Fiqh al-Ta’ayush dan al-Muwatanah Dalam Naratif Baharu Malaysia

 Fiqh al-Ta’ayush dan al-Muwatanah Dalam Naratif Baharu Malaysia

Zulkiflihasan.com

Pendahuluan

1.         Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izinNya kita dapat bersama menjayakan Seminar Dakwah Pasca Malaysia Baharu 2019, sebuah Majlis Ilmu bertemakan Pembinaan Negara Bangsa Dalam KerangkaFiqh al-Ta’ayush dan al-MuwatanahPendekatan Manhaj Maliziy. Lebih bermakna lagi apabila Seminar ini diadakan setelah setahun berlakunya perubahan lanskap politik Malaysia dan setelah 62 tahun menyambut kemerdekaan. Adalah suatu penghormatanbagi saya untuk beradadi Seminariniyang khusus dianjurkan untukmembina dan mencetus kefahaman dan kesedaran mengenai teori, konsep, falsafah dan aplikasi Fiqh al taayush dan al-Muwatanahdalam konteks Malaysia.

2.         Sesungguhnya dunia pada hari ini berada dalam era perubahan yang penuh dengan cabaran. Di era post-secularism, abad ke-21 bakal menyaksikan dunia akan lebih beragama dan sekularism akan mula luntur. Di era post-modernitykita akan melihat bentuk masyarakat post-modernyang obsesseddengan kesamarataan sebagai hak asasi manusia. Di era post-capitalism, modal dan buruh bukan lagi asas utama penciptaan kekayaan tetapi ilmu pengetahuan adalah ‘basis of wealth’. Di era post-industry, sektor perkhidmatan dan teknologi maklumat mencipta lebih kekayaan berbanding sektor pembuatan. Di era post-Islamism, kita melihat perkembangan generasi baru kebangkitan Islam mendepani realiti dalam kerangka sistem demokrasi.

3.         Dalam konteks politik hari ini, kita sebenarnya berada di dalam era dinamakan sebagai post-truthyang melihat kebenaran itu sesuatu yang bersifat relatif. Dalam erti kata lain, dunia hari ini boleh juga dikatakan berada dalam era post-normaldi mana banyak perkara luar jangkaan dan kadangkala sukar untuk dirasionalkan berlaku dalam masyarakat. Oleh itu, dalam era ‘post’ atau pasca ini yang menyaksikan dunia berubah dengan begitu pantas, kita perlu bersedia dengan ilmu pengetahuan dan hikmah agar boleh terus relevan dan dapat mendepani cabaran hari ini dan masa depan. 

Al-Ta’ayush

5.         Meneliti realiti dunia hari ini dengan dinamika kemajmukan dan kepelbagaian, ia menuntut kepada keberanian zaman menerusi pendekatan berhikmah dan kekuatan ilmu untuk mencetuskan pemikiran baharu yang berasaskan kepada maslahah. Ijtihad dalam aspek siyasah terutamanya perlu terus berlaku dan disesuaikan dengan teks dan konteks. Dalam konteks ini, konsep Fiqhal-Ta’ayush dan al-Muwatanahperlu diwacanakan secara meluas di Malaysia bagi memberikan kefahaman yang dinamik dan progresif kepada amalan bernegara. Perlu diingatkan bahawa ucaptama ini hanya menyentuh secara umum konsep Fiqh al-Ta’ayush danal-Muwatanahini dan tidak bermaksud untuk menghuraikannya secara komprehensif. Rujukan kepada kitab-kitab turath dan kontemporari termasuk wacana-wacana dan kelas pengajian perlu diteruskan bagi mendalami dan memahami secara kemas Fiqh al-Ta’ayush dan al-Muwatanahini. 

6.         Al-ta’ayush atau co-existence merujuk kepada Islam sebagai agama universal yang membawa rahmahdan mesej kepada semua umat manusia, iaitu mesej yang memerintahkan keadilan dan melarang ketidakadilan dan meletakkan asas bagi keamanan, dan menyeru kepada kehidupan bersama dalam kalangan semua manusia dalam suasana persaudaraan dan toleransi dalam kalangan semua rakyat tanpa mengira bangsa, warna kulit dan kepercayaan. Fiqh al-Ta’ayushini dalam erti kata lain merujuk kepada kefahaman dalam kehidupan bersama antara satu sama lain dalam keadaan kasih sayang dan harmoni. Sebagai contoh“Taayasha al-jiran” (تعايشالجيرانُ) berkisar tentang hidup atas sikap kasih sayang, beri memberi, dan kejiranan yang baik” manakala al-Ta’ayush al-silmi (التَّعايشالسِّلميّ) menerapkan persefahaman antara negara untuk hormat menghormati dan tidak melampaui batas atas satu sama lain.

7.         Syeikh Abdullah bin Bayyah merumuskan al-Ta’ayush bermaksud al-wujud al-mutazamin (الوجودالمتزامن) iaitu Kewujudan Bersama. Ia menuntut kepada umat Islam untuk memperkenalkan Islam kepada orang bukan Islam. Walaupun orang bukan Islam tidak menerima Islam menjadi kewajipan untuk umat Islam hidup bersama secara aman, menjamin keselamatan, menegakkan keadilan dan saling menolong pada perkara yang maaruf. Ini selaras dengan prinsip persaudaraan atas dasar kemanusiaan (al-ukhuwah al-insaniyyah)dan kewajipan berbuat baik kepada semua. Dalam berinteraksi dengan non Muslim yang baik, al-Quran memilih perkataan al-birr. Perkataan sama digunakan pada suruhan berbakti kepada ibu bapa. Bahkan Persidangan ke-23 Majma al-Fiqhal-Islami al-Dawliyang diadakan di Madinah al-Munawarrah 19-23 Safar 1440 mengangkat konsep al-Ta’ayush ini di mana resolusi no. 229 (13/23) meletakkan al-Ta’ayush al-karim sebahagian daripada kerangka tuntutan Islam yang perlu dipertonjolkan dan diamalkan. 

Al-Muwatanah

8.         Di antara isu yang hingga ke hari ini ditimbulkan ialah hak-hak kaum minoriti di sesebuah negara yang majoritinya penduduk Islam. Hakikatnya, ramai yang mengklasifikasikan kaum minoriti bukan Islam ini sebagaiAhlu Zimmah. Menjelaskan konsep Ahlu Zimmahdalam konteks masyarakat pada hari ini, al-Qaradhawi di dalam bukunya ‘Al-Din wa al-Siyasah’berpandangan bahawa istilah ini lebih bersesuaian digantikan dengan ‘alUkhuwah al-Muwatanah. Pandangan ini amat bertepatan kerana istilah Ahlu Zimmahini asalnya terpakai kepada kaum minoriti yang membayar jizyah untuk mendapat jaminan perlindungan manakala pada hari ini dalam konteks Malaysia, kaum minoriti tidak membayar jizyah dan status mereka juga adalah sebagai warganegara. Malahan dalam aspek ini, al-Qaradhawi, mengesyorkan skim cukai yang sama rata ‘dharibah takaful’ dengan mengambil kira status sebagai warga negara atau saudara senegara dan bukan lagi dalam bentuk jizyah. Ini disepakati oleh Fahmi Huwaidi di dalam bukunya ‘Muwatinun la Dhimmiyun’yang berpandangan bahawa istilah Ahlu Zimmahini perlu digantikan dengan istilah yang lebih tepat dalam konteks negara bangsa.

9.         Istilah ‘al-Ukhuwat al-Muwatanahini dilihat mampu memberikan tasawwur baru kepada metode dan pendekatan politik kepada golongan bukan Islam. Konsep saudara senegara adalah amat bertepatan dalam merujuk kaum minoriti bukan Islam di Malaysia. al-Quran yang tidak hanya menyebut persaudaraan keagamaan seperti di dalam surahal-Hujurat: 10yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara’tetapi dengan maksud yang lebih luas, meliputi persaudaraan seagama, persaudaraan sebangsa, persaudaraan setanahair dan persaudaraan kemanusiaan sejagat. Ini dirakamkan oleh Allah swt di dalam al Quran seperti (…akhuhum Nuh…surahal Shu`ara’: 105, 106, (akhuhum Lut)surahal Shu`ara’: 160,161, (akhuhum Hud)surahal Shu`ara’: 124, dan (akhuhum Salih surahal-Shu`ara’:1 42. Kata akhuhumdalam ayat-ayat ini secara jelas member makna persaudaraan walaupun pada waktu itu masih ada warga yang masih tidak beriman dengan Allah swt. 

10.       Dalam konteks demokrasi di bawah ruang lingkup Islam, dasar dantasawwur mengenai hubungan sesama warganegara dan bukan Islam sama ada di negara majoriti penduduk Islam dan juga di mana orang Islam adalah minoriti perlu diberikan perhatian. Bagi maksud ini, konsep ‘al-Ukhuwat al-Muwatanah’ mahupun‘al-Ukhuwat al-Insaniyyahperlu diberikan ruang yang sewajarnya untuk dijadikan satu pendekatan yang lebih segar dan berkesan khususnya dalam mengolah semula konsep ukhuwah dan hubungan dengan bukan Islam.

Manhaj Maliziy

11.       Di samping merujuk kepada istilah dan konsep al-Taayush, orang Melayu juga mempunyai amalan dan model al-Ta’ayush yang tersendiri. Malahan beberapa amalan dan budaya orang Melayu adalah amat selari dengan ajaran Islam seperti konsep Sejahtera dan Muhibah. Bahkan Tongyeong Universiti di Korea Selatan menggunakan istilah sejahtera dalam menamakan pusat penyelidikan dengan nama RCE Tongyeong Sejahtera Forest and Sejahtera Centre.Mungkin sudah sampai masanya kita juga mempopularkan istilah dan konsep murni orang Melayu kepada dunia. Jika orang Jepun terkenal dengan Kaizen dan Ikigai, Hyggae-Denmark, Lagom-Sweden,Ubuntu-Afrika Selatan dan ia terpakai dan popular di seluruh dunia, mengapa tidak kita orang Melayu berbangga dengan amalan dan falsafah kehidupan yang selari dengan ajaran Islam. 

12.       Tunku Abdul Rahman Perdana Menteri Pertama pernah mempopularkan dan mempromosikan konsep “muhibah” dalam memupuk perpaduan kaum dalam negara yang berbilang bangsa dan agama. Sejahtera juga merujuk kepada keamanan dan keselamatan; ketenteraman di dunia dan di akhirat. Seiring dengan makna al-Taayush,muhibah dan sejahtera juga mengandungi makna yang hampir sama dengan pengertian kekeluargaan, kebersamaan, cinta dan kasih sayang, simpati dan empati, hormat menghormati dan kesopanan, ketenteraman dan keamanan. 

13.       Sehubungan dengan itu, amalan Fiqhal-Ta’ayushperlu dilihat dalam konteks realiti Malaysia. Ia berbesa di negara majoriti bukan Islam yang lebih sesuai dibicarakan dalam konteks Fiqhal-aqaliyyat. Dalam konteks Malaysia orang bukan Islam lebih sesuai dirujuk sebagai al-muwatinun(warganegara) kerana mereka juga adalah warganegara yang sah daripada segi undang-undang dan Perlembagaan. Perkara 8 Perlembagaan Malaysia secara jelas menyebut bahawa semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.Orang bukan Islam bebas mengamalkan budaya dan agama mereka dalam sebuah negara dengan syarat tidak memberi mudarat kepada orang lain.

14.       Konsep al-Ta’ayushini menganjurkan bahawa orang Bukan Islam boleh sama-sama menikmati hak dan sama-sama memikul tanggungjawab sebagai seorang warga negara yang dijamin di dalam perlembagaan persekutuan dan juga berkongsi komitmen mempertahankan kedaulatan negara. Al-waqi` al-Maliziini mengambil kira dinamika nas dari sudut teks dan konteks mengambil realiti tersendiri keMalaysiaan yang mungkin tiada di tempat-tempat lain. 

15.       Dimensi lain yang sangat penting untuk diketengahkan ialah menukar naratif melihat orang Bukan Islam di Malaysia sebagai kafir “harbi” yang boleh diperangi. Bagi maksud ini, ulama kontemporari memperkenalkan istilah ummah al- da`wah. Ini bermakna orang Bukan Islam adalah golongan yang perlu didekati dan disantuni. Seiring dengan ruh dan maksud rahmah li al-`alamin Islam membawa rahmah ke seluruh alam. Ummah al-da`wahini mesti didekati dan disantuni dengan menggunakan pendekatan ummahat al-asalibseperti yang dituntut dalam surah al-Nahlayat 125, iaitu uslubdakwah secara al-hikmah, al-maw`izah al-hasanahdan al-mujadalah billati hiya ahsan.  

Sahifah Madinah Asas Fiqhal-Ta’ayush dan al-Muwatanah

16.       Asas Fiqhal-Ta’ayush dan al-Muwatanahini sebenarnya sudah pun terukir kukuh dalam Sahifah Madinah atau Piagam Madinah yang dimeterikan pada Tahun Pertama Hijrah bersamaan 622M di mana 23 fasal membicarakan tentang hubungan antara umat Islam sesama umat Islam iaitu antara Ansar dan Muhajirin dan 24 fasal yang berbaki membicarakan tentang hubungan umat Islam dengan umat bukan Islam. Antara kandungan Sahifah Madinah yang relevan disebutkan di sini:

Fasal 1: Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Penyayang : Inilah kitab (Piagam Bertulis) daripada Nabi Muhammad, pesuruh Allah bagi orang-orang yang beriman dan orang-orang yang memeluk Islam dari Quraisy dengan penduduk Yathrib dan orang-orang yang bersama mereka lalu masuk ke dalam golongan mereka dan berjuang bersama-sama mereka;

Fasal 2: Bahawa mereka adalah satu umat (bangsa) berbeza dari manusia-manusia lain (innahum ummatun wdhidatun min duninnas);

Fasal 16: Bahawa orang-orang Yahudi yang menyertai kita hendaklah mendapatkan pertolongan dan pimpinan dengan tidak menzalimi dan tidak boleh ada pakatan tidak baik terhadap mereka;

Fasal 18: Bahawa setiap serangan kita hendaklah dikira sebagai serangan terhadap semua, oleh itu hendaklah disilihgantikan tenaga menentangnya;

Fasal 25: Bahawa kaum Yahudi dari Bani Auf adalah satu ummah bersama orang-orang mukmin (wa-inna Yahuda Bani ‘Awfummatun ma’a I-mu’minin), mereka bebas dengan agama mereka sendiri (Yahudi) dan orang Islam dengan agama mereka (Islam), begitu juga orang-orang yang sekutu mereka dan begitu juga diri mereka sendiri, melainkan sesiapa yang zalim dan berbuat dosa maka hal itu tidak akan menimpa melainkan dirinya dan keluarganya sendiri;

Fasal 45: Apabila mereka diajak untuk berdamai atau untuk masuk campur dalam satu-satu perdamaian maka hendaklah mereka bersedia berdamai atau masuk campur ke dalam perdamaian itu; dan bila mana mereka diajak berbuat demikian maka orang-orang mukmin hendaklah merestuinya kecuali terhadap orang-orang yang memerangi agama (Islam);

17.       Sahifah Madinah memperlihatkan kepelbagaian dalam bingkai kesatuan (al-tanawwu` fi itar al-wihdah). Rasulullah SAW telah menjadikan Piagam Madinah sebagai perlembagaan pertama di dunia mendahului Magna Carta. Sahifah Madinah meletakkan asas sebuah daulah yang tidak mendiskriminasikan antara warganegaranya daripada aspek agama, keturunan, bangsa dan kepelbagaian. Sahifah Madinah dengan jelas meletakkan tanggungjawab memelihara negara sebagai amanah kepada semua warganegara. Secara umumnya, Sahifah Madinah adalah rujukan Asas Jaminan Hak Minoriti, prinsip universal Islam, meraikan kepelbagaian Bersama sebagai satu umat sewarganegara, terbentuk hasil persefahaman dan persetujuan bukannya peperangan, mengangkat prinsip Rahmah, hikmah, adil dan maslahahdan menjamin hak dan tanggungjawab warganegara. 

18.       Mungkin seiring dengan ruh Sahifah Madinah, saya ingin mencadangkan kepada Kerajaan dan Majlis Agama untuk menganjurkan Sambutan Khas 1441 Tahun Sahifah Madinah di Peringkat Negeri dan Kebangsaan dengan mengangkat tema Rahmatan Lil’alamin. Ini juga boleh dijadikan asas dan kerangka utama model dalam membina Malaysia baharu yang lebih gemilang. Jika di Barat mereka telah membuat Sambutan Magna Carta 1215 secara besar-besaran yang kini berumur 804 tahun, umat Islam sepatutnya lebih berbangga dengan Sambutan Sahifah Madinah 1441 tahun yang mendahului zaman.

Dhawabit Fiqhal-Ta’ayush dan al-Muwatanah

19.       Di samping memahami Fiqhal-Ta’ayush dan al-Muwatanahini, kita juga mesti mengetahui al-Dhawabitatau parameter pelaksanaannya. Al-Dhawabitini sangat penting bagi memastikan Fiqhal-Ta’ayush dan al-Muwatanahini difahami secara menyeluruh dan tepat. Walaupun Islam mengajar umatnya berbuat baik kepada semua termasuk golongan bukan Islam, namun ia masih tertakluk kepada tuntutan akidah dan Tauhid. KonsepMuwalat al-mu’minin (memberi wala’ kepada orang beriman) dan mu’adah al-kafirin (berlepas diri daripada orang kafir) merupakan tuntutan agama dan termasuk dalam tuntutan kalimah tauhid.

20.       Fiqhal-Ta’ayush dan al-Muwatanah terbina di atas prinsip dan dasar Islam yang menyeru kepada kesejahteraan dan keamanan. Perubahan hukum dan pendekatan Fiqhal-Ta’ayushdan al-Muawatanahini juga berlaku dalam perkara-perkara yang bersifat mutaghayyirat dan ijtihadi sahaja. Perkara yang tergolong dalam thawabit dan qati’e tidak boleh berubah dan ia kekal sepertimana yang disyariatkan.

21.       Al-Ta’ayush juga hendaklah berlaku dalam suatu perkara yang baik atau ma’ruf bukan mungkardan ia terpakai selagi mana orang Bukan Islam tidak memerangi agama Islam atau khianat kepada perjanjian. Ini selari dengan firman Allah SWT yang bermaksud: 

Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.” (Surah al-Mumtahanah: 8)

Penutup

22.       Dalam konteks dunia masakini menerusi kerangka konsep negara bangsa seiring dengan perubahan lanskap politik tanahair, konsep Fiqhal-Ta’ayush dan al-Muwatanahini seharusnya difahami dengan makna yang lebih luas dan terbuka. Dalam ruang demokrasi dibawah ruang lingkup Islam, dasar dan tasawwur mengenai hubungan sesama warganegara dan bukan Islam sama ada di negara majoriti Muslim dan juga di mana Muslim adalah minoriti perlu diberikan perhatian. Konsep al-Ta’ayush al-Silmi, al-Ukhuwah al-Islamiyah, al-Ukhuwat al-Muwatanahdan al-Ukhuwat al-Insaniyyahatau al-Ukhuwah al-Basyariahperlu dijadikan tema perbincangan dan diberikan ruang yang sewajarnya untuk dijadikan satu pendekatan yang lebih segar dan berkesan khususnya dalam mengolah semula konsep ukhuwah dan hubungan semasa Muslim dan bukan Muslim. Konsep Fiqhal-Ta’ayush al-Silmidan al-Muwatanahini perlu dijadikan silibus dan kandungan utama dalam sistem Pendidikan di Malaysia dalam segenap peringkat. 

23.       Akhir kalam, saya mewakili saf pimpinan ABIM Negeri Sembilan ingin menzahirkan rasa terima kasih dan mengucapkan setinggi-tingi penghargaan dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat ABIM Negeri Sembilan, Wadah Negeri Sembilan, Persatuan Pelajar Islam Negeri Sembilan, serta semua pihak yang terlibat di atas usaha merealisasikan penganjuran Seminar Dakwah Pasca Malaysia Baharu 2019. Saya sudahi ucaptama ini dengan Firman Allah SWT yang bermaksud;

 “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).” (Surah al-Hujurat: 13)

SUBSCRIBE

Get the latest posts delivered to your mailbox:

Page Reader Press Enter to Read Page Content Out Loud Press Enter to Pause or Restart Reading Page Content Out Loud Press Enter to Stop Reading Page Content Out Loud Screen Reader Support