Warkah Kepada YAB-YAB dan YB-YB

Universiti Bernaratif Baru
June 7, 2018
Fiqh al Nasr (Fiqh Kemenangan)
July 3, 2018
Universiti Bernaratif Baru
June 7, 2018
Fiqh al Nasr (Fiqh Kemenangan)
July 3, 2018

Assalamualaikum wbt dan Selamat Sejahtera,

Kepada YAB-YAB dan YB-YB,

Salam sejahtera dan setinggi tahniah atas kemenangan dalam PRU14 yang merekodkan detik penuh bersejarah kepada Negara. Kini sudah lebih sebulan PRU14 berlalu dan sesungguhnya rakyat sangat mendambakan naratif baru pimpinan politik Malaysia khususnya dari aspek karakter,personaliti dan kerangka pemikiran yang segar ke arah Malaysia yang lebih progresif dan dinamik.

Izinkan saya mengutarakan harapan dan aspirasi naratif baru kepada YAB-YAB dan YB-YB sebagai salah seorang pengundi PRU14 yang meletakkan HARAPAN tinggi kepada pimpinan politik Malaysia khususnya kabinet yang sebahagiannya telah dibentuk dalam bulan mulia Ramadhan al Mubarak 1439H yang lalu.

10 Naratif Lama dan Harapan Naratif Baru

1. Pemimpin bukan lagi bermegah dengan gelaran YB (Yang Berhormat) tetapi kini perlu lebih mendengar dan mengambil peduli hal ehwal rakyat sebagai YB (Yang Berkhidmat) dengan penuh integriti dan amanah serta sayangilah rakyat seluruhnya;

2. Pemimpin janganlah bersifat sombong dan angkuh dengan kuasa dan kedudukan tetapi berusahalah untuk berpewatakan mulia merendah diri, berfikiran terbuka dan mesra rakyat tidak kira perbezaan politik dan ideologi;

3. Pemimpin janganlah menggunakan kedudukan dan keistimewaan untuk kepentingan diri atau membenarkan pihak lain mempergunakan pengaruh yang ada tetapi sedaya upaya berusaha untuk menjalankan amanah dan berlaku adil kepada semua secara berhikmah;

4. Pemimpin janganlah ghairah menampakkan dan menjalani gaya kehidupan penuh kemewahan tetapi tunjukkanlah tauladan kepada rakyat hidup bersederhana dan berwasatiyah sesuai dengan uruf dan keadaan;

5. Pemimpin janganlah mengabaikan atau mengambil remeh suara dan pandangan rakyat serta hanya mendengar daripada sebelah pihak tetapi bersifat terbukalah untuk bersedia, mesra dan ramah mendengar idea, pandangan, keluhan dan aduan rakyat secara berhemah;

6. Pemimpin janganlah terlalu mudah melabel dan ada sikap memandang rendah kemampuan mana-mana lapisan masyarakat serta sewenang-wenangnya menggunakan kuasa membuat sekatan, tetapi raikanlah pandangan mereka secara adil dan menghargai kepelbagaian;

7. Pemimpin janganlah sesekali bersikap biadap, bermulut hodoh dan celupar tetapi pertontonkanlah akhlak mulia dan sentiasalah berfikir sebelum berkata-kata;

8. Pemimpin janganlah nampak mesra bersama rakyat secara bermusim beraksi ala-ala pro-rakyat di depan kamera, tetapi turunlah ke akar umbi mendengar masalah rakyat dan mengambil kisah denyut nadi rakyat secara ikhlas dan berterusan;

9. Pemimpin janganlah terlalu obses dan gemar mengadakan majlis keramaian yang cenderung dengan pembaziran tetapi berhemahlah dan menghargai setiap wang yang diperolehi kerajaan hasil keringat rakyat; dan

10. Pemimpin janganlah berhenti dan malu untuk terus belajar tetapi persiapkanlah diri dengan ilmu dan fakta dan banyakkanlah membaca bersedia untuk idea disaingi dan berwacana memberikan pencerahan kepada rakyat.

Rakyat sebenarnya faham dan realistik bukan mendambakan kesempurnaan YAB-YAB dan YB-YB tetapi sangat menghargai naratif baru akhlak dan tauladan serta amanah yang baik dipertontonkan kepada rakyat. Rakyat mahukan perubahan yang menyeluruh dan meletakkan ‘Harapan’ yang tinggi kepada pimpinan baru yang menerajui Malaysia.

Mendoakan Malaysia dengan wajah dan naratif baru akan terus aman, makmur dan diberkati.

Sekian terima kasih.

SEREMBAN

2 Comments

  1. Jaafar bin Muhammad says:

    الحمد الله
    Naratif yg sangat mendidik ahli-ahli YAB dan YB. Perlu juga disediakan naratif untuk rakyat Malaysia Baru.
    Saya dapat lihat dan rasakan Dr. Zulkifli Hasan boleh menyediakannya.

  2. caispa says:

    Thanks a lot! Plenty of material!custom writing

Leave a Reply

SUBSCRIBE

Get the latest posts delivered to your mailbox:

Page Reader Press Enter to Read Page Content Out Loud Press Enter to Pause or Restart Reading Page Content Out Loud Press Enter to Stop Reading Page Content Out Loud Screen Reader Support