Sudut Positif Covid-19 Terhadap Pembangunan Mahasiswa

Sudut Positif Covid-19 Terhadap Pembangunan Mahasiswa

Umumnya Covid-19 dilihat sebagai wabak yang membawa implikasi negatif dari pelbagai sudut terutama sosio-ekonomi dan politik termasuk pendidikan. Terdapat negara-negara yang sudah mengisytiharkan mereka telah mula memasuki fasa kemelesetan ekonomi yang pastinya akan menyebabkan isu pengganguran dan ketaksamarataan lebih parah. Begitu juga dengan sektor pendidikan di mana banyak institusi pengajian tinggi yang terpaksa ditutup kerana mengalami permasalahan kewangan yang serius. Dari aspek kehidupan pelajar pula, kajian mendapati isu kesihatan mental semakin meningkat dan agak membimbangkan. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac yang lalu dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) terkini di Sabah, Selangor dan Wilayah Persekutuan telah memberi kesan tambahan kepada universiti dari aspek pengajaran dan pembelajaran, perancangan dan pelaksanaan amalan.

Di sebalik implikasi negatif Covid-19 yang kerap dan banyak diperkatakan, adalah bermanfaat sekiranya kita juga melihat sudut positif dan dimensi alternatif kesan wabak ini terhadap masyarakat khususnya dari aspek pembangunan mahasiswa. Artikel ini cuba untuk memberikan dimensi baharu Covid-19 terhadap pembangunan mahasiswa yang bersifat positif dan membina. Penulis menyaksikan sendiri pelbagai sudut positif pembangunan mahasiswa sebagai respons kepada Covid-19 yang kadangkala tidak disedari atau kurang diketengahkan dalam masyarakat. Ini adalah hikmah yang perlu difahami oleh semua pihak dan mungkin juga Covid-19 boleh menjadi pencetus kepada kesedaran untuk mengembalikan ruh pendidikan seiring dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan ke arah mewujudkan insan seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelektual.

Bermula PKP sejak Mac sehingga hari ini, Mahasiswa telah melaksanakan bermacam-macam inisitiatif yang inovatif dan kreatif. Dengan kerjasama Badan Bukan Kerajaan dan sektor korporat mereka berganding bahu sibuk menyediakan peralatan PPE untuk dihantar ke seluruh negara. Walaupun dengan serba kekurangan dan tiada pengalaman, peralatan PPE dapat disediakan menggunakan pelbagai bahan yang ada. Mahasiswa menggunakan kelengkapan dan peralatan sedia ada di universiti seperti bilik menjahit, makmal, 3D printer dan sebagainya serta mengaplikasikan sebaiknya kemahiran yang didapati menerusi program akademik mahupun ko-kurikulum.

Covid-19 juga berjaya memperkukuhkan hubungan antara mahasiswa, universiti, sektor korporat dan badan bukan kerajaan. Bahkan, kita dapat melihat mahasiswa bersatu tenaga mengenepikan perbezaan politik dan kecenderungan bagi membantu mahasiswa lain dan komuniti yang terkesan teruk akibat Covid-19. Mereka membuat kutipan dana, mengedarkan makanan, menyediakan pelbagai perkhidmatan, menyalurkan bantuan, membantu mendapatkan akses internet dan peranti dan sebagainya tidak kira hari dan masa. Perkembangan ini adalah selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) Pendidikan Tinggi 2015-2025, dasar Redesign University Higher Education: University, Industry and Community Engagement dan program Universiti Untuk Masyarakat yang menjadi antara agenda utama Kementerian Pengajian Tinggi.

Apa yang lebih menarik ialah mahasiswa juga terlibat secara aktif dan mendapat pengiktirafan dalam proses membuat keputusan-keputusan penting di universiti. Dengan pengetahuan dan kemahiran, mereka membuat kajian dan tinjauan yang berkualiti sebagai rujukan dan pertimbangan pihak universiti. Data dan statistik yang dijana menerusi kajian tinjauan mahasiswa menjadikan keputusan dan dasar yang dibuat oleh pihak universiti adalah lebih tepat dan inklusif. Mahasiswa kini diiktiraf sebagai rakan strategik menjadi sebahagian daripada pihak berkepentingan yang boleh membuat keputusan-keputusan penting di universiti khususnya perkara yang melibatkan mahasiswa itu sendiri.

Digital literacy atau kecelikan digital merupakan antara keperluan kepada semua mahasiswa bagi mendepani cabaran dunia pada hari ini seiring dengan Revolusi Industri 4.0. Dengan perkembangan yang berlaku di mana sesi pembelajaran dan pengajaran atas talian telah mempercepatkan proses penguasaan kemahiran digital. Secara tidak langsung, mahasiswa termasuk tenaga akademik tidak mempunyai pilihan melainkan mempersiapkan diri dengan kemahiran dan ilmu digital yang semakin relevan dan diperlukan. Lebih menarik, Covid-19 ini juga berjaya membuka dimensi baharu keterlibatan mahasiswa dengan masyarakat menerusi pendekatan kesukarelawanan digital yang sememangnya memberikan impak yang signifikan kepada komuniti merentasi sempadan.

Mungkin sisi yang lain boleh dilihat ialah Covid-19 ini secara tidak langsung dapat memberi ruang dan peluang ke arah pengukuhan institusi kekeluargaan. Dengan keberadaan di rumah dalam tempoh yang agak lama, mahasiswa berpeluang membantu meringankan tanggungjawab ibubapa dan keluarga serta memainkan peranan yang penting terhadap aspek sosio-ekonomi keluarga itu sendiri. Kita menyaksikan bagaimana mahasiswa yang membantu keluarga berniaga, menguruskan hal ehwal keluarga, membimbing adik-adik dari aspek akademik, mencipta sumber pendapatan baharu dan sebagainya. Sekurang-kurangnya, realiti ini membuka ruang kepada mahasiswa menunjukkan peranan dan tanggungjawab sebenar mereka terhadap keluarga.

Covid-19 juga secara tidak langsung berjaya mengubah minda, gaya berfikir dan worldview (pandangan alam) mahasiswa. Jika sebelum ini, kebanyakan mahasiswa kelihatan agak selesa dengan keadaan sedia ada dengan corak berfikir yang lama, kini mereka perlu sensitif dengan perubahan persekitaran, perkembangan dunia teknologi, ekonomi dan politik, kesedaran menjaga kebersihan dan memelihara alam sekitar, peluang pekerjaan dan keusahawanan, keperluan kemahiran digital dan sebagainya. Masa hadapan mereka bakal ditentukan berdasarkan sejauh dan selaju mana mahasiswa mampu untuk bertindak balas membuat persediaan dari aspek minda, rohani, pengetahuan, kemahiran, pengalaman dan jati diri. Dalam erti kata lain, elemen pembangunan mahasiswa secara holistik dan manusiawi adalah perkara pokok yang wajib ada dalam sistem pendidikan.

Selain itu, kerangka pemikiran yang berorientasikan persaingan juga semakin kurang relevan dan tidak lagi lestari. Mahasiswa perlu mempertingkatkan pendekatan usahasama dan kolaborasi, bantu membantu dan lengkap melengkapi antara satu sama lain. Melihat pihak lain sebagai pesaing sudah kurang relevan di waktu ini. Aktivisme mahasiswa perlu bergerak menerusi pendekatan kolaborasi yang mampu memberi nilai tambah dalam banyak perkara dan tindakan. Perkembangan positif ini dapat disaksikan menerusi pelbagai kerjasama inisiatif antara Kesatuan-kesatuan Mahasiswa dan gerakan mahasiswa secara umumnya dalam membantu universiti, komuniti dan masyarakat.

Sesungguhnya tidak dapat dinafikan bahawa Covid-19 telah memberikan pelbagai impak negatif kepada institusi pengajian tinggi termasuk mahasiswa. Namun, realitinya setiap ujian itu pasti ada hikmah di sebaliknya. Covid-19 mencetuskan kesedaran betapa peri pentingnya untuk menginsankan pendidikan (Humanising Education). Walau sehebat mana teknologi dan setinggi mana pengetahuan, elemen manusiawi termasuk kekuatan spiritual adalah sangat penting dan diberikan perhatian yang sewajarnya. Ujian dan cabaran yang dicetuskan Covid-19 secara tidak langsung menyaksikan ada perubahan positif yang berlaku dari aspek pembangunan mahasiswa. Aspek positif ini perlu ditonjol, diketengahkan, diwacanakan serta diberikan liputan sewajarnya berbanding implikasi negatif Covid-19 yang hanya akan terus menambah keserabutan.

SUBSCRIBE

Get the latest posts delivered to your mailbox:

Page Reader Press Enter to Read Page Content Out Loud Press Enter to Pause or Restart Reading Page Content Out Loud Press Enter to Stop Reading Page Content Out Loud Screen Reader Support