Tasawwur Dakwah dan Tajdid Haraki Dalam Konteks Bernegara

Sambutan Maulid al Rasul Melalui Pembudayaan Ilmu
January 6, 2014
Morocco adopts Islamic finance law
January 19, 2014
Sambutan Maulid al Rasul Melalui Pembudayaan Ilmu
January 6, 2014
Morocco adopts Islamic finance law
January 19, 2014
Show all

Tasawwur Dakwah dan Tajdid Haraki Dalam Konteks Bernegara

Tasawwur Dakwah dan Tajdid Haraki Dalam Konteks Bernegara

Zulkifli Hasan

Pendahuluan

Pengalaman beinteraksi dengan pelbagai badan bukan kerajaan dan beberapa persatuan serta program ziarah tokoh gerakan Islam semasa menuntut di United Kingdom telah membuka minda dan mencetus tasawwur atau ‘worldview’ baru terhadap pendekatan dakwah yang lazimnya dikaitkan dengan slogan ‘Islamic Revivalism’ atau kebangkitan Islam. Di antara subjek yang menjadi perhatian utama penulis ialah pendekatan baru atau idea segar gerakan dakwah dalam mengharungi cabaran pluraliti. Melihat kepada perkembangan dunia Islam dan barat yang menuntut kepada sistem yang lebih demokratik melalui revolusi di Mesir, Tunisia, Libya, Yaman dan lain-lain negara termasuk angin perubahan di Israel, mahu tidak mahu pendekatan dakwah yang sedia ada perlu diperbaharui atau diberikan nafas baru dengan mengambil kira faktor dan fenomena setempat dan antarabangsa. Begitu juga dengan situasi yang berlaku di Malaysia. Masih ada lagi pihak tertentu malahan golongan agamawan dan pemimpin politik yang mempunyai tasawwur atau kerangka pemikiran lama yang boleh dikatakan tidak seiring dengan perkembangan ilmu itu sendiri. Konsep Dar al harb, konsep kafir al harb dan kafir al dhimmi, konsep Negara Islam masih lagi menjadi kerangka utama pemikiran dan seterusnya melahirkan polisi dan karakter yang agak tidak bersesuaian untuk dakwah Islam.

Dari aspek ini, penulis ingin melontarkan pandangan yang dianggap bukanlah baru tetapi merasakan ianya perlu diberikan perhatian oleh setiap jemaah atau pertubuhan Islam termasuk mana-mana pihak yang berjuang atas nama Islam dalam menangani isu Islam dan pluraliti. Perlu diingatkan pluraliti di sini bukan bermaksud ‘pluralisme agama’ tetapi merujuk kepada kepelbagaian agama, bangsa dan warganegara. Bagi maksud perbincangan ini, penulis ingin mengutarakan beberapa konsep yang perlu dijadikan dasar dan tasawwur dakwah dalam konteks sama ada di negara majoriti penduduk Islam dan juga di mana orang Islam adalah minoriti. Konsep ‘al Ukhuwat al Muwatinun’, ‘al Ukhuwat al Insaniyyah’ dan ‘Dar al Da’wah’ yang dianjurkan oleh pendakwah kontemporari seperti Yusuf al Qaradhawi, Tariq Ramadhan, Fahmi Huwaidiy dan Muhammad Fathi Uthman perlu dijadikan topik perbincangan dan diberikan ruang yang sewajarnya untuk dijadikan satu pendekatan dakwah yang lebih segar dan berkesan.

Tasawwur Dakwah

Idea penulisan ini tercetus semasa menghadiri konferen anjuran International Institute of Islamic Thought dan University of Sarajevo di Sarajevo, Bosnia and herzegovina. Terdapat beberapa perbincangan yang sangat menarik diutarakan oleh pemikir dan sarjana terkemuka yang menyentuh betapa perlunya beberapa konsep yang difahami sekian lama oleh umat Islam diislahkan agar ia lebih sesuai dengan keadaan kehidupan pada hari ini. Penulis berpandangan, konsep-konsep yang amat penting untuk difahami ini merupakan hasil daripada intipati kefahaman pemikir dan pendakwah Islam ini melalui ilmu pengetahuan, pengalaman, pemikiran, pengamatan dan pengajaran yang diambil dari sejarah kebangkitan Islam. Hakikatnya, tasawwur dakwah dalam ruang lingkup tradisi melalui istilah umpamanya ahlu Zimmah, dar al Harb dan kafir Harb menimbulkan implikasi yang agak signifikan pada keberkesanan pendekatan dan metod dakwah. Dengan tertubuhnya negara bangsa setelah penjajahan di kebanyakan daerah Islam di dunia, gerakan dakwah pada hari ini perlu beroperasi dalam ruang lingkup tasawwur yang lebih bersifat kontemporari, universal, hikmah dan terbuka. Ini bagi menjamin keberkesanan dan kesesuaian strategi dakwah terutamanya mendepani isu pluraliti atau kepelbagaian kaum, agama dan warganegara. Istilah yang lebih segar dan kontemporari seperti al Ukhuwat al Muwatinun, al Ukhuwat al Insaniyah dan Dar al Da’wah dilihat amat bertepatan dengan keadaan semasa serta bersesuaian dengan peredaran zaman dan perkembangan dunia.

Konsep Negara Islam dan Negara Madani

Fenomena yang berlaku di dunia Islam ini sangat berkait dengan arus gerakan kebangkitan Islam. Aspirasi gerakan Islam untuk mengembalikan kegemilangan tamadun Islam ini berorientasikan beberapa pendekatan dan kerangka pemikiran. Antara wacana awal kebangkitan Islam (Islamism) ialah perjuangan ke arah menubuhkan Negara Islam dan mengembalikan sistem khalifah. Konsep Negara Islam ini yang didominasi oleh beberapa pemikir Islam seperti al Maududi dan Sayyid Qutb telah mempengaruhi kebanyakan gerakan Islam. Revolusi Iran kemudiannya menjadi pemangkin kepada wacana Negara Islam di mana banyak gerakan Islam menganggap eksperimen ini akan berjaya.

Al Maududi di dalam karyanya seperti ‘Al Ahkam al Sultaniyyah’ dan ‘The Islamic Law and Constitution’ membuat gagasan Negara Islam bermodelkan ‘theo-democracy’. Begitu juga Sayyid Qutb yang membicarakan Negara Islam melalui beberapa konsep seperti al hakimiah, masyarakat jahiliah dan ketamadunan. Konsep negara Islam yang diaspirasikan oleh golongan ini lebih menjurus kepada pembentukan dar al Islam. Konsep negara Islam juga telah ditafsirkan oleh sesetengah pihak seperti Hizb al Tahrir sebagai usaha mengembalikan sistem khalifah. Idea-idea ini kemudiannya menimbulkan persoalan setakat mana relevannya pendekatan Negara Islam dalam konteks sosio-politik negara dan antarabangsa masa kini.

Wacana Negara Islam kemudiannya mula pudar dan mendapat reaksi berbeza daripada intelektual dan pemikir kontemporari. Kerelevanan dan realiti konsep Negara Islam ini mula disemak dan dikaji semula setelah melihat pengalaman negatif beberapa gerakan Islam dalam usaha memperjuangkan Negara Islam dan dalam masa yang sama kekaburan hujah-hujah yang menjustifikasikan kewajipan menegakkan Negara Islam. Seiring dengan wacana yang mengkritik konsep Negara Islam ini, maka wujudlah idea pemikiran konsep Negara Madani (Sivil) berlandaskan nilai-nilai Islam atau ‘Civil State with Islamic Reference’ yang lebih segar dan realistik.

Setelah berlakunya beberapa peristiwa penting yang melanda gerakan Islam yang gagal untuk merealisasikan penegakan Negara Islam seperti yang terjadi pada parti Front Islamic Salvation (FIS) pimpinan Abbas Madani di Algeria, eksperimen Hasan al Turabi di Sudan termasuk kegagalan di Afghanistan pimpinan Taliban, membuatkan pendekatan ‘Islamist’ ini di kaji semula. Selain itu, gerakan Islam yang berorientasikan perjuang Negara Islam ini juga sering dilihat sebagai gerakan yang seakan ingin memonopoli ‘authority of Islam’, mudah melabelkan pihak tidak sefikrah sebagai kafir dan tidak bersesuaian dengan sosio-ekonomi-politik Negara dan antarabangsa. Kes yang sama berlaku di Tunisia apabila ribuan aktivis Al Nahdah telah diseksa dan dizalimi oleh rejim Ben Ali di mana lebih 3000 aktivis Al Nahdah, menyeksa, menzalimi, memenjarakan, menjatuhkan hukuman bunuh dan pelbagai kekejaman yang lain atas dasar ancaman untuk menegakkan Negara Islam.

Berbeza dengan pendekatan ‘Islamist’ yang masih berpegang kepada misi menubuhkan Negara Islam dan mengembalikan sistem khalifah termasuk membolehkan penggunaan kekerasan, Yusuf al Qaradawi, Abdul Karim Soroush dan Tariq Ramadan dan al Ghannoushi membicarakan konsep Negara Sivil (dawlah madaniyyah) yang berasaskan kepada nilai-nilai dan ajaran Islam (Negara Sivil Berteraskan Shari’ah atau Negara Sivil Beridentitikan Islam) dan dipandu oleh maqasid Shariah serta mengutamakan jaminan kebebasan (al hurriyah) dan hak asasi (huquq al Insan). Inilah yang dimaksudkan dengan konsep Negara Madani yang seharusnya dijadikan ‘discourse’ dalam membentuk kerangka tasawwur dakwah dan tajdid haraki oleh gerakan Islam dan umat Islam itu sendiri. Definisi Dar al Islam di dalam konteks Negara Madani itu diluaskan sebagai merujuk kepada Negara yang menjamin kebebasan secara adil yang berteraskan Tawhid dan menghormati hasrat dan aspirasi warganegara atau rakyat dengan menjadikan nilai-nilai Islam dan Shari’ah sebagai panduan dan rujukan. Dalam erti kata lain Negara Madani ini menjadikan Maqasid Shari’ah sebagai panduan, konsep Shura sebagai tema utama, pengiktirafan budaya dan identiti, mengiktiraf suara rakyat dan mengangkat karamah insaniah serta hak asasi manusia. Sewajarnya, wacana konsep ’Daulah Madaniyah’ ini dibicarakan secara intensif dan menyeluruh serta dijadikan ’discourse’ arus perdana agar gelombang kebangkitan Islam melalui agenda gerakan Islam itu terus segar, relevan dan kembali bersinar. .

Al Ukhuwat al Muwatinun’

Di antara isu yang hingga ke hari ini ditimbulkan ialah hak-hak kaum minoriti di sesebuah negara yang majoritinya penduduk Islam. Hakikatnya, ramai yang mengklasifikasikan kaum minoriti bukan Islam ini sebagai ahlu Zimmah. Menjelaskan konsep ahlu Zimmah dalam konteks masyarakat pada hari ini, Yusuf Al Qaradhawi di dalam bukunya ‘Al Din wa al Siyasah’ berpandangan bahawa istilah ini lebih bersesuaian digantikan dengan ‘al Ukhuwat al Muwatinun’. Pandangan ini amat bertepatan kerana istilah ahlu Zimmah ini asalnya terpakai kepada kaum minoriti yang membayar jizyah untuk mendapat jaminan perlindungan manakala pada hari ini kaum minoriti seperti di Malaysia adalah berbeza.

Istilah ‘al Ukhuwat al Muwatinun’ ini dilihat mampu memberikan tasawwur baru kepada metod dan pendekatan dakwah kepada golongan bukan Islam. Siddiq Fadhil dalam ucapan dasarnya di Ijtima’ Harakiy ABIM 2011 juga berpandangan bahawa konsep saudara senegara adalah amat bertepatan dalam merujuk kaum minoritI bukan Islam di Malaysia. Malahan dalam aspek ini, Yusuf Al Qaradhawi mengesyorkan skim cukai yang sama rata ‘dharibah takaful’ dengan mengambil kira status sebagai warga negara atau saudara senegara dan bukan lagi dalam bentuk jizyah. Ini disepakati oleh Fahmi Huwaidi di dalam bukunya ‘Muwatinun la Dhimmiyun’ yang berpandangan bahawa istilah ahlu zimmah ini perlu digantikan dengan istilah yang lebih tepat dalam konteks negara bangsa.

Al Ukhuwat al Insaniyyah

Kerap kali menjadi topik hangat mengenai Islam mutakhir ini merujuk kepada isu tohmahan ketidakupayaan syariat untuk melindungi hak-hak asasi manusia. Tohmahan ini juga merupakan salah satu faktor menjadikan dakwah Islam dilihat tidak bersifat universal dan sering mendapat salah tanggapan umum. Persepsi seperti ini boleh diperbetulkan melalui konsep ’al Ukhuwat al Insaniyyah’ atau saudara sesama insan yang dibicarakan dengan terperinci oleh Yusuf al Qaradhawi. Istilah ini bukanlah perkara baru bahkan ia sebenarnya bertepatan dengan ruh ayat 70 surah al Isra yang bermaksud ”Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam”. Ayat ini dengan tegas mengatakan bahawa Allah memuliakan manusia dan mengiktiraf hak-hak asasi yang sebahagian besarnya adalah menjadi kewajipan setiap individu. Melalui intipati ayat ini, gerakan dakwah dan juga apa sahaja aktiviti dakwah perlu memberi perhatian kepada pengutamaan dalam melindungi dan memperjuangkan hak-hak asasi manusia agar dapat dilihat keuniversalan Islam itu secara hakiki.

Hakikatnya, jika dihayati dasar-dasar dan perintah Allah di dalam al Quran dan sunnah rasulNya, terlalu banyak nilai-nilai dan prinsip-prinsip yang secara jelas menyentuh kewajipan menjamin hak-hak asasi. Dalam aspek ini, Muhammad Fathi Uthman di dalam bukunya ’Huquq al Insan baina al Syariah al Islamiyah wa al Fikri al Qanun al Gharbi’ menyatakan bahawa Islam lebih unggul melindungi hak-hak asasi manusia berbanding agama lain tidak kira sama ada ianya bersifat peribadi, pemikiran, politik, undang-undang, sosial dan ekonomi. Sehubungan dengan itu, gerakan dakwah Islam boleh mengambil pendekatan yang lebih terbuka dengan mengambil kira nilai-nilai yang bersifat universal. Gerakan dalam bentuk gabungan dengan badan bukan kerajaan termasuk gerakan dakwah agama lain ke arah menjamin keharmonian dan kerukunan masyarakat merupakan pendekatan yang amat relevan dalam konteks masyarakat masa kini.

Dar al Da’wah

Menyentuh kepada konsep ’negara’, istilah tradisi yang sering digunakan bagi membezakan daerah penduduk Islam dengan bukan Islam ialah dar al harb. Melalui konsep ini jugalah timbulnya istilah kafir harb. Istilah-istilah ini sedikit sebanyak meninggalkan kesan yang kurang baik kepada keberkesanan dakwah dan ini diakui sendiri oleh Yusuf al Qaradawi apabila membincangkan beberapa istilah yang merujuk kepada bukan Islam. Bergerak di dalam ruang lingkup tasawwur yang menganggap bukan Islam sebagai kafir yang diperangi menjadi satu permasalahan yang sangat besar implikasinya.

Menangani isu ini, Tariq Ramadhan berpandangan bahawa istilah dar al harb sudah tidak bersesuaian dengan konteks masyarakat pada hari ini. Secara tidak langsung menunjukkan bahawa istilah kafir harb juga perlu didefinisikan semula. Sebagai alternatif, beliau berpandangan istilah dar al Da’wah adalah lebih bersesuaian dan bertepatan dengan keadaan dan bi’ah atau suasana yang ada pada hari ini. Adalah sangat tidak bertepatan di mana negara majoritinya bukan Islam yang memberi kebebasan beragama malahan lebih baik dari negara yang mengaku Islam diklasifikasikan sebagai dar al harb. Terdapat banyak negara yang ada pada hari ini tidak mempunyai ciri-ciri dan boleh diklasifikasikan sebagai dar al harb mahupun rakyatnya sebagai kafir harb.

Tajdid Harakiy

Istilah Negara Madani, al Ukhuwat al Muwatinun, al Ukhuwat al Insaniyah dan dar al Da’wah merupakan konsep yang perlu dijadikan tasawwur dakwah masa kini. Dengan ruang lingkup tasawwur dakwah yang bersifat universal dan kontemporari inilah yang akan dapat memberikan nafas baru bagi setiap gerakan dakwah. Penulis melihat anjakan pemikiran melalui tasawwur dakwah yang dinamakan ‘tajdid harakiy’ ini merupakan salah satu usaha ke aarah pembaharuan atau ‘renaissance’ kepada gerakan dakwah dalam memastikan keberkesanannya.

Apabila menyentuh isu tajdid, kerap kali istilah ini digunakan dalam ruang lingkup yang tidak luas. Melalui pemerhatian, tajdid sering kali digunakan dalam aspek ibadah iaitu merujuk kepada usaha menjauhi amalan bidaah. Pada hakikatnya, tajdid bukan sahaja perlu dari aspek ibadah, malahan ianya juga bersangkutan dengan ekonomi, sosial, politik, undang-undang dan lain-lain bahkan ianya juga menjadi satu tuntutan dalam gerakan dakwah. Dalam hal ini, usaha-usaha ke arah penyegaran semula tasawwur dakwah melalui konsep al Ukhuwat al Muwatinun, al Ukhuwat al Insaniyah dan dar al Da’wah ini merupakan satu tuntutan pemikiran bagi setiap daie’, gerakan dakwah termasuk institusi kerajaan dan bukan kerajaan yang terlibat dalam usaha mentarbiyah dan menta’dib masyarakat.

Penutup

Tanggungjawab atau mas’uliah dakwah terletak pada setiap individu Islam. Usaha dakwah ini tidak akan mendapat natijahnya secara optimum melainkan dilaksanakan secara berjamaah. Keberkesanan gerakan dakwah juga amat bergantung pada tahap pemikiran dan tasawwur sesuatu jemaah dan individu itu sendiri. Dalam konteks masyarakat moden hari ini dengan perkembangan teknologi, peredaran zaman dan masa serta fenomena globalisasi, tasawwur dakwah juga perlu seiring ditransformasikan terutamanya dalam mendepani isu pluraliti yang agak kompleks ini.

Tasawwur dakwah yang ingin penulis tekankan dalam artikel ringkas ini merujuk kepada transformasi pemikiran dan kefahaman menangani isu Islam dan pluraliti melalui konsep daulah al madaniyah, al Ukhuwat al Muwatinun, al Ukhuwat al Insaniyah dan dar al Da’wah. Penulis berpandangan dan yakin, dalam konteks masyarakat umpamanya di Malaysia, potensi dakwah yang lebih signifikan bakal diterima sekiranya ruang lingkup dan tasawwur yang dibincang di atas menjadi dasar kepada strategi dakwah. Semoga pandangan yang dilontarkan ini boleh dijadikan manfaat atau sekurang-kurangnya pencetus idea ke arah ‘tajdid haraki’ demi memartabatkan Islam di persada dunia.

Regards
Zulkifli Hasan
tariq ramadhan
Bersama Professor Tariq Ramadan di Kajang, Selangor

0 Comments

  1. Terbaik isi artikel ini.mohon share.

  2. ZAMZAM BT. ISA says:

    mohon share…syukran jaziilan….

Leave a Reply

SUBSCRIBE

Get the latest posts delivered to your mailbox:

Page Reader Press Enter to Read Page Content Out Loud Press Enter to Pause or Restart Reading Page Content Out Loud Press Enter to Stop Reading Page Content Out Loud Screen Reader Support