Memahami Maslahah dan Mafsadah TPPA
Zulkifli Hasan
Ada golongan Pro-TPPA beranggapan pihak Anti-TPPA sebagai cenderung kepada ideologi yang anti ‘free trade’. Pihak anti-TPPA juga ada yang beranggapan golongan Pro-TPPA sebagai beriman dengan ideologi perdagangan Bebas. Umumnya TPPA bukanlah benar-benar ‘free trade’ tetapi ‘managed trade’. Sememangnya TPPA ada maslahah Dan ada mafsadahnya. Oleh kerana TPPA adalah free trade yang bersifat ‘managed trade’ maka perasaan bimbang dengan mafsadah berbanding maslahah begitu ketara.
Dengan begitu banyak kajian dan laporan termasuk ‘impact assessment’ menambahkan lagi kebimbangan. Laporan dan kajian yang pro-TPPA pula hanya bersifat ekslusif cenderung kepada satu dimensi iaitu dari aspek ‘trade’ sedangkan impak TPPA adalah ‘beyond trade’. TPPA perlu dilihat dari sudut yang lebih luas termasuk hak asasi, budaya, sosial, politik, agama dan lain-lain. Menghadiri diskusi dan dialog dengan pelbagai ngo, kerajaan, dan pakar termasuk meneliti pandangan sarjana ekonomi dunia seperti Joseph Stiglitz, Paul Krugman dan Jomo Sundram mengiyakan bahawa mafsadah TPPA bukan spekulasi tetapi ‘real’.
Kes-kes ISDS sebelum ini majoritinya membuktikan bahawa negara akan terdedah dengan ‘liabilities’ yang bakal memberi mafsadah yang lebih besar. Dengan kelemahan dan kecelaruan pentadbiran negara ditambah dengan pelbagai isu integriti menimbulkan persoalan kemampuan untuk mendepani cabaran TPPA.
Peristiwa gelap tergadainya Pulau Batu Putih menambahkan lagi kebimbangan ini apabila negara bukan lagi berdepan dengan Singapura tetapi Amerika Syarikat dan gergasi korporat yang saiz ‘market capitalization’nya adalah lebih besar daripada kemampuan sebuah negara. Dengan kemampuan dan kualiti segelintir menteri-menteri yang kadangkala melucukan dalam masa yang sama memualkan meningkatkan lagi kerisauan ini. Apa yang lebih merisaukan ialah gejala rasuah dan bodek tahap dewa yang semakin membarah boleh sahaja menambahkan ancaman kepada negara.
Kesemua ini seharusnya diambil kira oleh rakyat Malaysia khususnya kepada ahli parlimen yang bakal menentukan nasib dan masa depan negara. Fikirkanlah secara berhikmah masa depan generasi akan datang. Telitilah setiap aspek kesan maslahah dan mafsadah TPPA kepada semua. Mungkin kali ini sahaja rakyat masih menaruh harapan pada pemimpinnya walaupun sering kali diperdaya dan dicapati segala janji-janjinya.