KEDUDUKAN KANAK-KANAK APABILA SALAH SEORANG IBU BAPA MEMELUK ISLAM MENURUT PERSPEKTIF UNDANG-UNDANG DAN SYARIAH

Economic, Social and Cultural Rights as Part of Human Rights
February 1, 2018
INTELLECTUAL REFORMATION
February 14, 2018
Economic, Social and Cultural Rights as Part of Human Rights
February 1, 2018
INTELLECTUAL REFORMATION
February 14, 2018
Show all

KEDUDUKAN KANAK-KANAK APABILA SALAH SEORANG IBU BAPA MEMELUK ISLAM MENURUT PERSPEKTIF UNDANG-UNDANG DAN SYARIAH

KEDUDUKAN KANAK-KANAK APABILA SALAH SEORANG IBU BAPA MEMELUK ISLAM MENURUT PERSPEKTIF UNDANG-UNDANG DAN SYARIAH

 

Dalam Kes Indira Gandhi a/p Mutho

Mahkamah Persekutuan Malaysia (Bidang Kuasa Rayuan) Civil Appeal 01 (f)-17-06/2016 (A) (Appeal no.17), Civil Appeal 01 (f)-18-06/2016 (A) (Appeal no.18), Civil Appeal 01 (f)-19-06/2016 (A) (Appeal no.19)

Disediakan oleh:

Fakulti Syariah dan Undang-undang dan

Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia USIM*

 

1.0 Latar Belakang Kes

 

Kes ini adalah mengenai kesahan pengeluaran Sijil Perakuan Memeluk Agama Islam kanak-kanak dari perkahwinan di bawah Akta Memperbaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 yang dimohon oleh bapanya yang telah memeluk agama Islam. Perayu, Indira Ghandi telah berkahwin dengan responden, Patmanathan secara perkahwinan sivil pada tahun 1993. Pada tahun Mac 2009, Patmanathan telah memeluk agama Islam. Pada April 2009, Patmanathan telah memohon hak jagaan sementara secara ​ex-parte dari Mahkamah Syariah bagi ketiga-tiga anak mereka dan kemudiannya mendapat hak jagaan penuh pada September 2009. Pada April 2009, Indira menerima dokumen yang menunjukkan bahawa tiga sijil Perakuan Memeluk Agama Islam telah dikeluarkan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Perak. Dokumen itu juga menunjukkan bahawa ketiga-tiga anaknya telah didaftarkan sebagai orang Islam oleh Pendaftar Mualaf. Pada bulan Jun 2009, Indira memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Ipoh. Sewaktu semakan kehakiman dibuat, anak-anak mereka Tevi Darsiny berumur 12 tahun, Karan Dinish berumjr 11 tahun, dan Prasana Diksa berumur 11 bulan.

 

Pada tahun 2010, Mahkamah Tinggi telah memutuskan hak penjagaan anak kepada Indira berpandukan perkara 8 Perlembagaan Malaysia. Keputusan ini telah diketepikan oleh Mahkamah Rayuan pada 2013 dengan merujuk kepada perkara 121 (1A) yang menyimpulkan bahawa isu penukaran agama kepada Islam sebagai sebahagian bidang kuasa Mahkamah Syariah. Mahkamah Syariah kemudiannya telah memutuskan hak penjagaan ketiga-tiga anak tersebut kepada Patmanathan. Indira telah merayu supaya kes ini dilihat semula dalam bidang kuasa Mahkamah Persekutuan. Indira telah mengemukakan rayuan terhadap Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Pendaftar Mualaf, Kerajaan Negeri Perak, Kementerian Pelajaran Malaysia, Kerajaan Malaysia dan Patmanathan A/L Krishnan.

 

2.0 Perspektif Undang-undang

 

Kes ini telah dikemukakan di Mahkamah Persekutuan yang terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Zainun Ali, Tan Sri Abu Samah Nordin dan Tan Sri Ramly Ali. ​Mahkamah Persekutuan secara sepakat telah memutuskan tiga persoalan undang-undang iaitu merangkumi (i) Kuasa Semakan Kehakiman; (ii) Pendaftaran Penukaran Agama Kepada Agama Islam; dan (iii) Izin Memeluk Agama Islam dari Ibu atau Bapa atau Penjaga.

 

 

2.1 Kuasa Semakan Kehakiman

 

Pihak perayu telah mempertikai kuasa pentadbiran yang digunakan oleh Pendaftar Mualaf berkenaan pendaftaran dan pengeluaran Sijil Penukaran Agama tiga orang anaknya. Mahkamah Persekutuan dalam kes ini perlu memutuskan samada Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa eksklusif (berdasarkan seksyen 23, 24 dan 25 dan Jadual Akta Mahkamah Kehakiman 1964 , dibaca sekali dengan Aturan 53 Kaedah-kaedah Mahkamah 2012) di bawah kuasa sedia ada mahkamah untuk membuat semakan kehakiman terhadap tindakan Pendaftar Mualaf sebagai badan awam berautoriti dalam melaksanakan tugas dibawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004.

 

Seksyen 50 (3) (b) (x) Enakmen ​Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 menyatakan bahawa Mahkamah Tinggi Syariah dalam bidang kuasa ​mal nya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu ialah orang Islam dan tindakan atau prosiding itu adalah berhubung dengan perisytiharan bahawa seseorang itu bukan lagi orang Islam. Walau bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan berpendapat bahawa peruntukan ini tidak terpakai dalam kes rayuan ini, kerana ia terhad kepada perisytiharan seseorang itu ‘bukan lagi Islam’, justeru menyatakan bahawa Mahkamah Rayuan telah terkhilaf dalam mengguna pakai peruntukan tersebut bagi tujuan memutuskan ‘conversion to Islam’.

 

Dalam hal ini Mahkamah Persekutuan menyatakan bahawa sungguhpun bidang kuasa Syariah telah dinyatakan dalam Senarai II (Senarai Negeri) Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, ia tidak memberikan mahkamah syariah bidang kuasa terus (automatic) terhadap semua perkara yang disenaraikan. Undang-undang negeri hendaklah menyatakan dengan jelas penerimaan perkara yang disenaraikan sebagai bidang kuasa mahkamah syariah. Mahkamah Persekutuan menekankan bahawa Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan memberikan ruang kepada kedua-dua Mahkamah Syariah dan Mahkamah sivil untuk beroperasi secara seiring dalam melaksanakan bidangkuasa masing-masing , dan ini termasuklah kuasa semakan kehakiman yang berada dalam kuasa sedia ada mahkamah sivil, tanpa mengira isu yang dibangkitkan (subject matter). Mahkamah persekutuan telah menyatakan dengan jelas bahawa kuasa semakan kehakiman adalah ciri-ciri penting Perlembagaan Persekutuan yang berada di bawah bidang kuasa mahkamah sivil, dan tidak boleh disingkir. Perkara 121 (1A) hendaklah ditafsirkan selari dengan prinsip asas perlembagaan dan kuasa sedia ada mahkamah sivil.

 

Oleh kerana perayu adalah seorang bukan Islam, beliau tidak mempunyai ​locus standi untuk berada di mahkamah syariah untuk mendengar permohonan perayu. Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa perkara ini berada dalam bidang kuasa mahkamah tinggi dan bukan mahkamah syariah. Mahkamah Persekutuan menyatakan bahawa dalam kes ini ia tidak melibatkan tafsiran undang-undang Islam tetapi isu yang lebih ‘prosaic’ iaitu kesahan tindakan pentadbiran yang dilakukan oleh Pendaftar Muallaf dalam melaksanakan kuasa statutori. Mahkamah telah menekankan bahawa perkara yang menjadi titik perbincangan ialah proses dan kesahan pendaftaran tersebut, dan bukanlah isu penukaran agama.

 

2.2.Pendaftaran Penukaran Agama Kepada Agama Islam

 

Mahkamah Persekutuan perlu memutuskan persoalan samada kanak-kanak yang belum mencapai umur 18 tahun atau perkahwinan sivil di bawah Akta Memperbaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 perlu memenuhi kedua-dua seksyen 96(1) dan 106(b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 sebelum Pendaftar Mualaf atau wakilnya boleh mendaftar penukaran agama Islam kanak-kanak tersebut.

 

Mahkamah Persekutuan menyatakan bahawa had kuasa bagi Pendaftar Mualaf telah ditentukan dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 yang mensyaratkan pematuhan kedua-dua seksyen tersebut. Seksyen 96(1) mensyaratkan kehendak-kehendak bagi pemelukan agama Islam seseorang iaitu:

 

  • orang itu mestilah mengucapkan dua kalimah Syahadah dalam bahasa Arab secara yang semunasabahnya jelas;

 

  • pada masa dia mengucap dua kalimah Syahadah itu, orang itu mestilah sedar bahawa kalimah itu bermakna “Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad S.A.W. ialah Pesuruh Allah”; dan
  • pengucapan itu mestilah dibuat dengan kerelaan hati orang itu sendiri.

 

Seksyen 106(b) pula mensyaratkan keupayaan untuk memeluk agama Islam bagi kanak-kanak yang belum mencapai umur lapan belas tahun, ibu atau bapa atau penjaganya mengizinkan secara bertulis pemelukan agama Islam olehnya.

 

Tanpa memenuhi kedua-dua keperluan seksyen tersebut, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa pengeluaran sijil perakuan memeluk agama Islam tersebut adalah tidak sah. Mahkamah Persekutuan menekankan bahawa sijil perakuan memeluk agama Islam yang dikeluarkan itu tidak boleh dijadikan bukti muktamad tentang fakta yang dinyatakan dalam perakuan itu seperti yang disebut dalam seksyen 101 (2) Enakmen tersebut, dan tidak boleh digunakan untuk mengenepikan bidang kuasa eksklusif Mahkamah Tinggi untuk semakan kehakiman. Dalam kes rayuan ini, Mahkamah Persekutuan menekankan bahawa ia tidak membincangkan mengenai fakta pemelukan agama Islam tetapi kesahan perakuan dan pendaftaran.

 

2.3 Izin Memeluk Agama Islam dari Ibu atau Bapa atau Penjaga

 

Dalam persoalan ketiga, Mahkamah Persekutuan perlu memutuskan samada kedua-dua ibu bapa yang masih hidup perlu memberikan izin sebelum sijil perakuan memeluk agama Islam dikeluarkan bagi kanak-kanak yang lahir dari sebuah perkahwinan sivil. Perbincangan pokok dalam hal ini ialah tafsiran Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan iaitu izin Ibu dan bapa atau salah seorang sahaja (penggunaan perkataan ‘parent’ dalam versi bahasa inggeris). Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa, bagi maksud hak berkenaan pendidikan agama seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya.

 

Mahkamah Persekutuan mengambil ingatan bahawa tafsiran terhadap hak-hak asasi dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dibuat secara literal. Dalam hal pendidikan agama kanak-kanak, pertimbangan utama harus diberi kepada kebajikan mereka dan keadaan menyeluruh kes. Mahkamah berpendapat bahawa isu penukaran agama adalah sebuah isu yang besar yang boleh memberikan impak terhadap kanak-kanak tersebut. Justeru, tidakan membenarkan kanak-kanak menukar agama tanpa kebenaran kedua-dua ibu dan bapa akan menimbulkan isu dan berlawanan dengan kepentingan yang terbaik bagi anak. Mahkamah juga merujuk kepada kesaksamaan hak bagi kedua ibu dan bapa seperti yang diperuntukkan dalam Akta Penjagaan Budak 1961.

 

Mahkamah telah mengambil pendekatan tafsiran secara menyeluruh (​purposive) yang memberi maksud keperluan terhadap keizinan dari kedua ibu dan bapa dengan mengambil kira panduan tafsiran dalam Jadual Kesebelas Perlembagaan Persekutuan dan kesaksamaan hak bagi kedua ibu dan bapa seperti yang diperuntukkan dalam Akta Penjagaan Budak 1961 seperti yang dinyatakan.

 

3.0       Perspektif Syariah

 

Bahagian ini akan menjelaskan isu fiqh yang berkaitan dengan isu hak hadanah atau penjagaan kanak-kanak apabila salah seorang ibu bapa memeluk Islam menurut fiqh Islam dalam kes ini. Umumnya, terdapat pandangan yang berbeza oleh para fuqaha mengenai perkara ini. Ini menunjukkan secara jelas bahawa isu ini adalah termasuk dalam perkara ijtihadi.

 

3.1       Pandangan Mazhab Fiqh

 

Berikut adalah pandangan ulama-ulama mazhab fiqh berkaitan hak hadanah atau penjagaan kanak-kanak apabila salah seorang ibu bapa memeluk Islam.

 

Mazhab Shaficiyy

 

Pandangan Imam al-Nawawiyy:

 

Imam al-Nawawiyy (T.th) menyebut dalam kitab “al-Majmuc”:

ولا تثبت الحضانة لمعتوه، وهو ناقص العقل، ولا لمجنون لأنه لا يصلح للحصانة، ولا تثبت الحضانة لفاسق لأنه لا يؤمن أن ينشأ الطفل على منزعه. وإن كان أحد الأبوين مسلما فالولد مسلم، ولا تثبت عليه الحضانة للكافر.

Maksudnya, “Tidak sabit hak penjagaan kanak-kanak kepada orang mactuh (tidak waras) kerana dia kurang akal, juga (tidak sabit hadanah) kepada orang yang gila kerana dia tidak layak untuk hak penjagaan. Tidak sabit juga hak penjagaan kanak-kanak bagi orang fasik kerana tidak ada jaminan keselamatan yang kanak-kanak itu akan membesar mengikut perangainya. Sekiranya salah seorang ibu bapa tersebut adalah seorang yang beragama Islam, maka kanak-kanak tersebut adalah beragama Islam, dan tidak sabit hak penjagaan kanak-kanak tersebut bagi orang kafir”.

 

Pandangan Imam al-cImraniyy:

 

Imam al-cImraniyy (2000) menjelaskan dalam kitabnya “al-Bayan Fi Madhhab al-Imam al-Shaficiyy”:

ولا تثبت الحضانة لفاسق؛ لأنه لا يؤمن أن ينشئ الولد على طريقته. وإن كان أحد الأبوين مسلما، فالولد للمسلم، ولا تثبت عليه الحضانة للكافر.

Maksudnya, “Tidak sabit hak penjagaan anak bagi orang fasik, kerana tidak ada jaminan keselamatan yang kanak-kanak itu akan membesar mengikut caranya. Sekiranya salah seorang daripada ibu bapa itu adalah beragama Islam, maka anak tersebut diberikan kepada yang beragama Islam, dan tidak sabit hak penjagaan kepada orang kafir”.

 

Mazhab Hanafiyy

 

Pandangan Imam al-Kasaniyy:

 

Imam al-Kasaniyy (1986) berkata dalam kitab (Bada’ic al-Sana’ic Fi Tartib al-Shara’ic):

وأهل الذمة في هذه الحضانة بمنزلة أهل الإسلام؛ لأن هذا الحق إنما يثبت نظرا للصغير، وأنه لا يختلف بالإسلام والكفر، وكذا اتحاد الدين ليس بشرط لثبوت هذا الحق حتى لو كانت الحاضنة كتابية والولد مسلم، كانت فى الحضانة كالمسلمة، كذا ذكر فى الأصل لما قلناه، وكان أبو بكر أحمد بن علي الرازي يقول: إنها أحق بالصغير والصغيرة حتى يعقلا، فإذا عقلا سقط حقها، لأنها تعودهما أخلاق الكفرة وفيه ضرر عليهما.

Maksudnya, “Ahli dhimmah (non muslim yang berada di negara Islam) dalam isu hak penjagaan adalah sama seperti orang Islam, kerana hak penjagaan itu sabit dengan melihatkan kepada kanak-kanak tersebut. Hak penjagaan itu tidak berbeza dengan sebab Islam dan kekufuran. Begitu juga agama yang sama (antara ibu dan anak) bukanlah menjadi syarat untuk mendapatkan hak penjagaan, sekalipun penjaga itu seorang ahli kitab dan anak itu pula seorang Islam. Penjaga itu (perempuan kafir) dalam hak penjagaan adalah seperti seorang Muslimah, sepertimana yang telah disebutkan pada asalnya bagi apa yang telah kami katakan. Abu Bakar Ahmad Bin cAliyy al-Raziyy berkata, “Ibu penjaga (yang kafir) lebih berhak terhadap kanak-kanak lelaki dan perempuan sehinggalah kedua kanak-kanak tersebut berakal (baligh). Apabila mereka telah sempurna akal (baligh), maka gugurlah hak penjagaan bagi perempuan tersebut, kerana penjaga tersebut akan membawa kedua kanak-kanak tersebut kepada akhlak kekufuran dan ia merupakan kemudaratan kepada kanak-kanak tersebut”.

 

Pandangan Imam Ibn cAbidin:

 

Imam Ibn cAbidin (1992) menyatakan dalam kitabnya “Radd al-Muhtar cAla al-Durr al-Mukhtar”:

(تثبت للأم) النَّسَبِيَّةِ (وَلَوْ) كِتَابِيَّةً، أَوْ مَجُوسِيَّةً أَوْ (بَعْدَ الْفُرْقَةِ) (إلَّا أَنْ تَكُونَ مُرْتَدَّةً) فَحَتَّى تُسْلِمَ لِأَنَّهَا تُحْبَسُ (أَوْ فَاجِرَةً) فُجُورًا يَضِيعُ الْوَلَدُ بِهِ كَزِنًا وَغِنَاءٍ وَسَرِقَةٍ وَنِيَاحَةٍ كَمَا فِي الْبَحْرِ وَالنَّهْرِ بَحْثًا.

 

Maksudnya, “(Sabit hak penjagaan bagi ibu) iaitu ibu nasab, (walaupun) ibu itu seorang ahli kitab atau majusi atau (selepas perceraian) (kecuali sekiranya ibu itu murtad) sehinggalah dia menjadi muslimah kembali kerana dia akan ditahan (atau si ibu seorang yang jahat) yang mana kejahatannya boleh menyebabkan si anak terbiar seperti berzina, nyanyian, mencuri dan ratapan ketika kematian seperti yang dibahaskan dalam kitab “Bahr al-Ra’iq” dan kitab “Nahr al-Fa’iq”. Ibnu cAbidin (1992) berkata lagi:

لأن الشفقة لا تختلف باختلاف الدين.

Maksudnya, “Kerana belas kasihan itu tidak berbeza dengan berbezanya agama”.

 

Mazhab Malikiyy

 

Pandangan Imam al-Zarqaniyy:

 

Imam al-Zarqaniyy (T.th) menjelaskan dalam kitabnya “Sharh al-Zarqaniyy cAla Mukhtasar Sayyidi Khalil”:

(وحضانة الذكر للبلوغ والأنثى كالنفقة للأم) ولو كافرة.

Maksudnya, “(Hak penjagaan bagi kanak-kanak lelaki sehingga mereka telah baligh dan hak penjagaan perempuan seperti memberi nafakah adalah bagi hak ibu) walaupun ibu itu seorang kafir”.

 

Begitu juga perkara yang sama dinyatakan oleh imam al-Dususqiyy (T.th) dalam kitabnya “Hasyiat al-Dususqiyy cAla al-Sharh al-Kabir”.

 

Mazhab Hanbaliyy

 

Pandangan Imam al-Buhutiyy:

 

Imam al-Buhutiyy (T.th) berkata dalam kitabnya “Kashshaf al-Qinac cAn Matn al-Iqnac”:

(وَلَا) حَضَانَةَ أَيْضًا (لِكَافِرٍ عَلَى مُسْلِمٍ) بَلْ ضَرَرُهُ أَعْظَمُ؛ لِأَنَّهُ يَفْتِنُهُ عَنْ دِينِهِ وَيُخْرِجُهُ عَنْ الْإِسْلَام بِتَعْلِيمِهِ الْكُفْرَ وَتَرْبِيَتِهِ عَلَيْهِ، وَفِي ذَلِكَ كُلِّهِ ضَرَرٌ.

Maksudnya, “(Tidak ada) penjagaan juga (bagi orang kafir ke atas kanak-kanak Islam). Bahkan kemudaratannya lebih besar kerana ia akan memberi fitnah daripada agamanya dan mengeluarkannya daripada agama Islam, dengan cara mengajarnya dan mendidiknya dengan kekufuran. Perkarayang demikian itu kesemuanya merupakan kemudaratan”.

 

Pandangan Imam Ibn Qudamah:

 

Imam Ibn Qudamah (1994) menjelaskan dalam kitabnya “al-Kafiyy Fi Fiqh al-Imam Ahmad”:

ولا حضانة لرقيق، لعجزه عنها بخدمة المولى، ولا لمعتوه، لعجزه عنها، ولا لفاسق؛ لأنه لا يوفي الحضانة حقها، ولا حظ للولد في حضانته؛ لأنه ينشأ على طريقته، ولا لكافر على مسلم كذلك.

Maksudnya, “Tidak ada hak penjagaan kepada hamba kerana dia tidak mampu disebabkan dia berkhidmat kepada tuannya. Tidak (ada hak penjagaan) kepada orang kurang waras kerana dia tidak mampu. Tidak (ada hak penjagaan) kepada orang fasik kerana dia tidak dapat menyempurnakan hak penjagaan dan kanak-kanak di bawah jagaannya tidak bernasib baik kerana si anak akan membesar dengan caranya (si fasik). Begitu juga tidak (ada hak penjagaan) kepada orang kafir ke atas orang Islam”.

 

Fatwa-Fatwa Kontemporari

 

Berikut adalah fatwa-fatwa kontemporari berkaitan hak hadanah kanak-kanak apabila salah seorang ibu bapa memeluk Islam:

 

Pandangan Dr. cAbd al-Latif al-Farfur:

 

Dr. cAbd al-Latif al-Farfur (1992) dalam kitabnya “Fatawa Wa Qadaya Fiqhiyyah Mucasirah” berkata:

أما إسلام الحضانة فليس شرطا في استحقاق الحضانة، لأن شفقة الأم الطبيعية لا يؤثر عليها اختلاف دينها عن دين الصغير، وتكون أحق بحضانته، إلا إذا خيف عليه أن يتأثر بحضانتها أو أن يتعود تناول المحرمات الإسلامية؛ فتكون كالفاجرة غير الأمينة على الصغير .

Maksudnya, “Islamnya penjaga bukanlah syarat dalam hak penjagaan kanak-kanak, kerana belas kasihan ibu biologi tidak terkesan ke atasnya dengan perbezaan agamanya (si ibu) dengan agama kanak-kanak tersebut. Ia menjadikan ibu itu lebih berhak dengan penjagaannya (kanak-kanak tersebut), kecuali jika ditakuti ke atasnya akan memberi kesan dengan penjagaannya atau kanak-kanak itu diberi makan yang haram dalam Islam, maka si ibu umpama orang yang jahat lagi tidak beramanah ke atas penjagaan si anak”.

 

Pandangan Dr. cAbd al-Rahman bin Hasan al-Nafisah:

 

Dr. cAbd al-Rahman bin Hasan al-Nafisah (2005) menjelaskan dalam artikelnya yang diterbitkan dalam “Majallat al-Buhuth al-Fiqhiyyah al-Mucasirah”:

ولعل الصواب -والله أعلم- ما ورد في مذهب الإمامين أبي حنيفة ومالك جواز حضانة الأم غير المسلمة لأن الأثار التي وردت دلت على أن طبيعة الأم (مسلمة أو غير مسلمة) في الشفقة على ولدها ورعايته في صغره تفوق ورعاية أبيه. ولكن هذا لا يعني بأي حال إغفال حق الأب في ولده فالأم ليست أكثر قدرة منه عندما يتجاوز مرحلة الصغر فعندما يتجاوز هذه المرحلة يدرك الأشياء يميزها فإن كانت أمه مسلمة وجب أن يكون عند أبيه لتربيته وتعليمه وإن كانت أمه غير مسلمة (وهذا أساس المسألة) فيخشى عليه بعد بلوغ هذه السن أن يألف دينها فوجب أن يكون عند أبيه.

Maksudnya, “Mudah-mudahan pandangan yang tepat -Allah lebih Mengetahui- adalah apa yang disebut dalam mazhab imam Abu Hanifah dan Malik yang membenarkan hak penjagaan kepada ibu bukan Islam. Hal ini kerana athar yang ada menunjukkan bahawa tabiat seorang ibu (sama ada dia seorang Islam atau tidak) dalam perasaan kasih sayang kepada anak-anaknya dan penjagaan mereka melebihi ayah mereka. Tetapi ini tidak menafikan hak bapa pada anak-anaknya. Si ibu tidaklah melebihi kekuatan si ayah apabila si anak melepasi tahap kanak-kanak. Apabila si anak melepasi tahap kanak-kanak, dia dapat mengetahui banak perkara dan membezakannya. Sekiranya si ibu adalah muslimah, wajib si anak berada bersama si ayah untuk pendidikannya. Sekiranya si ibu bukan muslimah (dan ini asas masalah), dibimbangi selepas baligh si anak akan terbiasa dengan agamanya. Oleh itu, wajib si anak bersama si ayah”.

 

Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan

 

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-87 yang bersidang pada 23-25 Jun 2009 telah membincangkan Status Agama Anak Bawah Umur Selepas Salah Seorang Pasangan Memeluk Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

 

Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa di dalam Islam, Jumhur Ulama telah bersepakat bahawa apabila salah seorang ibu atau bapa memeluk Islam, agama anak di bawah umur juga adalah Islam dan penjagaan anak hendaklah diletakkan di bawah ibu atau bapa yang beragama Islam.

 

Oleh yang demikian, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa apabila salah seorang pasangan (ibu atau bapa) memeluk agama Islam, status agama bagi anak bawah umur pasangan tersebut adalah secara langsung beragama Islam. Muzakarah juga bersetuju memutuskan supaya Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa agama seseorang yang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapa atau penjaganya tidak perlu dipinda.

 

Keputusan Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak Negeri Pahang

 

Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak Negeri Pahang Kali Ke-(Mesyuarat Khas) pada 25 Julai 2009 memutuskan:

 

Apabila salah seorang ibu atau bapa memeluk Islam, agama anak dibawah umur juga adalah Islam dan penjagaan anak hendaklah diletakkan di bawah ibu atau bapa yang beragama Islam.

 

Oleh yang demikian, apabila salah seorang pasangan (ibu atau bapa ) memeluk agama Islam, status agama bagi anak bawah umur adalah secara langsung beragama Islam. Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa agama seseorang yang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapa penjaganya tidak perlu dipinda.

 

4.0       Pandangan dan Cadangan Penyelesaian

 

4.1 Syor dari Perspektif Fiqh

 

Daripada pembentangan pandangan ulama-ulama mazhab fiqh berkenaan hak penjagaan anak apabila salah seorang ibu bapa memeluk Islam dapat disimpulkan bahawa:

 

  1. Ulama mazhab Shaficiyy dan Hanbaliyy mensyaratkan penjaga si anak adalah seorang Islam. Ibu bapa yang bukan Islam tidak ada hak penjagaan anak kerana tidak boleh diserahkan wilayah (pengurusan) anak kepada bukan Islam. Hal ini kerana dibimbangi ibu atau bapa yang bukan Islam mempengaruhi agama si anak.
  2. Ulama Hanafiyy dan Malikiyy tidak mensyaratkan penjaga si anak adalah seorang Islam. Dibolehkan penjaga si anak seorang yang bukan Islam sama ada ibu atau selainnya.
  • Menurut Wahbah al-Zuhailiyy (T.th), ulama mazhab Hanafiyy dan Malikiyy membenarkan ibu atau bapa yang bukan Islam untuk menjaga anak setakat umur mumayyiz. Apabila anak mencapai umur mumayyiz, atau didapati anak itu terjejas akidahnya di bawah jagaan ibu/bapa yang bukan Islam walaupun sebelum umur mumayyiz, maka anak itu hendaklah diserahkan kepada penjaga yang Islam.

 

Setelah pembentangan fakta dan pandangan ulama serta ulama kontemporari, berikut ialah syor mengenai isu ini dari sudut fiqh:

 

  1. Adab al-Ikhtilaf (Adab Perbezaan Pandangan): Terdapat perbezaan pandangan dalam isu ini di kalangan mazhab fiqh. Mana-mana orang Islam dinasihatkan agar tidak mengeluarkan kenyataan yang menyalahkan dan menyesatkan mana-mana pandangan mazhab fiqh Islam;

 

  1. Memelihara Akidah: Dari segi pandangan fiqh, pandangan yang mensyaratkan Islamnya penjaga si anak sama ada ibu atau bapa adalah lebih tepat dalam menjaga akidah anak;

 

  • Fiqh, Realiti dan Kedudukan Undang-undang: Untuk memutuskan hukum fiqh dalam isu M Indira Gandhi dan Riduan Abdullah tidak wajar sekadar melihat kepada sudut fiqh sahaja, tetapi juga perlu melihat dan mengambil kira realiti dan undang-undang yang berkuatkuasa di Malaysia. Sehubungan itu, satu kajian komprehensif perlu dibuat untuk mengkaji dan menganalisa isu ini bukan sahaja dari sudut fiqh tetapi juga realiti dan undang-undang. Dalam penghakiman kes ​Izwan Abdullah v Deepa Subramaniam pada 2016 Mahkamah Persekutuan telah memberikan hak jagaan salah seorang anak kepada pihak yang memeluk islam selepas memberi peluang anak-anak menyatakan pandangan masing-masing. Mahkamah pada ketika itu telah memutuskan jika pihak-pihak berkahwin di bawah Akta membaharui Undang-Undang (Pekahwinan dan Perceraian)1976, maka Mahkamah Sivil mempunyai bidangkuasa untuk memutuskan kes hak jagaan anak walau pun sebelah pihak telah memeluk Islam. Ruang lingkup kesejahteraan kanak-kanak itu tidak seharusnya terbatas pada agama walaupun agama adalah penting untuk dipertimbangkan. Sebaliknya, mahkamah harus melihat faktor-faktor lain yang akan memberi kesejahteraan kepada anak-anak yang terbaik, seperti keupayaan penjaga untuk membesarkan anak;

 

  1. Kepentingan Mengkanunkan Hukum Fiqh yang Sesuai: Hukum fiqh pada dasarnya perlu dihormati dan diikuti oleh umat Islam serta dihormati oleh bukan Islam. Namun, pada zaman sekarang, khususnya di Malaysia yang memerlukan hukum fiqh dikanunkan untuk tujuan kuatkuasa, maka pihak berkuasa agama perlu berusaha dalam memastikan pengkanunan hukum hakam fiqh. Hal ini kerana dalam urusan yang melibatkan pertikaian di mahkamah, sesuatu perkara yang dikanunkan lebih kuat berbanding perkara yang tidak dikanunkan; dan

 

  1. Memartabatkan Mahkamah Syariah: Memandangkan di Malaysia terdapat dua jenis undang-undang iaitu undang-undang Syariah dan undang-undang sivil, maka perlu mekanisme yang jitu untuk mengharmonikannya bagi memastikan Islam dan undang-undang Syariah juga dipandang tinggi dan dihormati.

 

4.2       Syor Dari Aspek Undang-undang

 

Berdasarkan kepada alasan penghakiman dan kedudukan undang-undang mengenai isu ini, tidak dapat dinafikan ia akan memberikan implikasi yang signifikan kepada Mahkamah Syariah. Ini memerlukan kepada tindakan dan inisiatif secara menyeluruh bagi memastikan kemaslahatan semua dapat dilindungi dan dipertahankan demi keadilan dan kebenaran. Berikut ialah syor yang difikirkan sesuai dan berhikmah bersesuaian dengan ruang lingkup undang-undang di Malaysia.

 

  1. Pindaan Undang-undang Tubuh Negeri: Penghakiman kes ini telah menzahirkan keperluan bagi undang-undang tubuh negeri menyatakan dengan jelas kuasa Mahkamah Syariah seperti yang disenaraikan dalam Senarai Negeri, Perlembagaan Persekutuan. Ini adalah untuk mengelak pelbagai tafsiran yang akan menjejaskan kedudukan Mahkamah Syariah. Penghakiman kes-kes terdahulu seperti Soon Singh a/l Bikar Singh v Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kedah & Anor [1999] 1 MLJ 489, Latifah Mat Zin v Rosmawati bt. Shariban & Anor [2007] 5 MLJ 101, telah menunjukkan kesukaran mentafsir kuasa penuh mahkamah syariah tanpa peruntukan yang jelas dalam undang-undang negeri. Berdasarkan kes Latifah Mat Zin v Rosmawati bt. Shariban & Anor yang turut dirujuk oleh penghakiman ini, ia menyatakan bahawa mahkamah syariah tidak wujud selagi undang-undang negeri tidak memperuntukkan undang-undang yang memberi kesan tersebut secara jelas, berbanding kedudukan mahkamah sivil yang sudah disebut dalam Perlembagaan Persekutuan dari awal. Risiko yang dihadapi oleh mahkamah syariah ialah ia boleh dianggap sebagai bertaraf mahkamah rendah, setaraf dengan mahkamah sesyen dan majistret. Justeru, mahkamah Syariah tidak boleh bergantung kepada interpretasi undang-undang sebagai mempunyai kuasa secara rujukan (by inference or by implication) kepada enakmen negeri berkaitan, tetapi perlu diberikan kedudukan yang kukuh dengan mengisytiharkannya melalui penggubalan undang-undang oleh kerajaan negeri berdasarkan Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan. Pindaan undang-undang tubuh negeri dalam hal ini adalah penting selari dengan hasrat pengenalan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa mahkamah Syariah.
  2. Pindaan Enakmen Pentadbiran Islam Perak: Dengan merujuk kepada pandangan ulama (*seperti yang dihuraikan di atas), dicadangkan supaya pindaan terhadap Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 dilakukan dengan memasukkan persetujuan kedua-dua pihak ibu dan bapa bagi pemelukan agama Islam seseorang yang belum mencapai umur lapan belas tahun. Peruntukan seperti ini dalam enakmen pentadbiran agama Islam negeri telah dilakukan oleh negeri Selangor iaitu dalam seksyen 117, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003. Undang-undang yang digariskan oleh negeri-negeri hendaklah dipatuhi bagi mengelak pertikaian pentadbiran yang boleh menimbulkan semakan kehakiman yang berada dalam bidang kuasa mahkamah sivil.

 

  • Membenarkan Orang Bukan Islam Hadir di Mahkamah Syariah sebagai Pihak-pihak: Undang-undang perlu memberikan kelonggaran bagi membenarkan orang bukan Islam hadir di mahkamah syariah sebagai pihak -pihak supaya kehendak dan keperluan kedua-dua belah pihak dapat didengari oleh hakim. Hal ini boleh mengurangkan geseran di antara pihak-pihak yang bertikai, membantu mahkamah syariah dalam memahami keperluan pihak-pihak dan meningkatkan kepercayaan dan keyakinan pihak-pihak terhadap mahkamah syariah.

 

  1. Mahkamah Rayuan Syariah: Dalam perkara-perkara yang melibatkan persoalan syariah atau mahkamah syariah, dicadangkan supaya dibenarkan penglibatan Ketua Hakim Mahkamah Syariah dalam komposisi Mahkamah Rayuan dan membenarkan juga sebaliknya penglibatan hakim mahkamah sivil di mahkamah syariah dalam hal-hal yang sama. Penglibatan sebegini membolehkan kepentingan pihak-pihak orang Islam dan bukan Islam terpelihara di dalam kedua-dua mahkamah. Dengan cara ini, ia memberi lebih makna terhadap kewujudan seiring (co-existence) kedua-dua entiti ini dalam pentadbiran sistem keadilan negara.

 

  1. Prosedur Kepatuhan Sebelum Masuk Islam: Bagi menjaga keharmonian masyarakat, dicadangkan supaya negeri-negeri menetapkan prosedur sebelum mendaftar perakuan memeluk agama Islam, termasuklah mendapatkan persetujuan mengenai agama anak dan hak penjagaan anak melalui mekanisma yang dipersetujui pihak-pihak seperti perbincangan pihak-pihak atau mediasi.

 

RUJUKAN

 

cAbd al-Latif al-Farfur. 2006. Fatawa Wa Qadaya Fiqhiyyah Mucasirah. T.tp: Dar al-Maktabiyy.

cAbd al-Rahman bin Hasan al-Nafisah. 2005. Majallat al-Buhuth al-Fiqhiyyah al-Mucasirah. Vol 45-48. Saudi Arabia: T.pt.

al-Buhutiyy, Mansur bin Yunus bin Idris. T.th. Kashshaf al-Qinac cAn Matn al-Iqnac Li al-Hijawiyy. Jil. 5. Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-cArabiyy.

al-Dususqiyy, Muhammad bin Ahmad bin cArafah. T.th. Hasyiat al-Dususqiyy cAla al-Sharh al-Kabir. T.tp: Dar al-Fikr.

Ibn cAbidin, Muhammad Amin bin cUmar bin cAbd al-cAziz. 1992. Radd al-Muhtar cAla al-Durr al-Mukhtar. Jil. 5. Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-cArabiyy.

al-cImraniyy, Abu Husayn Yahya bin Abi al-Khayr Salim al-Yamaniyy. 2000. al-Bayan Fi Madhhab al-Imam al-Shaficiyy. Jil. 11. Jedah: Dar al-Minhaj.

John Sydenham Furnivall. 1957. Colonial Policy and Practice: A Comparative Study of Burma And Netherlands India. Cambridge: Cambridge University Press.

al-Kasaniyy, Ala’ al-Din Abu Bakr bin Mascud. 1986. Bada’ic al-Sana’ic Fi Tartib al-Shara’ic. Jil. 5. T.tp: Dar al-Kutub al-cIlmiyyah.

al-Nawawiyy, Abu Zakariyya Muhy al-Din bin Sharaf. T.th. Kitab al-Majmuc Sharh al-Muhadhdhab Li al-Shiraziyy. Jil. 20. Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-cArabiyy.

Wahbah al-Zuhailiyy. T.th. Al-Fiqh al-Islamiyy Wa Adillatuh. Dimashq: Dar al-Fikr.

al-Zarqaniyy, cAbd al-Baqiyy bin Yusuf bin Ahmad bin Muhammad. T.th. Sharh al-Zarqaniyy cAla Mukhtasar Sayyidi Khalil. Jil. 4. Beirut: Dar al-Kutub al-cIlmiyyah.

 

Internet

Bernama. 26 Februari 2016. “19 Mei Dengar Rayuan Pertukaran Agama Anak”. BH Online. https://www.bharian.com.my/node/128301 (Diakses pada 5 Februari 2018).

Bernama. 29 Januari 2018. “Penghakiman Bersejarah: Persetujuan Kedua Ibi Bapa Perlu Bagi Penukaran Agama Anak Kepada Islam”. Astro AWANI. http://www.astroawani.com/berita-malaysia/penghakiman-bersejarah-persetujuan-kedua-ibu-bapa-perlu-bagi-penukaran-agama-anak-kepada-islam-166895 (Diakses pada 5 Februari 2018).

Tan Yi Liang. 6 Januari 2016. “Indira Gandhi akan Bawa Kes ke Mahkamah Persekutuan”. mStar online. http://www.mstar.com.my/berita/berita-mahkamah/2016/01/06/indira-gandhi-bawa-kes-mahkamah-persekutuan/ (Diakses pada 5 Februari 2018).

Status Agama Anak Bawah Umur Selepas Salah Seorang Pasangan Memeluk Islam. 2009. http://www.islam.gov.my/images/ePenerbitan/KOMPILASI_MUZAKARAH_MKI_2016.pdf (Diakses pada 7 Februari 2018).

Status Agama Anak Bawah Umur 18 Tahun Selepas Salah Seorang Pasangan Memeluk Agama Islam. http://mufti.pahang.gov.my/index.php/perkhidmatan/bahagian-fatwa/keputusan-fatwa/26-keputusan-fatwa-2009/92-status-agama-anak-bawah-umur-18-tahun-selepas-salah-seorang-pasangan-memeluk-agama-islam (Diakses pada 7 Februari 2018).

* Artikel ringkas ini disediakan oleh pasukan penyelidik Institut Pengurusan Dan Penyelidikan Sedunia (INFAD) yang terdiri daripada Prof. Madya Dr. Irwan bin Mohd Subri, Ubaidah Muhammad bin Zulkarnain, Muhammad Farid Wajdi bin Abdul Rahim, Muhammad Nasiruddin bin Asman dan Fakulti Syariah dan Undang-undang, USIM iaitu Dr Norfadhilah Mohd Ali, Profesor Madya Dr Zulkifli Hasan, Dr. Arif Fahmi Md Yusof Dr. Ahmad Shukran Baharuddin. Pandangan ini dikeluarkan adalah hasil daripada Muzakarah yang telah diadakan pada 2 Februari 2018 / 17 Jamadil Awwal 1439H di Fakulti Syariah dan Undang-undang, USIM.

 

Leave a Reply

SUBSCRIBE

Get the latest posts delivered to your mailbox:

Page Reader Press Enter to Read Page Content Out Loud Press Enter to Pause or Restart Reading Page Content Out Loud Press Enter to Stop Reading Page Content Out Loud Screen Reader Support