Merungkai Persoalan Krisis di Syria

Merungkai Persoalan Krisis di Syria

Zulkifli Hasan

Berbanding dengan siri kebangkitan rakyat di Tunisia dan Mesir, krisis di Syria mendapat liputan dan analisis yang agak berbeza daripada pelbagai pihak. Secara umumnya, terdapat dua teori yang berkaitan dengan krisis di Syria. Golongan pertama berpandangan bahawa jatuhnya rejim Bashar Al-Assad akan mengukuhkan pengaruh Israel di Timur Tengah. Golongan kedua pula mempunyai teori dan pandangan yang berlainan di mana krisis di Syria dianggap sebagai sesuatu yang ’genuine’ dan penentangan terhadap rejim Bashar al Assad adalah suatu tuntutan jihad. ’Dichotomy’ dan dua teori yang bertentangan ini telah menimbulkan kesulitan kepada aktivis dan badan bukan kerajaan yang sedang memperjuangkan nasib dan kehidupan rakyat Syria yang kini menghadapi krisis kemanusiaan yang sangat membimbangkan. Hingga kini dilaporkan bilangan penduduk yang menghadapi krisis kemanusiaan akan mencecah lebih 2.5 juta.

Pandangan yang menganggap rejim Bashar al Assad sebagai pengancam Israel dan kejatuhannya hanya akan mengukuhkan hegemoni Israel di Timur Tengah ini disuarakan oleh ramai penganalisis politik dan jurnalis antarabangsa seperti Robert Fisk termasuk tokoh ulama iaitu Sheikh Imran Hossein. Robert Fisk di dalam artikelnya bertajuk ”Bashar al Assad, Syria, and The Truth About Chemical Weapons” menyuarakan pandangannya mengenai usaha Amerika memburukkan rejim Bashar al Assad dengan hasrat untuk menjatuhkannya melalui tuduhan menggunakan senjata kimia. Ini disokong oleh Professor Michel Chossudovsky di dalam artikel beliau ”Confronting Iran, Protecting Israel: The Real Reason for America’s War on Syria”. Beliau berpandangan bahawa kejatuhan rejim al Assad hanya akan mengakibatkan Syria dapat dikuasai oleh sekutu atau agen Amerika dan Israel dan dengan itu, Hamas dan Hezbollah dapat dihapuskan sekali gus melemahkan Iran yang dianggap musuh dan ancaman kepada mereka. Terdapat juga segelintir ahli akademik tanahair yang cenderung dengan pandangan ini malahan melabelkan pejuang pembebasan Syria ini dengan gelaran ”pemberontak” dan ”pengganas” yang sama sekali bertentangan dengan mauqif ulama muktabar.

Berdasarkan permasalahan di atas, penulis ingin berkongsi pandangan mengenai krisis yang berlaku di Syria dan cuba merungkaikan beberapa persoalan yang kini membelenggu pemikiran sesetengah pihak. Penulis telah merujuk pelbagai sumber makalah, artikel, buku, berita, laporan, jurnal dan sebagainya termasuk menghadiri syarahan ulama tersohor Syria, maklumat sumber pertama sahabat-sahabat di Syria serta penerangan oleh aktivis yang telah masuk ke Syria. Artikel ini juga ingin memperkenalkan buku terkini tulisan Dr. Zulkifli Al Bakri bertajuk ’Krisis Syria dan Mauqif Ulama’ yang menjelaskan pendirian dan pandangan ulama muktabar mengenai krisis di Syria. Berdasarkan sumber-sumber sahih ini, penulis sangat berkeyakinan bahawa krisis di Syria ini adalah sesuatu yang ’genuine’ dan segala bentuk perjuangan dan bantuan adalah dianggap suatu jihad. Rakyat Syria yang berjihad menentang kezaliman dan kemungkaran diketuai rejim Bashar al Assad ini bukanlah ’pemberontak’ tetapi adalah pejuang pembebasan dan jika gugur dikategorikan sebagai syahid. Bersama-sama dengan rakyat Syria bangun menentang kezaliman, keganasan, ketidakperikemanusiaan dan ketidakadilan adalah suatu tuntutan dan kewajipan umat Islam.

Bagi memahami krisis di Syria ini, perlu juga dilihat terlebih dahulu Syria dari sudut demografi. Syria mendapat kemerdekaan pada 1946 dengan penduduk berjumlah lebih 23 juta. 75% adalah Muslim-sunni tetapi kerajaan Syria dikuasai oleh parti Baath iaitu diwakili minoriti Alawi yang hanya 3-4%. Parti Baath yang minoriti Alawi ini bermazhab Syiah Nusairiah dan berideologi sosialis. Berdasarkan demografi ini, amatlah bermanfaat untuk menelusuri serba sedikit asal usul rejim al Assad di Syria ini. Setelah kemerdekaan Syria telah dipimpin oleh keluarga al Assad. Kemuncak kezaliman rejim al Assad ini telah berlaku pada 1982 di bawah pimpinan Hafiz al Assad (memerintah selama 32 tahun) sewaktu tragedi berdarah di bandar Hamah yang meragut nyawa lebih 40 ribu penduduk, 15 ribu hilang tempat tinggal dan 150 ribu menjadi mangsa pelarian. Bukan itu sahaja, dilaporkan lebih 88 buah masjid dimusnahkan dan infrastruktur awam dihancurkan. Sebegitu ramai ulama dan ilmuan Islam yang dipenjara, diseksa dan dibunuh. Di antara ulama yang menjadi pelarian politik ialah Sheikh Abu Fattah Abdu Ghuddah, Sheikh Said Hawa, Sheikh Muhammad Ali Al Sabuni, Sheikh Muhammad Hashim al Majzub, Sheikh Usamah al Rafie dan ramai lagi.

Bashar al Asad telah mengambil alih pemerintahan daripada Hafiz al Assad pada tahun 2000 setelah Perlembagaan Negara dipinda semata-mata untuk membolehkannya menjadi Presiden yang pada itu belum mencapai umur 40 tahun yang dibenarkan. Beliau meneruskan kekejaman lalu dengan beberapa insiden kemanusiaan seperti peristiwa berdarah Qamisyli pada 2004 dan 2008, peristiwa Hasakah pada 2004 dan peristiwa penjara Soydana. Tragedi 2011 hingga hari ini adalah yang paling trajis di mana telah meragut nyawa ratusan ribu rakyat Syria yang majoritinya adalah Muslim-sunni. Ini disahkan oleh Utusan Khas PBB dan Liga Arab, Lakhdar Brahimi. Malahan kekejaman rejim Bashar al Assad juga telah meranapkan pelbagai kesan sejarah penting Islam seperti Maktabah al Khanji yang dianggap antara perpustakaan tertua dunia yang mempunyai koleksi berharga yang tidak ternilai. Melalui fakta-fakta ini, sudah jelas lagi bersuluh betapa tidak logiknya sebarang pandangan yang menyokong rejim Bashar al Assad atas apa sahaja alasan. Malahan melabelkan rakyat yang menuntut keadilan dengan gelaran pemberontak atau pengganas adalah suatu perkara yang amat dikesalkan.

Selain itu, adalah amat penting juga untuk mengenali Alawi atau Shiah Nusairiah yang pengikutnya menguasai kerajaan Syria. Shiah Nusairiah di Syria ini mempunyai hubungan amat rapat dengan Iran dan Hizbullah. Ini kerana terdapat segelintir umat Islam termasuk di Malaysia yang tidak mempunyai gambaran sebenar malahan memberikan sokongan kepada rejim Bashar al Assad dan menganggap Iran serta Hizbullah sebagai pembela agama dan memberi ancaman kepada Israel. Dilaporkan juga Iran telah membekalkan pelbagai jenis senjata kepada Syria. Ayatullah Ali Khomeini pernah mengeluarkan fatwa bahawa wajib rakyat Iran mempertahankan rejim al Assad. Dalam hal ini, kita perlu merujuk kepada pandangan dan fakta-fakta mengenai shiah Nusairiah ini. Sebenarnya, terlalu ramai ulama muktabar telah terlebih awal memberikan fatwa mengenai kesesatan Syiah Nusairiah. Ibn Taimiyah, Ibnu Kathir, al Zahabi, Sheikh Abdul Aziz Baz dan Sheikh Ali al Sabuni secara jelas memfatwakan shiah nusairiah sebagai sesat. Sheikh Gharib al Sirjani mengatakan bahawa kesesatan shiah Nusairiah ini adalah berasaskan ijma. Oleh itu, sebarang pandangan yang menyokong rejim Bashar al Assad yang juga shiah Nusairiah ini adalah dianggap perkara mungkar dan menyesatkan.

Bagi mengukuhkan pandangan betapa rejim Bashar al Assad ini perlu diperangi dan dijatuhkan, penulis ingin merujuk kepada beberapa pendirian ulama muktabar kontemporari seperti yang dinukilkan di dalam buku ’Krisis Syria dan Mauqif Ulama”. Sheikh Abdul Aziz Baz pada 1982 berfatwa bahawa wajib memberi bantuan kepada umat Islam yang dizalimi oleh rejim Al Assad. Sheikh Yusuf al Qaradhawi dengan tegas menyatakan bahawa wajib bagi rakyat Syria untuk bangkit menentang rejim al Assad malahan menggesa jemaah haji berdoa untuk kehancurannya. Sheikh Ali al sabuni yang baru-baru ini berada di Malaysia dengan tegas menggesa umat Islam untuk melakukan apa sahaja termampu bagi membebaskan rakyat Syria. Ramai lagi ulama tersohor seperti Sheikh Soleh al Luhaidan, Sheikh Muhammad Hasan, Sheikh Aidh al Qarni, Sheikh Muhammad al Irifi, Sheikh Ahmad Qattan dan Sheikh Wahbah al Zuhaili memberikan pandangan yang sama di mana menyeru umat Islam untuk membantu rakyat Syria menjatuhkan rejim Al Assad.

314076_10151208633874331_420371837_n
Krisis Syria dan Mauqif Ulama oleh Dr. Zulkifli Al Bakri

Pandangan dan pendirian ulama muktabar mengenai kewajipan membantu rakyat Syria ini disahkan dan disokong oleh Resolusi Muktamar Syria di Istanbul iaitu persidangan para ulama sedunia pada 1-3 Julai 2012. Muktamar ini secara umumnya menegaskan bahawa revolusi rakyat Syria adalah kebangkitan yang hak dan benar dan adalah menjadi kewajipan semua umat Islam untuk membantu rakyat Syria dan menjatuhkan rejim Bashar al Assad. Muktamar ini merayu agar semua negara Islam di bawah pertubuhan OIC serta negara-negara lain untuk memberikan bantuan kemanusiaan termasuk membekalkan persenjataan. Informasi dan maklumat mengenai resolusi muktamar seperti ini dan bukti-bukti kezaliman rejim Bashar al Assad mungkin tidak sampai atau lambat diperolehi oleh umat Islam dan ini menyebabkan ada yang mempersoalkan tindakan rakyat Syria bangun menentang kerajaan Syria. Ini bukanlah sesuatu yang asing kerana rejim Bashar al Asad seringkali cuba untuk menyembunyikan keganasan mereka. Umpamanya telah ramai wartawan yang telah terkorban semasa membuat liputan di Syria seperti Mika Yamamoto, jurnalis Jepun yang sangat aktif melaporkan kebenaran krisis di Syria.

Dunia telah menyaksikan kebangkitan rakyat bermula di Tunisia diikuti Mesir, Libya, Syria dan kemungkinan negara-negara Timur Tengah yang lain. Namun, revolusi di Syria masih dalam proses menuju kemenangan. Malahan persoalan yang lebih besar ialah nasib Syria pasca revolusi. Berbanding dengan revolusi di Tunisia, Mesir dan Libya, krisis di Syria adalah sedikit berlainan kerana ianya melibatkan pelbagai isu geo-politik termasuk permasalahan shiah Nusairiah serta sokongan oleh Iran dan Rusia dan beberapa negara lain. Teori menjatuhkan rejim al Assad sebagai tindakan meningkatkan hegemoni dan penguasaan Israel di Timur Tengah juga adalah satu perkara yang tidak mempunyai asas yang kuat. Pendirian atau mauqif ulama muktabar di seluruh dunia mengenai kewajipan umat Islam untuk membantu rakyat Syria mengesahkan bahawa kebangkitan rakyat Syria adalah sesuatu yang hak dan benar. Kezaliman dan keganasan tidakperikemanusiaan tahap luarbiasa rejim Bashar al Assad adalah tindakan yang tidak boleh sama sekali diterima akal. Rejim Bashar al Assad ini mesti dibawa ke muka pengadilan dan dibicarakan di Mahkamah serta segala keganasan dan kezaliman ini didedahkan kepada dunia supaya tragedi kemanusiaan ini dapat memberi pengajaran kepada semua umat manusia.

Regards
Zulkifli Hasan
P1120808
Srebrenica, Bosnia and Herzegovina. More than 8000 Muslims were killed here in July 1995.

SUBSCRIBE

Get the latest posts delivered to your mailbox:

Page Reader Press Enter to Read Page Content Out Loud Press Enter to Pause or Restart Reading Page Content Out Loud Press Enter to Stop Reading Page Content Out Loud Screen Reader Support