DATO’ DR. SIDDIQ FADHIL YANG KU KENALI
Usai menghadiri solat jenazah di Kajang, dalam perjalanan pulang aku termenung panjang memikirkan pemergian seorang tokoh murabbi ideologue yang sangat dikagumi dan dihormati dalam dan luar negara. Tanggal 31 Ogos 2021 pastinya akan diingati sampai bila-bila. Pemergian Guru kami yang mulia Dato’ Dr. Siddiq Fadhil atau lebih dikenali di kalangan kami dengan Ustaz Siddiq Fadhil (USF). Seorang tokoh yang sentiasa menginspirasi.
Berbanding ramai yang lain, walaupun mengenali USF sejak remaja menerusi karyanya Minda Melayu Baru yang dijadikan subjek wajib Fiqh Haraki di Madrasah Idrisiah, aku hanya berpeluang berinteraksi dan berguru secara langsung setelah kembali dari United Kingdom menamatkan pengajian Ph.D di Durham University. Mendapat nasihat dan bimbingan dalam menghasilkan beberapa buah buku, menyediakan beberapa kertas cadangan seminar dan konferen, mengusahakan projek Kompendium Maqasid al-Shari’ah, melengkapkan koleksi rujukan Maqasid al-Shari’ah Institut Darul Ehsan, perancangan pembangunan Kolej Darul Hikmah dan mengikuti siri syarahannya yang sentiasa padu dan memukau merupakan antara kenangan manis yang pastinya meninggalkan kenangan mendalam dalam diri ramai anak didiknya.
Ketokohan seorang murabbi ialah bagaimana walau hanya dengan sedikit kata-kata mampu merubah tasawwur seseorang dan memberi kesan sepanjang hayatnya. Inilah kekuatan yang dimiliki oleh USF. Satu hari aku mendapat mesej pesanan yang aku anggap sangat istimewa, “Teruskan menulis dengan lebih prolifik untuk mendidik masyarakat”. Pesanan ringkas tapi penuh bermakna ini begitu membekas dalam diri dan fikiran mempengaruhi makna dan tujuan dalam dunia akademik dan keilmuan. Begitulah USF yang hidupnya sentiasa berlegar dan prihatin dengan keadaan masyarakat dan umat. Keindahan tutur katanya, ketajaman pemikirannya dan kekuatan intelektualnya diabadikan dengan penuh keikhlasan mencari keredhaan Tuhan.
Di waktu yang lain, aku mendapat panggilan daripada Guruku yang mulia. Beliau menelefon untuk mendapatkan pandangan dan maklumat mengenai beberapa perkara. Aku terkejut kerana seorang tokoh hebat sudi menghubungi dan bertanyakan pandangan pada seorang yang masih mentah baru belajar erti kesarjanaan. Begitulah USF, tokoh besar dunia intelektual yang sentiasa tawadhu’, merendah diri dan sentiasa meraikan kepelbagaian pandangan. Masih terpahat di memori kata-kata beliau apabila menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 2018. Beliau dengan penuh kerendahan hati memohon kepada Allah untuk diberikan ketabahan dan kekuatan menerima Anugerah ini bukan untuk dirinya tetapi menganggap ia pengiktirafan kepada semua yang mengabadikan diri dalam perjuangan dan dakwah.
Bicara seorang tokoh intelektual selalu dikaitkan dengan ‘keseriusan’ dan kadang kala sukar untuk difahami khalayak umum malahan ada yang menganggapnya membosankan. Namun, berbeza dengan gaya penyampaian USF yang sentiasa menarik dan memukau. USF telah meletakkan piawaian yang sangat tinggi pengucapan awam seorang tokoh intelektual dengan penguasaan bahasa yang hebat dan teknik penyampaian yang punya aura tersendiri. Mungkin tidak keterlaluan dikatakan bahawa USF telah berjaya mengintelektualkan lawak dan jenaka dalam ucapannya bersesuaian dengan konteks. Mesej yang berat dan tema besar gagasan umat diolah dengan begitu menarik diselangi dengan seloka intelektual menjadikan syarahannya sentiasa mendapat sambutan ramai. Kelebihan ini membuatkan beliau mempunyai peminatnya yang tersendiri dari segenap lapisan masyarakat merentasi agama, bangsa, latarbelakang, ideologi dan pemikiran.
USF yang berlatarbelakang pendidikan agama juga berjaya membina persepsi baharu seorang agamawan yang dinamik dan progresif. Penulisan dan syarahan beliau sentiasa bersifat sejagat, inklusif dan universal tetapi disebatikan dan digabungjalinkan dengan realiti setempat dan konteks masyarakat. Beliau bukan sahaja menguasai turath dan pandangan ulama tradisi dan kontemporari tetapi arif dengan karya-karya besar moden barat dan tradisi keilmuan yang lain. Maka tidak hairanlah, bukan sahaja orang Islam yang merujuk dan mengambil pandangan beliau bahkan bukan Muslim juga begitu menghargai dan memandang tinggi ketokohannya. Hatta kata-kata santainya pun membekas dalam hati dan fikiran seperti ‘Islam agama Rahmah bukan agama marah-marah’ dijadikan slogan dan dipopularkan oleh ramai pihak.
USF bukan sahaja seorang intelektual tetapi public intellectual. Fazlur Rahman meletakkan ciri-ciri khusus seorang public intellectual iaitu menemukan suatu gagasan utama atau prinsip dasar yang utama yang mengandungi segala realiti, lalu dia mentafsirkannya dengan jelas dan menjadikannya sesuatu yang baru dan penting; gagasan pokok itu seterusnya mampu merubah perspektif kita dalam berinteraksi dengan realiti tersebut; dan mampu mengemukakan suatu penyelesaian yang baru dan jitu terhadap segala permasalahan yang setelah lama mengganggu fikiran manusia. Berdasarkan pandangan ini, sesungguhnya USF seorang public intellectual sejati. Keseluruhan hidupnya dan karyanya diabadikan untuk masyarakat dan umat. Sumbangannya membawa perubahan dan mempengaruhi masyarakat membentuk pemikiran dan menginspirasi ramai pihak termasuk anak muda.
Mungkin ramai yang menulis dan berkongsi pengalaman tersendiri mengenai tokoh hebat ini yang pastinya bermanfaat untuk dijadikan tauladan dan inspirasi. Sudah sampai masanya, bagi memastikan idea dan pemikiran USF terus hidup dan dijadikan rujukan masyarakat, maka usaha-usaha untuk menerbitkan karya beliau dan menterjemahkan ke bahasa asing lain perlu dimulakan secara intensif. Wacana intelektual dan penyelidikan mengenai pemikiran USF mesti dihidupkan dan dilaksanakan secara strategik. Lebih penting lagi adalah untuk memikirkan perancangan melahirkan lebih ramai USF di masa depan, seorang murabbi ideologue sejati.
Terima kasih Ustaz Dato’ Siddiq Fadhil, Guruku yang Mulia. Semoga engkau damai di sana.
1 September 2021.