YB TMA Santuni Warga Sandakan, Tampil Di Ramadan Jazz 2.0

Dewan Negara Lulus RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025
March 25, 2025
GABUNGAN BINA SEMULA SYRIA (GBSS) LANCAR KEMPEN PERHEBAT USAHA BANTUAN KEMANUSIAAN
March 27, 2025
Dewan Negara Lulus RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025
March 25, 2025
GABUNGAN BINA SEMULA SYRIA (GBSS) LANCAR KEMPEN PERHEBAT USAHA BANTUAN KEMANUSIAAN
March 27, 2025
Show all

YB TMA Santuni Warga Sandakan, Tampil Di Ramadan Jazz 2.0

“Mimpi adalah kunci
Untuk kita menaklukkan dunia
Berlarilah tanpa lelah
Sampai engkau meraihnya…”

Urusan kerja selama 3 hari di Sabah, Negeri di Bawah Bayu.

Menerima jemputan, menghadiri “Sungkai Bersama Opick” di Restoran Sandokan Seafood, Sandakan. Majlis berbuka puasa yang meriah dan ceria. Ramai tetamu yang hadir memeriahkan lagi suasana. Saya baru mengenali secara lebih dekat figura bernama Opick; yang terkenal sebagai pendakwah yang menggunakan medium seni untuk menyampaikan mesej ketuhanan dan kebaikan.

Paling menarik perhatian saya adalah persembahan oleh anak-anak kecil yang mengiringi Opick secara penuh harmoni. Lagu “Laskar Pelangi” nyanyian anak-anak ini memang sedap dan menusuk jiwa. Majlis diselangi dengan tazkirah oleh al-Fadhil Ustaz Ghazali Ibrahim; dan dimudahcarakan oleh Afad Raihan. Terima kasih Datuk Md Afendi Hamdan dan semua sahabat di Sandakan, atas jemputan.

Menghadiri program Ramadan Jazz 2.0 di Harbour Square, Sandakan yang indah. Seperti tahun lepas yang turut saya hadiri, program khas ini menggabungkan pengisian dengan selawat, tazkirah, kuliah, solat berjemaah, ziarah kasih, nasyid, berbuka puasa, Solat Sunat Tarawih, Solat Sunat Witir termasuk persembahan khas lagu-lagu ketuhanan dan kerohanian oleh pemuzik jemputan dan tempatan.

Semua hadirin berbuka puasa dan menunaikan solat Isyak dan sunat Tarawih di kawasan dataran berhampiran pemandangan laut yang indah. Di bawah inisiatif #MadaniMembantu, saya turut menyampaikan sedikit bantuan kepada penerima yang memerlukan. Turut diadakan sesi pengagihan bubur lambuk dan pemberian bantuan kepada asnaf, di bawah inisiatif #MadaniMembantu.

Tahniah kepada penganjur, Datuk Mohd Afendi (pemilik The Elopura Hotel), USIA, YADIM Sabah, ABIM Sandakan dan semua agensi yang terlibat melaksanakan Ramadan Jazz 2.0. Terima kasih kepada pihak penganjur dan semua jawatankuasa yang terlibat dalam program yang cukup cemerlang ini.

Saya hadir ke Sekolah Kebangsaan Sri Tanjung Papat 1 dan 2 untuk merasmi program Penyerahan Beg Sekolah kepada 200 murid. Terima kasih kepada penyumbang budiman yang memberikan sedikit kegembiraan kepada anak-anak, melalui inisiatif #MadaniMembantu ini.

Seronok betul dapat beramah mesra dan bertanya khabar dengan anak-anak yang comel, baik lagi cerdas di sini. Semuanya ceria dan bersemangat, dinaungi langit Ramadan di bumi Borneo, yang damai lagi mendamaikan. Apatah lagi apabila mendapat beg baharu yang cantik dan berkualiti.

Mendoakan kesemuanya berjaya dan cemerlang dunia akhirat, insya-Allah. Terus fokus beramal dan berbuat kebaikan sedayanya.

Saya meneruskan acara dengan menyantuni warga dan pesakit di Duchess of Kent Hospital, Sandakan, Sabah. Dengan inisiatif #MadaniMembantu, saya sampaikan sedikit sumbangan dan beramah mesra dengan warga hospital dan beberapa pesakit dan keluarga. Mendoakan moga semuanya diberi kesembuhan, kesihatan dan dipermudahkan segala urusan, insya-Allah.

Di Sabah, saya turut memenuhi undangan untuk merasmikan Surau Nur Iman dan Kelas Tahfiz Al-Fateh di Institut Penjara Sandakan. Saya kagum dengan program yang dilaksanakan di sini. Kelas Tahfiz Al-Fateh akan melahirkan para huffaz dalam kalangan prospek (banduan) di sini.

Kelas Tahfiz sebenarnya sudah dilaksanakan di beberapa penjara di Malaysia dan telah menunjukkan kejayaan. Penjara Sandakan memulakan inisiatif ini bermula tahun ini. Saya tegaskan bahawa Kelas Tahfiz ini boleh memberi peluang kepada para prospek dalam mendalami pengajian hafazan Al-Quran.

Rasa tenang dan kagum dengan kelunakan para prospek dalam mengalunkan ayat suci Al-Quran selain persembahan nasyid oleh kumpulan ‘Az Zahra’ yang cukup jitu dan meyakinkan. Sudah tentu banyak dugaan ketika mendekam di balik tirai besi.

Justeru, diharapkan agar dengan asas dan minat terhadap ilmu agama serta kecintaan terhadap isi kandungan Al-Quran, dapat mendidik jiwa para prospek untuk menjadi hamba Allah Subhanahu wa-Ta’ala yang beriman dan beramal soleh, insya-Allah.

Di bawah inisiatif #MadaniMembantu, turut sampaikan sumbangan daripada YADIM Sabah. Hadir sama, wakil pimpinan USIA, YADIM Sabah dan ABIM Sandakan. Terima kasih kepada Penolong Komisioner Penjara (PKP) Tuan Muhammad Khalid bin Muhammad, Pengarah Penjara Sandakan dan pihak penjara yang sudi menerima kunjungan kami.

Antara program saya ketika Lawatan Kerja 3 Hari ke Sandakan adalah Ziarah Kasih Madani bersama-sama murid KAFA dan ibu bapa. Dalam program penuh bermakna di Masjid At-Taqwa Taman Merpati dan Rajawali ini, saya titipkan sedikit sumbangan daripada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Sabah. Syukur, dapat meraikan anak-anak kelas KAFA dan menyampaikan sedikit sumbangan kepada keluarga dan murid-murid.

Meneruskan lagi program dengan Ziarah Kasih Madani – bergotong royong menyediakan bubur lambuk, bersama warga PPR Jalan Lintas Sibuga, Sandakan. Bukan sahaja orang Islam, tetapi rakan-rakan bukan Muslim juga turut hadir memeriahkan acara. Suasana penuh harmoni dan damai; terbaik sahabat-sahabat Borneo.

Alhamdulillah, sempat tunaikan Solat Subuh Macam Jumaat di Masjid Wasatiyah Batu Sapi, Sandakan. Ramai yang hadir solat Subuh berjemaah di masjid ini. Sejuk hati melihat anak-anak muda Sabah juga ramai yang datang ke masjid walaupun hujung minggu. Beri sedikit sumbangan – sebagai galakan kepada mereka untuk terus terpaut hati dengan masjid.

Saya sempat merasmikan Wacana Madani di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Juhar, Sandakan. Ramai pelajar yang hadir terdiri daripada Tingkatan 5 dan 6. Saya tegaskan bahawa gagasan Malaysia MADANI konsisten dalam menyuburkan sifat ihsan, peduli dan kasih sayang setiap masyarakat, selain mampu mewujudkan keharmonian serta kesejahteraan sejagat. Syukur, walau dalam bulan Ramadan, penyertaan tetap terbaik dan maklumbalas juga sangat bagus.

Alhamdulillah, Solat Subuh Macam Jumaat; bersama-sama warga kota Sandakan – di Masjid Jamek Syeikh Hasabollah At-Tohiri. Antara masjid tertua di Sabah yang telah dibina sejak tahun 1887. Almarhum Buya Hamka pernah menjejakkan kaki di sini sebanyak dua kali.

Kami berjalan kaki beramai-ramai dari penginapan ke Masjid setelah sahur berjemaah. Seronok melihat ramai anak muda yang hadir solat Subuh berjemaah di Masjid ini. Saya sampaikan sedikit hadiah kepada anak-anak yang hadir sambil berikan pesanan dan nasihat. Suasana tenang, indah dan damai, dengan tiupan bayu laut yang membahagiakan.

Alhamdulillah, dalam jadual kerja yang sangat padat di Sandakan, Sabah, sempat meninjau Kampung Tanjung Aru yang sangat unik. Umpama menelusuri ‘Venice’, di tengah pulau di antara sungai di kiri dan kanan ada penempatan penduduk dengan rumah pelbagai warna dan rekabentuk.

Kampung ini ada tarikan tersendiri – dengan hidupan seperti kunang-kunang dan Monyet Belanda (monyet berhidung besar dan berperut buncit). Majoriti penduduk bekerja sebagai nelayan dan ada juga petani. Makanan laut di sini adalah murah dan pelbagai.

Suasana indah dan mempesonakan. Merancang bersama agensi berkaitan untuk mempergiatkan aktiviti dan program kemasyarakatan di sini; bagi menaik dan meningkatkan pendidikan khususnya pengetahuan agama penduduk di sini.

Madani terus bekerja. Fastabiqul khairat! 💪

Doakan Islam terus subur, mekar dan terjamin di bumi Malaysia.

🤲🇲🇾

#MadaniBekerja
#MadaniMembantu
#SebarkanSalam #KitaKawan

Leave a Reply

SUBSCRIBE

Get the latest posts delivered to your mailbox:

Page Reader Press Enter to Read Page Content Out Loud Press Enter to Pause or Restart Reading Page Content Out Loud Press Enter to Stop Reading Page Content Out Loud Screen Reader Support