
The Financial Industry Needs to Start Planning for the Next 50 Years, Not the Next Five
February 22, 2018
KAPITALISME, PASARAN SENJATA DAN KRISIS
March 5, 2018Children Without A study of Urban Child Poverty and Deprivation in Low-cost Flats in Kuala Lumpur
Kemiskinan dan Realiti
Selesai membaca Children Without A study of Urban Child Poverty and Deprivation in Low-cost Flats in Kuala Lumpur oleh UNICEF. Ia sememangnya realiti yang perlu diterima. Kita tidak perlu penafian kerajaan dan mana-mana pihak tetapi terus segera merancang dan melaksanakan program untuk menyelesaikan isu ini secara menyeluruh. Pengalaman ABIM dan ABIM Negeri, kami telah memulakan sejak lama beberapa program di flat-flat merangkumi bantuan bekalan dapur mahupun program pendidikan untuk anak-anak termasuk ibubapa. Melihat sendiri masalah dan kepayahan serta isu pendidikan yang melingkari kehidupan mereka. Saya sendiri menerima panggilan daripada ibubapa ini memohon bantuan dan ia akan meningkat luar biasa apabila tiba musim buka sekolah dan hari raya. Akan ada yang datang ke pejabat memohon bantuan dan sebagainya walaupun tahu kami hanya NGO.
Dalam keadaan ini, kami menyaksikan ada juga keluarga yang susah ini tetapi anak-anak semuanya berjaya melanjutkan pengajian di universiti dan kami boleh nyatakan ciri-ciri keluarga ini dan laporan UNICEF ini seumpama mengiyakan perkara ini. Kami juga mendapati begitu ramai anak-anak yang tidak pergi ke sekolah dengan pelbagai faktor yang boleh dikaji dengan lebih mendalam untuk menyelesaikannya.
Namun, sebagai NGO yang terhad sumbernya dan sumber manusianya, sumbangan kami juga adalah terhad dan menghadapi pelbagai cabaran. Kami mendapat ihsan badan korporat dan individu yang tidak menentu dan sentiasa pasang surut. Kesemua aktivis juga adalah hanya sukarelawan dan tidak dapat menumpukan sepenuh masa untuk perkara ini. Kami juga ada institusi pendidikan, kemanusiaan, pencerahan dan agenda lain yang perlu diteruskan yang sudah menjadi DNA sebagai sebuah gerakan dakwah.
Maka, sesungguhnya KERAJAAN lah yang perlu mengambil tanggungjawab ini secara serius dengan menggerakkan jentera pelaksana sesegera mungkin bagi melaksanakan penyelesaian jangka pendek dan panjang. Ini bukan masanya untuk berdolak dalik dan memberi alasan. Walaupun pusat zakat juga perlu memainkan peranan tetapi kerajaan lah yang perlu menerajui memacu perubahan ini. Pelbagai cukai termasuk GST kenaikan harga minyak pastinya menuntut kerajaan untuk lebih lagi dipertanggungjawabkan.
Maka dengan ini, saya menganjurkan untuk kita memperdebatkan dan mewacanakan isu ini dengan menyeluruh dan intensif. Jadikan ia antara isu PRU14. Wacana baru kemiskinan….
#wacanabarukemiskinan
#PRU14sejahterarakyat
15 Jamadilakhir 1439h.