BUDAYA POLITIK WASATIY

BUDAYA POLITIK WASATIY 

Zulkifli Hasan
 

Fukuyama menulis the End of History mengenai manusia sudah sampai ke pengakhiran evolusi ideologi di mana Western Liberal Democracy sebagai final form of human government. Fukuyama kemudiannya telah menulis the Great Disruption yang memperhalusi idea beliau dalam the End of History. Walau apapun yang berlaku di Malaysia, perkembangan terkini menggambarkan Malaysia juga menuju ke arah melengkapi evolusi ideologi politik. Jika barat mengambil masa ratusan tahun untuk menyesuaikan diri dengan sistem demokrasi maka Malaysia juga dalam proses kematangan mencipta identiti politik yang tersendiri sesuai dengan realiti dan waqi’ masyarakatnya.

Kepelikan dalam politik bukanlah sesuatu yang ajaib dan mengejutkan. PAS pernah bersama DAP dan kini, tidak pernah terbayang PAS sudah menerima dan bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad. UMNO berdekad-dekad menentang DAP dan kini, tidak terfikir bagaimana UMNO sudah bekerjasama dengan DAP. DSAI melawan UMNO sekian lama dan kini, berpakat dengan UMNO membentuk kerajaan perpaduan. Seiring dengan era pasca normal yang dipopularkan Ziauddin Sardar, ia menunjukkan bahawa politik itu adalah sangat anjal dan berubah malahan perubahan itu berubah dengan tahap yang luar daripada kebiasaan.

Perkembangan politik di Malaysia ini adalah sangat signifikan. Ia memberi pengajaran kepada rakyat bahawa dalam politik, sepertimana nukilan Hu Wei “There are no eternal allies nor perpetual enemies, but our interests are eternal and perpetual.” Berikutan itu, parti politik di Malaysia tidak lagi boleh memainkan isu agama dan bangsa untuk meniupkan api kemarahan dan kebencian dalam masyarakat. Semua parti politik sudah bereksperimen berpakat walau berlainan ideologi dan fahaman. Hanya keadaan dan realiti yang mengubah pendirian dan pendekatan yang kadangkala sukar diterima akal seiring dengan era pasca normal yang sedang kita lalui.

Perbezaan pandangan politik perlu diuruskan secara wasatiy dan berhikmah. Ia bukanlah perkara akidah tetapi dibenarkan untuk berbeza pandangan kerana ia jatuh dalam aspek ijtihadiy. Syeikh Taha Jabir al-Alwani telah menyediakan garis panduan menguruskan perbezaan ini menerusi karya Adab al-Iktilaf fi al-Islam yang boleh dimuat turun secara percuma inisiatif oleh JAKIM. Begitu juga dengan Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi dengan bukunya Adab al-Hiwar fi al-Islam yang menggariskan parameter etika dalam berdialog. Kerangka adab al-ikhtilaf dan adab al-hiwar ini menawarkan pendekatan wasatiy bagi menguruskan perbezaan politik yang seharusnya menjadi panduan kepada semua.

Banyak yang perlu dinilai semula melihatkan perkembangan, trend dan realiti politik di Malaysia. Perbezaan politik yang cenderung untuk melabelkan pihak lain sebagai kafir, masuk neraka, dajjal, agen yahudi dan sebagainya mesti ditolak secara total. Politik sepatutnya mengajarkan kedamaian, kasih sayang, dan harmoni tidak hanya sesama Muslim tetapi antara warganegara dan sesama manusia sebagaimana formula yang dicipta oleh Rasulullah saw dalam sahifah Madinah. Bersedia berbeza pendirian politik dan menjaga tatasusila, berbudi, sopan, hormat menghormati, tidak memperleceh, tanpa menghina dan berlapang dada bersetuju untuk tidak bersetuju adalah tuntutan politik wasatiy. Elakkan sifat berlebihan ghuluw atau melampaui batas. Sesungguhnya Allah swt benci golongan yang melampaui batas. Firman Allah swt “…katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik..” (al-Baqarah: 83). Nabi S.A.W bersabda: “Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia berkata baik atau diam” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Rasulullah S.A.W bersabda: “Orang yang beriman itu bukanlah sifatnya memaki hamun, melaknat, berkata kotor dan juga bahasa yang keji.” (Riwayat al-Bukhari).

Selaras dengan semangat negara madani untuk membangun tanah air yang lebih mampan dan sejahtera berteraskan ruh daya cipta, nilai hormat, keyakinan dan ihsan, di mana keterangkuman dan kesaksamaan menjadi teras utamanya yakni sebuah masyarakat Malaysia yang adil, tiba masanya Malaysia mencipta budaya politik baharu yang wasatiy. Budaya politik damai yang mengangkat keilmuan, budi, hikmah dan akhlak bukan sentimen perkauman, agama dan kepentingan individu. Sehingga hari ini, kita tidak punya model amalan politik dan demokrasi mana-mana negara Islam yang benar-benar boleh dijadikan rujukan dunia. Malaysia punya potensi besar untuk menawarkan model politik kemajmukan yang damai menangani kepelbagaian dalam bingkai kesatuan.

PRN di 6 buah negeri kali ini sekali lagi menguji kematangan rakyat Malaysia berpolitik. Berpolitiklah secara wasatiy yang menghormati kepelbagaian pandangan dan perbezaan pendirian politik. Politik wasatiy menuntut rakyat untuk membuat pertimbangan berdasarkan ilmu dan hikmah bukan bersandarkan sentimen emosi semata-mata. Sejarah menyaksikan Malaysia melalui episod ketidakstabilan politik yang berpanjangan di mana akhirnya mempengaruhi daya saingan dan hala tujunya. Kini, Malaysia sudah mempunyai halatuju yang jelas iaitu membangun negara MADANI berteraskan ihsan, nilai hormat, keyakinan, kemampanan, kesejahteraan dan daya cipta. Membangun negara MADANI memerlukan masyarakat berilmu dan berakhlak dan Malaysia hanya akan maju dan sejahtera dengan masyarakat yang mengamalkan budaya politik wasatiy.

 

SUBSCRIBE

Get the latest posts delivered to your mailbox:

Page Reader Press Enter to Read Page Content Out Loud Press Enter to Pause or Restart Reading Page Content Out Loud Press Enter to Stop Reading Page Content Out Loud Screen Reader Support