Happy Teacher’s Day
May 15, 2011Luxembourg – a prime location for an Islamic Finance hub in Europe
May 18, 2011Salam,
Whilst celebrating the teacher’s day, it is worth to read my brief article on the qualities and characteristics of good teachers. Hopefully, this short article may give benefit and enlighten the readers about this great ‘amanah’ especially to those in the academic or teaching profession. Enjoy reading!
Mengenal Ciri Pendidik Unggul
1.0 PENGENALAN
Peranan pendidik tidak kira cikgu, guru, muallim, ustaz, ustazah, pensyarah atau Profesor sekalipun yang paling utama adalah untuk menyampaikan ilmu pengetahuan agar dapat membina rohani, jasmani, emosi, intelektual dan sosial pelajar yang seimbang. Dalam melaksanakan tanggunjawab ini seorang pendidik yang baik mestilah mempunyai ciri-ciri tertentu seperti yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Islam amat menitikberatkan ilmu pengetahuan dan meletakkan darjat yang tinggi kepada orang yang menyebarkan ilmu. Ini telah dirakamkan oleh Allah Subhanahu Wataala di dalam surah al-Mujadalah ayat 11 yang bermaksud: “Allah meninggikan darjat orang yang beriman dan di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama beberapa darjat”. Ayat ini menunjukkan bahawa orang yang berilmu mempunyai darjat yang lebih tinggi di kaca mata Islam[2] lebih-lebih lagi orang yang menyebarkan ilmu pengetahuan sama ada di peringkat rendah mahu pun di institusi pengajian tinggi.
Sebagai seorang pendidik yang diberkati Allah, mereka mestilah menjaga akauntabilitinya selaras dengan kesucian dan keberkatan profesion ini yang melibatkan proses transformasi ilmu pengetahuan. Secara umumnya, para sarjana Islam telah mengemukakan bahawa pendidik perlu memainkan fungsi seorang guru dan mencapai martabat sebagai pendidik (mudaris), penyampai yang benar (mualim), murabbi (pengasuh dan pendidik dengan kasih sayang, muaddib (pembentuk adab dan akhlak) dan mursyid (pembimbing ke arah kebaikan)[3].
2.0 Amanah dan Akauntabiliti
Amanah dan akauntabiliti merupakan perkara yang amat penting untuk dipelihara oleh setiap pendidik. Secara umum, ianya merujuk kepada tanggungjawab atau ‘taklif’ seorang pendidik kepada setiap perkara mahu pun hasil kerjanya. Sebagai seorang yang profesional, pendidik perlu memelihara dan melaksanakan tanggunggjawabnya dengan penuh ikhlas dan sebaik mungkin. Ini adalah kerana pendidik merupakan pihak yang bertanggungjawab menghasilkan sumber manusia yang baik dalam pelbagai bidang demi keperluan negara bahkan umat seluruhnya. Secara ringkasnya amanah dan akauntabiliti ini boleh dibahagikan kepada tiga aspek utama iaitu kepimpinan, profesionalisme dan ketelusan serta kerahsiaan sama ada dalam hal ehwal pengajaran, penyelidikan, persidangan, penerbitan dan khidmat masyarakat.
2.1 Kepimpinan
Aspek kepimpinan ini merangkumi pengajaran, pembelajaran dan khidmat masyarakat termasuk penyelidikan, persidangan, penerbitan bagi pendidik di institusi pengajian tinggi. Kepimpinan yang dimaksudkan adalah keupayaan mencorak, mengemudi dan memandu dalam proses pencapaian matlamat kecemerlangan institusi. Pendidik yang mempunyai ciri kepimpinan yang baik akan dapat mengatur strategi institusi dan berusaha mempertingkatkan kualiti, berusaha penambahbaikan kecekapan dan kejituan ilmu dan proses penyebaran ilmu pengetahuan.
2.2 Profesionalisme
Profesionalisme juga merangkumi aspek yang tersebut di atas. Profesionalisme dalam konteks pendidik merujuk kepada keupayaan dan kecekapan melaksanakan sesuatu tanggungjawab berdasarkan kepada panduan ilmu dan latihan, serta kepakaran. Di dalam melaksanakan sesuatu perkara seorang pendidik yang profesional adalah terikat dengan etika profesion yang merangkumi etika dalam keilmuan, etika sikap dan etika kemahiran.
Sebagai contoh seorang pendidik perlu menyerlahkan elemen-elemen penjagaan tingkahlaku seperti, cara berpakaian, berkomunikasi, tidak mengadakan hubungan dengan pelajar, mematuhi masa, menghormati rakan sejawat, mengelak plagiarisme, kerja berpasukan dan menjaga kerahsiaan. Para pendidk juga menjaga amanah ilmu bukan sahaja bertindak untuk memperkayakan ilmu dalam diri sebaliknya sentiasa menyalurkan idea-idea dan ilmu yang ada pada mereka baik kepada pelajar mereka disamping mempunyai integriti yang tinggi
Profesionalisme juga menitikberatkan aspek ketelusan dan kerahsiaan. Pendidik mesti sanggup menerima teguran-teguran dan ini akan dapat meningkatkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran. Dari aspek kerahsiaan, pendidik perlu menjaga hal kerahsiaan ini umpamanya soal penyediaan soalan peperiksaan dan juga maruah pelajar yang mempunyai masalah peribadi.
2.3 Pembudayaan Kualiti
Adalah menjadi kewajipan seorang pendidik untuk memastikan setiap hasil kerja mereka sesuatu yang berkualiti dalam semua aspek pengajaran, pembelajaran termasuk bagi pensyarah di institusi pengajian tinggi dari segi penyelidikan, penerbitan, persidangan dan khidmat masyarakat. Oleh itu pendidik perlu mempergiatkan aktiviti ilmiah dalam perkongsian ilmu, perluasan ilmu dan rangkaian tokoh-tokoh keilmuan, sama ada diperingkat institusi dalaman atau luaran.
3.0 CIRI-CIRI PENDIDIK UNGGUL
Secara umumnya para ilmuan Islam telah menggariskan beberapa ciri pendidik unggul. Adalah menjadi kewajipan kepada semua pendidik untuk berusaha memenuhi kesemua ciri ini dan seterusnya mendapat keberkatan dari Allah Subhanahu Wataala pada setiap perkara yang dilakukan. Ciri-ciri ini dapat disimpulkan seperti berikut:-
a) Mudaris.
Mudaris berasal dari perkataan arab yang bermaksud mengajar ataupun pengajaran. Pendidik hendaklah bertanggunjawab menyampaikan ilmu yang ada padanya kepada pelajarnya yang boeh membina pemikiran, rohani, jasmani,emosi dan juga sosial. Apa yang diketahuinya hendaklah disampaikan kerana kerja pengajaran adalah sebahagian daripada amal soleh. Manakala enggan menyampaikannya adalah merupakan satu kesalahan.
b) Mualim.
Pendidik sebagai mualim boleh didefinasikan sebagai mengajar atau menyampaikan limu kepada orang lain dan mengamalkan apa yang disampaikan di samping berusaha menambah ilmu pengetahuan. Mualim mempunyai rasa belas kasihan kepada pelajar dan menganggap mereka seperti anak sendiri. Mualim mengajar kerana Allah Subhanahu Wataala dan bukannya kerana ganjaran dan tidak mengharapkan balasan daripada pelajar.
c) Murabbi.
Murabbi bermaksud memperbaiki, memimpin dan mentadbir. Pendidik sentiasa menyayangi pelajar dan menasihati dan membimbing dalam pembentukan syahsiyah mereka. Pendidik juga adalah umpama kaunselor dan penyebar nilai budaya yang elok dan menjadi contoh kepada pelajar.
d) Muaddib.
Muaddib bermaksud mendidik ke arah memperelokkan lagi akhlak pelajar. Pendidik yang muaddib merupakan individu yang bertanggungjawab dan melaksanakan pendidikan peradaban dalam pengertian yang luas dan mendalam terhadap peribadi dan kehidupan pelajar. Muaddib seorang yang memberi ilmu dan mendidik mereka dalam akhlak dan adab yang baik. Pendidik juga mendidik pelajar agar tidak merendahkan ilmu pelajaran lain selain dari yang diajar olehnya. Pendidik bukan sahaja mendidik pelajar secara teori sahaja bahkan memberi teladan yang baik melalui penampilan akhlak yang dituntut oleh Islam.
e) Murshid.
Pendidik yang mursyid bermaksud sebagai penuntun jalan hidup yang benar dan betul dengan nilai dan sikap yang benar dan berperanan sebagai hamba Allah Subhanahu Wataala dan khalifahNya dimuka bumi. Mursyid menunjukkan kepada jalan yang benar dari sudut ilmu kesufian dan memberikan petunjuk kepada jalan yang lurus. Pendidik mempunyai tingkah laku baik dan terpuji, bersih dari akhlah tercela, tidak taasub atau fanatik, zuhud pada amalan dan perbuatan dan mempunyai tokoh kepimpinan. Syarat untuk menajdi pendidik yang mursyid ialah beliau mestilah berusaha untuk menjadi alim dan berpengetahuan dari segenap perkara atau disiplin ilmu, menyimpan atau menutup keaiban pelajar-pelajarnya dan pengajaran terkesan di dalam hati pelajar.
Kesemua ciri-ciri seorang pendidik unggul seperti di atas perlulah diamalkan secara berterusan dan dengan penuh iltizam. Pendidik perlu ada sifat mendidik pelajar kerana Allah Subhanahu Wataala, berperibadi mulia, menjaga kehebatan dan kehormatan diri, memiliki ilmu dan kaedah pengajaran dan bersifat kasih sayang. Bukan itu sahaja ciri-ciri ini perlu diamalkan dan diserlahkan dari semua aspek kehidupan.
4.0 LANGKAH MEMELIHARA AMANAH DAN AKAUNTABILITI
a) Mendidik Kerana Mencari Keredhaan Allah Subhanahu Wataala[4].
Seorang pendidik perlu memastikan niatnya untuk bersifat ikhlas terhadap Allah Subhanahu Wataala dalam segala amal pendidik yang dilakukannya. Allah Subhanahu Wataala telah merakamkan dalam al-Quran surah al-Bayyinah ayat 5 yang bermaksud ”Dan tiadalah mereka itu diperintahkan, melainkan supaya mereka menyembah Allah dalam keadaan mengikhlaskan agama kepadanya”. Ini dikuatkan lagi dengan sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud: ” Sesungguhnya Allah tidak akan menerima suatu amalan melainkan apa yang ikhlas kepadaNya dan yang ditujukan hanya untukNya. (Riwayat Abdu Daud dan an-Nasai).
Pendidik hendaklah menunjukkan setiap pekerjaan yang dilaksanakan itu hanya semata-mata kerana Allah kerana hanya dengan keikhlasan beliau akan mendapat keredhaan dan keberkatan bahkan akan dikasihi dan dihormati oleh pelajar mahupun masyarakat.
b) Peribadi Mulia[5].
Pendidik bukan sahaja menjadi ”role model” atau pun ikutan kepada pelajar menerusi sifat spiritual seperti ikhlas, jujur, sabar, kasih sayang, warak dan takwa, bahkan menerusi sifat-sifat fizikal atau lahiriah seperti tutur kata, tingkah laku, kebersihan diri, pakaian, tempat tinggal dan lain-lain. Justeru itu, bagi mencapai keberkesanan proses pembelajaran dan pengajaran serta pembentukan peribadi mulia, Islam mengutamakan tutur kata, tingkah laku yang baik dan nasihat berguna serta menarik. Hal ini dapat dilihat jika kita merujuk dakwah yang dijalankan oleh Nabi Musa dan Nabi Harun, ketika mereka menyampaikan seruan agama kepada Firaun yang amat zalim seperti yang difirmankan oleh Allah Subhanahu Wataala dalam al-Quran surah thaha ayat 43 yang bermaksud:-” Pergilah engkau berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia derhaka. Katakanlah kepadanya perkataan yang lemah lembut, mudah-mudahan ia akan dapat pengajaran atau takut kepada tuhan”.
c) Menjaga Kehebatan dan Kehormatan diri[6].
Sudah menjadi tanggapan masyarakat mahupun pelajar bahawa seorang pendidik adalah seorang yang mempunyai kehormatan diri dan kehebatan ilmu pengetahuan. Oleh itu, sudah semestinya pendidik untuk beramal dan berpegang teguh dengan ilmu yang dimilikinya. Setiap amalan mestilah dilakukan dengan istiqamah dan seterusnya menjadikan diri untuk lebih bertakwa kepada Allah Subhanahu wataala. Pendidik tidak sepatutnya melakukan perkara yang berlawanan dengan ilmu yang dimiliki kerana ini akan menjatuhkan kehormatan diri dan mengurangkan rasa hormat pelajar kepadanya. Hal ini telah dirakamkan oleh Allah Subhahanahu Wataala di dalam surah al-Maidah ayat 44 yang bermaksud:-” Adakah patut kamu menyuruh manusia membuat kebajikan dan kamu lupakan diri kamu sendiri sedangkan kamu membaca kitab Allah, tidakkah kamu berakal”.
d) Memiliki ilmu dan kaedah pengajaran[7].
Pendidik sememangnya perlu memiliki ilmu yang mantap dan mendalam dalam bidang yang diceburi. Pelajar akan lebih yakin dan mudah menerima ilmu yang disampaikan sekiranya ahli akademik benar-benar menguasai ilmu tersebut. Selain itu, pendidik juga perlu kreatif dan inovatif dalam menggunakan kaedah atau teknik pengajaran berkesan. Dalam dunia moden masa kini, ahli akademik perlu arif dalam penggunaan teknologi dan dalam masa yang sama sentiasa mempelbagaikan teknik pengajaran agar lebih berkesan dan menarik minat pelajar.
e) Bersifat kasih sayang.[8]
Pelajar merupakan golongan yang masih muda dan perlukan perhatian oleh pendidik mereka. Oleh itu pendidik mesti mempunyai sifat kasih kepada pelajar dan menganggap mereka seperti anak sendiri. Dengan sifat ini, pelajar akan lebih mudah mendekati guru mereka dan dapat meluahkan masalah mereka. Sifat ini juga akan dapat menerbitkan suasana mesra di antara pelajar dan pendidik dan seterusnya akan memudahkan lagi proses pentarbiyahan dan pembentukan peribadi mulia.
5.0 KESIMPULAN.
Secara umumnya, seorang pendidik harus berusaha untuk mencapai martabat murabbi, mudaris, mualim, muaddib dan mursyid. Kedudukan seorang pendidik yang mursyid menjadikan setiap ilmu pengetahuan yang disampaikan akan menjadi lebih berkesan dan mudah diterima oleh para pelajar. Terdapat beberapa ciri utama seorang pendidik yang membolehkan mereka dapat membimbing pelajar dengan baik dan berkesan. Ini termasuk mendidik kerana Allah, berperibadi mulia, menjaga kehebatan dan kehormatan diri, memiliki ilmu dan kaedah pengajaran dan bersifat kasih sayang.
Amanah dan akauntabiliti merupakan perkara yang amat penting untuk dipelihara oleh setiap pendidik. Sesungguhnya, seorang pendidik mestilah berusaha untuk memenuhi ciri-ciri guru yang mursyid di mana mampu untuk membimbing pelajar bukan sahaja untuk mendalami ilmu pengetahuan yang disampaikan malahan dapat memberi panduan kepada mereka untuk menjadi insan yang berguna dan berjaya. Amanah yang amat besar ini mesti dipelihara demi menjamin keutuhan institusi keilmuan yang sememangnya dipandang tinggi oleh Islam.
[2] Rujuk Al-Ghazali. Ihya Ulumuddin. (Terjemahan) . 2006. Kuala Lumpur: Darul Fajar. Hlm 1-14.
[3] Ahmad Mohd Salleh. (2004). Pendidikan Islam. Selangor: Fajar Bakti. Hlm 122-123.
[4] Abdullah Ishak. (1989). Sejarah Perkembangan Pelajaran dan Pendidikan Islam. Selangor: Ar-Rahmaniah. Hlm. 122-123.
[5] Ibid hlm 128.
[6] Ulwan Abdullah Nasih. (1981). Tarbiyatul Awlad Fi Islam. Juzuk 1. Darul Salam dalam Ahmad Mohd Salleh. (2004). Pendidikan Islam. Selangor: Fajar Bakti. Hlm 126-127.
[7] Supra nota 3 hlm 126.
[8] Yaakub Isa. (1994). Guru dan Pengajaran yang efektif dalam Ahmad Mohd Salleh. (2004). Pendidikan Islam. Selangor: Fajar Bakti. Hlm 126-127.
Best Regards
ZULKIFLI HASAN
0 Comments
Please lets have an English rendition of same. I cannot read/understand Malaysian language.
Thank you