Himpunan Solidariti Bersama Gaza: Rakyat Malaysia Banjiri Axiata Arena

YB TMA Hadiri Konsert Kasih Kekasih 25 Tahun Inteam
October 15, 2025
Syariah sebagai Teras: Inovasi & Profesionalisme dalam Kewangan Islam 2025
October 17, 2025
YB TMA Hadiri Konsert Kasih Kekasih 25 Tahun Inteam
October 15, 2025
Syariah sebagai Teras: Inovasi & Profesionalisme dalam Kewangan Islam 2025
October 17, 2025
Show all

Himpunan Solidariti Bersama Gaza: Rakyat Malaysia Banjiri Axiata Arena

Saya hadir ke Himpunan Solidariti Gaza di Axiata Arena. Bersyukur sukarelawan Sumud Nusantara selamat sampai di tanahair. Juga menzahirkan rasa gembira di atas pembebasan 9 sukarelawan Freedom Flotilla Coalition warga Malaysia, yang telah diculik oleh tentera rejim.

Jangan lupa Solat Hajat, berdoa dan ingatan untuk saudara kita di Gaza. Mereka sudah terlalu lama dizalimi. Bangga mendengar pidato penuh bersemangat daripada YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) yang menaungi misi penuh mencabar ini.

Firman Allah Subhanahu wa-Ta’ala:

اَلَّذِيْنَ قَالَ لَهُمُ النَّاسُ اِنَّ النَّاسَ قَدْ جَمَعُوْا لَكُمْ فَاخْشَوْهُمْ فَزَادَهُمْ اِيْمَانًاۖ وَّقَالُوْا حَسْبُنَا اللّٰهُ وَنِعْمَ الْوَكِيْلُ

Maksudnya: Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: “Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya”. Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: “Cukuplah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)”. (Surah Ali-‘Imran 173).

Suasana indah di Himpunan Solidariti Gaza, di Axiata Arena, Bukit Jalil. Ulama dan Umara berhimpun bersama rakyat dari segenap lapisan masyarakat menzahirkan solidariti dan ukhuwah kepada Palestin. 🇲🇾🇵🇸 Luar biasa dan hebat Malaysia kita!

Doa oleh Tuan Guru Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki dan Tuan Guru Syeikh Haji Abdul Rahman Haji Abdul Kadir memang menusuk kalbu.

Cukup terharu apabila Syeikh Wazir sendiri berkongsi kisah perjuangan berdekad lamanya YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) yang istiqamah memperjuangkan isu Palestin, sedari usia belianya di dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan World Assembly of Muslim Youth (WAMY) sehinggalah kini.

Bahagia melihat wajah-wajah para pejuang Sumud Nusantara yang tetap mengukir senyuman, meskipun keletihan selepas mengharung pelbagai dugaan. Saya turut menzahirkan rasa syukur apabila 9 lagi aktivis Malaysia dalam misi Freedom Flotilla Coalition yang berada dalam tahanan rejim, kini juga telah dibebaskan.

Pada 9 Oktober 2025, telah berlangsung Sidang Meja Bulat Pembentukan Sekretariat Pondok Madani (SPM) yang menghimpunkan 140 tuan guru pondok bagi memperkukuh peranan mereka dalam pembangunan negara.

Program ini adalah anjuran YADIM Pusat dan YADIM KL & Putrajaya. Ia dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar.

SPM dilihat sebagai langkah penting dalam mengangkat suara ulama dan menyuburkan elemen syariah dalam pentadbiran negara, selain menjadi pemangkin semangat dakwah dan sinergi antara institusi pondok dan pihak berautoriti.

Terdahulu, saya hadiri Perbincangan Meja Bulat Bersama Tuan Guru-Tuan Guru Pondok mengenai pemerkasaan dan pengukuhan institusi pondok.

Turut hadir Tuan Guru Syeikh Haji Wazir Bin Awang, Tuan Guru Haji Abdul Rahman bin Haji Abdul Kadir, Tuan Guru Haji Zulkarnain Harun, Baba Hj Muhammad Rusydi Abdul Malek, Tuan Guru-Tuan Guru Pondok, Ustaz Datuk Dr. Hasan Bahrom, Yang Dipertua YADIM dan YB Senator Dato’ Seri Dr. Mujahid bin Yusof.

Alhamdulillah, perbincangan dan dialog yang sangat baik dengan beberapa keputusan dan gerak kerja seterusnya yang akan dilaksanakan. Kami mendengar pandangan dan idea Tuan Guru- tuan guru dengan penuh minat.

Saya juga berkongsi perkembangan terkini tentang isu Palestin dan usaha-usaha yang dilakukan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) serta mohon doa dari semua Tuan Guru khususnya untuk sukarelawan Sumud Flotilla dan Freedom Flotilla.

Ini adalah perbincangan awal setelah dilaksanakan Muzakarah Umara’ dan Ulama’ Pondok Kebangsaan (UMRAN) 2025 dan Ijtimak MADANI Ulama dan Guru Pondok Kelantan 2025. Insya-Allah, akan melibatkan lebih banyak institusi pondok seluruh Malaysia selepas ini.

Pada 13 Oktober 2025, saya luangkan masa meraikan sahabat-sahabat sukarelawan kemanusiaan Sumud Nusantara yang berjuang di samudera untuk ke Gaza; bersama para petugas. Terima kasih kepada para petugas dan sukarelawan Cinta Gaza Malaysia, Cinta Salam Malaysia dan Global Peace Mission (GPM) Malaysia kerana sudi hadir.

Terdahulu, mereka turut terlibat menjayakan Siri Bacaan Yaasin dan #SolatHajatGaza yang kami gerakkan di seluruh surau dan masjid di Putrajaya serta seluruh negara, sejak tahun lepas.

Alhamdulillah, ramai juga yang hadir walaupun sibuk dan ada juga yang kurang sihat dan tidak dapat hadir. Ada juga wakil pimpinan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Humanitarian Care Malaysia (MyCARE). Terima kasih kepada Sdra. Mat Luthfi, Coach Shariman, rakan-rakan media dan semua yang sudi hadir.

Sdra. Musa al-Nuwayri berkongsi pengalaman dan perkembangan terkini berkenaan misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Beliau menegaskan bahawa para pejuang Sumud Nusantara dan Freedom Flotilla Coalition dapat menongkah arus cabaran meskipun penuh risiko di lautan, kerana adanya doa anggota keluarga serta kerja keras para sukarelawan yang bertungkus siang dan malam menjalankan tugas dari Sumud Nusantara Command Center (SNCC) di MAPIM Central Warehouse, Sepang, selain Ibu Pejabat MyCARE di Seri Kembangan.

Saya berkesempatan menyambut 23 aktivis Sumud Nusantara, dan kemudiannya 9 orang lagi aktivis Freedom Flotilla Coalition di KLIA, Sepang.

Saya sempat berbual dengan Heliza dan Hazwani Helmi – bertanya khabar dan pengalaman mereka. Saya pernah melaksanakan Misi Bantuan Kemanusiaan di Syria bersama-sama Heliza dan Hazwani semasa bulan Ramadan pada 2023. Ketika itu, keadaan di Syria masih bergolak dengan kancah peperangan serta tidak stabil.

Dapat berkenalan dan ramah mesra dengan sukarelawan-sukarelawan lain dan petugas-petugas Sumud Nusantara yang semuanya komited dan sentiasa bersemangat melaksanakan tugas dan khidmat bakti.

Pada 14 Oktober 2025, saya sempat menghadiri Kuala Lumpur Conference on a New Just & Humane International Order 2025. Mendengar ucaptama oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX); YB Jeremy Corbyn, Ahli Parlimen United Kingdom; TYT Alvin Botes, Timbalan Menteri Perhubungan dan Kerjasama Antarabangsa Afrika Selatan. 🇲🇾🇬🇧🇿🇦

Dapat berbual dengan Jeremy Corbyn dan Alvin Botes. Kedua-duanya memang terkenal dengan kelantangan membawa isu Palestin di arena antarabangsa. 🇲🇾🇵🇸 Jeremy Corbyn menyatakan bahawa kesedaran terhadap isu Palestin di United Kingdom adalah fenomena baharu di mana ratusan ribu berdemonstrasi di London menyuarakan solidariti kepada Palestin dan mengecam rejim.

PMX menyampaikan ucaptama bertajuk Galvanising The South in Shaping a New International Order. PMX juga mengupas isu Palestin dan melontarkan idea segar peranan ‘global south’ bagi mengimbangi dan mencipta orde baru dunia.

Alhamdulillah, pada 12 Oktober 2025, saya menyambut kepulangan 9 orang sukarelawan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens To Gaza (TMTG) di KLIA. Terdahulu, pada 7 Oktober 2025, saya dan pasukan juga berkesempatan menyambut 23 delegasi Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, Palestin. Mereka tampil di KLIA1, selepas usaha YAB Perdana Menteri (PMX), Kerajaan Turkiye dan pelbagai pihak bagi memastikan mereka selamat tiba.

Sebelum itu, pada 7 Oktober 2025, sewaktu 23 sukarelawan Sumud Nusantara dalam perjalanan pulang dari Turkiye ke KLIA – dan 9 orang aktivis FReedom Flotilla Coalition masih berjuang di lautan; saya luangkan masa sebentar melawat ke Bilik Operasi Freedom Flotilla Coalition (FFC) di ibu pejabat MyCARE di Seri Kembangan.

Pada 10 Oktober 2025, sebelum ke Parlimen untuk mendengar Pembentangan Belanjawan 2026, saya singgah sebentar di UIAM, Gombak untuk Solat Jumaat. Mendapat jemputan IIUM Student Union untuk solidariti Palestin selepas Solat Jumaat. Alhamdulillah, ramai warga UIAM yang hadir menzahirkan solidariti Palestin. Saya dijemput untuk menyampaikan ucapan ringkas. Sudah lama tidak berucap penuh perasaan dan penuh semangat sebegini.

Alhamdulillah, saya tampil dalam beberapa sesi Live TikTok bersama dua sahabat baik saya – Sdra. Ahmad Musa Al-Nuwayri dan Prof. Afandi Salleh, aktivis Palestin yang ketika itu sedang menyertai misi kemanusiaan yang mencabar bersama Global Sumud Flotilla (GSF). 

Pada 2 Oktober 2025, saya bersiaran langsung di TVAlhijrah, di mana saya mengulas mengenai misi Global Sumud Flotilla dan Freedom Flotilla Coalition. 

Pada 9 Oktober 2025, saya bersiaran langsung di Zayan sebelum ke Parlimen untuk bertugas. Saya kongsikan bahawa perjuangan para aktivis misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla dan Freedom Flotilla Coalition bukan sekadar misi biasa. Ia adalah gabungan suara dunia menuntut keadilan buat rakyat di Gaza.

Pada 23 September 2025, saya bersiaran di IKIMfm – menerima undangan untuk berkongsi pengalaman dan perkembangan berkenaan Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam di Doha, di mana saya mengiringi delegasi YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) baru-baru ini. 



Mengikuti perkembangan dunia berkenaan isu Palestin dengan penuh harapan. 🇲🇾🇵🇸 Kita perlu ketepikan perbezaan politik kepartian, dan lebih fokus serta bersatu hati dalam isu Palestin.

  • Protes di seluruh dunia solidariti Palestin dan mengecam sang rejim.
  • Hamas bersedia untuk menerima pelan damai.
  • Media rejim penjajah mengecam pelan damai Trump.
  • Rejim mohon maaf buat pertama kali kepada negara yang diserang iaitu Qatar.
  • AS-Qatar Meterai Perjanjian Serangan ke atas Qatar adalah Serangan ke atas AS (Seperti perjanjian NATO)
  • Peningkatan sokongan terhadap Palestin dan penurunan sokongan pada rejim termasuk di AS.

Banyak yang masih perlu dipelajari dan difahami. Isu Palestin perlu ditangani dengan kesatuan dan ilmu, bukan sekadar semangat – masyarakat harus memahami fakta sebenar, termasuk pendirian Hamas dan hubungan diplomatik Malaysia.

Fokus utama ialah solidariti dan usaha damai untuk Palestin, bukan kepentingan politik kepartian; tindakan dan pendirian harus berpaksikan keikhlasan serta pengetahuan yang tepat.

Ada yang mendesak kerajaan memutuskan hubungan dengan rejim Zionis, sedangkan pihak rejim memang tiada hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Ada yang mengecam pendirian menyokong pelan damai sedangkan adakah mereka tidak tahu bahawa Hamas sendiri bersedia untuk berunding menerima pelan damai. Bersihkan hati dan terus belajar.

Terus berdoa untuk saudara kita di Gaza. 🤲 Kita jangan pernah berdiam! Teruskan bersuara! ✊🇲🇾🇵🇸

Ketepikanlah perbezaan kita, ambil ruang untuk bersatu hati demi saudara kita di Gaza. Dengan semangat #IhsanUntukPalestin, jangan berhenti berdoa dan Solat Hajat buat mereka yang dizalimi.

Diiringi doa setulusnya. 🤲🇲🇾🇵🇸 Hasbunallahu wa ni’mal wakīl, ni’mal mawlā wa ni’mal naṣīr.

#IhsanUntukPalestin #GazaBangkit
#SumudNusantara #SumudFlotilla
#FreedomFlotilla

Leave a Reply

SUBSCRIBE

Get the latest posts delivered to your mailbox:

Page Reader Press Enter to Read Page Content Out Loud Press Enter to Pause or Restart Reading Page Content Out Loud Press Enter to Stop Reading Page Content Out Loud Screen Reader Support