Penguasaan Ilmu Pengajian Masa Depan ‘Future Studies’ dan Kebangkitan Islam

A cause for optimism for the future of Islamic finance
November 29, 2017
The Evolution of the Palestine Problem and the Status of Jerusalem: Force of Law or Law of Force?
December 9, 2017
Show all

Penguasaan Ilmu Pengajian Masa Depan ‘Future Studies’ dan Kebangkitan Islam

Penguasaan Ilmu Pengajian Masa Depan ‘Future Studies’ dan Kebangkitan Islam

Dunia Islam terus diuji dengan pelbagai cabaran dan permasalahan sama ada dari sudut politik, ekonomi, sosial mahupun budaya. Krisis yang berlaku di dunia Islam seperti di Mesir, Tunisia, Libya, Syria, Iraq,Palestine, Yaman, Myanmar dan banyak lagi negara seakan-akan membenarkan pandangan Bernard Lewis, sejarawan Amerika di dalam bukunya The Crisis of Islam. Dalam keadaan dunia yang penuh mencabar ini dari sudut politik, dunia Islam terus dibelenggu dengan kemunduran ekonomi dan krisis pembangunan. Pelbagai laporan antarabangsa seperti World Development Indicators, Democracy Index, World Governance Indicators, Corruption Perception Index, Global Competitiveness Index, OIC Economic Outlook dan banyak lagi yang telah merekodkan status negara-negara Islam yang terkebelakang dalam segenap sudut. Ini membuktikan realiti yang mesti didepani dan diatasi oleh dunia Islam.

Krisis yang melanda bukan sahaja berlaku di dunia Islam yang mundur dari sudut ekonomi tetapi merangkumi politik, sosial dan fahaman. Sebagai sebuah negara Islam yang dianggap stabil dan maju dari sudut politik dan ekonomi, Turki juga menerima ujian yang sangat getir. Peristiwa cubaan rampasan kuasa oleh tentera dipercayai didalangi oleh sebuah gerakan Islam jelas menunjukkan bahawa cabaran yang dihadapi dunia Islam kini memasuki tahap yang begitu getir. Musuh Islam yang cuba untuk menggagalkan misi islah kini bukan hanya beroperasi dari luar tetapi kini ia bergerak dari dalam, malahan dikhuatiri ada yang menggunakan nama Islam dan mendakwa sebagai gerakan Islam. Dunia lslam juga menghadapi konflik baru melibatkan Arab Saudi, Qatar, Iran, UAE  Yaman dan Lebanon, pengeboman dan pembunuhan yang mengerikan di Mesir dan terkini pengisytiharan Jerusalem sebagai ibunegara Israel oleh Donald Trump terus menambah duka lara umat.

Dunia hari ini juga penuh dengan prejudis kepada Islam. Islamofobia dan persepsi negatif terhadap Islam berlaku di mana-mana di dunia. Bukan itu sahaja, pelbagai fahaman dan pemikiran kini menular dalam masyarakat seperti pemikiran liberal, atheist dan banyak lagi isme-isme yang boleh mengancam kefahaman dan kesucian akidah. Keadaan ini disulitkan lagi dengan pertelingkahan antara salafi dan sufi, sunni v syiah, tradisi v wahabi dan yang terkini doktrin Islamic State atau ISIS. Pertelingkahan tiada penghujungnya telah menimbulkan pelbagai polemik dan ada yang membawa kepada pertumpahan darah. Konflik dan krisis berterusan dunia Islam telah menimbulkan tanda tanya adakah masih ada harapan untuk kita menyaksikan kebangkitan Islam dalam masa terdekat. Beberapa projek islah dan Islah kebangkitan Islam yang telah dioperasikan puluhan tahun akhirnya mendepani pelbagai permasalahan dan ada yang tumbang dikhianati oleh segelintir golongan yang masih lagi berjiwa dijajah dan berminda ditawan. Dalam konteks di Malaysia, gerakan Islam yang terlibat dalam politik juga mendepani krisis dan konflik dalaman yang akhirnya menyaksikan tertubuhnya parti baru. Fenomena ini seakan menunjukkan bahawa reformasi yang berlaku di dunia Islam pada hari ini mempunyai permasalahan fundamental yang perlu diselesaikan dan ini mungkin termasuk kelemahan dalam merancang  visi dan halatuju masa depan.

Seiring dengan perkembangan dunia pada hari ini yang kini berada dalam fasa keempat Revolusi Industri mencetuskan kepada betapa perlunya gerakan Islam bermuhasabah dan menyemak semula pendekatan mereka secara keseluruhannya. Revolusi di Timur Tengah yang pada awalnya dilihat seakan menjadi detik kebangkitan umat Islam akhirnya digagalkan oleh rejim yang baru. Fenomena ini membuatkan ada sesetengah pihak terutama generasi muda mula untuk mempertikaikan kerelevanan gerakan Islam hinggakan ada yang mengaitkannya dengan ‘the failure of political Islam’. Ini pastinya menimbulkan persoalan fundamental yang perlu difikirkan oleh mana-mana gerakan Islam untuk memastikan pendekatan dan strategi untuk mengembalikan kegemilangan Islam adalah bersesuaian dengan peredaran dan perkembangan semasa.

Berbicara mengenai prospek masa depan, sudah banyak buku-buku yang cuba untuk meneroka masa depan dengan penuh dramatik seperti The Age of the Unthinkable oleh Joshua Cooper Ramu, Physics of the Future oleh Michio Kaku, The World is Flat oleh Thomas L Friedman, Mind Set: Reset Your Thinking and See the Future oleh John Naisbitt dan Revolutionary Wealth oleh Alvin Toffler, the End of Power oleh Moises Naim dan banyak lagi. Fareed Zakaria menerusi karya beliau The Post-American World dan yang terkini Does the 21st Century Belong to China juga cuba untuk mentafsirkan dan meninjau masa depan tamadun manusia. Namun, sangat sedikit karya berbentuk sebegini yang dihasilkan oleh sarjana Muslim. Mungkin sudah sampai masanya dunia Islam memikirkan untuk membangunkan secara serius bidang future studies dan seterusnya melahirkan lebih ramai pemikir masa depan berwibawa yang dapat membantu merancang dan mendepani cabaran dan realiti masa depan.

Menguasai ilmu untuk mengkaji, meramal dan seterusnya mencipta masa depan yang strategik adalah satu keperluan dan mungkin ia kini merupakan antara fardu kifayah kepada umat Islam. Universiti dan institusi pengajian tinggi di dunia Islam perlu segera membangunkan dan mengembangkan ilmu ‘future studies’ ini agar segala strategi dan perancangan boleh dilaksanakan dengan strategik dan berkesan. Metodologi-metodologi yang digunakan dalam disiplin imu pengajian masa depan ini perlu digunakan malahan diperkembangkan oleh sarjana-sarjana Muslim. Metodologi yang telah dibangunkan seperti the Futures Triangle, Images of the Future, Quantitative Pushes of the Present, Weights of History, Emerging Issues Analysis, The Future Wheel, Macrohistory dan Scenario Development and Backcasting. Bukan itu sahaja, pedagogi dalam pengajian masa depan ini juga perlu dikuasai oleh umat Islam dan lebih-lebih lagi gerakan Islam.

Metodologi ‘future studies’ menggunakan ‘macrohistory’ juga adalah sesuatu yang sememangnya sejak lama diaplikasikan dalam membuat perancangan masa depan. Ibnu Khaldun memperkenalkan teori ‘decline over 3 to 4 generations’, manakala Comte dan Spencer menerusi teori ‘history and future is linear’, Sorokin pula dengan teori ‘all systems follow the pattern of the pendulum’, Toynbee dengan teori ‘creative minority create higher order of complex future’ dan Kardashev dengan teori ; the pattern of the future and the inlux energy’. Bagi menterjemah dan menganalisis metodologi ‘macrohistory’ ini Joe Voros dan Peter Hayward telah memperkenalkan metod yang menarik menerusi ‘Sarkar Game’. Selain itu, metodologi ‘causal layered analysis’ dalam ‘future studies’ adalah sangat bermanfaat untuk diterokai dan diaplikasikan. Metodologi ini merangkumi kaedah melibatkan 4 peringkat utama iaitu the ‘litany, the systemic, the worldview dan the myth and metaphor’.

Metodologi ‘creating alternative scenarios’ adalah sebahagian daripada pendekatan yang digunakan untuk membuat perancangan masa depan dan menentukan halatuju sebuah organisasi mahupun institusi hatta negara. Metodologi ini menggunakan beberapa kaedah dan ini merangkumi’double variable scenarios method’, ‘multivariable scenarios method’, ‘organisational scenario method’ dan ‘integrated scenario method’. Metodologi ini akan lebih berkesan sekiranya ia diikuti dengan metodologi ‘visioning the possible, probable and preferred futures’. Metodologi ini melibatkan empat kaedah utama iaitu ‘analytic, interview, creative visualisation’ and backcasting’.

Terdapat banyak lagi metodologi dan pendekatan dalam pengajian masa depan yang digunakan bagi mengkaji dan seterusnya mencipta masa depan. Metodologi yang disebut di atas hanyalah sebahagian daripada kaedah dan metod secara saintifik dan tersusun yang sangat bermanfaat untuk digunakan merencana masa depan. Negara-negara maju, syarikat-syarikat besar dunia, organisasi antarabangsa termasuk gerakan sivil seperti NGO di dunia telah menggunakan ‘future studies’ bagi mendepani cabaran untuk memastikan terus relevan di masa depan.

Berdasarkan demografi umat Islam di atas menunjukkan bahawa dunia Islam mempunyai kekuatan dan prospek yang lebih besar berbanding dunia Barat. Dengan menggunakan metodologi-metodologi dalam ‘future studies’ di atas yang semestinya diperkembangkan dan diperkemaskan lagi, perancangan dan pelan strategik ke arah kebangkitan Islam dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun dan teratur. Sememangnya kekuatan sumber manusia adalah sumber yang terpenting berbanding apa sahaja sumber yang ada di dunia ini. Sumber manusia menerusi generasi muda yang mewakili sebahagian besar umat Islam membuka ruang dan peluang untuk mendepani masa depan dengan lebih cemerlang. Generasi muda ini berpotensi untuk digilap dan dibangunkan potensi dan bakat mereka untuk meneruskan legasi perjuangan kebangkitan umat Islam di abad ke-21 ini. Namun, harus diingat, potensi ini juga mampu menjadi cabaran dan halangan sekiranya tidak direncanakan dengan sistematik dan berkesan. Dilaporkan bahawa kadar pengangguran generasi muda umat Islam di dunia Arab adalah antara tertinggi di dunia dan mencecah 25 peratus. Malahan, Bank Dunia meramalkan bahawa rantau Arab perlu mencipta peluang pekerjaan lebih 100 juta menjelang tahun 2020.

Dunia hari ini penuh dengan cabaran yang serba hebat. Dalam era abad ke-21 ini, dengan cabaran dalaman dan luaran, menuntut untuk umat Islam dan sangat penting dan signifikan kepada gerakan Islam membuat perancangan membuat persiapan dengan berhikmah. Sekiranya masih tidak bersedia, alpa dan tidur lena dan tiada perancangan serta usaha-usaha untuk mendepani cabaran dan realiti ini, dikhuatiri gerakan Islam akan terus ketinggalan dan dianggap tidak relevan di masa depan. Sesuai dengan ciri Islam bersifat sejagat (universal) dan rahmat (mercy) kepada sekalian alam, maka sudah semestinya setiap perancangan dan strategi sekarang dan masa depan menerusi metodologi yang tepat dan berkesan adalah sesuatu yang perlu dikaji dan diwacanakan secara serius dan menyeluruh. Ia pastinya akan memberikan sumbangan yang amat bernilai ke arah mewujudkan model dan pendekatan kebangkitan Islam gelombang kedua yang benar-benar mengangkat dan memperlihatkan ciri-ciri kerahmatan Islam itu sendiri. Dan ini semua semestinya bermula dengan penguasaaan ilmu oleh setiap umat Islam menerusi pemerkasaan pendidikan seperti nukilan Paolo Freire, ‘Education does not change the world, education changes people and people change the world’.

Leave a Reply

SUBSCRIBE

Get the latest posts delivered to your mailbox:

Page Reader Press Enter to Read Page Content Out Loud Press Enter to Pause or Restart Reading Page Content Out Loud Press Enter to Stop Reading Page Content Out Loud Screen Reader Support