My Thought: Democracy in Islam

‘Demokrasi Dalam Islam’.

Zulkifli Hasan

1. Apakah definisi demokrasi pada pemahaman tuan?

Saya melihat demokrasi itu sebagai sesuatu yang progresif dan dinamik iaitu sistem yang berpusatkan kepada kuasa rakyat atau ”saurah syaab’ atau ’people’s uprising’ bagi menjamin hak-hak dan kebebasan. Dalam konteks demokrasi Islam, ianya lebih daripada sekadar hak dan kebebasan tetapi merujuk kepada amanah menegakkan syiar Islam di muka bumi ini. Oleh kerana Islam meletakkan musyawarah sebagai asas atau teras sama ada dalam aspek politik, ekonomi, sosial dan sebagainya maka saya beranggapan bahawa demokrasi yang diamalkan pada waktu ini juga menepati ciri-ciri syura ini dalam bentuk yang baru. Dalam erti kata lain, demokrasi yang berstruktur dan bebas ini boleh juga dianggap sebagai proses penginstitutian konsep syura dalam bentuk yang lebih segar, moden dan sesuai dengan waqi’ moden. Walaupun diakui bahawa ada segelintir pihak dikalangan gerakan Islam sendiri yang menolak demokrasi, namun saya menerima konsep demokrasi ini sebagai suatu perkara yang relevan malahan menepati kehendak syariah. Saya menganggap bahawa prinsip-prinsip demokrasi yang bertepatan dengan hak asasi manusia sesungguhnya juga terkandung dalam ajaran Islam, seperti keadilan (‘adl), persamaan (musawah), musyawarah (syura) dan sebagainya.

2. Apakah kebaikan dan keburukan sistem demokrasi di malaysia pada pandangan tuan?

Apabila membicarakan kebaikan dan keburukan sistem demokrasi di Malaysia, mahu tidak mahu saya ingin menyentuh daripada aspek budaya dan amalan politiknya. Secara umumnya Malaysia mempunyai infrastruktur demokrasi yang baik seperti Suruhanjaya Pilihanraya, badan eksekutif, legislatif dan kehakiman yang dijamin oleh Perlembagaan. Namun yang menjadi isunya di sini ialah dari aspek budaya dan amalannya. Kebaikan dan keburukan sistem demokrasi ini bergantung kepada dua aspek ini. Sehingga kini, budaya dan amalan politik di Malaysia masih berteraskan kepada sentimen perkauman, peribadi, emosional dan kerap kali tidak beretika. Bagi menjamin demokrasi yang lebih baik dan bertepatan dengan prinsip Islam, Malaysia memerlukan tranformasi politik yang berpaksikan ilmu dan etika. Saya berpendapat sekiranya budaya dan amalan demokrasi sedia ada di Malaysia ini tidak dihijrahkan atau ditransformasikan, maka kita hanya akan terus-terusan mewarisi dan mengamalkan sistem demokrasi yang kurang upaya dan natijahnya ialah implikasi keburukan itu pasti mengatasi apa sahaja kebaikan yang ada.

3. Apakah pandangan tuan tentang ‘al-hurriyyah’ (kebebasan) dalam politik islam?

Al-hurriyyah atau kebebasan merupakan salah satu daripada matlamat demokrasi. Dalam isu ini saya sangat tertarik untuk merujuk karya Sheikh Rashid Ghanoushi bertajuk Al-Hurriyah al-‘Ammah fid-Dawlah al-Islamiyyah (Kebebasan Umum dalam Negara Islam). Buku ini saya anggap sebagai karya penting dalam wacana pemikiran politik Islam kontemporari. Dalam buku ini, Sheikh Ghanoushi melihat demokrasi sebagai natijah daripada proses dan perjuangan yang sangat panjang untuk mendapatkan kebebasan dan hak. Kebebasan dan hak ini jugalah yang menjadi asas kepada politik Islam. Islam secara jelas menjamin kebebasan. Dalam konteks realiti dunia masa kini, al hurriyyah atau kebebasan yang dijamin melalui proses demokrasi yang berpaksikan ilmu dan etika itu merupakan unsur utama yang mesti dicapai sebelum dapat meneruskan agenda menegakkan syiar Islam. Saya sangat yakin berdasarkan dalil yang sahih dan sejarah yang panjang bahawa Islam itu hanya akan subur dan segar di mana sahaja al Hurriyyah itu didokong. Al hurriyyah yang saya maksudkan di sini bukan bermakna kebebasan yang ditafsirkan berdasarkan pendekatan sekular ataupun ’humanistic approach’ tetapi ianya merujuk kepada al Hurriyah yang didefinisikan oleh epistemologi Islam bersandarkan wahyu.

4. Pada pandangan tuan,adakah sistem demokrasi di negara kita diambil sepenuhnya daripada praktis masyarakat barat?

Adalah tidak adil mengatakan bahawa demokrasi itu sepenuhnya berasal dari barat bahkan menyatakan bahawa demokrasi itu suatu konsep yang boleh membawa kesyirikan sepertimana yang difahami oleh segelintir umat Islam juga adalah tidak tepat. Walaupun, demokrasi itu dipelopori oleh masyarakat barat tetapi harus difahami kedinamikan sistem demokrasi yang ada pada hari ini. Ianya telah melalui satu proses yang amat panjang bahkan melibatkan pertumpahan darah, perang saudara, konflik agama, krisis antara bangsawan dan rakyat dan sebagainya. Sekiranya dilihat secara teliti, perjuangan untuk mendapatkan demokrasi itu merupakan usaha suci rakyat semata-mata untuk mendapatkan kebebasan dan hak daripada golongan penindas bahkan membebaskan mereka daripada sistem perhambaan secara langsung atau tidak langsung. Ini sangat bertepatan dengan ajaran Islam yang secara jelas menjamin kesamarataan hak dan kebebasan. Pengaruh daripada ketinggian dan ketamadunan Islam yang hebat di zaman pentadbiran Umayyah, Abasiyah, Uthmaniah dan Andalus yang sudah pasti terjaminnya ’al hurriyyah’ pada waktu itu juga, sangat memberikan kesan yang hebat kepada tercetusnya gerakan kebangkitan di Eropah yang akhirnya menatijahkan demokrasi. Saya sangat yakin bahawa idea dan prinsip-prinsip demokrasi yang diperjuangkan oleh masyarakat barat juga menerima pengaruh intelektual Islam dengan terbuktinya karya-karya agung ilmuan Islam yang menjadi rujukan di barat.

5. Apakah kebaikan yang tuan ingin lihat dalam sistem politik Malaysia dalam masa 10 tahun lagi?

Saya akui bahawa sesuatu yang idealistik itu agak sukar untuk dicapai dalam masa yang singkat bahkan perlu melalui perjalanan yang berliku-liku. Imam Hasan Al Banna yang menubuhkan Ikhwanul Muslimin pada 1928, bibit kejayaannya hanya dapat disaksikan ketika kejayaan Revolusi Tahrir pada 2011. Sebagai seorang Muslim, warganegara Malaysia, sudah tentu saya mengimpikan satu sistem politik Malaysia yang sihat dan beretika. Bukan itu sahaja, saya mengharapkan politik Malaysia satu hari nanti dibudayakan dan disistemkan dengan politik berasaskan fakta, ilmu, kebenaran dan etika yang semuanya ini bersandarkan kepada prinsip-prinsip Islam. Pada waktu itu, semua dasar, polisi, perancangan dan agenda politik dipandu oleh rasa amanah dan tanggungjawab atau taklif menegakkan syiar Islam di muka bumi ini. Tempoh 10 tahun itu mungkin sangat panjang bagi saya dan saya mengharapkan impian saya ini terrealisasi lebih awal lagi dan saya sentiasa optimis dengan perkara ini. Wallahua’lam.

Best Regards
Zulkifli Hasan

With Professor Andrew Harding, Professor of Law, Victoria University, Canada

SUBSCRIBE

Get the latest posts delivered to your mailbox:

Page Reader Press Enter to Read Page Content Out Loud Press Enter to Pause or Restart Reading Page Content Out Loud Press Enter to Stop Reading Page Content Out Loud Screen Reader Support