PRU15, PELUANG BANTERAS RASUAH MENERUSI PETI UNDI

PRU15, PELUANG BANTERAS RASUAH MENERUSI PETI UNDI

Laporan Transparency International Malaysia menyebut bahawa anggaran kerugian akibat Rasuah kepada negara mencecah RM40 bilion hingga RM50 bilion iaitu mewakili 4 peratus daripada KDNK negara. Semenjak 2017 sehingga Mei tahun ini kerajaan telah membayar sebanyak RM 10.85 bilion bagi menjelaskan hutang-hutang 1MDB yang dikaitkan dengan Rasuah. Baki hutang berkaitan 1MDB dianggarkan berjumlah RM 25.9 bilion dan dengan kadar tukaran ringgit yang semakin melemah, jumlah hutang ini dijangka akan menjadi lebih besar. Bayangkan berbanding hutang 1MDB, peruntukan Keluarga Malaysia yang dibentangkan dalam Bajet 2023 baru-baru ini memperuntukkan hanya RM7.8 billion boleh memberi manfaat kepada lebih 8.7 juta penerima. Juga Bantuan Musim Tengkujuh hanya melibatkan peruntukan RM256 juta yang boleh memanfaatkan 320000 pekebun kecil.

Ironinya kesemua ini masih tidak dapat membuka mata ramai rakyat Malaysia. Malahan, ada yang masih mendapat sokongan dan dokongan ramai walaupun terpalit dengan jenayah Rasuah. Transparency International, Malaysia mencatatkan bahawa Indeks Persepsi Rasuah Malaysia juga terus jatuh daripada kedudukan ke-57 pada 2020, ke kedudukan ke-62 pada 2021.Persepsi ini diperkukuhkan lagi dengan dapatan dan teguran yang terkandung dalam laporan Ketua Audit Negara dan pelbagai penemuan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara yang menatijahkan ketirisan mencecah jutaan ringgit wang awam.

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah semasa meluncurkan buku karya Prof Emeritus Tan Sri Dr M Kamal Hassan bertajuk ‘Korupsi dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu, Perlunya Disegerakan Transformasi Moral Etika’ dengan begitu tegas bertitah bahawa Rasuah perlu dibanteras dengan lebih serius kerana ia menjadi antara faktor utama kemusnahan sebuah negara dan menjadi punca berlakunya ketidakstabilan politik. Kajian dijalankan terhadap 90 negara menerusi data yang diterima dari Transparency International dan Bank Dunia juga mengesahkan bahawa negara yang mempunyai indeks rasuah yang rendah mempunyai hubungan positif antara rasuah dan pertumbuhan ekonomi dan negara dengan indeks rasuah yang tinggi, akan mengalami masalah pertumbuhan ekonomi yang signifikan. Kesan Rasuah bukan hanya bersifat makro tetapi juga mikro di mana ia menjadi duri dalam daging kepada apa sahaja perancangan pembangunan negara.

Secara umumnya, semua bersetuju bahawa Rasuah adalah musuh utama sesebuah negara dan menjadi punca kepada pelbagai krisis dan ketidakadilan sosial dalam masyarakat. Maka tidak hairanlah sebahagian besar negara di dunia telah menubuhkan Suruhanjaya atau badan khas bagi membanteras Rasuah di negara masing-masing. Usaha membanteras Rasuah selalunya memfokuskan mekanisme kerangka undang-undang dan penguatkuasaan. Namun di sini, penulis ingin membawa perspektif yang berbeza iaitu menerusi dimensi politik dan kuasa rakyat. Rakyat sebenarnya mampu membanteras Rasuah dengan lebih berkesan berbanding undang-undang menerusi kuasa undi semasa Pilihanraya.

Rakyat kali ini perlu memastikan bahawa calon yang dipilih dalam PRU15 adalah bebas Rasuah dan juga ‘kelihatan’ bersih dan bebas Rasuah. Jangan sekali-kali berkompromi dengan mana-mana calon yang mempunyai permasalahan integriti dan ada dikaitkan dengan Rasuah. Mesej keras ini perlu dinyatakan kepada semua ahli politik bahawa pelaku dan penyokong Rasuah akan ditolak secara total menerusi peti undi. Tindakan ini pasti akan memberi pengajaran dan tauladan kepada semua pihak bahawa rakyat kini adalah bijak mampu memilih pemimpin yang bersih dan berintegriti. Memilih calon yang terkait dengan Rasuah atau parti politik yang terpalit dengan Rasuah tiada manfaatnya bahkan hanya akan terus menyuburkan amalan Rasuah. Misi sifar calon terpalit Rasuah dalam PRU15 ini akan dapat menguburkan secara signifikan Rasuah politik dan menghindarkan pemerintahan negara diterajui pemimpin yang bermasalah integriti.

Rakyat juga mesti memilih parti dan calon yang secara serius beriltizam untuk memerangi Rasuah. Pertama, pilihlah parti politik yang memasukkan agenda pembasmian Rasuah secara menyeluruh dalam manifesto. Kedua, undilah calon yang berintegriti dan berani membuat Pengisytiharan Harta. Ketiga, tolak secara total mana-mana calon yang berkempen menggunakan taktik dan strategi berelemen Rasuah. Budaya kempen seperti ini perlu dihapuskan dan rakyat jualah yang dapat mempengaruhi agar amalan ini dihentikan. Biarlah PRU15 kali ini menjadi medan persaingan idea dengan visi masa depan Malaysia yang gemilang bukan mengekalkan budaya politik murahan.

Sesungguhnya Rasuah merupakan amalan yang keji dan hina. Walaupun dengan kerangka undang-undang dan penguatkuasaan sedia ada, Malaysia masih menyaksikan pertambahan bilangan kes Rasuah hari demi hari dan lebih membimbangkan terdapat kes yang melibatkan skala besar. Kerugian mega mencecah billion ringgit akibat Rasuah ini pastinya memberi kesan kepada agenda pembangunan dan menjejaskan ekonomi negara. Sudah tiba masanya, rakyat Malaysia sendiri berusaha membanteras Rasuah menerusi saluran yang lain iaitu Peti Undi. PRU15 membuka ruang yang amat besar kepada rakyat Malaysia untuk memilih pemimpin yang bersih, berintegriti dan bebas Rasuah. Jangan biarkan dan berikan peluang untuk Rasuah Kembali mendapat nafasnya dan terus subur selepas PRU15. Jika sebelum ini ada Jawatankuasa Khas Jihad Tangani Inflasi ditubuhkan kerajaan, anggaplah semua rakyat Malaysia kali ini perlu berJIHAD memerangi musuh yang lebih besar daripada inflasi iaitu Rasuah menerusi Peti Undi di PRU15- Zulkifli Hasan.

SUBSCRIBE

Get the latest posts delivered to your mailbox:

Page Reader Press Enter to Read Page Content Out Loud Press Enter to Pause or Restart Reading Page Content Out Loud Press Enter to Stop Reading Page Content Out Loud Screen Reader Support