Menteri Agama Adakan Pertemuan Bersama Setiausaha Agung Liga Dunia Islam, di Kuala Lumpur

Menteri Agama Sertai Pertemuan PMX Bersama Syeikh Muhammad al-Diddu Shanqiti
April 24, 2026
Menteri Agama Sertai Pertemuan PMX Bersama Syeikh Muhammad al-Diddu Shanqiti
April 24, 2026
Show all

Menteri Agama Adakan Pertemuan Bersama Setiausaha Agung Liga Dunia Islam, di Kuala Lumpur

Dari bumi Terengganu, langkah diteruskan kembali ke Kuala Lumpur – bukan sekadar perjalanan, tapi satu misi ilmu dan iman. Saya menutup tirai Iman & Science Competition Programme, sebuah inisiatif yang membuktikan bahawa iman dan sains bukan dua dunia yang terpisah – tetapi saling melengkapi, membina generasi Muslim yang berfikir, berprinsip dan berwawasan.

Lebih istimewa, majlis ini diserikan dengan kehadiran TYT Dato’ Sri Sheikh Dr. Muhammad bin Abdul Karim Al-Issa, yang menyampaikan ucaptama penuh hikmah dan inspirasi. Kata-kata beliau bukan sekadar ucapan – tetapi seruan untuk kita terus mengangkat ilmu sebagai jalan mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa-Ta’ala.

Hadir bersama para ulama, ahli akademik, ilmuwan dan profesional – semuanya berkumpul atas satu tujuan: memartabatkan ilmu yang berpaksikan iman. Saya diberi amanah untuk menyampaikan ucapan aluan, meraikan para tetamu dan hadirin – satu penghormatan yang cukup bermakna dalam majlis yang sarat dengan nilai dan inspirasi ini.

Setinggi-tinggi tahniah kepada Muslim World League Malaysia (Liga Dunia Islam Malaysia) dengan kerjasama JAKIM atas penganjuran program yang bukan sahaja bermanfaat, tetapi menyentuh jiwa. Semoga usaha ini menjadi asbab lahirnya generasi ulul albab – yang tajam akalnya, teguh imannya, dan jelas arah tuju hidupnya. Ilmu dipandu iman, barulah dunia dan akhirat seimbang.

Usai tirai Iman & Science Competition Programme dilabuhkan, langkah diteruskan dengan satu sesi yang lebih fokus – perbincangan tertutup bersama TYT Dato’ Sri Sheikh Dr. Muhammad bin Abdul Karim Al-Issa, SUA Liga Dunia Islam (Rabitah al-Alam al-Islami).

Alhamdulillah, ruang ini dimanfaatkan sebaiknya. Bukan sekadar bertukar pandangan, tetapi merangka masa depan – dengan perbincangan yang padat, bermakna dan penuh visi.

Insya-Allah, hasil daripada pertemuan ini, beberapa inisiatif dan kolaborasi strategik bersama Liga Dunia Islam bakal direalisasikan. Dari wacana ke tindakan – demi ummah yang lebih kuat, berilmu dan bersatu.

Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan khususnya kepada TYT Dato’ Sri Sheikh Dr. Muhammad bin Abdul Karim Al-Issa serta Liga Dunia Islam atas kesudian berkongsi pandangan dan komitmen yang luar biasa.

Bila niat kerana Allah, pertemuan jadi ibadah. Bila visi jelas, langkah jadi bermakna.

Alhamdulillah, sempat bertemu barisan asatizah muda Daie Madani yang turut hadir memeriahkan Majlis Penutupan Program Iman & Sains anjuran Muslim World League – Liga Dunia Islam (Rabitah al-Alam al-Islami) di Kuala Lumpur.

Jelas terpancar semangat mereka – fokus, berfikir, hikmah, dan benar-benar dahagakan wacana ilmu yang segar dan membina. Inilah wajah masa depan dakwah: muda, berilmu, dan berjiwa besar.

Saya turut mengajak mereka untuk bersama-sama menyertai program antarabangsa yang bakal berlangsung pada Jun dan Julai ini – anjuran Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Liga Dunia Islam dan International Islamic Fiqh Academy. Peluang ini penting untuk membuka horizon dan membina jaringan ummah pada peringkat global.

Turut terserempak dengan Atu Zero (Sharif Kunal) – pelawak, pelakon dan pengacara berbakat dari Sabah. Sempat bertanya khabar dan mengimbau kenangan program bersama di Sandakan sebelum ini. Santai, tapi tetap bermakna!

Bila anak muda dekat dengan ilmu, dakwah akan terus hidup dan berkembang. Amiin!

Terdahulu, saya melakukan perjalanan rasmi ke Arab Saudi, dari Mekah ke Jeddah sebelum berakhir di Riyadh membawa misi memperkukuh perpaduan ummah di peringkat global. Lawatan atas undangan Setiausaha Agung Muslim World League, Mohammad Abdul Karim Al-Issa, dalam usaha membuka ruang kerjasama strategik antara Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan organisasi antarabangsa berkenaan.

Sebagai susulan, satu persidangan antarabangsa dijadualkan berlangsung pada Jun 2026 di Kuala Lumpur Convention Centre, yang bakal menghimpunkan para alim ulama dan pemimpin agama dari seluruh dunia menerusi kerjasama Muslim World League dan JAKIM.

Usaha ini mencerminkan komitmen Malaysia dalam memastikan Islam terus subur, relevan dan berkembang selari dengan tuntutan zaman.

Fastabiqul khairat! Islam terus subur, mekar dan terjamin di bumi Malaysia.

#SebarkanSalam
#MadaniMembantu

📸 Sunan (Media YBM HEA) & Media IKIM

Leave a Reply

SUBSCRIBE

Get the latest posts delivered to your mailbox:

Page Reader Press Enter to Read Page Content Out Loud Press Enter to Pause or Restart Reading Page Content Out Loud Press Enter to Stop Reading Page Content Out Loud Screen Reader Support