Great Leaders Are Readers

‘GREAT LEADERS ARE READERS’

www.zulkiflihasan.com

Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI) adalah nama besar yang terus menjadi perhatian dan rujukan masyarakat di Malaysia dan antarabangsa. Walaupun berada di dalam jeriji besi, setiap kenyataan DSAI malahan kehadiran di khalayak umum pastinya sentiasa ditunggu-tunggu dan ia seumpama dinantikan dengan penuh minat bukan sahaja oleh peminat politik malahan masyarakat secara umumnya. Lebih menarik, berbanding dengan ramai tokoh pemimpin yang lain, DSAI diakui merupakan antara personaliti yang capaian pengaruhnya merentasi kaum, agama, ideologi dan sempadan.

Mungkin ramai yang telah menulis mengenai DSAI sama ada pengkisahan, pemikiran, sejarah, kehidupan, idea dan gagasan, keilmuan dan keintelektualan, ketabahan dan banyak lagi berdasarkan kepada interaksi dan pengalaman bersama DSAI secara langsung. Mengambil pendekatan yang sedikit berbeza, penulisan kali ini adalah merupakan refleksi peribadi terhadap DSAI dari seseorang yang mengikuti perkembangan DSAI dari jauh dan belum pernah mengenali secara dekat mahupun pernah berbicara atau berinteraksi langsung dengan DSAI, bahkan, mungkin DSAI juga langsung tidak mengenali penulis. Penting diingatkan bahawa penulisan ini langsung tiada unsur politik mahupun mengandungi apa-apa hasrat untuk mempromosi mana-mana ideologi dan pemikiran tetapi ia adalah nukilan ikhlas penulis mengenai insan bernama Anwar Ibrahim. Pandangan ini adalah bersifat peribadi tidak mewakili mana-mana institusi.

Sejak dari zaman sekolah rendah telah mengenali DSAI sebagai antara tokoh pemimpin yang menjadi perbualan semua orang hatta di kampung. Pada waktu itu, nama Anwar Ibrahim itu seumpama fenomena memukau masyarakat kampung dengan karisma dan kewibawaannya serta personaliti menarik yang boleh dikatakan membayangi mana-mana ahli politik pada waktu itu. Mengetahui dan mengenali DSAI ketika berada di sekolah menengah pula merupakan detik bermulanya pemikiran dan idea beliau mempengaruhi penulis. Dari seorang budak kampung yang tidak punya halatuju yang jelas, pendedahan kepada idea-idea dan pemikiran DSAI telah membuka mata dan sedikit sebanyak mempengaruhi gaya berfikir dan pandangan alam penulis agar dapat membentuk fikrah yang lebih terbuka dan progresif.

Pemimpin yang hebat pastinya sentiasa menginspirasikan. Jarang kita lihat ada pemimpin yang mampu mempengaruhi pemikiran terutama anak muda untuk meminati karya-karya hebat pemikir dunia. Penulis mengakui, DSAI adalah antara personaliti yang begitu mempengaruhi minat membaca sehinggakan merangsang untuk menelaah buku-buku ilmiah sejak dari zaman persekolahan. Masih ingat di kala umur yang masih muda belasan tahun, penulis sudah mula membiasakan diri dengan teks-teks dan buku-buku seperti karya Ibnu Khaldun, Malik Bennabi, Syed Muhammad Naquidb al- Attas, Seyed Hossein Nasr, Fazlur Rahman, Muhammad Iqbal, Hasan Turabi dan ramai lagi. Lebih manis lagi, dengan pengaruh untuk minat membaca ini, penulis pernah memenangi anugerah antara pelajar yang paling banyak membaca semasa di sekolah menengah. Sehingga hari ini, penulis akan sentiasa cuba memastikan untuk merujuk dan membaca karya-karya hebat yang dirujuk setiap kali DSAI menyebutnya dalam ucapan atau penulisan beliau.

Masih kukuh diingatan semasa menghadiri Syarahan yang disampaikan DSAI beberapa hari sebelum Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara ke atas beliau. Walaupun dalam keadaan tidak mengetahui atau pasti nasib dirinya dengan keputusan Mahkamah, dalam keadaan santai syarahan tanpa teks selama lebih kurang 30 minit DSAI telah memukau hadirin dengan mengupas dan memetik karya-karya hebat dengan begitu mengagumkan. Selama 30 minit itu DSAI berbicara mengenai idea besar tokoh pemikir dunia dan ini termasuk Alexis de Tocqueville (Democracy in America), John Locke (Two Treaties of Government), Great Speech of Muhammad Ali Jinnah, Great Speech of Abraham Lincoln, Great Speech of Jawaharlal Nehru, al-Mawardi (al-ahkam al-sultaniyyah), al-Sarakhsi (al-Mabsut), Herbert Feith (The Decline of Constitutional Democracy in Indonesia), Ari Helo (Thomas Jefferson’s Ethics and the Politics of Human Progress: The Morality of a Slaveholder), al-Ghannoushi (Democracy and Human Rights in Islam), Harold Bloom (the Western Canon: the Books and Schools of the Ages dan Abu Bakar Sirajuddin atau Martin Lings (The Secret of Shakespeare: His Greatest Plays seen in the Light of Sacred Art, Sacred Art of Shakespeare). Mungkin tidak keterlaluan dikatakan bahawa penulis tidak mengetahui mana-mana tokoh politik tanahair yang mempunyai kualiti yang sama iaitu bukan sahaja dengan penguasaan ilmu serta keluasan pembacaan merentasi bidang malahan pengolahan bahasa dan teknik penyampaian pidato yang begitu mengagumkan.

Keunikan DSAI dari sudut pemikiran ialah keupayaan beliau untuk mensintesiskan dan mengharmonikan idea dan gagasan tokoh dan sarjana dunia di Timur dan Barat serta menghubungjalinkannya dalam konteks nusantara dan Asia Tenggara. Maka tidak hairanlah, kita bukan sahaja didedahkan dengan idea pemikir Barat mahupun Arab tetapi DSAI juga menghargai dan mengiktiraf gagasan tokoh nusantara seperti Jose Rizal, Buya Hamka, Pak Nasir, Burhanuddin al-Helmy, Ishak Haji Muhammad dan ramai lagi. Dengan kekuatan inilah, idea yang dibawa oleh DSAI adalah sangat ‘visionary’ dan terkehadapan meraikan kepelbagaian budaya, perbezaan martabat, keadaan sosio-ekonomi, kelainan agama dan bangsa serta dinamika politik dan hubungan antarabangsa.

Ketokohan keilmuan DSAI ini bukan sahaja diiktiraf di tanahair bahkan di arena antarabangsa. Sepanjang pengalaman penulis mengembara dan menziarahi tokoh dan sarjana terkemuka dunia di seluruh dunia, hampir kesemuanya akan menyebut nama Anwar Ibrahim apabila penulis memperkenalkan diri sebagai rakyat Malaysia. Perkara ini ada disebut di dalam buku penulis berjudul ‘Islam Di Barat Muslim Di Timur’ dan penulisan lain yang menceritakan pengalaman berinteraksi dengan tokoh dan sarjana terkemuka di dunia seperti Seyyed Hossein Nasr, John Esposito, Azzam Tamimi, Tariq Ramadan, Hamid Dabashi, Mustafa Ceric, Rashid al-Ghannoushi, Abdul Hamid Abu Sulayman dan ramai lagi. Bukan itu sahaja, setiap kali mengunjungi atau menziarahi masjid-masjid atau ‘Islamic Society’ di luar negara yang sudah menjadi amalan penulis sekian lama, pastinya Jemaah atau individu di sana akan bertanyakan keadaan dan perkembangan DSAI. Masih kukuh diingatan semasa pertemuan dengan John Esposito, Professor of Religion and International Affairs and of Islamic Studies di pejabat beliau di Georgetown University, Washington di mana beliau menceritakan beberapa aspek dan fakta menarik mengenai ketokohan DSAI.

Apa yang lebih mengagumkan ialah hubungan yang dijalin oleh DSAI dan tokoh terkemuka dunia ini bukan hanya bersifat jaringan keintelektualan mahupun keilmuan tetapi ia melibatkan persaudaraan erat yang menunjukkan keutuhan dan keakraban. Misalnya begitu ramai sarjana yang menzahirkan kekecewaan dan kebimbangan dengan kesihatan dan keadaan DSAI yang berterusan menghadapi pelbagai dugaan khususnya dalam kes pendakwaan beliau di Mahkamah. John Esposito sendiri bersama John Voll, Professor Emeritus of Islamic History, Georgetown University menyatakan sendiri pada penulis kerisauan mereka terhadap nasib DSAI dengan kes Mahkamah yang dilalui. Seyyed Hossein Nasr juga memaklumkan sendiri pada penulis kebimbangan beliau dan sedia ke Malaysia untuk bertemu DSAI sekiranya kesihatan mengizinkan. Pertemuan dengan ramai lagi tokoh-tokoh di United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia dan lain-lain negara juga menzahirkan sokongan dan simpati mereka terhadap DSAI bukti ukhuwah dan persahabatan.

Sehingga hari ini, hakikat yang mesti diakui ialah DSAI adalah seorang pemimpin yang mempunyai kekuatan intelektual dan memiliki bakat semulajadi. Berbanding dengan ramai pemimpin politik yang lain, DSAI mungkin adalah antara pemimpin yang paling banyak mendapat ujian yang begitu hebat menguji ketabahan dan keimanan sejak sekian lama sehingga hari ini. DSAI bukan insan yang sempurna dan pastinya ada kelemahan dan kekurangan, namun karisma dan aura kepimpinannya telah menginspirasi ramai termasuk anak muda yang memahami jalur pemikiran perjuangannya. Walaupun tidak pernah berinteraksi secara langsung dengan DSAI sehingga hari ini, hanya mengikuti rapat perkembangan hidupnya, berkemungkinan besar juga tidak dikenali oleh beliau, penulis ingin menyatakan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada DSAI.

SUBSCRIBE

Get the latest posts delivered to your mailbox:

Page Reader Press Enter to Read Page Content Out Loud Press Enter to Pause or Restart Reading Page Content Out Loud Press Enter to Stop Reading Page Content Out Loud Screen Reader Support