KOMPENDIUM MAQASID AL-SHARI’AH RUJUKAN PENTING ASAS MEMAHAMI ISTILAH DAN PERKEMBANGAN MAQASID AL-SHARI’AH

Toward A Global Islamic Finance Standard
March 28, 2018
Ijtihad Politik PRU14
April 18, 2018
Toward A Global Islamic Finance Standard
March 28, 2018
Ijtihad Politik PRU14
April 18, 2018
Show all

KOMPENDIUM MAQASID AL-SHARI’AH RUJUKAN PENTING ASAS MEMAHAMI ISTILAH DAN PERKEMBANGAN MAQASID AL-SHARI’AH

KOMPENDIUM MAQASID AL-SHARI’AH RUJUKAN PENTING ASAS MEMAHAMI ISTILAH DAN PERKEMBANGAN MAQASID AL-SHARI’AH

Wacana Maqasid al-Shari’ah kini telah mendapat tempat di kalangan masyarakat dan semakin giatdibicarakan oleh pelbagai pihak. Umumnya, banyak karya mengenai Maqasid al-Shari’ah telah diterbitkan di seluruh dunia termasuk terjemahannya juga kian meningkat dan mudah didapati di pasaran. Di Malaysia, pelbagai kajian berkaitan Maqasid al-Shari’ah telah dijalankan dan penerbitan juga semakin rancak menambahkan lagi rujukan sedia ada yang boleh dimanfaatkan. Dalam konteks negeri Selangor, D.Y.M.M. Sultan Selangor sendiri telah menyatakan kepentingan Maqasid al-Shari’ah dan pelaksanaannya kepada dasar-dasar negeri Selangor dalam Titah Diraja Di Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Ketiga Belas Tahun 2015, 30 Mac 2015 Bersamaan 9 Jamadilakhir 1436h).

 

Seiring dengan semangat titah diraja tersebut, IDE juga telah menubuhkan Unit Kajian Maqasid al-Shari’ah dengan objektif utama untuk membantu kerajaan Negeri Selangor mengaplikasikan Maqasid al-Shari’ah dalam perumusan dan pelaksanaan dasar-dasar pentadbirannya; dan meratakan kesedaran tentangnya di kalangan pelbagai lapisan rakyat: pembuat dasar, pentadbir, pendidik, pemimpin masyarakat dan massa rakyat. Menerusi inisiatif dan usaha berterusan unit kajian Maqasid al-Shari’ah IDE, beberapa program dan aktiviti keilmuan telah dilaksanakan termasuk menerbitkan karya asli dan terjemahan berkualiti tinggi secara sistematik yang boleh memberi manfaat kepada ramai pihak.

 

Berdasarkan kepada rujukan dan penerbitan Maqasid al-Shari’ah yang ada di pasaran, mahu tidak mahu kita perlu memahami dan menyedari bahawa masih ramai pihak yang masih tidak memahami atau kurang arif mengenainya. Ini bukan bermakna Maqasid al-Shari’ah adalah disiplin ilmu yang sukar untuk difahami tetapi ia lebih menjurus kepada penguasaan, kemampuan dan kefahaman asas memahami istilah-istilah tertentu berkaitan. Bersandarkan kepada perkara ini, IDE telah memulakan inisiatif sejak awal 2017 untuk menerbitkan sebuah Kompendium yang boleh membantu orang awam memahami istilah-istilah Maqasid al-Shari’ah dengan baik. Kompendium Maqasid al-Shari’ah yang diterbitkan ini memberikan penjelasan kepada makna dan definisi istilah-istilah terpilih beserta dengan contoh dan penerangan. Kompendium Maqasid al-Shari’ah ini mempunyai ciri-ciri seperti kamus tetapi lebih komperehensif dan ia juga hampir menyamai Ensiklopedia tetapi tidak terlalu terperinci.

 

Bagi memastikan Kompendium ini menepati piawaian akademik yang sewajarnya, penyelidik IDE telah merujuk dan membuat perbandingan dengan kamus, mu’jam, kompendium dan kitab-kitab berkaitan dengan Maqasid al-Shari’ah untuk bagi menghasilkan kandungannya yang menyeluruh dan tepat. Setakat yang diketahui, kamus khas Maqasid al-Shari’ah telah diterbitkan pada 2017 oleh al-Furqan Islamic Heritage Foundation berjudul Dictionary of Maqasid Terms. Projek menerbitkan Kompendium Maqasid al-Shari’ah ini telah dimulakan lebih awal daripada terbitan al-Furqan Islamic Heritage Foundation. Kompendium ini telah melalui proses penilaian yang komperehensif menerusi penilai profesional yang mahir dan pakar dari sudut fiqh dan juga telah mendapat khidmat dan pandangan dari Dewan Bahasa dan Pustaka termasuk pakar bahasa.

Berbanding dengan Dictionary of Maqasid Terms, Kompendium ini mempunyai keunikan yang tersendiri malahan bukan sahaja memuatkan istilah-istilah utama Maqasid al-Shari’ah tetapi memberikan pengetahuan umum yang signifikan mengenai karangan dan karya utama, tokoh-tokoh utama terdahulu dan kontemporari termasuk sejarah ringkas perkembangan ilmu Maqasid al-Shari’ah. Kesemua istilah utama Maqasid al-Shari’ah yang dipilih diberikan penjelasan dari sudut definisi atau takrif, penerangan berserta dengan contoh kontemporari bersesuaian. Kompendium Maqasid al-Shari’ah ini adalah bersifat menyeluruh dan mudah untuk difahami dan ini membuatkan ia sangat sesuai dirujuk bukan sahaja oleh pihak yang mengkaji secara khusus Maqasid al-Shari’ah tetapi juga masyarakat umum dan orang awam. Kompendium ini boleh membantu para pembaca untuk mendapatkan maklumat yang ingin dicari bagi memudahkan proses kefahaman, pembelajaran, pengajaran, penyelidikan dan sebagainya. Kompendium Maqasid al-Shari’ah ini juga diterbitkan dalam dua bentuk iaitu versi bergambar berserta info grafik dan versi tidak bergambar. Versi bergambar yang diwarnai dengan info grafik ini pastinya akan memberi nilai tambah dan menarik minat orang ramai terutamanya golongan generasi muda.

Melihat kepada trend dan perkembangan wacana Maqasid al-Shari’ah, didapati wujudnya perbincangan dan perbahasan mengenainya yang tidak bersandarkan kepada kerangka ilmu yang kemas dan tepat sehinggakan ia boleh menjustifikasikan hukum yang telah disepakati. Wacana sebegini sebenarnya membuka kepada fitnah dan tohmahan kepada disiplin ilmu Maqasid al-Shari’ah itu sendiri apabila ia dibahaskan menerusi metodologi dan kaedah yang salah. Oleh itu, sebarang perbahasan dan kupasan mengenai Maqasid al-Shari’ah perlu dibuat menerusi kaedah dan kerangka yang tepat bersandarkan kepada disiplin ilmu yang dibangunkan oleh ilmuwan dan sarjana Maqasid al-Shari’ah. Kompendium Maqasid al-Shari’ah ini adalah sebahagian daripada usaha kecil untuk menyediakan kefahaman asas secara sistematik ke arah memahami Maqasid al-Shari’ah dengan lebih baik.

 

Dengan keunikan dan kelebihan yang ada, Kompendium Maqasid al-Shari’ah ini mesti dimiliki oleh perpustakaan, institusi, organisasi, badan kerajaan dan bukan kerajaan termasuk setiap individu sebagai koleksi peribadi. Kompendium Maqasid al-Shari’ah ini akan dapat memberi panduan dari aspek kefahaman asas menerusi pengenalan dan penerangan istilah-istilah Maqasid al-Shari’ah termasuk sejarah ringkas dan tokoh-tokoh Maqasid yang sangat signifikan untuk semua. Perlu diingatkan juga, dengan hanya membaca Kompendium Maqasid al-Shari’ah ini adalah tidak memadai untuk mendalami Maqasid al-Shari’ah. Pembaca perlu merujuk dengan lebih lanjut karya-karya penting Maqasid al-Shari’ah bagi mendalami dan memahami disiplin ilmu Maqasid dengan lebih baik dan meluas.

 

Leave a Reply

SUBSCRIBE

Get the latest posts delivered to your mailbox:

Page Reader Press Enter to Read Page Content Out Loud Press Enter to Pause or Restart Reading Page Content Out Loud Press Enter to Stop Reading Page Content Out Loud Screen Reader Support