BAJET 2013 DARIPADA PERSPEKTIF MASYARAKAT SIVIL

BAJET 2013 DARIPADA PERSPEKTIF MASYARAKAT SIVIL

Oleh Daya Fikir Solutions dan Forum Professional Muamalat

Pendahuluan

Saban tahun, pimpinan tertinggi negara akan membentangkan perancangan negara yang akan dilaksanakan pada tahun yang berikutnya. Antara pembentangan dan pengumuman rasmi yang terbesar adalah bajet tahunan yang mana ianya merupakan rumusan tentang perancangan dan peruntukan kewangan negara yang bersifat komprehensif dan inklusif. Jabatan-jabatan kerajaan dan agensi-agensi yang berkaitan dipertanggungjawabkan sebagai pelaksana segala intipati yang termaktub di dalamnya. Dengan kata lain, hala tuju dan wawasan negara akan diterjemahkan berdasarkan perlaksanaan pelan induk ini. Selaras dengan betapa pentingnya dokumen bajet ini terhadap rakyat dan Negara, Daya Fikir Solutions (Daya Fikir) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah mengambil inisiatif untuk menganalisis bajet 2013 secara menyeluruh dan di luar kotak pemikiran yang bersifat politik kepartian, agar timbang tara yang selayaknya dapat dizahirkan secara adil serta lebih berpijak kepada bumi yang nyata.

Bajet merupakan dokumen yang amat penting bagi merencana perbelanjaan dan perancangan Negara. Secara umumnya bajet mengandungi dua aspek utama iaitu perbelanjaan (expenditure) dan hasil (revenues) negara. Perbelanjaan merujuk kepada perancangan dalam perlaksanaan dasar dan program negara dan ini termasuk pelaburan dan belanja mengurus dalam bentuk perkhidmatan ataupun bekalan. Manakala hasil negara diperlukan untuk menangggung segala perbelanjaan negara yang dijana melalui cukai, pengeluaran hasil minyak dan lain-lain. Bajet juga merupakan dokumen undang-undang yang penting dan memerlukan kelulusan Parlimen.

Menurut amalan tatakelola yang baik, bajet akan dibacakan selepas Laporan Audit Negara diterbitkan. Laporan Audit Negara ini adalah amat penting untuk rujukan kepada prestasi pelaksanaan bajet terdahulu dan boleh dijadikan panduan kepada penambahbaikan perancangan negara. Dalam hal ini kami seikhlas hati ingin menyuarakan sedikit kekesalan di atas kegagalan pihak kerajaan untuk menyediakan Laporan Audit Negara yang sepatutnya diterbitkan sebelum Bajet 2013 dibacakan di Parlimen. Tatakelola yang baik dalam mentadbir negara ini adalah sangat penting untuk menjamin keberkesanan perancangan dan perlaksanaan bajet negara dan dalam masa yang sama meningkatkan keyakinan rakyat kepada kerajaan.

Pada tahun ini, Bajet 2013 telah dibentangkan pada September 2012 yang mana pada dasarnya adalah bajet yang amat dinanti-nantikan oleh semua pihak termasuklah kalangan professional, pelabur-pelabur luar dan dalam negeri, firma-firma perniagaan, begitu juga kalangan ahli-ahli politik dan rakyat jelata dari fahaman dan aliran politik yang berlainan. Ini kerana, ianya adalah antara gerbang persepsi utama yang dianggap sebagai penentu bagi memikat dan menambat hati hati rakyat untuk terus memberikan mandat kepada kerajaan yang sedia ada untuk terus memerintah, baik di peringkat persekutuan mahupun di peringkat negeri.

Ulasan dan Pemerhatian Terhadap Bajet 2013

Merujuk kepada bajet kali ini, pihak kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM 251.6 bilion dengan tema ‘memakmurkan Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati. Daripada angka tersebut, sejumlah RM 201.9 bilion telah diperuntukkan untuk tujuan perbelanjaan mengurus dan selebihnya untuk perbelanjaan pembangunan. Sasaran defisit bajet kali ini dianggarkan menyusut sebanyak 0.5% kepada 4.0% berbanding tahun 2012. Dari segi pendapatan, hasil kerajaan dilihat mengalami sedikit anjakan menaik daripada RM 207 bilion pada 2012 kepada RM 208.6 bil pada tahun hadapan. Begitu juga dengan liabiliti subsidi yang juga dilihat mengalami sedikit peningkatan kepada RM 33.2 bilion, setelah mengambil kira pengurangan kadar subsidi gula sebanyak RM 0.20 sekilogram.

Secara umumnya Bajet 2013 adalah lebih bersifat mesra peniaga dan kelompok menengah atasan. Asasnya, sebahagian besar daripada 130 inisiatif dan peruntukan yang telah digariskan dilihat lebih memberikan manafaat yang signifikan kepada golongan tersebut secara jangka panjang, samada secara langsung dan tidak langsung. Walaubagaimanapun, tidak dinafikan wujud juga inisiatif yang dilihat memberikan impak positif kepada banyak pihak, khususnya kepada rakyat kebanyakan. Setelah meneliti Bajet 2013 daripada pelbagai sudut, berikut ialah rumusan pemerhatian dan dapatan pada beberapa perkara yang ingin kami ketengahkan:

(1) Diskaun PTPTN

Inisiatif pemberian diskaun sebanyak 20% bagi pembayar hutang PTPTN yang dibuat secara sekaligus (lump-sum) dalam tempoh setahun dan 10% kepada mereka yang dapat melunaskan secara istiqamah dalam tempoh setahun mendatang. Adalah dijangkakan hanya mereka yang berada di dalam zon keselesaan dan berkemampuan sahaja yang akan menerima tempias daripada manafaat ini.

Bagi kelompok rakyat kebanyakan, mereka mampu berbuat demikian hanyalah melalui pinjaman peribadi dengan mana-mana insitusi perbankan dan kewangan yang sudah tentu kadar bayaran baliknya hampir menyamai sekali ganda dengan jumlah pinjaman yang telah dibuat. Justeru, jika dihitung hutang peminjam PTPTN sebenarnya akan bertambah, walaupun secara relatifnya hutang mereka dengan PTPTN telah dianggap langsai. Kaedah ini dilihat praktikal untuk dilaksanakan, melalui beberapa pendekatan antaranya pihak bank dan institusi kewangan perlulah menyediakan satu pakej pembayaran balik yang lebih rendah berbanding kadar yang sedia ada, khusus kepada peminjam yang ingin melangsaikan hutang PTPTN. Kaedah pelangsaian juga mesti dibuat secara terus kepada PTPTN, tidak melalui peminjam. Signifikannya, untuk mengelakkan wang daripada pinjaman peribadi tersebut terlepas ke pasaran akibat sikap tidak berdisiplin peminjam, yang seterusnya akan menyumbang kepada anjakan menaik kadar inflasi.

(2) Potongan Cukai

Inisiatif potongan cukai kepada semua pendapatan yang diperolehi daripada aktiviti pelaburan (angel investor) yang dilakukan secara tunai dalam syarikat-syarikat untuk tujuan pengembangan perniagaan. Pada asasnya baik untuk perkembangan ekonomi (economic growth), namun kesannya dilihat tidak akan begitu menyeluruh, yang pastinya fokus pelaburan kelak hanya akan tertumpu kepada segmen industri dan perniagaan tertentu sahaja, yang dianggap menguntungkan. Jika ini berlaku, dibimbangi jurang pendapatan dan status dalam masyarakat akan makin terjarak.

Sewajarnya cukai tersebut masih perlu dikenakan tetapi pada kadar yang lebih rendah, yang mana hasil daripada cukai tersebut dapat digunakan untuk mengurangkan kadar harga barangan yang bersifat keperluan dalam ekonomi iaitu melalui pemberian subsidi langsung secara telus kepada pihak pengeluar berdasarkan kepada jumlah pengeluaran sebenar (real output). Secara signifikan, pengurangan harga barang keperluan akan meningkatan jumlah pendapatan boleh guna rakyat yang seterusnya akan menjana ekonomi melalui peningkatan perbelanjaan dan jumlah simpanan isirumah yang akan mengalir masuk ke dalam ekonomi.

Pengurangan 1% cukai pendapatan juga adalah satu langkah yang baik, walaupun ia dianggap begitu kecil. Namun, ia sedikit sebanyak dapat meningkatkan jumlah pendapatan boleh guna rakyat. Walaubagaimanapun, ianya juga perlu seiringan dengan anjakan menaik harga barangan dalam pasaran. Jika tidak, ia hanya berlalu tanpa memberikan apa-apa kesan yang signifikan.

(3) Pengecualian Cukai

Pengecualian cukai aliran pendapatan kepada syarikat insuran dan takaful keluarga yang menguruskan skim anuiti. Kesannya juga dilihat tidak begitu menyeluruh dan tidak memberikan kesan langsung kepada rakyat di peringkat akar umbi, terutamanya mereka yang tidak mempunyai aliran pendapatan yang tetap. Tambahan, dalam suasana ekonomi global yang makin tidak menentu ini. Walaupun begitu, memang tidak dinafikan, inisiatif ini akan menyuntik nilai pelaburan dalam ekonomi oleh syarikat-syarikat insuran dan takaful. Namun, ianya dibimbangi akan tertumpu kepada segmen pelaburan yang hanya berupaya memberikan pulangan keuntungan yang lebih signifikan kepada mereka dan mana-mana segmen pelaburan yang lebih bersifat tanggungjawab sosial akan terpinggir.

(4) Pemberian Langsung BR1M dan Rebat RM200 untuk Telefon Pintar

Asasnya strategi suntikan langsung kepada lokasi yang berpenyakit mampu mempercepatkan dan meringankan bebanan penyakit seseorang. Relatifnya, suntikan bantuan terus kewangan melalui skim BR1M kepada rakyat yang memerlukan adalah amat bermakna kerana ia mampu meringankan bebanan kewangan mereka, walaupun secara jangka pendek. Namun, dalam keghairahan meraikan pemberian ini, kami melihat inisiatif spesifik untuk meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat dan kuasa beli secara jangka panjang adalah juga perlu menjadi prioriti pihak kerajaan. Tindakan ini perlu dilaksana secara seiringan dengan suntikan terus yang dilaksanakan itu. Jika tidak, dikemudian hari rakyat hanya akan terkesan dengan anjakan kenaikan pendapatan yang tidak selari dengan kenaikan harga barang.

Kami juga ingin menyuarakan sedikit keresahan terhadap peruntukan dana sejumlah RM300 juta bagi maksud rebat telefon pintar kepada golongan belia. Peruntukan dana besar ini yang mana akan membolehkan 1.5 juta remaja dan belia berumur antara 21 tahun hingga 30 tahun mendapatkan rebat sebanyak RM200 atas harga jualan telefon pintar mungkin perlu difikirkan semula. Ini memandangkan dana sebesar ini sewajarnya boleh digunakan untuk tujuan lain yang lebih produktif dan bermanfaat.

(5) Pendidikan

Peruntukan yang besar untuk pendidikan adalah amat digalakkan selaku tunjang kepada pembangunan negara pada masa hadapan, yang mana amat bergantung kepada corak dan amalan sistem pendidikan hari ini. Pendidikan dianggap sebagai baja yang menyuburkan benih masyarakat yang disemai untuk menghasilkan buah dan baka yang baik pada masa hadapan. Walau bagaimanapun, terdapat sedikit kekurangan yang memerlukan penambahbaikan yang ketara perlu dilaksanakan.

Peruntukan pendidikan yang menyeluruh perlu diberikan pada setiap peringkat samada Pra-Sekolah, Sekolah Rendah, Sekolah Menengah dan Institusi pendidikan Tinggi termasuk institusi pendidikan vokasional dan teknikal. Peruntukan spesifik bagi memajukan Sekolah Agama (kerajaan dan rakyat) perlu diwujudkan dengan nilai yang sekurang-kurangnya menyamai dengan peruntukan sekolah-sekolah lain sebagaimana yang disebut di dalam bajet 2013. Peruntukan khas bagi pendidikan agama adalah diperlukan bagi membolehkan pendidikan agama dilakukan secara seiringan dalam menghasilkan generasi yang bersifat kamil dan sempurna dari segi akademik dan akhlak. Generasi yang seimbang dari duniawi dan ukhrawi akan memantapkan lagi pengukuhan ketamadunan dan menyiapkan sumber insan yang lebih kompetitif bagi bersaing dengan kuasa baru ekonomi dunia seperti China dan India.

Bagi pendidikan Pra-Sekolah, pengecualian cukai kepada majikan yang menyediakan pusat asuhan kanak-kanak di tempat kerja dianggap sebagai satu cadangan yang baik, kerana ia akan menggalakkan lebih ramai wanita memasuki pasaran kerja dan mengurangkan kewujudan pusat-pusat asuhan yang tidak berdaftar. Ia juga akan memberikan kesan menaik kepada jumlah pendapatan isirumah yang seterusnya memberikan impak positif kepada aliran ekonomi.

(6) Perumahan

Perancangan kerajaan bagi melaksanakan skim rumah mampu milik merupakan satu cadangan yang amat signifikan. Namun, jika tidak kena cara perlaksanaannya ia hanya akan menjurus kepada ‘spekulasi hartanah’ yang seterusnya akan menyumbang kepada kenaikan luar jangka harga hartanah kediaman sehingga pada satu tahap, tidak mencerminkan harga sebenarnya. Ia kesan daripada jumlah rumah yang ditawarkan begitu terhad di pasaran, sedangkan permintaannya begitu tinggi. Dengan jumlah 123,000 rumah yang ditawarkan, adalah amat mustahil untuk memenuhi populasi yang makin membesar, khususnya di kawasan-kawasan strategik seperti di Lembah Kelang yang berkepadatan penduduk hampir 7 juta. Akhirnya, ia hanya akan membuka ruang kepada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk meraih keuntungan mudah yang lumayan bersandarkan spekulasi hartanah ini. Hakikatnya, ia boleh dilakukan iaitu dengan meletakkan syarat-syarat tertentu kepada pembeli seperti tidak boleh menjualnya semula dalam tempoh 5–10 tahun. Jika ini tidak dapat dielakkan, pembeli perlu mendapat kelulusan khas daripada pihak kerajaan dan hendaklah dijual pada harga yang tidak melebihi 5-10% daripada harga asal.

Dari sudut pembiayaan pula, skim rumah pertama secara praktikalnya sukar dilaksanakan, kerana hakikatnya tidak ramai yang layak untuk mendapatkan pembiayaan setelah ditolak dengan pelbagai komitmen lain seperti kereta dan pinjaman peribadi. Cadangan untuk mengecualikan pembeli rumah pertama ini di kalangan generasi daripada proses penyemakan CTOS dan CCRIS adalah satu cadangan yang tidak praktikal. Ia bukan setakat memberikan tekanan kewangan dan bebanan risiko kepada institusi peminjam, malah juga kepada rakyat, sekiranya berlaku kemerunduman ekonomi yang teruk yang tak dijangka.

(7) Insentif Sektor Pertanian

Pemberian insentif kepada pihak yang mengeluarkan Agro-Sukuk, Sukuk Runcit dan Bon Runcit akan merancakkan lagi pasaran modal, khususnya pasar modal Islam sebagai alternatif untuk mendapatkan dana kos yang lebih kompetitif. Selain itu, ia dianggap sebagai nafas baru kepada segmen pertanian Negara untuk berkembang dengan lebih rancak lagi. Untuk lebih merancakkannya lagi, program kesedaran dan pendidikan pelaburan sukuk/bon ini perlu diperluaskan ke seluruh Negara melalui agensi yang sedia ada. Kami juga mengalu-alukan sebarang inisiatif kerajaan untuk meningkatkan insentif sektor pertanian ini melalui instrumen patuh Shari’ah selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai Hab Halal Kewangan Islam.

(8) Pengangkutan Awam

Kami menyambut baik cadangan kerajaan untuk memberikan diskaun tambang kepada pengguna KTM yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan. Namun, pada masa yang sama kita mencadangkan agar diskaun ini diperluaskan ke aliran pengangkutan awam yang lain, khususnya yang ditadbir urus oleh Syarikat Prasana Negara Berhad. Begitu juga dalam soal kecekapan dan mutu perkhidmatan, ia juga perlu sentiasa ditambah-baik dari semasa ke semasa, walaupun aliran tunai masuk mereka kemungkinan akan mengalami sedikit penyusutan, yang seterusnya menjejaskan keuntungan syarikat. Di samping itu, untuk menyemarakkan lagi usaha ini, semua tempat letak di kawasan KTM dan aliran pengangkutan awam yang lain perlu disediakan secara percuma.

(9) Hutang Negara

Di antara perkara yang sewajarnya diberikan perhatian serius ialah tahap keberhutangan negara. Bajet 2013 merekodkan peningkatan berterusan hutang negara dan mencapai tahap yang agak membimbangkan iaitu mencecah RM456.12 bilion pada 2011 mewakili 51.8% daripada KDNK. Walaupun kadar ini dilihat sebagai masih terkawal, namun terdapat beberapa elemen berkaitan dengan hutang negara ini yang seharusnya juga perlu dikaji. Perkara ini merujuk kepada ’contingent liability’ negara dan ini termasuk ’hutang yang dijamin’ oleh kerajaan. Laporan Audit Negara merekodkan bahawa ’hutang yang dijamin’ kerajaan pada waktu ini mencecah RM116.76 bilion. Jika dicampurkan nilai keberhutangan negara (RM456.12 bilion) berserta dengan hutang yang dijamin (RM116.76 bilion) maka nilai hutang sebenar ialah RM572.88 billion iaitu mewakili 65% daripada KDNK. Kami dengan ini merasakan pihak kerajaan perlu menangani dan mengambil pendekatan yang sewajarnya untuk mengimbangi hutang negara ini.

Kesimpulan

Bajet 2013 mempunyai elemen yang positif tetapi memerlukan beberapa penambahbaikan dari segi intipati, perlaksanaan dan penguatkuasaannya, agar matlamat yang dicadangkan dapat dilaksanakan dengan lebih tuntas dan tidak hanya tertumpu kepada kelompok-kelompok tertentu semata-mata. Ibarat kata pepatah Melayu ‘alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan’. Biar apapun persepsi pelbagai pihak terhadap bajet kali ini, amanah rakyat perlu ditunaikan, dan janji mesti ditepati untuk kesejahteraan rakyat.

SUBSCRIBE

Get the latest posts delivered to your mailbox:

Page Reader Press Enter to Read Page Content Out Loud Press Enter to Pause or Restart Reading Page Content Out Loud Press Enter to Stop Reading Page Content Out Loud Screen Reader Support