Peranan Mahasiswa Di PRU15

PERANAN MAHASISWA DI PRU15

zulkiflihasan.com

PRU14 menyaksikan rakyat Malaysia dengan penuh keberanian dan harapan memilih untuk melakukan perubahan politik. Ini merupakan satu perubahan besar dan bersejarah. Namun, apa yang diharapkan tidak berlaku. Setelah berlakunya Langkah Sheraton, Malaysia terus tidak stabil bahkan buat pertama kali dalam sejarah punya tiga Perdana Menteri berlainan dalam satu penggal pemerintahan. Barisan Nasional tidak semena-mena kembali menerajui kerajaan tanpa PRU. Rakyat sebenarnya sudahpun cuba melakukan perubahan pada PRU14 tetapi apa yang berlaku tidak sepertimana yang diharapkan. PRU15 bakal menjelma dan rakyat seharusnya bersedia untuk membuat pilihan dan kali ini bukan sekadar membuktikan kuasa rakyat tetapi memberi isyarat keras kepada semua pimpinan politik mengenai akauntabiliti dan amanah.

PRU15 bakal menyaksikan senario politik baharu di mana golongan muda berpotensi besar untuk mencorakkan naratif politik dan hala tuju masa depan politik negara. Pindaan Perlembagaan Undi 18 telah meningkatkan daftar pemilih sebanyak 5.8 juta berikutan pendaftaran pemilih automatic. Angka ini mewakili 1.2 juta pengundi berumur 18-20 tahun dan 4.6 juta berumur 21 tahun ke atas. Ini bermakna, buat pertama kali bilangan pengundi muda bawah 40 tahun menjadi majoriti jumlah pengundi pada PRU iaitu 58 peratus. Pengundi muda ini sudah pasti akan memberikan perspektif baharu kepada dinamika politik tanahair. Parti politik sudah pasti akan merencana strategi dan menggembleng usaha untuk memenangi hati anak muda. Malahan, diharapkan akan lebih ramai anak muda menjadi calon dalam PRU15.

Dalam konteks Pengajian Tinggi, KPT melaporkan bahawa seramai 452,559 pelajar berumur 18 tahun ke atas daripada 1.2 juta penuntut IPT layak mengundi. Pindaan AUKU pada 2019 telah memberi kelonggaran kepada semua mahasiswa untuk terlibat dalam politik. Kini, mahasiswa bebas untuk menjadi ahli dan memegang jawatan mana-mana parti politik, bertanding dalam mana-mana pilihanraya, menjadi agen kepada parti politik termasuk melibatkan diri dalam kempen pilihanraya. Mahasiswa tidak perlu lagi bimbang untuk ditangkap atau dibicarakan dalam Jawatankuasa Tatatertib Universiti atau mahkamah atas faktor keterlibatan dalam politik. Dalam erti kata lain, buat pertama kali dalam sejarah selepas AUKU diperkenalkan pada 1971, mahasiswa dapat menghirup udara kebebasan untuk berpolitik secara aman tanpa perasaan takut dan gentar.

Undi 18 dan pindaan AUKU telah membuka peluang yang amat luas kepada mahasiswa untuk berpartisipasi dalam politik. Peluang ini seharusnya tidak disia-siakan oleh mahasiswa untuk bersama-sama berusaha menyumbang membentuk budaya politik yang sihat, dinamik, progresif, beretika dan sejahtera berasaskan kepada ilmu pengetahuan bukan emosi. Malaysia sudah terlalu lama dimomokkan dengan politik bersifat perkauman diwarnai fitnah dan adu domba. Dengan majoriti pengundi anak muda pada PRU15, pastinya membuka ruang dan peluang kepada mahasiswa untuk memainkan peranan mempengaruhi pendekatan politik di Malaysia. Kekuatan dan kelebihan ilmu pengetahuan, pemikiran, intelektual, idealisme dan semangat anak muda untuk membuat perubahan demi masa depan negara, mahasiswa perlu turun padang memberikan pencerahan dan pencerdasan kepada masyarakat mengenai budaya politik baharu. Mahasiswa perlu sentiasa berfikir menyumbangkan idea dan tenaga, mempergunakan ilmu dan ketajaman fikiran untuk memperjuangkan kebenaran, kemajuan dan kebebasan rakyat.

Inisiatif oleh 33 Gabungan Gerakan Mahasiswa melancarkan 15 Tuntutan Reformasi Politik, Demokrasi dan Pilihanraya kepada semua parti politik di PRU15 kali ini menunjukkan perkembangan positif. Namun begitu, data sebelum ini menunjukkan anak muda termasuk mahasiswa kurang berminat untuk mengambil tahu hal ehwal politik termasuk turun mengundi. PRN Johor yang menyaksikan detik bersejarah anak muda berumur 18 ke atas buat kali pertama dibenarkan untuk mengundi. Pelaksanaan Undi 18 di Johor yang melibatkan penambahan hampir 175,000 pengundi bawah 21 tahun juga tidak banyak merubah landskap dan pola pengundian. Statistik menunjukkan hanya 54.82 peratus keluar mengundi PRN Johor dan peratusan pengundi muda keluar mengundi juga adalah amat rendah. Kajian-kajian ilmiah lain yang dijalankan mengenai mahasiswa dan politik juga mendapati kesedaran dan tahap pengetahuan politik adalah masih rendah. Bahkan, selepas pindaan AUKU yang membenarkan mahasiswa berpolitik juga tidak mampu untuk menarik minat pelajar untuk cakna politik. Pilihanraya Kampus kini dianggap hanya sebagai Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar dan peratusan keluar mengundi juga menurun malahan lebih dingin berbanding semasa era AUKU melarang mahasiswa terlibat dalam politik. Mahasiswa sama ada tidak berminat atau masih ada perasaan takut, kesan daripada AUKU yang telah menghantui sekian lama.

Sudah sampai masanya mahasiswa mengambil peranan pro-aktif mencorak dan mempengaruhi budaya politik baharu di Malaysia. AUKU dan faktor umur bukan lagi halangan besar pelajar untuk terlibat dalam politik. Berbanding pengundi berusia, anak muda lazimnya masih lagi tidak berparti atau tidak fanatik kepada mana-mana parti politik. Pengundi muda sensitif terhadap realiti apa yang berlaku dan memberi impak secara langsung kepada kehidupan mereka dan sangat bergantung kepada maklumat yang diperolehi menerusi media sosial dan internet. Dalam erti kata lain, perspektif anak muda terhadap politik masih boleh dibentuk dan dilentur ke arah yang lebih terbuka dan dinamik.

Terlibat dengan politik bukan bermakna mahasiswa mesti menyertai mana-mana parti politik tetapi ia merangkumi segala aspek berkaitan dengan usaha pencerahan dan pencerdasan politik. Mahasiswa boleh menggerakkan usaha meningkatkan kematangan dan pengetahuan pengundi muda bahkan pengundi-pengundi berusia ke arah menjadi pengundi yang bertanggungjawab dan bijaksana membuat keputusan secara berhikmah berdasarkan kepada ilmu pengetahuan. Gerakan mahasiswa boleh mengambil peranan untuk menjana informasi dan fakta yang sahih memposisikan kefahaman masyarakat terhadap politik yang berasaskan nilai. Ini merupakan antara tanggungjawab sosial mahasiswa sebagai golongan intelektual dan berpendidikan.

Berbanding dengan amalan politik negara-negara maju yang menyaksikan pengiktirafan sewajarnya kepada ramai anak muda, politik di Malaysia secara umumnya masih mengekalkan amalan lama. Mahasiswa perlu mengambil peranan mempengaruhi parti politik agar lebih mengiktiraf keterlibatan anak muda. Dengan pengaruh dan desakan tertentu, parti politik mesti meletakkan lebih ramai calon-calon belia yang berkualiti untuk bertanding semasa PRU15. Keseimbangan pimpinan antara yang muda dan berpengalaman adalah amat penting dan ia pastinya akan memberi nafas dan harapan baharu kepada masa depan politik di Malaysia. Perkembangan ini akan memberikan kesan positif kepada amalan politik di Malaysia kerana akan lahirnya lebih ramai anak muda yang dinamik dan progresif terlibat sama dalam pembangunan negara.

Gerakan pencerdasan dan pencerahan politik tidak akan berlaku dalam masa yang singkat dan ia perlu bersifat berterusan. Oleh itu, sebaiknya mahasiswa sudah memulakan usaha-usaha ini seiring dengan tarikh PRU15 yang diisytiharkan. Wacana, diskusi, forum, kempen, debat, penulisan dan sebagainya mengenai isu-isu semasa dan politik perlu dipergiatkan bahkan dipertingkatkan kualitinya dari masa ke semasa. Mahasiswa boleh menyediakan platform yang bersifat seimbang membahas dan membicarakan aspek pembangunan, pendidikan, ekonomi, sosial dan budaya secara ilmiah. Bicara politik tidak lagi bersifat picisan atau populis tetapi mendasar kepada apa yang boleh ditawarkan untuk membela nasib rakyat dan meneruskan agenda membangunkan negara secara efisyen.

Amalan lama politik di Malaysia menyaksikan ahli politik terpalit rasuah masih mendapat tempat bahkan ada yang disanjung dan diraikan. Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku dan perlu diperbetulkan. Sebagai agen perubahan dalam masyarakat, mahasiswa boleh memainkan peranan membentuk persepsi dan perspektif agar menolak mana-mana pimpinan politik yang terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa. Rasuah perlu dipandang hina dan mana-mana parti dan pimpinan politik yang terlibat rasuah dan salah guna kuasa perlu ditolak dan tidak diberi sebarang tempat atau kedudukan.

PRU15 sudah pasti sesuatu yang ditunggu-tunggu oleh seluruh rakyat Malaysia. Era politik berasaskan sentimen perkauman, manipulasi agama, fitnah dan adu domba tidak lagi relevan dan perlu dikuburkan selama-lamanya. Sudah sampai masanya rakyat mencorakkan dan menentukan sikap, perangai dan pendekatan amalan politik di Malaysia. Mahasiswa sebagai agen perubahan dalam masyarakat berpeluang untuk memainkan peranan yang signifikan mempengaruhi dan membentuk naratif dan budaya politik baharu. Dengan Undi 18 dan kebebasan yang diberikan menerusi pindaan AUKU yang membenarkan mahasiswa berpolitik membuka ruang dan peluang seluasnya kepada mahasiswa untuk menerajui perubahan. Perubahan ke arah politik baharu yang bebas rasuah, dinamik dan progresif berasaskan nilai dan etika. Zulkifli Hasan, Universiti Sains Islam Malaysia

SUBSCRIBE

Get the latest posts delivered to your mailbox:

Page Reader Press Enter to Read Page Content Out Loud Press Enter to Pause or Restart Reading Page Content Out Loud Press Enter to Stop Reading Page Content Out Loud Screen Reader Support