ini boleh ditafsirkan dengan makna yang lebih luas sesuai dengan hukum syarak dan pandangan fuqaha muktabar termasuk ulama mazhab Shafii. Umumnya, kesalahan Qazaf bukan sahaja merujuk kepada zina, malahan perkataan zina boleh sahaja ditafsirkan dengan makna yang lebih luas. Seiring dengan pandangan jumhur termasuk pandangan kuat Mazhab Shafii, zina dalam kes Qazaf juga merujuk kepada pertuduhan liwat ke atas seseorang. Pentafsiran ini bersandarkan kepada pandangan yang kukuh dan kuat daripada ramai ulama muktabar daripada pelbagai mazhab. Ini semestinya memberikan sandaran yang kukuh kepada Ketua Pendakwa Syarie untuk memulakan prosiding Qazaf dalam kes mana-mana pihak yang menuduh seseorang melakukan perbuatan liwat.

Tafsiran konstruktif ini juga bukan sahaja berasaskan kepada pandangan jumhur malahan terdapat beberapa peruntukan undang-undang lain yang boleh dirujuk. Seksyen 130 (2) Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Selangor) 2003 dan Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 termasuk seksyen 230 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Selangor 2003 menyebut secara jelas bahawa jika terdapat lakuna atau jika apa-apa perkara tidak diperuntukkan dengan nyata dalam Enakmen atau Akta ini, Mahkamah Syariah hendaklah memakai Hukum Syarak. Seksyen 3 Enakmen dan Akta ini mentafsirkan Hukum Syarak sebagai mengikut Mazhab Shafii, atau mengikut mana-mana satu Mazhab Maliki, Hanafi atau Hanbali. Peruntukan ini secara langsung memberikan ruang kepada Mahkamah Syariah untuk mentafsirkan definisi Qazaf untuk merangkumi kes menuduh seseorang melakukan perbuatan zina termasuk liwat, Ini bertepatan bukan sahaja dengan Mazhab Shafii malahan majoriti fuqaha mazhab lain yang mensabitkan liwat sebagai zina.

Pentafsiran secara konstruktif ini adalah bersesuaian dengan keadaan semasa masyarakat, memenuhi keperluan maslahah umum dan bertepatan dengan maqasid al-Syariah yang mesti dipelihara dan dipertahankan. Penulis mengambil pandangan bahawa Pendakwa Syarie boleh membawa kes ini ke Mahkamah Syariah dan hakim boleh menentukan pendekatan pentafsiran untuk menyelesaikan sebarang kekhilafan bersesuaian dengan kaedah ‘iza hakama al hakim rafa’a al khilaf’ yang bermaksud sekiranya hakim telah membuat keputusan maka terungkailah khilaf.

Dalam masa yang sama, penulis berpandangan bahawa terdapat keperluan pindaan undang-undang bagi peruntukan kesalahan Qazaf sedia ada. Sesuai dengan maqasid Syariah dan bertepatan dengan pendekatan umum yang meraikan Mazhab Syafii, maka tuduhan liwat juga sepatutnya merangkumi kes Qazaf dan bukan hanya merujuk kepada zina. Dengan menambah baik peruntukan di dalam enakmen sedia ini juga akan membuka ruang yang lebih luas ke arah penambahbaikan keseluruhan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah yang dilihat masih mempunyai pelbagai kelemahan dan kekurangan dari beberapa sudut termasuk pemakaian pandangan fuqaha.


Apakah Prosiding Qazaf Dalam Kes Tuduhan Seseorang Melakukan Liwat?

Pada asasnya, Enakmen Tatacara Jenayah Syariah negeri-negeri memperuntukkan bahawa hanya orang yang menuduh orang tertentu melakukan zina tanpa bukti empat orang saksi lelaki yang cukup syarat atau pengakuan tertuduh boleh dianggap melakukan jenayah Qazaf. Namun begitu, bersandarkan kepada peruntukan undang-undang dibawah enakmen negeri-negeri dengan disokong oleh pandangan majoriti fuqaha, Qazaf juga boleh ditafsirkan sebagai merangkumi tuduhan liwat. Ini menimbulkan kepada persoalan mengenai prosiding Qazaf dalam kes tuduhan liwat.

Umumnya, prosiding Qazaf adalah sama dengan kesalahan jenayah Syariah yang lain. Ia boleh dimulakan sama ada melalui laporan oleh yang dituduh atau orang awam atau pihak ketiga atau inisiatif hakim sendiri. Seksyen 8 dan 9 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Selangor 2003 memperuntukkan bahawa orang awam boleh membantu hakim, Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis dengan memberi maklumat mengenai sesuatu kesalahan jenayah syariah yang diperuntukkan. Ini selari dengan apa yang telah dilakukan sepertimana laporan yang telah dibuat kepada pihak berkuasa agama Selangor dan Pulau Pinang. Tuduhan Qazaf ini sekiranya dibawa ke Mahkamah memerlukan dua orang saksi yang mencukupi syarat, membuktikan kesahihan sesuatu dakwaan Qazaf itu.

Sekiranya pihak yang melaporkan maklumat kes Qazaf tersebut tidak berpuashati dengan tindakan pihak berkuasa agama, beliau boleh membuat ‘aduan’ terus kepada hakim. Seksyen 72 memberi kuasa kepada hakim untuk mendengar ‘aduan’ terus daripada pihak yang membuat aduan dan sekiranya mempunyai asas yang kukuh boleh mengeluarkan saman bagi kehadiran tertuduh. Hakim sebenarnya bukan sahaja boleh membicarakan sesuatu kes berdasarkan ‘aduan’ pihak tertentu tetapi juga boleh mengambil perhatian tentang kesalahan berdasarkan pengetahuannya sendiri dan dengan keterangan yang menyokong bahawa kesalahan itu telah dilakukan. Peruntukan ini juga berasaskan kepada bidang kuasa jenayah yang dimiliki hakim di bawah peruntukan seksyen 7 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Selangor 2003.

Walaupun secara dasarnya hakim boleh membicarakan kes Qazaf menerusi ‘aduan’ pengadu mahupun berdasarkan pengetahuannya sendiri seperti yang diperuntukkan di bawah seksyen 72, namun prosiding seumpama ini adalah sesuatu yang sangat jarang atau belum pernah dilaksanakan. Ini juga mungkin relevan dengan keputusan Mahkamah Syariah sebelum ini yang telah menolak permohonan untuk mengeluarkan perintah kepada Ketua Pendakwa Syarie untuk memulakan prosiding Qazaf. Mahkamah Syariah sendiri menolak untuk mencampuri urusan Ketua Pendakwa Syarie dan menganggap ia adalah suatu maksiat yang mesti dielakkan. Keputusan Mahkamah Syariah yang menolak permohonan tersebut juga disokong oleh seksyen 78 (2) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 yang memperuntukkan Ketua Pendakwa Syarie mempunyai kuasa menurut budi bicaranya bagi memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan di hadapan mana-mana Mahkamah Syariah. Ini bermakna, menantikan prosiding Qazaf menerusi aduan dan inisiatif hakim sendiri adalah sesuatu yang sukar berlaku di mana-mana negeri.


Kesimpulan

Peristiwa fitnah Ifk yang pernah berlaku terhadap keluarga Rasulullah SAW merupakan antara kisah yang sangat memberikan kesan kepada baginda dan seluruh umat Islam pada waktu itu. Ia hampir melibatkan pertumpahan darah serta faktor utama perselisihan faham dan perpecahan umat. Maka tidak hairanlah kesalahan Qazaf ini dinukilkan oleh Allah SWT di dalam al Quran secara spesifik berserta dengan hukuman yang sangat berat termasuk tidak diterima kesaksian selama-lamanya. Amaran Allah SWT dan Rasulullah SAW seumpama dipandang enteng dan remeh pada hari ini, di mana sudah ramai yang secara terang-terangan menganjurkan program berunsur Qazaf yang berpotensi untuk menjerumuskan ramai umat Islam secara tidak sedar untuk boleh melakukan kesalahan Qazaf.

Di antara isu utama yang timbul hari ini berkenaan dengan isu Qazaf ialah kes yang melibatkan tuduhan ke atas seseorang melakukan perbuatan liwat tanpa membawa bukti yang mencukupi dari segi hukum syarak. Umumnya, majoriti fuqaha bersetuju bahawa tuduhan liwat juga meliputi kesalahan Qazaf dan ia boleh dikenakan hukuman had. Malahan pandangan ini juga selaras dengan mazhab Shafii yang mentafsirkan Qazaf sebagai tuduhan liwat adalah sama dengan tuduhan zina. Ini merupakan asas kepada pemahaman isu Qazaf yang seharusnya dijadikan rujukan utama.
Perihal mengenai wujudnya tanggapan bahawa sesiapa tidak boleh dianggap melakukan Qazaf apabila membuat tuduhan liwat terhadap seseorang yang telah disabitkan kesalahan seks luar tabii di Mahkamah Sivil merupakan suatu tanggapan salah. Sabitan kesalahan di Mahkamah Sivil seperti yang diperuntukkan dalam Kanun Keseksaan tidak bermakna seseorang itu berhak atau boleh membuat tuduhan liwat. Sebarang pertuduhan atas kesalahan jenayah termasuk tuduhan liwat terhadap sesiapa tidak boleh sewenang-wenangnya dilakukan dikhalayak umum bahkan ia hanya boleh dibuat dihadapan hakim di Mahkamah Syariah mengikut prosedur dan prinsip undang-undang keterangan Islam. Harus juga diperingatkan bahawa jika seseorang itu dilarang untuk membuat tuduhan liwat terhadap sesiapa kerana boleh jatuh kesalahan Qazaf, begitu juga sebaliknya di mana sesiapapun tidak boleh sewenang-wenangnya menuduh orang lain melakukan kesalahan Qazaf. Sebarang pertuduhan mesti melalui prosedur keadilan syarie iaitu di Mahkamah Syariah di hadapan hakim.

Realiti yang ada pada peruntukan undang-undang Syariah di Malaysia menimbulkan beberapa persoalan dan seterusnya menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat. Peruntukan undang-undang di bawah Enakmen Jenayah Syariah negeri-negeri hanya menyebut kesalahan Qazaf sebagai tuduhan zina dan tidak menyatakan secara jelas kedudukan tuduhan liwat. Menerusi peruntukan yang umum ini, beberapa tafsiran boleh dibuat sama ada secara literal atau konstruktif. Tafsiran secara literal pastinya akan menghadkan Qazaf kepada tuduhan zina dan mengecualikan tuduhan liwat. Manakala tafsiran secara konstruktif akan memperluaskan Qazaf untuk merangkumi bukan sahaja tuduhan zina malahan tuduhan liwat. Kenyataan yang menyatakan bahawa Qazaf adalah merujuk kepada tuduhan zina secara mutlak adalah tidak tepat dan menyalahi ruh undang-undang Syariah itu sendiri.

Setelah meneliti pelbagai faktor termasuk ruang lingkup undang-undang, pendekatan pentafsiran, pandangan majoriti fuqaha serta maslahah dan maqasid Syariah, penulis berpandangan bahawa pentafsiran secara konstruktif adalah pendekatan terbaik dalam menentukan sama ada Qazaf merangkumi zina dan liwat atau sebaliknya. Bersesuaian dengan tuntutan maslahah dan maqasid Syariah, kekuatan nas dah hujah berserta dengan ruang tafsiran secara konstruktif yang ada, kesalahan Qazaf hendaklah ditafsirkan sebagai meliputi tuduhan liwat. Ini juga bertepatan dengan tafsiran Hukum Syarak yang mengiktiraf Mazhab Shafii termasuk Mazhab muktabar yang lain. Oleh itu, Ketua Pendakwa Syarie boleh memulakan prosiding Qazaf kepada sesiapa yang didapati telah membuat tuduhan liwat ke atas seseorang tanpa membawa saksi yang mencukup dari segi hukum syarak.

Dari aspek tatacara, sesiapa sahaja orang awam termasuk yang dituduh berhak untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa mengenai maklumat berkaitan dengan kesalahan Qazaf. Enakmen Tatacara Jenayah Syariah negeri-negeri memperuntukkan prosedur yang jelas mengenai perkara ini. Sekiranya selepas laporan dibuat dan pihak yang melaporkan tidak berpuashati dengan tindakan pihak berkuasa agama, maka pihak ini boleh membuat aduan kepada hakim di bawah seksyen 72 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Selangor 2003. Hakim berhak untuk mengarahakan pihak berkuasa agama untuk manjalankan siasatan dan mempunyai kuasa untuk mengeluarkan perintah untuk memanggil tertuduh. Bukan itu sahaja, seksyen 72 (b) memberikan kuasa kepada hakim untuk membicarakan sesuatu kes dengan berdasarkan pengetahuannya sendiri dengan keterangan yang menyokong bahawa kesalahan telah dilakukan selari dengan bidang kuasa jenayah yang dimiliki hakim di bawah peruntukan seksyen 7 Enakmen yang sama.

Kesimpulan yang boleh dibuat berdasarkan perbincangan di atas ialah peruntukan undang-undang sedia ada secara jelas membolehkan prosiding Qazaf dilaksanakan kepada mana-mana individu yang melakukan tuduhan liwat. Kenyataan yang mengatakan bahawa Qazaf merujuk kepada hanya tuduhan zina adalah tidak tepat. Enakmen Jenayah Syariah negeri-negeri memberikan ruang yang fleksibel untuk meluaskan tafsiran Qazaf berdasarkan hukum syarak. Oleh itu, Pendakwa Syarie hendaklah memberikan perhatian dan pertimbangan terhadap laporan Qazaf yang dibuat dan memulakan prosiding Qazaf sekiranya ia mempunyai asas yang kuat. Hakim juga boleh memainkan peranan yang penting dalam kes Qazaf ini dengan bertindak secara ‘inquisitorial’ dan pro-aktif bagi membicarakan kes yang mempunyai asas dan bukti serta sokongan keterangan yang kukuh. Lebih penting lagi, pindaan undang-undang yang menambah baik peruntukan di dalam enakmen sedia ada perlu dilaksanakan. Ini akan membuka ruang yang lebih luas ke arah penambahbaikan keseluruhan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah yang dilihat masih mempunyai pelbagai kelemahan dan kekurangan.

Rujukan
Akta/Enakmen
Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997
Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997
Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Selangor) 2003
Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995
Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003
Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Selangor 2003
Kanun Keseksaan (Akta 574)

Kes
Dato’ Seri Anwar Ibrahim v. PP & Another [2015] CLJ JT (3)
PP v. Dato’ Seri Anwar Ibrahim [2014] CLJ JT (1-1)
PP v. Dato’ Seri Anwar Ibrahim [2001] 3 MLJ 193

Buku/ Keratan Akhbar
Hanafi, Ibnu Hammam. (1970) Fath al-Qadir. Jilid 5. Mesir: Syirkah Maktabah Wa mathba’ah Musthafa al Babi al Halabi.
Muhammad, Anne. (2015, 10 Mac). Lagi Laporan Qazaf Pada Shafee Akan Dibuat. Malaysiakini. http://www.malaysiakini.com/news/291569
Zuhaili, Wahbah. (2006). Al Wajiz Fil Fiqhil Islami. Jilid 2. Beirut, Lebanon: Maktabah Darul Fikr.
Zulkifli, Zulaikha. (2015, 23 Februari). Wan Ji lapor kenyataan Shafee pada JAIS. Malaysiakini. http://www.malaysiakini.com/news/290023
Zurairi, AR. (2015, 24 Februari). Islamic affairs minister: False accusation offence only for man-woman sex, not sodomy. The Malay Mail. http://www.themalaymailonline.com/malaysia/article/islamic-affairs-minister-false-accusation-offence-only-for-man-woman-sex-no#sthash.kS8MEPp3.dpuf

Share this post

Leave a Reply

SUBSCRIBE

Get the latest posts delivered to your mailbox: