Deklarasi Serumpun MALINDO MADANI: Ilmuwan Malaysia-Indonesia Satukan Tekad

Perpaduan Disemai, Madani Disubur: Institusi Agama Benteng Ummah, Pemerkasa Semangat Kemerdekaan
September 1, 2025
Perpaduan Disemai, Madani Disubur: Institusi Agama Benteng Ummah, Pemerkasa Semangat Kemerdekaan
September 1, 2025
Show all

Deklarasi Serumpun MALINDO MADANI: Ilmuwan Malaysia-Indonesia Satukan Tekad

Alhamdulillah, menyaksikan penyerahan Deklarasi Kuala Lumpur MALINDO (Malaysia-Indonesia) MADANI kepada YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Anwar Ibrahim (PMX) selepas Solat Jumaat di Masjid Putra, Putrajaya. 🇲🇾🇮🇩

Dokumen deklarasi ini diserahkan sendiri oleh Pengerusi Pusat Dialog dan Kerjasama antara Tamadun Indonesia, Indonesia, Prof. Dr. M. Din Syamsuddin dan Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam bin Mohamed Adil, Ketua Pengarah IKIM.

Penyerahan turut disaksikan oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Saya sempat ziarah sahabat baik saya yang budiman, al-Fadhil Ustaz Mohd Naim Mohd Noor atau dikenali dengan panggilan Abu Tariq al-Shami, di Hospital Cyberjaya.

Walaupun diuji dengan ujian kesihatan, mantan Timbalan Presiden ABIM Pusat ini tetap bersemangat bercerita tentang projek penulisan buku beliau dan usaha dakwah yang lain.

Saya ada menitipkan Kata Pengantar buku terkini Ustaz Naim berkisar mengenai tafsir ringkas Surah al-Kahf dan Nota Rahsia Penulis Wahyu di Balik Rasam Uthmani. Diiringi doa moga segera sembuh sebaiknya, insya-Allah.

Idea awal MALINDO MADANI ini dicetuskan Prof. Dr. M. Din Shamsuddin sendiri dan disambut baik secara prinsip oleh PMX. Beliau mengusulkan agar diadakan Majlis MALINDO MADANI bagi mengumpulkan tokoh-tokoh kedua-dua negara yang dapat membincangkan kaedah terbaik menyatu dan memajukan umat.

MALINDO MADANI mendokong penuh gagasan Madani dan berkeyakinan ia boleh menjadi solusi kepada dunia. Beberapa kali berbincang dengan Prof. Dr. M. Din dan sahabat-sahabat untuk melaksanakan idea ini.

Syukur, IKIM sudi menjadi penganjur utama buat julung kalinya Majlis Cendiakawan Malaysia-Indonesia MALINDO MADANI. Lebih 45 ilmuwan dan cendiakawan dari Indonesia yang menyertai Sesi Dialog dan Persidangan kali ini. Begitu juga dengan ilmuwan dan cendiakawan Malaysia.

Gabungan mantap untuk mencetus gerakan dan gelombang MADANI pada peringkat serantau dan dunia. Tahniah IKIM, IAIS dan semua yang terlibat dalam penganjuran MALINDO MADANI 2025!

Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar juga telah merasmikan Majlis Cendekiawan MADANI (MALINDO MADANI) 2025. Majlis ini adalah sebuah ikhtiar besar untuk menyalakan kembali obor peradaban Islam di rantau Nusantara.

Malaysia dan Indonesia adalah dua bangsa serumpun, ibarat dua sayap yang jika terbang bersama akan mengangkat umat ini tinggi di langit peradaban.

Saya pula merasmikan Majlis Penutup Majlis Cendekiawan MADANI Malaysia-Indonesia (MALINDO MADANI) di International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia, Petaling Jaya.

Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi IKIM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof Haji Othman; Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil; serta Pengerusi Pusat Dialog dan Kerjasama Antara Tamadun Indonesia, Prof. Dr. Din Syamsuddin.

Majlis Cendekiawan MADANI Malaysia-Indonesia (MALINDO MADANI) menghimpunkan para tokoh ilmuwan kedua negara dengan semangat untuk menggerakkan agenda MADANI pada peringkat serantau dan antarabangsa. Insya-Allah, MALINDO MADANI telah bersetuju untuk diadakan persidangan kedua di Jakarta pada Ogos tahun hadapan.

Menarik kerana sejarah idea Madani oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) sebenarnya bermula di Indonesia. Istilah Madani ini diperkenal dan dipopularkan oleh PMX kali pertama pada 26 September 1995 dalam ucaptamanya “Islam dan Pembinaan Masyarakat Madani”.

PMX pada ketika itu mula mengemukakan istilah ‘masyarakat madani’ ketika menyampaikan pidato sewaktu Simposium Nasional dalam rangka Forum Ilmiah Festival Istiqlal di Jakarta, Indonesia dan menyebutkan:

“…Yang kita maksudkan dengan masyarakat madani ialah sistem sosial yang subur yang diasaskan kepada prinsip moral yang menjamin keseimbangan di antara kebebasan perseorangan dengan kestabilan masyarakat.”

Tahun 1995 juga menyaksikan penganjuran “Seminar Antarabangsa Islam dan Konfusianisme: Satu Dialog Peradaban” oleh PMX (ketika itu Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan).

Pada 19-21 September 1996 di Konvensyen Masyarakat Madani peringkat kebangsaan di UKM, PMX menyampaikan ucaptama dengan tema Pembinaan Masyarakat Madani Model Malaysia. Pada tahun yang sama, PMX menerbitkan the Asian Renaissance.

Pada 2023, buku SCRIPTS for a Better Malaysia atau versi Bahasa Melayu dengan judul Membangun Malaysia Madani diterbitkan.

Setelah 30 tahun idea Madani diperkenalkan, insya-Allah tahun ini, PMX akan menerbitkan karya terkini beliau Rethinking Ourselves: Justice, Reform, and Ignorance in Postnormal Times.

Saya sendiri menyaksikan PMX menyemak deraf buku ini setiap helaian muka surat semasa mengiringi beliau dalam lawatan luar negara.

Semoga usaha MALINDO MADANI ini akan mencetuskan gerakan MADANI pada peringkat serantau dan seterusnya antarabangsa.

Saya luangkan masa meraikan delegasi MALINDO MADANI. Setelah penat berwacana dan berdialog bermula Khamis-Sabtu, kami santai-santai makan malam dan di penghujung acara dijamukan sedikit durian.

Semua nampak gembira dan ceria. Acara santai sebegini sebenarnya lebih berkesan untuk merapatkan ukhuwah dan mengenali antara satu sama lain.

Seronok dapat berbual dengan tokoh-tokoh hebat yang merupakan pimpinan utama gerakan Islam dan masyarakat di Indonesia. Tokoh yang hadir ini mewakili organisasi yang punya puluhan juta ahli dengan pelbagai sumbangan dan pengalaman.

Mendoakan moga usaha MALINDO MADANI berjaya mencapai matlamatnya dan menyumbang sebaiknya kepada negara dan umat. Semoga ikatan persaudaraan dan jaringan ilmu ini terus subur demi memperkukuh budaya ilmu serta mengangkat martabat Islam di Asia Tenggara.

Madani terus bekerja. Fastabiqul khairat! 💪⚡ Doakan Islam terus subur, mekar dan terjamin di bumi Malaysia. 🤲🇲🇾

#MadaniBekerja
#SebarkanSalam #KitaKawan
#MadaniMembantu #RancakkanMadani

Leave a Reply

SUBSCRIBE

Get the latest posts delivered to your mailbox:

Page Reader Press Enter to Read Page Content Out Loud Press Enter to Pause or Restart Reading Page Content Out Loud Press Enter to Stop Reading Page Content Out Loud Screen Reader Support