Menjaga Imej Islam Sebahagian Daripada Maqasid Shariah

Menjaga Imej Islam Sebahagian Daripada Maqasid Shariah

Zulkifli Hasan

Merenung situasi politik di Malaysia di mana Pemimpin bermasalah kini sentiasa cuba dilihat lebih Islamik selalu kelihatan bersama ulama di majlis-majlis maulid dan sebagainya menimbulkan beberapa persoalan. Sehinggakan menimbulkan gambaran kepada umum bahawa ada agamawan yang redha akan keadaan ini. Lebih merumitkan keadaan apabila Islam itu seakan digambarkan sebagai agama yang berkompromi dengan kebatilan atau dilihat sebagai alat untuk pemimpin bermasalah berlindung dan mendapat ‘legitimacy’ sokongan Umum.

Ini mengingatkan kepada ungkapan Sheikh Abdullah Ben Bayyah
من مقاصد الشريعة تحسين صورة الإسلام
“Sebahagian maqasid syariah adalah menjaga kecantikan imej Islam”.

Prinsip menjaga imej Islam ini adalah sebahagian daripada tuntutan maqasid Syariah. Oleh itu, adalah menjadi satu persoalan yang sangat signifikan untuk kita renungi apabila membenarkan pemimpin bermasalah untuk berselindung disebalik simbol agama. Ini bukan sahaja menimbulkan persepsi buruk pada agamawan disekelilingnya malahan memburukkan imej Islam itu sendiri. Kebatilan yang jelas juga seakan didiamkan sehinggakan ada juga cuba untuk menjustifikasikannya atas nama ketuanan Melayu atau memelihara status agama persekutuan. Ini semua sama sekali tidak menepati maqasid menjaga dan memelihara imej Islam kerana ia akan memburukkan lagi persepsi umum kepada Islam.

Jika kita begitu marah dengan ISIS yang tidak mewakili Islam dan memburukkan imej Islam, kita juga perlu bangkit untuk menegur dan mencegah mana-mana pemimpin bermasalah yang mencemarkan imej Islam itu sendiri. Kebatilan yang jelas seperti rasuah dan guna kuasa termasuk penipuan dan mungkir janji sama sekali tidak boleh dikompromi. Sebarang usaha untuk menjustifikasikannya atas nama Islam dan bangsa bukan satu perkara yang boleh diterima bahkan dianggap sebagai satu pengkhianatan kepada amanah ilmu.

Islam itu agama yang membawa rahmat ke sekalian alam. Namun, hari ini kita boleh lihat Islam itu tidak digambarkan sebagai sesuatu yang rahmat. Fenomena bisu dengan kebatilan yang jelas di depan mata memburukkan lagi imej Islam itu sendiri. Mengembalikan semula imej Islam itu sebagai agama yang menjunjung kebenaran menegakkan keadilan dan mencegah kemungkaran adalah amanah untuk kita semua. Amanah dan taklif untuk menegur dan menasihat pemimpin adalah satu tuntutan akidah dan jihad. Sesungguhnya antara jihad yang paling utama adalah berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim.

SUBSCRIBE

Get the latest posts delivered to your mailbox:

Page Reader Press Enter to Read Page Content Out Loud Press Enter to Pause or Restart Reading Page Content Out Loud Press Enter to Stop Reading Page Content Out Loud Screen Reader Support