VISI MALAYSIA BAHARU PASCA WAWASAN 2020

VISI MALAYSIA BAHARU PASCA WAWASAN 2020

www.zulkiflihasan.com

Covid-19 telah membawa perubahan yang begitu signifikan kepada manusia. Ia meninggalkan kesan mendalam kepada kehidupan dan sistem yang diamalkan di dunia. Covid-19 seharusnya dijadikan iktibar dan pengajaran kepada semua untuk mendepani masa hadapan yang pastinya lebih mencabar. Dalam konteks ini, Malaysia juga memerlukan wawasan baharu yang dinamik, progresif dan realistik bagi mendepani cabaran yang mendatang dan memastikan negara akan terus relevan dan berdaya saing. Negara-negara lain di dunia sudah mempunyai wawasan mereka tersendiri dan sedang melaksanakannya seperti  Wawasan 2030 Arab Saudi, Wawasan 2021 UAE, Wawasan 2045 Indonesia, Wawasan 2023 Turki, Wawasan 2035 China, Wawasan 2030 Jerman, Wawasan 2050 Jepun dan Wawasan 2030 Korea.

Wawasan 2020 yang satu masa dahulu begitu popular di Malaysia telah diilhamkan Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 1990 seiring dengan Dasar Pembangunan Nasional yang dilaksanakan pada waktu itu. Ia dilihat sebagai kesinambungan daripada Dasar Ekonomi Baru yang mensasarkan pengurangan kadar kemiskinan dan memperkukuhkan perpaduan kaum. Wawasan 2020 pula membawa visi berbeza dengan bermatlamatkan Malaysia sebagai sebuah Negara Maju menjelang 2020.

Setelah 27 tahun Wawasan 2020 dilaksanakan, Perdana Menteri Ke-6 Dato’ Seri Najib Tun Razak pada 2017 cuba mengilhamkan wawasan yang lain menerusi idea Transformasi Nasional 2050 sebagai lanjutan dan visi baharu menggantikan Wawasan 2020. Apa yang menarik, idea Transformasi Nasional ini cuba dibawa menerusi pendekatan yang berbeza dan bersifat lebih demokratik dengan melibatkan sesi libat urus bersama masyarakat dari segenap lapisan. Namun, idea ini terkubur setelah buat pertama kalinya Barisan Nasional tewas dalam PRU14.

Tun Dr. Mahathir Mohamad setelah kembali memegang tampuk pemerintahan sebagai Perdana Menteri Ke-7 memperkenalkan pula Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 pada 2019. Gagasan ini walaubagaimanapun terbantut dan tidak lagi menjadi aspirasi negara berikutan langkah Sheraton yang menyaksikan pertukaran tampuk pemerintahan negara kepada Perikatan Nasional yang diketuai oleh Perdana Menteri Ke-8 Tan Sri Muhyiddin Yassin. Barangkali oleh kerana kesibukan dan pelbagai permasalahan bagi mengendalikan situasi Covid-19 di Malaysia, sehingga hari ini belum ada apa-apa idea atau Wawasan Malaysia Baharu yang ingin dibawa oleh pihak kerajaan.

Malaysia memerlukan Wawasan Baharu setelah menyaksikan bagaimana Wawasan 2020 telah luput dan dilihat gagal untuk mencapai matlamatnya secara keseluruhan. Objektif Wawasan 2020 untuk mencapai kesamarataan pendapatan individu, membasmi kemiskinan dan kemunduran ekonomi melalui kerjasama tanpa menentukan identiti warga dan membentuk negara maju dengan acuan tersendiri daripada aspek ekonomi, sosial, politik, spiritual, psikologi dan budaya adalah masih jauh dan belum dapat dicapai sepenuhnya. Jurang ketaksamarataan dan pendapatan masih tinggi dan kemiskinan juga kembali menjadi isu utama dengan kadar B40 yang bertambah dari masa ke semasa. Keadaan perpaduan kaum masih menjadi tanda tanya di mana sikap prejudis dan kecenderungan politik berasaskan kaum itu masih kukuh dan menjadi pegangan masyarakat secara umumnya.

Begitu juga dari aspek 9 cabaran Wawasan 2020. Dengan situasi yang ada pada hari ini dan perkembangan politik yang berlaku, harapan untuk membina bangsa Malaysia yang bersatu padu, membina masyarakat berjiwa bebas, tenteram dan berkeyakinan, memupuk dan membina masyarakat demokratik yang matang, mewujudkan masyarakat yang bermoral dan beretika, mewujudkan masyarakat yang matang, liberal dan bertoleransi, membina masyarakat yang maju dan saintifik, mewujudkan masyarakat berbudaya penyayang, menjamin masyarakat yang adil dan saksama ekonominya dan memupuk dan membina masyarakat makmur adalah sangat jauh untuk dapat direalisasikan. Malahan, konsep bangsa Malaysia yang digagaskan itu juga hingga kini masih menjadi perdebatan dan pertikaian di kalangan rakyat Malaysia. Apatah lagi untuk mengimpikan masyarakat berbudaya penyayang, bermoral, beretika dan memiliki ekonomi yang adil dan saksama. Gejala rasuah dan salah guna kuasa masih terus berleluasa malahan meningkat sepertimana yang dilaporkan pihak berkuasa termasuk dinormalisasikan dengan dalil agama.

Walaupun terdapat banyak analisa dan pandangan mengenai punca utama Wawasan 2020 tidak mencapai matlamatnya merangkumi aspek sosio-ekonomi, isu rasuah dan salah guna kuasa, geo-politik dan sebagainya, penulis berpandangan bahawa Wawasan 2020 yang diilhamkan itu sendiri tidak lestari sifatnya. Wawasan 2020 dijadikan agenda politik di mana ia didokong oleh pemimpin dan kerajaan yang mengilhamkannya. Maka, apabila ada perubahan kepimpinan dan perubahan kerajaan sudah pasti akan merencatkan pelaksanaannya. Kerajaan dan pimpinan baharu tidak lagi berminat dengan wawasan yang digagaskan dan mereka akan memperkenalkan gagasan baharu atas faktor politik yang pastinya sentiasa bersifat populis.

Sudah tiba masanya Malaysia mempunyai Wawasan Baharu yang bersifat lestari, tahan krisis dan kekal relevan walaupun berlakunya pertukaran kuasa politik dan tampuk pemerintahan. Wawasan  Malaysia Baharu ini perlu dinyah politikkan atau diseimbangkan peranan politiknya dan dilegitimasikan oleh bukan sahaja pimpinan politik tetapi pihak yang lebih tinggi dan neutral. Ia mesti diangkat menjadi agenda negara yang bersifat universal dan inklusif melangkaui politik. Mungkin lebih sesuai pendekatannya kali ini, Wawasan Baharu Malaysia ini mendapat restu dan perkenan YDPA dan Majlis Raja-Raja dan ia diangkat oleh semua rakyat Malaysia. Walau siapa pun yang memegang tampuk pemerintahan selepas ini, Wawasan Malaysia Baharu ini akan tetap diteruskan kerana ia menjadi agenda negara sepertimana Rukunegara yang sehingga hari ini menjadi asas atau ideologi kebangsaan Malaysia. Keunikan Sistem Raja Berpelembagaan dan pendekatan mengabsahi Wawasan Malaysia Baharu menerusi Institusi Raja ini akan dapat menyumbang kepada kestabilan dan menjadi pengimbang kepada kuasa politik yang menguruskan pentadbiran negara dan seterusnya memastikan Wawasan Malaysia Baharu akan kekal relevan.

Wawasan Malaysia Baharu ini juga perlu bersifat merakyat dan inklusif bukan bersifat ekslusif hanya diilhamkan oleh pemimpin tertinggi negara. Proses libat urus mendapatkan pandangan dan sumbangan idea secara lebih terbuka perlu dilaksanakan. Kesedaran dan kefahaman Wawasan Malaysia Baharu ini kemudiannya perlu diterapkan dan didiskusikan oleh segenap lapisam masyarakat seawal pendidikan prasekolah sehingga pengajian tinggi. Wawasan Malaysia Baharu ini perlu dijadikan inspirasi dan hala tuju negara oleh setiap rakyat Malaysia.

Seiring dengan perkembangan semasa dan keperluan untuk menggariskan halatuju dan perancangan masa hadapan negara, sudah sampai masanya Malaysia memulakan episod baharu negara menerusi Wawasan Malaysia Baharu. Perlu diingatkan bahawa Wawasan Malaysia Baharu ini bukanlah semestinya sesuatu yang betul-betul baharu kesemuanya tetapi ia boleh sahaja meneruskan agenda dan ruh Wawasan 2020 atau Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 atau Transformasi Nasional 2050 dengan mengambil kira realiti baru, dinamika perubahan, trend dan perkembangan semasa. Wawasan Malaysia Baharu ini mesti bersifat bebas tidak terikat dengan politik, universal, dinamik, progresif, inklusif dan holistik. Wawasan Malaysia Baharu juga perlu melihat aspek pembangunan dari kaca mata yang adil dalam kerangka yang universal menerusi konsep kesejahteraan, kebahagiaan dan kemakmuran melangkaui aspek materialistik dan kebendaan semata-mata.

SUBSCRIBE

Get the latest posts delivered to your mailbox: