Influential scholar criticizes Salafi movement
April 6, 2011A Brief Overview on Islamic Law of Evidence in Malaysia
April 8, 2011KEWANGAN ISLAM SEBAGAI MEDAN DAKWAH
Oleh Zulkifli Hasan Dipaparkan dalam Majalah Risalah ABIM Edisi Mac 2011.
Revolusi di Tunisia dan Mesir telah mengejutkan dunia dan membuatkan ramai pemimpin-pemimpin diktator tidak dapat tidur lena. Berlainan dengan revolusi sebelum ini seperti Revolusi Mesir 1919 yang bermatlamatkan pembebasan dari belenggu penjajah, Revolusi Mesir 1952 bagi menamatkan legasi dinasti Muhammad Ali Pasha dan Revolusi Iran 1971 yang bermotifkan pembentukan negara Islam, revolusi yang berlaku pada 2011 ini tercetus akibat daripada ketidakseimbangan ekonomi dan kesempitan hidup. Di Tunisia, kematian seorang graduan penjual buah-buahan yang telah membakar dirinya demi membuktikan ketidakadilan ekonomi telah menjadi perintis kepada tercetusnya revolusi Jasmin yang membawa kejatuhan rejim Ben Ali. Di Mesir, kadar kemiskinan (50% penduduk hidup dibawah paras kemiskinan) dan pengangguran yang begitu tinggi, kesempitan hidup dan ketidakstabilan ekonomi menjadi faktor utama revolusi yang membawa kejatuhan rejim Hosni Mubarak.
Kepentingan ekonomi sebagai saluran dakwah merupakan sunnah yang perlu diberikan nafas baru dan dijelmakan dalam bentuk yang lebih berhikmah dan strategik. Keupayaan Rasulullah Sallallahualaihiwasallam bermuamalat menguruskan perniagaan Saidatina Khadijah membuktikan ekonomi boleh menjadi alat dakwah yang sangat berkesan. Kehebatan para sahabat seperti Abu Bakar Al Siddiq, Abdul Rahman Auf, Uthman bin Affan dan Zubair Al Awwam sebagai ahli perniagaan bukan sahaja telah menjana ekonomi Madinah bahkan menjadi medan dakwah yang sangat efektif. Ini dinukilkan dengan jelas oleh Allah subhanahuwataala di dalam surah al-Hujurat ayat 15 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).”
Kemunculan idelogi sistem ekonomi Islam pada tahun 1950an-1960an melalui pemikiran Sayid Abul A’la Mawdudi, Muhammad Nejatullah Siddiqi, Sayed Nawab Haider Naqvi, Muhammad Uzair dan Ahmad El Najjar merupakan satu pencetus dan panggilan dakwah dalam bentuk yang sangat dinamik. Saluran dakwah melalui ekonomi Islam yang berpaksikan kepada keadilan sosial memberi ruang yang lebih luas kepada pendakwah kerana sektor ekonomi sangat berhubungkait dengan seluruh aktiviti masyarakat. Usaha-usaha dakwah untuk membebaskan masyarakat dari terjerumus ke lembah riba merupakan misi dakwah yang sangat tinggi nilainya. Di dalam surah al baqarah ayat 278 Allah subhanahuwataala telah mengabadikan pengharaman riba sebagaimana firmanNya ”Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkanlah sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman”. Sebagai dalil betapa besar dosa riba, Allah Subhanahuwataala telah mengisytiharkan perang kepada golongan yang terbabit dengan riba di ayat seterusnya yang bermaksud ”Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah bahawa Allah dan RasulNya akan memerangimu. Dan jika bertaubat (dari pengambilan riba), maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak tidak (pula) dianiaya (dirugikan)”.
Bersandarkan kepada firman Allah subhanahuwataala di atas, maka tidak hairanlah umat Islam pada hari ini mundur dan ketinggalan dari segenap aspek termasuk ekonomi. Jika ditelusuri sejarah kejatuhan empayar Turki Uthmaniyah, didapati faktor bebanan hutang dengan kadar riba yang sangat tinggi merupakan antara punca utama kemerosotan. Hingga kini, semua negara-negara Islam telah terbelenggu dengan riba di mana sistem kewangan konvensional yang diamalkan adalah berlandaskan faedah. Dalam keadaan ini, mana mungkin umat Islam akan mendapat kerahmatan dan keberkatan tatkala Allah subhanahuwataala secara jelas memerangi golongan yang mengamalkan riba. Di atas faktor inilah, usaha dakwah ke arah melaksanakan satu sistem ekonomi yang bebas dari riba dan berpaksikan kepada keadilan sosial merupakan salah satu agenda dakwah yang sangat-sangat dituntut dan perlu diutamakan pada ketika ini.
Usaha-usaha menjadikan kewangan Islam sebagai medan dakwah bukanlah sesuatu yang begitu sukar pada hari ini berbanding dengan keadaan yang berlaku sebelum wujudnya institusi kewangan Islam. Imej, kredibiliti dan prestasi kewangan Islam yang ditunjukkan melalui perlaksanaannya membuktikan bahawa sistem ekonomi Islam memperjuangkan keadilan sosial secara menyeluruh. Misalnya penubuhan institusi kewangan Islam yang pertama di Mesir pada 1963 iaitu Mit Ghamr telah dapat meningkatkan kehidupan sosio-ekonomi masyarakat tidak mengira agama dan bangsa. Sehingga kini sektor ini telah diterima secara positif dan ianya bukan sahaja diamalkan di negara-negara majoriti penduduk Islam bahkan di negara-negara barat dan minoriti penduduk Islam seperti Amerika, Australia, Jepun, Kanada, Perancis, United Kingdom, Jerman, Luxembourg, Korea Selatan, Ireland dan Itali.
Perkembangan pesat kewangan Islam di dunia dengan menikmati purata pertumbuhan 15-20% setahun telah mencecah AS$1 trilion pada 2010 dan dalam masa lima tahun akan datang ianya akan mencapai saiz AS$2 trilion dan bakal memberikan impak yang signifikan kepada sektor kewangan dunia yang kini bernilai AS$232 trillion (tidak termasuk pasaran derivatif). Walaupun kewangan Islam dilihat terus berkembang secara positif dan dinamik, namun demikian potensi dakwah masih belum dieksploitasikan sepenuhnya. Bilangan muslim di seluruh dunia yang kini mencecah lebih 1.8 bilion membuktikan potensi besar dakwah yang sepatutnya dieksploitasikan.
Sebagai illustrasi kepada potensi medan dakwah melalui kewangan Islam, perbandingan di antara nisbah penduduk dan nilai aset perbankan Islam mungkin boleh dijadikan kayu ukur. Di Malaysia, dengan bilangan penduduk seramai 28 juta di mana 60.4% Muslim, jumlah aset perbankan Islam hanya menjangkau 20% daripada total aset perbankan. Indonesia yang mempunyai penduduk Muslim paling ramai di dunia iaitu 88% daripada 234.6 juta hanya merekodkan 2.9% aset perbankan Islam. Begitu juga di Pakistan dengan 170 juta penduduk, 97% Muslim, aset perbankan Islam hanya mencapai 6.4%. Angka-angka ini dengan jelas menunjukkan bahawa masih banyak usaha-usaha dakwah mempromosikan kewangan Islam yang perlu dilaksanakan.
Fenomena yang sama juga berlaku di negara-negara Islam yang lain. Di Kuwait misalnya dengan 3.6 juta penduduk, 100% Muslim, aset perbankan Islam hanya mencecah 34.3%. Di Qatar, negara berpendapatan per kapita tertinggi dunia (AS$83,841) dihuni 1.4 juta penduduk, 95% Muslim, merekodkan 19.3% aset perbankan Islam. Arab Saudi sebagai pengeluar minyak utama dunia dengan 25% jumlah seluruh simpanan minyak dunia mempunyai 26.1 juta penduduk, 100% Muslim, aset perbankan Islam hanya 15.9%. UAE yang memiliki Abu Dhabi Investment Authority, firma ‘sovereign wealth fund’ terbesar di dunia mempunyai 5.1 juta penduduk, 96% Muslim, hanya mencatatkan 14% aset perbankan Islam. Bahrain sebagai salah sebuah negara yang paling giat mempromosikan kewangan Islam merekodkan hanya 10.9% aset perbankan Islam. Fakta-fakta ini secara jelas menunjukkan bahawa umat Islam masih belum bebas dari dibelenggu oleh sistem ekonomi berasaskan riba walaupun di negara-negara yang kaya dengan hasil minyak dan majoriti penduduk beragama Islam merekodkan peratusan yang kecil dalam sektor kewangan Islam.
Di samping melihat kewangan Islam sebagai salah satu wadah untuk berdakwah, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat pelbagai kritikan kepada amalan dan perlaksanaannya yang dikatakan tidak memenuhi maqasid Shari’ah dan gagal meningkatkan sosio-ekonomi masyarakat. Mahmud El Gamal, Timur Kuran, Muhammad Umar Chapra, Killian Balz, Muhammad Saleem dan Mehmet Asutay misalnya telah mengkritik perlaksanaan kewangan Islam yang dilihat cenderung kepada sistem ekonomi kapitalis. Namun demikian, perkara ini bukanlah faktor yang boleh melepaskan tanggungjawab berdakwah. Usaha-usaha memperbetul dan mentrasformasikan amalan kewangan Islam melalui kritikan dan proses pentarbiyahan juga merupakan satu metod dakwah yang sangat dituntut. Ini bertepatan dengan ruh yang terkandung di dalam ayat 55 surah al dhariyat yang bermaksud ”Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanafaat bagi orang-orang yang beriman”.
Dengan peluang dan potensi yang ada, medan dakwah yang ditawarkan menerusi saluran kewangan Islam seharusnya diekspolitasikan sebaik-baiknya bahkan perlu dianggap sebagai satu ibadah dan satu cabang jihad ekonomi yang perlu dilaksanakan secara bijaksana. Sheikh Hussain Shahatah di dalam bukunya ”Jihad Ekonomi” secara jelas menyatakan bahawa jihad ekonomi adalah kefarduan yang telah ditentukan oleh syarak dan keperluan yang dituntut oleh akidah. Usaha-usaha pemartaban sektor kewangan Islam menerusi metod dakwah yang berhikmah mempunyai nilai ibadah yang sangat tinggi di dalam Islam. Berdakwah untuk membebaskan masyarakat daripada sistem yang berlandaskan riba melalui kewangan Islam adalah sangat dituntut di mana ianya berupaya untuk meningkatkan taraf kehidupan serta sosio-ekonomi dan seterusnya membuktikan keindahan Islam sebagai sistem yang berpaksikan kepada keadilan sosial.
Best Regards
ZULKIFLI HASAN
With Sheikh Dr. Amin Fateh in Dubai, UAE.