‘RETHINKING OURSELVES’ PEMANGKIN MALAYSIA MADANI
Zulkifli Hasan
Berfikir Adalah Tuntutan al-Quran
Buku Rethinking Ourselves: Justice, Reform and Ignorance in Postnormal Times adalah karya terkini YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia diterbitkan oleh dua penerbit antarabangsa iaitu Hurst Publication dan Penguin Publication. Ia mengandungi 292 halaman (versi Penguin Publication) dengan 6 bab dan pendahuluan atau prolog dan penutup atau epilog, sarat dengan rujukan karya agung dan bacaan timur barat dan pelbagai tradisi ilmu.
Terdapat pelbagai komen dan ulasan mengenai buku ini bukan sahaja pengulas tempatan tetapi juga antarabangsa. Sudah pasti ada yang positif dan ada juga yang mengkritik kandungannya. Saya cuba memberikan perspektif peribadi mengenai buku ini. Saya berpandangan untuk memahami buku ini dengan baik, pembaca memerlukan latar bacaan yang komprehensif dan sudah biasa atau pernah menelaah karya-karya besar yang dirujuk oleh penulis. Oleh itu, Rethinking Ourselves ini menjadi pintu atau membuka jalan kepada pembaca untuk menelaah karya-karya penting dari pelbagai disiplin dan tradisi.
Membaca dan menelaah buku ini mengingatkan saya kepada tuntutan al-Quran yang menyuruh manusia untuk sentiasa berfikir. Allah SWT memuji golongan yang berfikir atau Ulul Albab yang sentiasa tafakkur (fikir), tadabbur (meneliti), dan taaqul (menjiwai). Perkataan akal dalam al-Quran ada sebanyak 50 kali dalam pelbagai surah, suruhan untuk berfikir juga ada lebih kurang 700 tempat dan perkataan Ulul Albab disebut sebanyak 16 kali. Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Allah memberikan hikmah kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmah itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya”. (Surah al-Baqarah: 269).
Buku ini merangsang pembaca untuk berfikir. Sudah terlalu lama kita dituduh dan dilabel sebagai bangsa yang tidak mampu berfikir. Hamid Dabashi ada menulis buku berjudul Can Non-European Think? Manakala Kishore Mahbubani menulis Can Asian Think? Abdul Hamid Abu Sulayman pula membangkitkan permasalahan utama umat Islam dengan karya Crisis in the Muslim Mind. Wacana-wacana dalam buku ini cuba membangkitkan bahawa semua bangsa di dunia boleh dan mampu berfikir dengan baik. Krisis minda atau kelemahan untuk berfikir secara strategik adalah masalah utama dan punca kepada kemunduran. Buku Rethinking Ourselves ini benar-benar merangsang dan mencabar minda kita untuk berfikir dan terus berfikir.
Kelainan dan Keunikan
Rethinking Ourselves merupakan hasil dari nota penjara penulis yang telah ditahan sebanyak tiga kali sebagai pelajar, aktivis, ahli politik dan ilmuwan iaitu pada tahun 1974-1976 kemudian 1998-2004 dan kali terakhir 2015-2018. Ini mengingatkan saya kepada Mukaddimah magnum opus Ibnu Khaldun yang dihasilkan setelah beliau melalui liku-liku kehidupan sebagai ilmuwan, ahli politik, hakim dan pemimpin masyarakat.
Terdapat beberapa karya yang dihasilkan oleh tokoh dunia semasa di dalam penjara seperti Antonio Gramsci dengan Notebook in Prison 3 Jilid, Buya Hamka dengan Tafsir Al-Azhar, Syed Qutb dengan Tafsir fi Zilalul Quran dan Said Nursi dengan Risalah Annur. Keunikan buku Rethinking Ourselves ini adalah hasil catatan tangan penulis dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sepanjang kehidupannya di penjara. Catatan nota penjara ini dikembangkan menjadi idea dan gagasan besar yang dirumuskan dalam bentuk buku.
Rethinking Ourselves ialah sebuah karya menilai semula asas pemikiran, nilai dan sikap. Keunikannya menggabungkan dimensi moral, falsafah dan kemanusiaan dalam membincangkan soal pembangunan negara. Ia bukan sekadar menyeru reformasi struktur, tetapi reformasi jiwa dan akal budi. Ia adalah manifestasi pemikiran, memoir, peta intelektual, wacana falsafah, pemikiran, teori sosial, politik, pemikiran Islam dan intelektual dalam era pasca normal.
Membaca buku ini mengingatkan saya karya Seyyed Hossein Nasr berjudul A Young Muslim Guide to the Modern World yang menekankan peri pentingnya menguasai pengetahuan turath Islami, pengetahuan dan pemikiran moden termasuk falsafah barat dan tradisi lain dan mempunyai keupayaan untuk mensistesiskan antara keduanya. Perkara inilah yang saya jumpai dalam Rethinking Ourselves di mana penulis berjaya mensintesiskan ilmu-ilmu dan pemikiran-pemikiran antara turath dan kotemporari, barat dan timur, utara dan selatan, demokrasi dan ideologi lain serta mengharmonikannya dari perspektif Islam.
Secara tidak sedar, Rethinking Ourselves sangat menekankan aspek pendidikan yang bukan sekadar proses penyampaian ilmu, tetapi membina insan yang holistik membentuk minda, karakter dan syahsiyah. Membentuk dan mendidik manusia yang bukan hanya cerdas akalnya, tetapi juga jernih budi dan kukuh jati dirinya. Sistem pendidikan yang digagaskan adalah pendidikan manusiawi melahirkan insan seimbang bukan hanya pakar dalam sesuatu disiplin tetapi generalist dan polymath yang memiliki pelbagai ilmu pengetahuan secara meluas dalam pelbagai bidang ilmu. Dalam The Revolt of the Masses oleh Jose Ortega y’ Gasset menyebut perkara ini sebagai ‘the barbarism of specialisation’ di mana ‘specialisation’ dan ‘fragmentation of learning’ menghasilkan golongan yang tidak seimbang dan menyeluruh pengetahuannya. Jose Ortega menulis:
“The specialist ‘knows’ very well his own tiny corner of the universe; he is radically ignorant of all the rest.”
Buku ini juga menghidangkan wacana Islam terkini yang progresif dengan mengharmonikan pandangan alam dan pemikiran kontemporari dan tradisi. Pembaca diperkenalkan dengan perbahasan ilmu yang menyeluruh bagi memahami dinamika dan realiti dari pelbagai perspektif seperti pengajian berdasarkan geografi merangkumi Afrika, Asia, Amerika Latin, Nusantara termasuk pengajian berdasarkan disiplin seperti Islam, China, India, Occidental, Oriental dan lain-lain.
Idea Besar Dalam Rethinking Ourselves
Buku ini perlu dibaca dengan teliti kerana setiap bab mempunyai kekuatan dan mesej tersendiri. Lebih utama, ia mesti dibaca secara tertib ikut urutan bab kerana setiap bab itu mempunyai kaitan dan kesinambungannya tersendiri. Pembaca juga digalakkan untuk meneliti dan melakukan bacaan lanjutan terhadap karya-karya yang dipetik dan dirujuk dalam buku ini.
Buku ini dimulakan dengan prolog yang bertajuk Eye on the Storm. Mukadimah ini sangat penting kerana menjadi pemula kepada perbincangan yang lebih berat dalam bab-bab yang lain. Jatuh bangun penulis dengan ujian begitu hebat sejak awal dalam dunia perjuangan. Penulis dipecat, dipenjara, dimalukan, dikhianati dan dizalimi. Detik 2 September 1998 merakamkan penulis dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan 20 September beliau ditangkap dan dipenjara. Pengalaman penulis merengkok di penjara sebanyak tiga kali ditemani al-Quran dan buku-buku telah melahirkan insan yang baharu, lebih bijaksana, matang, berhikmah dan paling utama sentiasa berfikir.
Bab kedua dengan tajuk Postcolonial Angst menelusuri perkembangan di barat dan di timur termasuk di nusantara. Penulis mewacanakan konsep perhambaan, kapitalisme, komunisme, Perang Dingin, kolonialisme, imperialisme dan persoalan negara dunia ketiga. Penulis merangsang pembaca untuk berfikir semula mengenai pengaruh kolonialisme yang berlatarkan ketinggian penjajah menerusi istilah seperti superior western culture, colonised and colonizer dan slave and master. Kemudian penulis membincangkan kelangsungan pasca kemerdekaan dalam konteks Malaysia termasuk memperingatkan mengenai future colonialism atau penjajahan masa depan.
Bab Justice for Our Time menelusuri dan menghurai konsep dan makna keadilan dalam erti kata yang sebenarnya bersesuaian dengan konteks realiti hari ini. Penulis memulakan dengan mengupas kitab turath munyatul musalli karya Syeikh Daud Abdullah Al-Fathani. Penulis ada menerbitkan catatan kitab ini dalam bentuk buku dengan judul Keadilan Bagi Orang yang Bersolat. Penulis merujuk konsep keadilan yang terkandung dalam al-Quran dan mengulas secara khusus bab terakhir tatmim al-faidah berkenaan dengan maqasid solat dan tuntutan untuk menegakkan keadilan.
Penulis meluaskan dimensi keadilan dengan mengharmonikan tradisi dan kefahaman barat menerusi pemikiran antaranya John Rawls, Robert Nozick dan Amartya Sen. Konsep keadilan barat ini kemudiannya diharmonikan dengan menyentuh konsep keadilan dalam al-Quran termasuk membincangkan pandangan sarjana Muslim seperti al-Farabi, Al-Fadl, Syeikh Daud al-Fattani dan Syed Muhammad Naquib al-Attas.
Dalam konteks keadilan ekonomi, penulis meneliti pemikiran sarjana dunia seperti John Locke, Adam Smith, Jeremy Bentham, John Stuart Mill dan Thomas Picketty. Keadilan adalah tiang seri kepada tamadun, sejajar dengan prinsip al-adl wal ihsan (keadilan dan kebaikan) dalam Islam. Penulis memperkenalkan gagasan idea ekonomi manusiawi untuk keadilan sosial. Keadilan yang disebut bukan bersifat inklusif tetapi dalam bentuk global convivencia atau kewujudan bersama sejagat. Ini bersesuaian dengan konsep ummmatan wasata yang terkandung dalam al-Quran.
Bab Liberating Democracy meneliti realiti dan cabaran melaksanakan keadilan dalam konteks demokrasi. Demokrasi boleh melahirkan pemimpin yang baik tetapi sekiranya tidak diasaskan dengan nilai dan moral maka boleh juga menghasilkan pemimpin yang zalim. Plato mengingatkan bahawa demokrasi berpotensi mencipta diktator dan pemimpin kuku besi.
Penulis membangkitkan bahawa demokrasi hari ini memerlukan reformasi tersendiri. Bagi maksud ini, penulis mengharmonikan pandangan Islam dan demokrasi yang selari dengan konsep shura. Perkara ini diperhalusi dengan merujuk pandangan sarjana antaranya al-kawakibi, Makdisi Taha Hussin dan al-Tahtawi. Apa yang lebih penting dalam demokrasi dalam konteks hari ini ialah mewujudkan masyarakat berilmu dan bertamadun (disebut oleh Ziauddin Sardar sebagai wisdom communities, al-Farabi sebagai virtuous cities dan Plato sebagai desired republic) yang membuat keputusan secara rasional demi kebaikan dan kemaslahatan.
Bagi menangani persoalan Islam dan demokrasi, penulis menghuraikan dan mengharmonikannya dalam bab Reconsidering the Ummah. Bahagian ini mewacanakan tema ketamadunan dengan baik di mana penulis mengkritik perspektif barat yang mengesampingkan perspektif tradisi lain seperti yang dipelopori oleh Samuel Huntington dan Francis Fukuyama. Mengimbangi wacana ketamadunan ini, penulis mempopularkan pemikiran Edward Said yang terkenal dengan karya Orientalisme malahan menjelaskannya menerusi karya beliau sendiri iaitu the Asian Renaissance. Penulis sendiri secara pro-aktif menggerakkan Dialog antara Peradaban seawall 1991 dan mempopularkan pandangan peradaban Malik Bennabi, Ibnu Khaldun, Miskawayh, al-Farabi dan Muhammad Iqbal. Bagi mendepani cabaran keadilan dalam ranah demokrasi, buku ini memperkenalkan konsep ummah universal consciousness of Islam iaitu ummah yang mendapat pencerahan dari kegelapan dan kejahilan.
Bab The Arc of Ignorance adalah bahagian yang sangat penting. Ia menganalisis cabaran dan realiti utama kepada masalah, konflik, isu dan krisis yang berlaku dalam era pasca kebenaran dan pasca normal iaitu ignorance atau kejahilan. Penulis menyebut idea dan pemikiran sarjana seperti George Santayana, Hegel, Klingberg, Schlesinger dan Gore Vidal. Penulis merumuskan bahawa kejahilan era pasca normal adalah berbeza dengan sebelum ini kerana ia bersifat kompleks, global, industri dan ada banyak kepelbagaian. Kejahilan di sini bukan sekadar kekurangan ilmu, tetapi keengganan untuk belajar, sikap taksub, dan yang paling kritikal, kejahilan yang disengajakan.
Selain orientalism, penulis turut mengupas post modern orientalism yang menatijahkan konflik dan krisis baharu antaranya fear atau kebimbangan peralihan kuasa dan ignorance atau kejahilan atau kedangkalan ilmu. Kejahilan bentuk baharu ini menjadi penyebab konflik dan krisis seperti Islamofobia yang mencetuskan kebencian kepada orang Islam, Islam dari sudut agama dan peradaban. Jika Noams Chomsky menyebut mengenai ‘manufactured consent’ sebagai agenda penindas untuk meneruskan penindasan, era pasca normal menyaksikan fenomena ‘manufactured ignorance’ iaitu kejahilan yang bukan sahaja disengajakan tetapi dirancang bagi membentuk struktur kuasa.
Bab Rethinking Ourselves merumuskan apakah sebenarnya yang harus dilakukan setelah meneliti dan mengamati segala cabaran dan realiti zaman era pasca kebenaran dan pasca normal ini. Penulis cuba mencetus dan merangsang akal untuk berfikir secara serius dan strategik melakukan islah dan perubahan sedayanya. Bahagian ini memetik dan merujuk pemikir dunia antaranya Dante, Harold Bloom, Ibnu Rushd, TS Elliot dan Martin Lings.
Penulis membangkitkan makna ‘kebebasan’ yang perlu dinilai semula. Ini sangat relevan kerana beliaulah antara orang yang paling memahami dan menghargai kebebasan kerana pernah dipenjarakan bukan sekali tetapi tiga kali. Cabaran teknologi dan kecerdasan buatan yang mengancam survival manusia juga memerlukan penilaian yang menyeluruh. Fenomena perkembangan teknologi dan kecerdasan buatan ini yang mempengaruhi kehidupan manusia menuntut kepada keperluan agar ia dikawal, dipantau dan dinavigasi sebaiknya. Penilaian semula ini penting kerana teknologi dan kecerdasan buatan ini bukanlah penentu kepada perubahan tetapi sikap dan etika manusia. Clay Syirky dalam bukunya Cognitive Surplus menulis:
“Revolution doesn’t happen when society adopts new technologies, it happens when society adopts new behaviors.”
Selain itu, penulis mengajak semua untuk menilai semula amalan ekonomi semasa berikutan kitaran krisis ekonomi yang berlaku termasuk persoalan ketaksamarataan yang dibangkitkan Thomas Picketty. Kecelaruan sistem kapitalisme adalah jelas dengan pelbagai kritikan dan gelaran seperti disaster capitalism, corrupt capitalism, vulture capitalism, counterfeit capitalism, casino capitalism, spiderweb capitalism, casino capitalism. Kritikan penulis datang dengan cadangan penyelesaian iaitu mengarusperdanakan ekonomi manusiawi berorientasikan rakyat yang menekankan aspek Maqasid al-Syariah.
Di bahagian akhir bab ini, penulis secara khusus membincangkan Rethinking Malaysia iaitu menilai semula realiti dan masa depan negara. Usaha dan perancangan yang telah dilaksanakan perlu diberi ruh dan dimensi baharu. Sebagai contoh, bagi pembangunan negara sesungguhnya Bahasa Melayu itu penting tetapi jangan sekali-kali mengabaikan penguasaan bahasa utama yang lain.
Mengemukakan idea dan solusi kepada cabaran dan realiti baharu ini, penulis mengemukakan gagasan whole society approach, nilai sejagat dan kemanusiaan. Nilai sejagat ini mesti bersifat universal dan kolektif yang boleh dirumuskan sebagai SCRIPT iaitu Sustainability (kemampanan), Compassion (ihsan), Respect (hormat), Innovation (daya cipta), Prosperity (kesejahteraan) and Trust (keyakinan). SCRIPT inilah yang menjadi rujukan kepada Malaysia MADANI. MADANI sebagai idea pendorong islah ini adalah sangat konsisten di mana penulis telah mula membicarakannya sejak 1990an lagi. Pada 1991, ucaptama di International Seminar on Malik Bennabi di Universiti Malaya, kemudiannya diikuti dengan ucaptama pada 1995 di Festival Istiqlal, Jakarta. Penulis menerbitkan karya penting beliau menyentuh citra Madani iaitu The Asian Renaissance pada 1996. Pada 2022, penulis menerbitkan buku berjudul SCRIPT yang diterjemahkan menjadi Membina Negara MADANI.
Bab akhir atau Epilog diberi tajuk Preparing For the Next Storm yang menzahirkan keyakinan penulis untuk mendepani perubahan. Bahagian ini dimulakan dengan menyebut legenda seni negara iaitu P. Ramlee yang menggunakan pendekatan lembut dan halus tapi membekas menerusi sentuhan seni yang menyentuh isu, konflik, permasalahan dan budaya masyarakat. Ini memberikan satu pengajaran bahawa pelbagai pendekatan boleh dilaksanakan untuk melakukan islah atau perubahan itu sendiri.
Apa yang berbeza kali ini adalah cabaran dan realiti yang dihadapi itu sudah berubah dalam bentuk baharu yang berskala, berskop dan bersaiz besar dan begitu kompleks. Ia mesti ditangani dengan tangkas dan bijaksana. Albert Einstein mengingatkan bahawa “no problem can be solved from the same consciousness that created it”. Walau apapun yang dirancang dan dilaksanakan, semua pihak perlu ‘rethinking’ atau berfikir sedalamnya agar perubahan yang didambakan adalah seimbang berorientasikan nilai, etika dan moral serta menepati maqasid al-Syariah.
Merakyatkan Pemikiran
Sudah pasti ada yang mengeluh dengan lenggok bahasa aras tinggi yang digunakan penulis dalam karyanya. Menyentuh perkara ini, saya ingin memetik nukilan Harold Bloom yang disebut dalam buku ini. “If we do not read deeply, we do not learn how to think, and if as a nation, we do not learn how to think one day we will get cease to be democracy”. Maka, adalah menjadi keperluan untuk pembaca menaiktarafkan kualiti pembacaan dan membiasakan diri dengan karya-karya besar agar dapat merangsang dan mencergaskan pemikiran.
Walaubagaimanapun, saya masih berpandangan perlu adanya usaha untuk merakyatkan idea besar dalam buku ini. Penerangan, pencerahan, penjelasan, huraian dan kupasan boleh dilakukan menerusi pelbagai pendekatan dan platform. Ini merangkumi info grafik, wacana, seminar, forum, bedah buku, video, media sosial, bicara ilmuwan, podcast termasuk komik dan animasi. Merakyatkan dan mempermudahkan mesej buku ini untuk difahami oleh segenap lapisan masyarakat adalah amat penting. Saya juga sarankan buku ini diterjemahkan dalam pelbagai bahasa dan dijadikan bacaan wajib sebagai panduan dan bimbingan untuk menavigasi realiti dan cabaran hari ini dan masa depan.
Pemimpin dan Intelektual Awam
Keunikan penulis dari sudut pemikiran ialah keupayaan beliau untuk mensintesiskan dan mengharmonikan idea dan gagasan tokoh dan pemikir dunia di timur dan barat, tradisional dan kontemporari serta menghubungjalinkannya dalam konteks global, serantau, nusantara dan Malaysia. Maka tidak hairanlah, kita bukan sahaja didedahkan dengan idea pemikir barat mahupun arab dan timur tetapi penulis menghargai dan mengiktiraf gagasan tokoh nusantara seperti Jose Rizal, Buya Hamka, Pak Natsir, Burhanuddin al-Helmy, Ishak Haji Muhammad dan ramai lagi. Dengan kekuatan inilah, idea yang dibawa oleh penulis adalah sangat ‘visionary’ dan terkehadapan meraikan kepelbagaian budaya, perbezaan martabat, keadaan sosio-ekonomi, kelainan agama dan bangsa serta dinamika politik dan hubungan antarabangsa.
Buku ini sememangnya karya penting yang perlu ditelaah dan diwacanakan. Ia menyediakan satu landasan guiding idea atau idea pendorong untuk melakukan islah atau perubahan. Buku ini menganalisa dan mencerakinkan idea-idea besar pemikiran, falsafah, teori sosial dan politik dari pelbagai perspektif termasuk wacana politikal Islam. Karya Rethinking Ourselves ini menunjukkan bahawa penulis adalah seorang negarawan dan intelektual yang bervisi dan berpandangan jauh. Edward Said dalam Representations of the Intellectuals menekankan betapa pentingnya intelektual sebagai peneraju perubahan.
“There has been no major revolution in modern history without intellectuals, conversely there has been no major counterrevolutionary movement without intellectuals. Intellectual have been the fathers and mothers of movements and of course sons and daughters, even nephews and nieces”.
Malaysia bertuah kerana memiliki pemimpin yang intelek dan berilmu punya gagasan pemikiran dan idea besar untuk memacu perubahan dalam dunia yang serba kompleks dan rumit.
Malaysia Madani dan budaya ilmu berpisah tiada.




