Jelajah YB TMA di Negeri Di Bawah Bayu, Menyantuni Warga Sabah

Kunjungan Hormat & Perbincangan Bersama Timbalan Menteri KPWKM
July 3, 2025
Penghormatan Besar – PMX Sampaikan Syarahan Umum Di Universiti Sorbonne, Perancis
July 5, 2025
Kunjungan Hormat & Perbincangan Bersama Timbalan Menteri KPWKM
July 3, 2025
Penghormatan Besar – PMX Sampaikan Syarahan Umum Di Universiti Sorbonne, Perancis
July 5, 2025
Show all

Jelajah YB TMA di Negeri Di Bawah Bayu, Menyantuni Warga Sabah

Alhamdulillah, selamat sampai di Negeri Di Bawah Bayu. Jadual penuh dan padat sepanjang urusan di sini. Menyantuni warga Sabah yang budiman dan baik hati, belajar untuk lebih memahami denyut nadi rakyat terbanyak. Lawatan kerja di Sabah kali ini, bermula pada 3 hingga 6 Julai 2025, insya-Allah.

Saya mulakan dengan Wacana dan Dialog Minda Madani di Institut Perguruan Guru (IPG) Kampus Kent, Tuaran, Sabah. Ramai yang hadir dan dialog berjalan dengan penuh interaktif. Saya tegaskan bahawa warga pendidik masa kini perlu menguasai semua elemen teknologi dan pada masa yang sama dibimbing oleh nilai-nilai Malaysia Madani’.

Dialog ini mengangkat agenda Malaysia Madani, khususnya dalam aspek pembangunan nilai, integriti dan pendidikan karakter. Dalam program anjuran YADIM Negeri Sabah itu, saya jelaskan bahawa Malaysia Madani bukan sekadar slogan pentadbiran, tetapi satu pendekatan holistik yang menekankan nilai keadilan, ihsan, ilmu, hormat dan kemampanan dalam setiap aspek kehidupan bernegara.

Saya katakan bahawa, “Golongan pendidik merupakan pemacu utama dalam menjayakan kerangka Malaysia Madani. Sekiranya guru menghayati nilai-nilai ini dan menerapkannya dalam bilik darjah, maka kita sedang menyemai benih sebuah masyarakat yang lebih adil, sejahtera dan berdaya tahan.”

Pelbagai isu semasa disentuh dalam sesi dilog tersebut seperti peranan institusi pendidikan dalam menangani cabaran moral generasi muda, kepentingan pendidikan Islam yang progresif, serta keperluan sinergi antara agensi kerajaan dalam membentuk masyarakat Madani.

Banyak soalan yang diajukan pelajar-pelajar. Semuanya bagus-bagus belaka. Tahniah YADIM dan IPGM Kampus Kent!

Hadir sama dalam program ini ialah Pengarah YADIM Negeri Sabah, Ustaz Mohd Tabi’in Sahri, Timbalan Pengarah IPG Kampus Kent, Pengurus Negeri YAPEIM Sabah serta pimpinan badan bukan kerajaan Islam tempatan.

Kami meneruskan acara dengan singgah di Home Tuaran Rumah Anak Yatim dan Maahad Tahfiz. Menarik model Home Tuaran ini yang boleh diaplikasikan di tempat-tempat lain. Home Tuaran ini betul-betul berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu.

Kagum dengan usaha dan inisiatif yang dilaksanakan. Mendoakan usaha ini berjaya dengan cemerlang dan memberi manfaat sebaiknya.

Singgah sebentar di Pusat Islam Politeknik Kota Kinabalu, Sabah untuk solat Jumaat. Kemudian singgah lagi di sebuah masjid yang hampir siap dibina. Sahabat saya, Profesor Abdullah Bade dan komuniti di sini yang mengusahakan projek ini. Moga diberkati usaha dan amal, insya-Allah.

Bahagia dapat turut serta dalam Forum Hubbul Watan Maal Hijrah 1447H, di Tuaran, Sabah. Alhamdulillah, ramai yang hadir. Soalan-soalan diajukan hadirin juga mencabar dan bernas. Nabi Sallallahu ‘alayhi wa-sallam sangat mencintai tempat lahir Baginda iaitu Makkah.

Ini berdasarkan kepada hadith: Daripada Ibn Abbas Radiyallahu ‘anhu, bahawa Nabi Sallallahu ‘alayhi wa-sallam berkata pada Makkah:

مَا أَطْيَبَكِ مِنْ بَلَدٍ، وَأَحَبَّكِ إِلَيَّ، وَلَوْلَا أَنَّ قَوْمِي أَخْرَجُونِي مِنْكِ مَا سَكَنْتُ غَيْرَكِ

Maksudnya: “Alangkah baiknya dirimu wahai Makkah dan betapa cintanya diriku terhadapmu, seandainya kaumku tidak mengeluarkanku darimu, nescaya aku tidak akan tinggal selain daripadamu.”

[Riwayat al-Tirmizi (3926)][Hadith ini dinilai hasan sahih gharib oleh Imam al-Tirmizi]

Majoriti ulama berpandangan hadith ini masih boleh diqiyaskan kepada tanah air seseorang. Apabila jiwa kita semua ditanam dengan semangat kecintaan kepada negara, maka akan lahirlah masyarakat yang harmoni, bersatu padu dan patriotik.

Saya nyatakan bahawa pemerkasaan institusi kekeluargaan perlu dijadikan agenda bersama semua pihak dalam usaha membina sebuah negara yang aman dan sejahtera. Kejayaan misi berterusan itu menuntut kerjasama pelbagai kementerian dan agensi berkaitan.

Saya tegaskan bahawa antara fokus utama yang digariskan termasuk menangani serta mencegah normalisasi kemaksiatan, selain membendung isu sosial semasa khususnya melibatkan generasi muda.

Saya jelaskan, “Pada peringkat Hal Ehwal Agama, pelbagai agensi di bawah kementerian ini telah memainkan peranan penting dari aspek pendidikan, tarbiah, dakwah dan pembangunan namun kami melihat isu ini perlu ditangani secara lebih holistik dan menyeluruh serta memerlukan kerjasama semua pihak agar dapat ditangani semula dengan berkesan.”

Madani terus bekerja. Fastabiqul khairat! 💪

Doakan Islam terus subur, mekar dan terjamin di bumi Malaysia.

🤲🇲🇾

#MadaniBekerja
#MadaniMembantu
#SebarkanSalam #KitaKawan
#PelanAlFalah #KalimahTayyibah

Leave a Reply

SUBSCRIBE

Get the latest posts delivered to your mailbox:

Page Reader Press Enter to Read Page Content Out Loud Press Enter to Pause or Restart Reading Page Content Out Loud Press Enter to Stop Reading Page Content Out Loud Screen Reader Support