Covid-19 and Future Scenarios of the Muslims World

COVID-19 DAN SCENARIO MASA HADAPAN DUNIA ISLAM

Zulkiflihasan.com

Kebanyakan analisis dan komen mengenai Covid-19 sama ada dari sudut ekonomi, sosial dan budaya adalah berbentuk implikasi negatif terhadap kehidupan manusia. Berbanding krisis kewangan 2018 yang kompleks dan rumit, pandemik Covid-19 adalah lebih mudah difahami. Nouriel Roubini dalam artikel A Greater Depression menyatakan bahawa Covid-19 akan memberi kejutan luar biasa kepada ekonomi dunia lebih teruk berbanding Krisis Kewangan 2018 dan the Great Depression 1929-1939. Direkodkan, dalam masa dua minggu, 10 juta pekerjaan hilang di Amerika Syarikat, melebihi krisis kewangan 2008 di mana 8.8 juta hilang pekerjaan dalam masa 106 minggu. Negara-negara yang dilihat sebelum ini mampan dan recession-proof juga nampak goyang dan mungkin ada beberapa negara yang akan jadi failed-state gagal teruk menangani pandemik ini. Dunia menyaksikan pakej rangsangan bernilai trillion dollar disuntik termasuk negara-negara maju dan kaya untuk memberi nafas kepada ekonomi. 

Mungkin sudah terlalu banyak analisis dan andaian yang bersifat negatif kesan pandemik Covid-19 kepada manusia. Penulis ingin mengambil pendekatan yang sedikit berbeza atau dimensi alternatif Covid-19. Lebih-lebih lagi tidak banyak penulisan dalam Bahasa Melayu membicarakan topik sebegini. Artikel ini cuba memberikan input dan dimensi baharu pandemik Covid-19 kepada pembaca. Sebagai contoh, buku berjudul the Great Leveller: Violence and the History of Inequality from the Stone Age to the 21st Century terbitan Princeton karya Walter Scheidel mengambil perspektif yang berbeza dengan menyatakan bahawa pandemik dapat mengurangkan ketaksamarataan. Buku ini menyenaraikan empat tonggak yang dapat mengurangkan ketaksamarataan sepanjang sejarah dunia bermula zaman Rom sehingga abad ke-20 merangkumi Peperangan, Revolusi, Kegagalan Negara (state failure) dan Pandemik. Black Death yang berlaku sekitar 1347-1351 telah mengorbankan lebih kurang 200 juta penduduk Eropah dan sekitarnya dan Spanish Flu1018-1919 meragut lebih kurang 50 juta orang. Walter Scheidel cuba membuktikan menerusi naratif sejarah bahawa di sebalik kesan negatif, pandemik seperti Black Death dan Spanish Flu sebenarnya membuka ruang untuk manusia melihat peluang menyeimbangkan atau mengurangkan ketaksamarataan dalam masyarakat. Pandemik Spanish Flu dikatakan telah membantu Eropah mencipta perkhidmatan kesihatan yang lebih baik dan mewujudkan negara moden berkebajikan.   

Pandemik Covid-19 menyebabkan sistem global berhenti seketika dan hampir seluruh dunia melakukan Perintah Kawalan Pergerakan. Penduduk dikehendaki berkurung di rumah dan kilang-kilang, kedai-kedai, pejabat-pejabat dan pelbagai premis perniagaan ditutup sementara. Bilangan kenderaan di jalanraya dan pencemaran tidak lagi seperti sebelum ini di seluruh dunia. Keadaan ini menyaksikan alam sekitar kembali bersih. Kajian dijalankan Universiti Stanford oleh Marshall Burked mendapati bahawa data kualiti udara di China semasa pandemik Covid-19 berubah menjadi lebih baik dengan mendadak. Kualiti udara yang baik ini sebenarnya dapat menyelamatkan lebih kurang 1400 kanak-kanak berumur bawah lima tahun dan 51700 orang dewasa berumur lebih 70 tahun. Kajian sebelum ini menunjukkan bahawa pencemaran udara di China adalah penyebab utama kematian 1.1 juta penduduk China setahun. Bahkan Sungai Gangga di India yang terkenal sebagai antara sungai paling tercemar di dunia, kini kembali pulih sehinggakan airnya boleh diminum di beberapa kawasan kesan positif berikutan pandemik Covid-19. 

Di sebalik kesengsaraan dan kesusahan yang dibawa, pandemik Covid-19 sebenarnya memberikan mesej penting dan membuka mata ramai pihak mengenai peluang negara-negara lain muncul untuk menerajui dunia di masa hadapan. Kemampuan sebenar dan keanjalan negara-negara maju dengan kecanggihan teknologi yang dimiliki masih gagal untuk menangani pandemik dengan berkesan. Dunia menyaksikan bagaimana hatta negara maju seperti Amerika Syarikat, Perancis, United Kingdom, Itali dan Sepanyol berhempas pulas dan tidak dapat menangani pandemik ini dengan berkesan malahan lebih teruk berbanding negara membangun. Kekuatan ekonomi yang dimiliki negara maju sebenarnya adalah tidak segagah mana dan kekuatan ketenteraan seperti tidak bermakna lagi bagi menangani pandemik. Sehingga hari ini, Amerika Syarikat mencatatkan jangkitan dan kematian paling tinggi di dunia mengatasi negara-negara di dunia.

Fakta-fakta di atas menunjukkan bahawa Covid-19 sudah pasti akan mengubah dunia dari pelbagai aspek. Ia juga seakan membuka ruang baru kepada negara-negara yang bijak mengambil peluang untuk melakukan perubahan yang dinamik. Sehubungan itu, pelbagai pihak telah membuat senario masa hadapan (future scenario) bagi merencana perancangan strategik pasca pandemik Covid-19. Dunia perlu mempunyai visi pasca pandemik yang betul bagi memastikan perubahan ke arah masa hadapan yang lebih baik.  Simon Mair dalam makalahnya How will coronavirus change the world? menyenaraikan empat senario masa hadapan pasca Covid-19 merangkumi State capitalism, Barbarism, State socialism dan Mutual Aid. Sohail Inayatullah dan Peter Black dalam artikel Neither a Black Swan nor a Zombie Apocalypse: the Futures of a World with the Covid-19 Coronavirus meletakkan empat scenario lain iaitu Zombie Apocalypse, the Needed Pause, Global Health Awakening and the Great Despair. Kathleen Kesson pula mengandaikan tiga senario masa hadapan dalam konteks pendidikan iaitu Regression and Devolution, Status Quo or Business as Usual dan Evolution or Revolution. 

Persoalannya, adakah dunia Islam sudah mempunyai senario masa hadapan dan berusaha merencanakan perancangan strategik bersedia dengan segala persiapan mendepani cabaran mendatang. Menyorot sejarah sebelum ini, umat Islam seakan terpesona dengan retorik yang dimainkan bahawa abad ke-15 Hijrah adalah milik Islam. Islam akan kembali mendominasi dunia pada abad ke-15 Hijrah. Pada waktu itu, begitu ramai yang menanti detik 21 November 1979 iaitu 1 Muharam 1400 untuk menyaksikan dunia Islam kembali di persada pada abad ke-15 Hijrah sepertimana pernah dinikmati ketika Zaman Keemasan sejarah Islam. Namun, apa yang diperkatakan tidak berlaku. Umat Islam pernah terpukau dengan Revolusi Iran pada 1979 yang akhirnya tidak ke mana. Dunia Islam terus mundur dan peperangan serta konflik dalaman berterusan. Majoriti negara Islam masih kekal miskin dan kualiti pendidikan serta kemajuan sains dan teknologi masih terkebelakang. 

Kini, kita berada di pertengahan Abad ke-15 Hijrah dan akan menuju Abad ke-16 Hijrah pada 28 November 2076. Dunia Islam perlu merancang lebih awal untuk mencipta masa hadapan yang lebih gemilang. Pandemik Covid-19 seakan memberikan pelbagai gambaran dan peluang untuk negara Islam bangkit dan menyusun kembali kekuatan. Pandemik Covid-19 dikatakan akan mempercepatkan Kejatuhan Kuasa Amerika dan kebangkitan negara-negara baru sebagai kuasa besar dunia. Kurt M Campbell dan Rush Doshi menerusi makalah dalam the Foreign Affairs berjudul the Coronavirus Could Reshape the Global Order menyatakan bahawa China akan menerajui kepimpinan dunia di masa hadapan. Kegagalan Amerika menangani pandemik Covid-19 boleh menjadi penyebab utama kejatuhan Amerika sepertimana Krisis Suez pada 1956 yang menyaksikan berakhirnya empayar Britain sebagai kuasa besar dunia. Penulis mengimaginasikan tiga senario masa hadapan dunia Islam pasca pandemic Covid-19. 

Senario pertama merujuk kepada situasi di mana tiada perubahan yang berlaku di dunia Islam. Keadaan yang sama sepertimana sebelum ini. Lebih satu pertiga dunia Islam terus kekal miskin dan berhutang dengan kadar yang sangat tinggi. Kadar pengangguran kekal tinggi, kebebasan dan indeks demokrasi kekal bermasalah, perkembangan ekonomi tidak berlaku malahan semakin lemah dan konflik dalaman berterusan. Umat Islam di negara konflik seperti Syria, Yaman, Afghanistan, Iraq dan Kashmir kekal bermasalah dan ditindas tanpa ada pembelaan sewajarnya. Pemimpin dunia Islam kekal lemah dan berpecah belah tidak bersatu padu. Pandemik Covid-19 umpama tidak merubah apa-apa di mana dunia Islam hanya bertindak balas dan menanganinya sekadar melepaskan batuk di tangga dan tidak ada apa-apa inovasi yang berlaku untuk mencipta masa hadapan yang lebih baik.

Senario kedua melihat dunia Islam semakin lemah malahan ekonomi terus merudum dan wujud konflik baharu di negara-negara Islam. OIC Economic Outlook mencatatkan pengangguran di negara OIC pada kadar 6% dan ia meningkat dengan mendadak kesan pandemik Covid-19. Data juga menunjukkan bahawa hanya 11 daripada 56 negara OIC merekodkan lebihan bajet tahunan dan angka ini bertambah kepada puluhan negara OIC yang lain akibat pandemik Covid-19. Dengan harga minyak yang jatuh menjunam, pastinya 10 negara OIC yang bergantung pada hasil minyak akan sangat terkesan. Saudi Aramco yang dianggap kukuh juga kini merancang membuat pinjaman bank sebanyak USD10 bilion. Hasil pendapatan menerusi sektor pelancongan juga menurun dengan signifikan bakal menjejaskan banyak sektor lain. Direkodkan bahawa kebanyakan negara-negara Middle East and North Africa (MENA) seperti Tunisia, Maghribi, Arab Saudi, Oman dan UAE termasuk negara-negara Islam yang lain mensasarkan perkembangan ekonomi menerusi pelancongan dan pastinya pandemik Covid-19 bakal memberikan kesan signifikan kepada negara-negara tersebut. Kesan daripada kemelesetan ekonomi mewujudkan beberapa konflik baharu di negara-negara OIC yang akhirnya menyaksikan peperangan dan krisis kemanusiaan berterusan termasuk kemunculan dictator-diktator kuku besi baharu.

Senario Ketiga, dunia Islam lebih pro-aktif dan inovatif merebut peluang. Beberapa negara OIC sudah mempunyai perancangan strategik seperti Saudi Arabia’s Vision 2030, Oman’s Clustering System 2040, UAE Vision 2021, Lebanon Vision 2030, Malaysia National Transformation Plan 2050, Indonesia Vision 2045 dan Turkey Vision 2023. Pandemic Covid-19 mempercepatkan lagi proses transformasi negara-negara ini ke arah negara berteknologi tinggi seiring dengan Revolusi Industri 4.0. Industri baru dicipta, pekerjaan bertambah dan pelaburan semakin meningkat. Hasil negara yang berkurangan akibat kejatuhan harga minyak menjadikan negara Islam lebih kreatif beralih kepada tenaga boleh diperbaharui (renewable energy). Kesan daripada polisi negara barat yang menghadkan kemasukan pelajar antarabangsa ke negara mereka menjadi pencetus kepada kebangkitan sistem Pendidikan dan seterusnya menjadi pemangkin kepada pembangunan penyelidikan aras tinggi di dunia Islam. Perkembangan sistem Pendidikan yang baik dan sistem pentadbiran yang  lebih bebas dan telus menyaksikan kemunculan pemimpin-pemimpin baharu yang berkaliber dan berwibawa menerajui dunia Islam dengan lebih dinamik dan progresif. 

Ketiga-tiga senario di atas menggambarkan masa hadapan alternatif (alternative future) yang mampu dicipta oleh dunia Islam. Sudah tiba masanya, dunia Islam mencipta masa hadapan mereka sendiri dan merebut peluang yang ada. Covid-19 membuktikan bahawa elemen manusiawi adalah tonggak utama bagi menangani krisis. Faye Flam menerusi makalah diterbitkan Bloomberg berjudul Post-Virus Reopening is More About Ethics than Science merumuskan bahawa etika menjadi penentu dan tonggak utama untuk melawan pandemik bukan sains dan teknologi. Pandemik ini hanya boleh di atasi menerusi sikap dan semangat manusia bukan hanya teknologi. Negara yang mengangkat sistem berasaskan nilai dan penduduknya mempunyai sikap yang baik dan tidak bersifat individualistik akan berjaya. Manakala negara yang terus mengagungkan sistem pasaran dipenuhi rakyat bersikap individualistik dan egoistik akan gagal dan menghadapi masalah. Perkara ini membuka ruang kepada kita di mana nilai manusiawi yang diangkat oleh Islam itu sendiri kini terbukti menjadi tonggak utama kepada survival atau kelangsungan hidup manusia, bukan hanya bergantung kepada kemajuan sains dan teknologi. 

Berbanding dengan imaginasi generasi terdahulu untuk melihat kebangkitan Islam di abad ke-15 Hijrah dengan tidak mempunyai data dan maklumat seperti hari ini, kini kita sudah boleh membuat senario masa hadapan yang lebih realistik. Penulis cuba memberikan imaginasi menerusi tiga senario masa hadapan dunia Islam pasca pandemik Covid-19. Dengan data, maklumat dan pengalaman yang dimiliki, kita boleh memikirkan Road Map, perancangan penuh teliti dan menyeluruh umat Islam mendepani masa hadapan merangkumi aspek pendidikan, politik, tadbir urus dan governan, ekonomi, pertanian, media, perkhidmatan kesihatan, budaya, kelestarian alam sekitar, teknologi informasi, pemikiran Islam dan dakwah, sains dan teknologi, pengurusan sosio-ekonomi dan kepimpinan politik. Abul Hasan Ali Nadwi ada menukilkan bahawa kegagalan mengembalikan kegemilangan Islam pada Abad ke-14 Hijrah adalah berpunca daripada kelemahan perancangan dari aspek intelektual dan kerohanian serta tiada koordinasi yang baik antara pemimpin-pemimpin dunia Islam. Sesungguhnya pesanan penting ini perlu diberikan perhatian serius sekiranya dunia Islam ingin mencipta alternative future yang lebih gemilang dan dalam masa yang sama mengelakkan kesilapan lalu berulang. Menuju Abad ke-16 Hijrah yang gemilang.

Seremban, 23 Syaaban 1441H.

SUBSCRIBE

Get the latest posts delivered to your mailbox:

Page Reader Press Enter to Read Page Content Out Loud Press Enter to Pause or Restart Reading Page Content Out Loud Press Enter to Stop Reading Page Content Out Loud Screen Reader Support