10 Most Inspiring Youth 2016 zulkiflihasan.com

10 ANAK MUDA PALING MENGINSPIRASI 2016 zulkiflihasan.com

Setiap tahun terdapat beberapa institusi yang mengeluarkan senarai personaliti paling berpengaruh di dunia seperti majalah Times dengan senarai 100 Personaliti Paling Berpengaruh di Dunia dan Royal Islamic Strategies Studies Centre dengan 500 Personaliti Muslim Paling Berpengaruh di Dunia. Senarai ini adalah terlalu ekslusif dan bersifat umum mendendangkan personaliti-personaliti utama di dunia dengan beberapa kategori dan metodologi pemilihan. Seiring dengan perkembangan ini, zulkiflihasan.com telah mengambil inisitatif untuk memperkenalkan sendiri senarai 10 Anak Muda Paling Menginspirasi 2016 Malaysia. Menggunakan pendekatan dan metodologi yang sedikit berbeza, zulkiflihasan.com mengeluarkan senarai 10 Anak Muda Paling Menginspirasi 2016 dengan mengambil kira aspek latar belakang pendidikan, sumbangan, pengalaman, umur dan pencapaian, activism, pemikiran, semangat kesukarelawanan, idealism, bakat, pengiktirafan komuniti, gaya hidup dan akhlak peribadi. Senarai ini dikeluarkan dengan teliti menerusi pemerhatian secara langsung dan tidak langsung selama beberapa tahun mengenali ramai anak muda dan bekerja dengan mereka. Sememangnya anak muda yang tersenarai ini adalah sangat menginspirasi dan boleh dijadikan ikon serta suri tauladan kepada generasi muda. Senarai ini hanya sekadar untuk memperkenalkan beberapa anak muda berbakat yang telah mengabadikan zaman usia muda mereka dengan aktivisme dalam masyarakat di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

10. Kamarul Arifin Wafa

Kamarul Arifin Wafa merupakan anak muda yang sentiasa memberikan impak pada setiap sentuhannya. Anak muda yang begitu istiqamah memberikan sumbangan kepada masyarakat sejak dari zaman universiti sehingga hari ini. Beliau memegang jawatan sebagai Setiuasaha ABIM Negeri Sembilan selama belasan tahun secara percuma dan terlibat aktif dengan aktiviti kemasyarakatan lain termasuk dilantik sebagai Exco Persatuan Peguam Syarie Negeri Sembilan. Sebagai seorang peguambela dan peguamcara yang berbakat besar, beliau dikenali dengan gelaran ‘Tiger of Seremban’ sesuai dengan kewibawaannya di dalam dunia perundangan yang telah terlibat dalam kes-kes ‘high profile’ sehingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan. Beliau kerap kali muncul di akhbar-akhbar dan menjadi rujukan mengenai isu-isu perundangan. Kerjaya sebagai peguam yang sering kali dikaitkan dengan pulangan wang ringgit tidak menghalang beliau untuk memberikan khidmat bakti kepada masyarakat dan bukan itu sahaja sentiasa bersedia tampil membela golongan yang memerlukan perlindungan dan pembelaan secara pro bono.

9. Khairul anwar Ismail

Agak sukar untuk menemui anak muda yang begitu berminat dengan aktiviti keilmuan dan intelektual. Khairul Anwar Ismail atau Abu Akhyar al Qudsi adalah contoh anak muda yang mengisi zaman mudanya dengan keilmuan dan keintelektualan. Dalam usia muda beliau telah mampu menulis beberapa buah buku yang dikategorikan ‘Best Seller’ termasuk menterjemah karya-karya penting untuk ditatapi dan dihadami oleh masyarakat umum. Kemampuan perucapan awam beliau juga begitu memukau mampu mempengaruhi ramai pendengar untuk menghayati isi kandungannya. Berkerjaya sebagai peguambela dan peguamcara, beliau mempunyai firma guaman sendiri dan telah terlibat dalam kes-kes berprofil tinggi termasuk berkhidmat secara pro bono dalam banyak kes. Membuktikan kewibawaan dan minat dalam aspek keintelektualan, beliau kini sedang menyiapkan tesis PhDnya dan sedang dalam penyediaan beberapa manuskrip dan buku yang seharusnya menjadi inspirasi kepada generasi muda.

8. Adli Zakuan

Adli Zakuan merupakan anak muda yang punyai idealism dan wawasan serta visi masa depan. Bukan sahaja memiliki personaliti menarik dan sentiasa kelihatan kemas, anak muda yang berlatarbelakang bidang undang-undang ini sangat ‘passionate’ dengan aktivism berbentuk ‘advocacy’ dan kemanusiaan. Sebagai anak muda yang terlibat secara langsung dengan isu-isu antarabangsa seperti ‘Citizenship for Rohingya’, ‘Counter Violence and Extremisme’, wasatiyah, dan banyak lagi mematangkan lagi pemikiran dan pendekatan beliau yang kadangkala dilihat begitu terkehadapan berbanding ramai anak muda seusia dengannya. Dengan bakat perucapan awam yang memukau dan pemikiran yang dinamik, beliau telah terpilih mewakili Malaysia di beberapa program berprestij di dalam dan luar negara termasuk yang terkini di Amerika Syarikat.

7. Amalina Ismail

Amalina Ismail merupakan anak muda pintar yang sentiasa terkehadapan dan sangat cakna dengan isu umat, masyarakat dan wanita. Berlatarbelakang pengajian penerbitan dari Universiti Malaya yang memilih untuk terlibat secara langsung dengan akvitism dan kesukarelawanan membuatkan beliau memiliki karakter dan personaliti yang hebat. Kemampuan menganalisis sesuatu isu secara kritis dengan idea-idea bernas berserta bakat perucapan awam yang menarik menjadikan beliau sering menjadi perhatian dan rujukan ramai. Dengan bakat dan kelebihan yang ada, Amalina Ismail sering kali terlibat di pelbagai persidangan termasuk mewakili Malaysia dalam program-program berprestij di luar negara dan pastinya ini menginspirasi ramai generasi muda.

6. Ahmad Fahmi Mohd Shamsudin

Ahmad Fahmi Mohd Shamsudin adalah anak muda yang mempunyai pemikiran dan idealism yang sangat dinamik. Pernah memegang jawatan sebagai Presiden PKPIM dan kini Naib Presiden ABIM membuktikan pengiktirafan kepada bakat dan kualiti kepimpinan. Dalam usia yang muda, beliau telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Mission sebuah NGO yang terlibat secara langsung dengan aktiviti dan program kemanusiaan dan keamanan di dunia. Bukan itu sahaja, anak muda ini adalah antara perintis kepada inisiatif dialog antara agama dan terlibat secara aktif dengan gabungan pemimpin agama-agama seperti Hindu, Kristian, Budha dan lain-lain yang dikenali sebagai Friendship Group of Interfaith Services. Dengan ketajaman dan karisma yang tersendiri, anak muda ini telah menunjukkan suri teladan yang sangat baik.

5. Zairudin bin Hashim aka Che Din Sphere

Zairudin Hashim aka Che Din Sphere adalah anak muda yang begitu unik dan sangat berbakat serta berpewatakan menarik. Mengenali anak muda ini yang sentiasa tersenyum dan merendah diri, beliau sememangnya mempunyai potensi yang begitu besar untuk pergi lebih jauh. Dengan laman blog chedinsphere.blogspot.com yang telah mencecah bilangan pengunjung melebihi satu juta, penulisan buku berbentul novel dan sukan dan ketua editor majalah PANJI dalam usia yang muda sememangnya menginspirasi. Mungkin tidak keterlaluan dikatakan bahawa anak muda ini adalah antara ahli gerakan Islam yang mempunyai hobi yang menarik dengan begitu berminat dengan dunia sukan dan juga seorang pengulas sukan yang baik. Bukan itu sahaja, bakat mengacara, perucapan awam termasuk kemahiran menguasai media dan aspek teknikalnya menambah lagi keunikan anak muda ini. Bakat dan kemahiran ini digunakan sepenuhnya oleh Che Din untuk menyumbang kepada masyarakat dan umat. Che Din membuktikan kepada semua bahawa gandingan bakat dan kemahiran serta minat mampu mencipta sesuatu yang hebat dan boleh memberikan sumbangan secara signifikan.

4. Muhammad Faisal Abdul Aziz

Muhammad Faisal Abdul Aziz mewakili suara anak muda yang cintakan kebenaran dan keadilan. Anak muda yang berwawasan tinggi dan pintar ini merupakan mantan Presiden PKPIM dan kini Setiausaha Agung ABIM. Walaupun dengan kecemerlangan akademik yang membolehkan beliau berkerjaya di sektor yang lebih menarik dari sudut material, anak muda ini memilih untuk terlibat sepenuh masa dengan kesukarelawanan dan activism. Beliau memilih mengabadikan zaman mudanya untuk berbakti kepada umat. Muhammad Faisal memiliki bakat penulisan dan perucapan awam yang mengagumkan. Penulisan-penulisannya begitu tajam dan kritis sekali mampu membuka minda dan mencetus idea-idea bernas yang jarang dimiliki oleh anak muda seusianya. Berpewatakan sederhana dengan tuturkata yang lemah lembut menjadikan anak muda ini sentiasa disenangi oleh ramai pihak. Dengan ketokohan dan sumbangan yang telah diberikan, Muhammad Faisal Abdul Aziz sememangnya anak muda yang menginspirasi.

3. Syahrir Azfar

Mengenali anak muda luar biasa ini yang mempunyai latarbelakang pendidikan cemerlang sejak dari sekolah rendah, menengah, universiti sehingga hari ini. Walaupun pernah ditawarkan bekerja di sektor korporat dengan gaji yang lumayan, anak muda ini mengambil keputusan untuk berkecimpung sepenuh masa sebagai aktivis kemanusiaan. Memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Life Line Syria dan telah melaksanakan pelbagai inisiatif membantu saudara semuslim Syria dengan penuh kasih sayang. Dalam usia yang muda, beliau mempunyai keberanian luar biasa keluar masuk Syria mengambil risiko kehilangan nyawa. Keberanian dan kecekalan beliau pastinya boleh memberikan tauladan yang signifikan kepada generasi muda. Keupayaan menjana kewangan dan menguruskan dana yang begitu besar dengan penuh amanah atas semangat kemanusiaan dan keimanan, Syahrir Azfar adalah anak muda yang menginspirasi dan sepatutnya dicontohi dijadikan ikon kepada golongan remaja hari ini.

2. Jufitri Joha

Jufitri Joha bukanlah nama asing dikalangan aktivis belia negara. Anak muda kelahiran Rembau yang bertubuh kecil dan berperwatakan sederhana ini mempunyai aura yang tersendiri. Terkenal dengan gaya hidup yang sederhana sebagai aktivis belia yang begitu ‘passionate’ dengan aktivisme dan intelektualisme kebeliaan, beliau sentiasa menjadi rujukan oleh ramai pihak dan institusi di peringkat nasional dan antarabangsa. Pernah memegang jawatan Naib Presiden ABIM dan kini Naib Presiden Majlis Belia Malaysia. Kecintaan beliau pada kesukarelawanan dan intelektualisme ini bermula sejak dari zaman sekolah menengah, universiti dan sehingga hari ini. Pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-undang UIAM dan MA in Community and Youth Work di Universiti Durham iaitu penerima biasiswa berprestij Chevening, United Kingdom dan kini sedang menyiapkan penyelidikan doktor falsafahnya.Anak muda ini juga adalah seorang yang peminat tegar buku dan sentiasa terkehadapan dari sudut idea dan pemikiran. Beliau telah diisytiharkan Penerima Anugerah Tokoh Belia Kebangsaan dan Tokoh Belia ASEAN sebagai bukti pengiktirafan kepada ketokohannya.

1. Mohamad Raimi Abdul Rahim

Mohamad Raimi Abdul Rahim merupakan anak muda yang begitu menginspirasikan. Mengabadikan zaman mudanya dengan aktivism menerajui PKPIM dan kini ABIM. Anak muda pintar keluaran MCKK ini yang juga graduan undang-undang UIAM menunjukkan kualiti kepimpinan yang begitu mengagumkan. Terpilih sebagai penerima biasiswa Chevening daripada British Council dengan melanjutkan pengajian dalam bidang Undang-undang Kriminologi di Universiti of Kent, United Kingdom membuktikan kewibaan dan karisma beliau diperingkat antarabangsa. Pengiktirafan kepada kesarjanaan anak muda ini di peringkat nasional mahupun dunia sememangnya tidak boleh dinafikan di mana beliau telah terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan gerakan Islam di seluruh dunia. Idea dan pemikirannya sentiasa menjadi perhatian dan rujukan ramai. Pelantikannya sebagai Presiden ABIM sebuah gerakan Islam yang sangat berpengaruh di usia yang muda dengan idea segar Kebangkitan Islam Jilid II yang sarat dengan visi dan aspirasi menjadikan beliau terpilih sebagai Anak Muda Paling Menginspirasi 2016.

Comment (1)

  • Asma Reply

    Alhamdulillah. Tahniah atas usaha yg sangat menginspirasikan….

    February 25, 2017 at 6:46 am

Leave a Reply

SUBSCRIBE

Get the latest posts delivered to your mailbox: