GE14 and the Year Since: My Personal Reflection

Refleksi Genap Setahun PRU14

Sebagai rakyat yang prihatin, saya sentiasa mengikuti secara rapat perkembangan politik Malaysia pasca 9 Mei 2018 dengan penuh minat di samping debaran ingin melihat Malaysia baharu yang lebih dinamik dan progresif di samping mengekalkan prinsip-prinsip kenegaraan dan nilai-nilai Malaysia sebagai negara bangsa yang berdaulat. Secara umumnya, walaupun terdapat pelbagai isu dan permasalahan pasca PRU14 yang sedang cuba diselesaikan, sememangnya tidak dapat dinafikan keberanian dan azam rakyat Malaysia cuba membuat perubahan menerusi demokrasi secara aman dan tenteram menjadi inspirasi kepada ramai negara- negara yang masih dibelenggu kediktatoran dan krisis politik yang tidak stabil. Sekurang-kurangnya rakyat Malaysia telah melalui satu era dengan naratif baru yang memberi peluang kepada mana-mana parti politik untuk menunjukkan prestasi dan perlaksanaan kata-kata kepada tindakan. Suara rakyat kini tidak boleh lagi diketepikan malahan perlu sentiasa menjadi perhatian untuk memastikan terus mendapat mandat dan kepercayaan.

Mengambil kira cabaran besar kerajaan PH termasuk pembangkang dan rakyat Malaysia secara umumnya, saya ingin merujuk kerangka pemikiran Ibnu Khaldun bagi menganalisis dan cuba meneroka naratif baru Malaysia. Gambar di bawah adalah nota ringkasan saya daripada pemikiran Ibnu Khaldun dalam magnum opusnya ‘Mukaddimah’. Pemikiran Ibnu Khaldun ini juga digunakan oleh ramai pemikir hebat yang lain dalam pelbagai bidang termasuk ‘Future Studies’. Kelebihan Ibnu Khaldun berbanding ramai pemikir lain ialah beliau melalui era yang begitu bersejarah (Monggol, Abasiyah, Mamluk dan ‘Black Death’) bukan sahaja sebagai intelektual tetapi terlibat sama dalam pentadbiran dan politik di zamannya.


Setelah meneliti keseluruhan apa yang berlaku setahun pasca PRU14, kita perlu melihat sesuatu itu berdasarkan dinamika menentukan dan menguruskan antara dua perkara iaitu maslahah dan mafsadah dari perspektif makro dan mikro. Dalam konteks ini, kita sebenarnya perlu memikirkan dan mengaulakan bukan sahaja maslahah amah (makro maslahah) bahkan lebih penting ialah kemampuan untuk mengenalpasti dan menguruskan mafsadah aamah (mafsadah makro). Ibnu Khaldun memperkenalkan kaedah ‘Macro History’ dan ‘Cyclical Theory’ yang sangat relevan dalam menguruskan makro maslahah dan makro mafsadah. Ini adalah sangat penting dalam membina naratif baru mendepani cabaran masa depan ke arah membina negara yang lebih gemilang.

Dalam konteks Malaysia yang lebih dinamik ini, kita tidak boleh menafikan kepentingan menyeimbangi antara kepentingan dan hak majoriti dan minoriti mahupun antara golongan atasan dan bawahan. Perkara ini adalah antara cabaran besar Malaysia baharu. Terdapat golongan yang teruja untuk pembaharuan yang didominasi elitis dan golongan berpendidikan tinggi tetapi akhirnya mengabaikan keperluan dan perubahan yang didambakan golongan bawahan. Umpamanya isu Rome Statute berbanding kos sara hidup rakyat yang semakin tinggi, isu ICERD berbanding peri pentingnya mengutamakan kebajikan rakyat. Isu ini memerlukan kebijaksanaan menguruskan awlawiyat atau keutamaan di samping menyeimbangi kepentingan kesemua golongan rakyat. Kelemahan menguruskan awlawiyat ini termasuk kegagalan untuk meuar-uarkan usaha-usaha murni secara efisyen akhirnya boleh menatijahkan kekecewaan majoriti rakyat di mana ia mengaburi perubahan-perubahan yang cuba direalisasikan walaupun diiringi keikhlasan.

Dalam keadaan Malaysia pada hari ini yang mendepani pelbagai cabaran , kita mesti berani mencipta naratif baru ke arah mengekalkan kemakmuran dan membina negara yang lebih gemilang. Bagi maksud ini KELAJUAN PERUBAHAN itu perlu diberikan perhatian serius. Kegagalan atau lambat untuk membuat PERUBAHAN termasuk kelemahan untuk mempertontonkan PERUBAHAN akan mempercepatkan kejatuhan. Alvin Toffler dalam bukunya Revolutionary Wealth ada membincangkan Bab ‘Speed of Change’ di mana kelajuan melakukan perubahan itu menentukan sejauh mana sesebuah institusi itu akan mendahului yang lain atau terus ketinggalan. PERUBAHAN yang didambakan dalam konteks Malaysia walaupun diakui memerlukan masa yang panjang untuk menampakkan hasilnya tetapi ia tidaklah boleh terlalu PERLAHAN sehinggakan tidak dapat dirasakan oleh rakyat. PERUBAHAN ini perlu berlaku dalam kelajuan yang sewajarnya di mana rakyat masih boleh menaruh HARAPAN dan sekali-kali tidak mula berasa kecewa dengan harapan yang diberikan.

Kerangka perubahan yang bersifat universal dan sejagat perlu menjadi polisi dan pendekatan. Ia bukan sekadar azam tetapi usaha yang perlu dilaksanakan dengan sepenuh jiwa dan raga. Idea conventional wisdom yang diperkenalkan Ibnu Khaldun boleh diaplikasikan dalam kerangka pendekatan sedia ada. Conventional wisdom yang menekankan idea menggabung jalinkan antara idealisme dan realiti ini memperlihatkan hikmah kepada sesuatu pendekatan siyasah. Berbicara soal siyasah yang begitu kompleks ini bukan sahaja memerlukan ilmu pengetahuan, pengalaman tetapi juga hikmah atau ‘wisdom’. Immanuel Kant ada menyebut bahawa Science is organised knowledge and wisdom is organised life.

Kerangka wahdatul fikr yang sering kali diungkit bagi maksud perpaduan dan pembangunan mungkin sesuatu yang sukar untuk menjadi realiti. Conventional wisdom dalam konteks semangat kekitaaan bangsa Malaysia menerusi wahdatul amal dan wahdatul khayr iaitu kesatuan untuk melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran adalah sangat penting dalam membina negara Malaysia. Ia merentasi bangsa, agama, ideologi, warna kulit mahupun fahaman. Naratif baru politik di Malaysia akan melihat bangsa Malaysia bersama-sama membangunkan negara ini dengan semangat wahdatul khayr. Bagi majoriti rakyat Malaysia Melayu beragama Islam, kerangka wahdatul khayr ini akan menyerlahkan nilai kesejagatan Islam itu sendiri.

Inilah ruh dan semangat hilf al fudhul yang dinyatakan oleh Rasulullah saw sendiri di mana baginda bersedia dan akan menyertai kesatuan untuk melakukan kebaikan walaupun ia disertai oleh mereka yang masih belum beriman. Matlamat Hilf al-Fudul antaranya adalah untuk merealisasikan keamanan dan menghormati kontrak sosial dan persefahaman. Ini juga seiring dengan ruh dan semangat Piagam Madinah yang menjadi asas kepada prinsip bernegara. Menerusi naratif baru ini, pastinya ia berupaya mempertontonkan keindahan Islam yang meraikan kepelbagaian dalam kerangka Syariat. Naratif baru ini juga akan memperlihatkan Islam itu sebagai agama yang inklusif, hikmah dan penuh dengan sifat rahmah. Dan yang lebih utama naratif baru ini akan membina dan membentuk pemikiran baru bangsa Malaysia yang lebih progresif, positif dan menghormati kepelbagaian dalam bingkai Kesatuan. Walau apapun, kesemua ini hanya akan tercapai sekiranya semua pihak mempunyai keterbukaan dan berjiwa besar serta sentiasa mengutamakan kepentingan umum melebihi peribadi dan kroni.

Wallahua’lam

4 Ramadan 1440H

SUBSCRIBE

Get the latest posts delivered to your mailbox:

Page Reader Press Enter to Read Page Content Out Loud Press Enter to Pause or Restart Reading Page Content Out Loud Press Enter to Stop Reading Page Content Out Loud Screen Reader Support