
100 ʜᴀʀɪ ᴍᴇɴᴛᴇʀɪ ᴀɢᴀᴍᴀ: ᴍᴇɴɢᴇᴍᴜᴅɪ ᴘᴇʀᴜʙᴀʜᴀɴ ᴊᴀʙᴀᴛᴀɴ ᴘᴇʀᴅᴀɴᴀ ᴍᴇɴᴛᴇʀɪ (ʜᴀʟ ᴇʜᴡᴀʟ ᴀɢᴀᴍᴀ)
March 30, 2026
Mesyuarat Sekretariat Perundangan Syariah, di Kompleks Islam Putrajaya
April 23, 2026Malaysia, Arab Saudi perkukuh kerjasama strategik dalam pengurusan haji, umrah – Menteri Agama






















Malaysia, Arab Saudi perkukuh kerjasama strategik dalam pengurusan haji, umrah – Menteri Agama
Alhamdulillah, saya dan pasukan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ke Arab Saudi bagi menguruskan jadual kerja yang padat termasuk menghadiri Forum Umrah and Ziarah di Madinah meninjau persiapan dilaksana pasukan Tabung Haji (TH).
Sepanjang di bumi Haramain, saya diiringi TYT Dato’ Syed Mohamad Bakri bin Syed Abdul Rahman, Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi; YM Tengku Mohd Dzaraif bin Raja Abdul Kadir, Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah; dan Tuan Haji Radin Adi Hilmi bin Radin Shamsuddin, Konsul Haji, Konsular Jeneral Malaysia di Jeddah.
Alhamdulillah, persediaan bagi menghadapi musim haji tahun ini berjalan lancar dengan segala persiapan dibuat mengikut perancangan. Dapat juga turun tengok sendiri penempatan baharu bakal jemaah di Mekah, termasuk kemudahan untuk para petugas Tabung Haji di sana.
Pelbagai penambahbaikan telah dilakukan TH termasuk aspek infrastruktur, logistik dan penginapan. Walaupun sudah berada di tahap yang membanggakan, TH masih melakukan banyak penambahbaikan dengan meningkatkan mutu dan kualiti perkhidmatan, kemudahan dan bimbingan secara keseluruhan, sekali gus memastikan keselesaan jemaah.
Lebih membanggakan, inisiatif terkini TH iaitu projek ‘green haj’ yang akan dilancar musim haji ini. Inisiatif ini memberikan perhatian terhadap alam sekitar dan kelestarian Ini bukan sekadar kerja, tapi khidmat untuk tetamu Allah. Tahniah kepada Tabung Haji dan semua yang bertungkus-lumus di belakang tabir. Biar jasa jadi kenangan!







Meneruskan acara dari Mekah ke Jeddah dan kemudian ke Riyadh. Perjalanan ini bukan sekadar jarak – tetapi misi menyatukan ummah. Saya penuhi undangan Syeikh Dr. Mohammad Abdul Karim AlIssa, Setiausaha Agung Muslim World League bagi membuka ruang ukhuwah dan kerjasama global JPM (Hal Ehwal Agama) bersama organisasi besar tersebut.
Syeikh juga ada menyatakan kekaguman beliau terhadap sahabat baik beliau iaitu YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX). Beliau mengiktiraf bahawa PMX adalah mufakkir (ideolog), intelektual dan tokoh pemikir Islam yang hebat.
Apa yang menarik, perbincangan ini bukan sekadar formaliti – ia tentang idea, solusi, dan masa depan Islam di rantau Asia Tenggara hingga ke peringkat dunia. Ini bukti bahawa Islam itu dinamik, relevan, dan bergerak seiring zaman.
Insya-Allah pada Jun 2026 ini, akan diadakan persidangan antarabangsa di KLCC, menghimpunkan alim ulama seluruh dunia – termasuk pimpinan agama anjuran Muslim World League dan JAKIM. Untuk umat Islam, ini mesej penting yang boleh kita hadamkan: bina masyarakat berilmu, kuatkan ukhuwah, dan bersedia jadi sebahagian daripada perubahan ummah.
Dari sini kita bermula, dan kita mesti berjuang melaksanakan Islah sedaya upaya kita. Dunia sedang melihat, dan masa depan Islam juga ada pada kita.









Dalam kunjungan ke bumi Haramain sempena tugasan rasmi, saya berkesempatan bersarapan dengan Menteri-menteri Agama dan Haji dari pelbagai negara dari seluruh dunia.
Sesi dihoskan oleh Syeikh Dr. Tawfiq bin Fawzan Al-Rabiah, Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, dan kami bersarapan di sebuah restoran dalam ladang kurma – suasana cukup indah dan penuh ukhuwah.
Syukur dapat wakili Malaysia, bumi bertuah yang selalu disebut sebagai contoh pengurusan haji terbaik di dunia. Seronok berkenalan dengan menteri-menteri lain, dapat belajar dan berkongsi pengalaman.










Selanjutnya, saya meneruskan pertemuan strategik dengan komuniti tempatan, ahli perniagaan, siswa dan diaspora Malaysia di Riyadh, Arab Saudi. Berbesar hati menerima kunjungan hormat daripada tokoh-tokoh komuniti – semuanya puji Malaysia dan kagum dengan pencapaian kita, terutamanya dalam ekonomi dan pendidikan!
Seronok juga beramah mesra dengan siswa Malaysia di Riyadh dan alumni Saudi di Malaysia, serta warga Kedutaan Malaysia. Suasana meriah dan penuh semangat ukhuwah. Syukur!






Saya kemudiannya berkesempatan menyertai Riadah Madani Brisk Walk dari Masjid Nabawi hingga Masjid Quba bersama TYT Duta, Konsul Jeneral Jeddah, pelajar-pelajar Malaysia dari Universiti Islam Madinah dan turut sama selebriti, Dato’ Adi Putra dan Sdra. Johan Ashaari.
Cuaca sangat baik sepanjang aktiviti ini, laluan Brisk Walk ini juga kami menelusuri antara laluan sirah dan menghayati peristiwa hijrah Nabi Sallallahu ‘alayhi wa-sallam yang tiba di Quba’ lalu mendirikan masjid pertama dalam Islam.
Masjid Al-Jum’ah juga berada dalam laluan Brisk Walk ini. Masjid Al-Jum’ah di Madinah ialah tempat bersejarah di mana Nabi Muhammad SAW mengimamkan solat Jumaat pertama dalam sejarah Islam pada 12 Rabiulawal Tahun 1 Hijrah. Ia dibina di lokasi perkampungan Bani Salim bin Auf, di mana Nabi berhenti dalam perjalanan hijrah dari Quba menuju ke pusat kota Madinah.
Subhanallah! apabila dekat dengan makam Nabi Muhammad Sallallahu ‘alayhi wa-sallam terasa semangat dan perjuangan Baginda Sallallahu ‘alayhi wa-sallam yang sangat hebat. Ada hadith daripada Sahih Muslim tentang mukmin yang kuat lebih dicintai oleh Allah Subhanahu wa-Ta’ala berbanding mukmin yang lemah;
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمُؤْمِنُ الْقَوِيُّ خَيْرٌ وَأَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ الْمُؤْمِنِ الضَّعِيفِ
Daripada Abu Hurairah RA dia berkata; ((Rasulullah Sallallahu ‘alayhi wa-sallam bersabda: ‘Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah Subhanahu wa-Ta’ala daripada Mukmin yang lemah.))
(HR Muslim No: 4816) Status: Hadis Sahih








Seterusnya, kunjungan hormat dan pertemuan khas bersama Syeikh Dr. Tawfiq bin Fawzan Al-Rabiah, Menteri Haji & Umrah Arab Saudi bagi membincangkan kerjasama strategik antara Malaysia dan Arab Saudi, khususnya berkaitan urusan haji, umrah dan hal ehwal berkaitan. Pertemuan di King Salman International Convention Centre, Madinah Al-Munawwarah sempena Forum Umrah dan Ziarah 2026.
Pertemuan ini membuka ruang yang baik ke arah memperkukuh hubungan serta meningkatkan kualiti perkhidmatan buat para jemaah. Moga setiap usaha ini diberkati Allah Subhanahu wa-Ta’ala dan memberi manfaat besar kepada ummah, khususnya rakyat Malaysia.







Di Saudi, saya turut menghadiri Forum dan Pameran Umrah & Ziarah 1447H di Madinah al-Munawwarah, Arab Saudi yang telah dirasmikan oleh Gabenor Wilayah Madinah, Putera Salman bin Sultan bin Abdulaziz. Alhamdulillah, forum ini membuka ruang perbincangan yang bermanfaat dalam memperkasa pengalaman ibadah umrah dan ziarah demi kemaslahatan ummah.
Lebih bermakna, diberi peluang bertemu sahabat lama, Dr. Saleh Alagla, kini Presiden Islamic University of Madinah. Kami pernah bersama melanjutkan pengajian PhD di Durham University, United Kingdom – ukhuwah yang terjalin, insya-Allah kekal hingga ke akhir.









Acara terakhir sebelum pulang ke tanahair. Sesi Dialog bersama Persatuan Mahasiswa Arab Saudi (PERSADA) di Restoren Pak Tam Madinah. Saya menyampaikan sedikit amanat, pencerahan perancangan hal ehwal agama dan mengadakan sesi dialog.
Pelajar boleh bertanya apa sahaja dan saya cuba memberikan penjelasan dan pencerahan sebaiknya. Seronok berdialog dengan anak muda yang bijak, cerdas dan luas pandangan. Kami juga menyampaikan sedikit sumbangan kepada PERSADA dan pelajar-pelajar. Suasana penuh kemesraan dan semangat ukhuwah. Siap sedia pulang ke tanahair dengan lebih bersemangat.



Sempat juga bergambar kenangan bersama pemandu dan petugas yang membantu kami sepanjang urusan rasmi di Saudi. Semuanya baik hati, mesra dan banyak membantu. Setinggi terima kasih kepada TH, pihak Kedutaan Besar Malaysia, Konsulat Jeneral dan semua yang membantu. Tahniah buat semua yang bekerja keras di belakang tabir. Semoga segala urusan dipermudahkan, dilindungi dan diberkati Allah Subhanahu wa-Ta’ala. Ini bukan sekadar pengurusan, tapi khidmat untuk tetamu Allah! Malaysia terus mendunia!
Teruskan kecemerlangan. Kita buat sehabis baik, selebihnya tawakal, insya-Allah. Madani terus bekerja. Fastabiqul khairat! Islam terus subur, mekar dan terjamin di bumi Malaysia.





