MENCIPTA NARATIF BAHARU AKTIVISME MAHASISWA

MENCIPTA NARATIF BAHARU AKTIVISME MAHASISWA

Apabila disebut zaman keemasan atau kegemilangan aktivisme mahasiswa, sudah pastinya ramai yang akan merujuk era 70an. Pada waktu itu, pelajar memainkan peranan begitu signifikan dalam masyarakat dengan berani kehadapan membela nasib rakyat walaupun berdepan pelbagai risiko dan cabaran. Semasa isu kemiskinan di Baling pada 1974, dikatakan 60-90% mahasiswa terlibat dalam aktivisme termasuk demonstrasi khususnya di Universiti Kebangsaan Malaysia dan di Universiti Malaya. Namun, setelah pengenalan AUKU, persepsi umum melihat bahawa mahasiswa tidak lagi seagresif era 70an yang digelar sebagai ‘the angry youngman’.  

Peralihan kuasa yang berlaku pada PRU14 seakan memberikan harapan baru kepada aktivisme mahasiswa. AUKU bakal dimansuhkan dan kebebasan akademik akan dikembalikan. Usaha awal menerusi pindaan AUKU pada Disember 2018 antara bukti menunjukkan komitmen kerajaan mengupayakan aktivisme mahasiswa dengan memberi lebih ruang dan peluang bergiat dalam politik di kampus. Kerajaan juga sedang giat mengusahakan penggubalan akta baharu yang lebih dinamik dan progresif bagi menggantikan AUKU dan Akta Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555). Bagi menyediakan platform yang lebih kemas dan bebas untuk mahasiswa beraktivisme, usaha penubuhan Kesatuan Pelajar dilaksanakan dengan menjadikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia sebagai model perintis. 

Di samping teruja dengan perkembangan ini, mahu tidak mahu kita memerlukan hala tuju dan model aktivisme mahasiswa yang holistik bukan bersifat politikal dan picisan. Perkara ini menimbulkan persoalan adakah aktivisme mahasiswa yang ada pada hari ini perlu mengikut rentak dan gaya kebangkitan mahasiswa era 70an atau ia perlu mempunyai identiti dan kualitinya yang tersendiri. Adakah realiti dan dinamika yang dilalui mahasiswa pada hari ini adalah sama atau berbeza dengan era 70an? 

Realiti dan cabaran aktivisme mahasiwa era 70an adalah berbeza. Ketika itu, tidak banyak universiti, Badan Bukan Kerajaan dan aktivis masyarakat seperti yang ada pada hari ini. Aktivisme masyarakat didominasi oleh mahasiswa. Beberapa perubahan dan revolusi yang berlaku di dunia seperti Revolusi Iran juga mempengaruhi aktivisme mahasiwa pada waktu itu. Lebih penting, sosio-ekonomi masyarakat khususnya orang Melayu pada waktu itu berada dalam keadaan yang begitu teruk dan menyedihkan. 

Semangat dan ruh kebangkitan mahasiswa era 70an itu pastinya bermanfaat untuk dinilai dan diambil pengajaran. Namun, dengan realiti zaman dan cabaran yang berbeza, aktivisme mahasiswa juga memerlukan anjakan paradigma yang baru mengambil kira masa lalu, dinamika hari ini dan cabaran masa depan. Dimensi baru aktivisme mahasiswa perlu berlandaskan dan mengembalikan semangat Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu untuk melahirkan insan seimbang menerusi pendidikan berterusan, perkembangan potensi individu dan pendidikan menyeluruh dan bersepadu yang mengambil kira aspek jasmani, emosi, rohani dan intelektual. Aktivisme mahasiswa juga perlu seiring dan mengambil peranan untuk menghidupkan ruh 4 Tonggak Pendidikan iaitu belajar untuk mengetahui, belajar untuk melakukan, belajar untuk menjadi apa dan belajar untuk hidup bersama dan dalam konteks hari ini, belajar untuk menjadi lestari. 

Seiring dengan perkembangan dunia yang begitu pantas berubah, aktivisme mahasiswa mesti bersifat universal berlandaskan maslahahumum. Mahasiswa perlu memiliki keberanian dan kebijaksanaan zaman bagi membuat keputusan tanpa ditentukan atau dipengaruhi oleh pihak luar termasuk ‘political master’. Kepentingan masyarakat dan khususnya maslahah universiti perlu dijadikan awlawiyah(keutamaan) melangkaui kepentingan politik pihak tertentu. Aktivisme dan perjuangan mestilah dilihat menerusi kanta keadilan bersandarkan kepada penguasaan ilmu, budi dan hikmah.

Gerakan mahasiswa perlu bersifat global, inklusif dan berorientasikan komuniti dan masyarakat bukan pasaran. Perkembangan dunia teknologi tanpa sempadan menuntut suatu perubahan yang signifikan kepada kerangka dan aktivisme mahasiswa. Mahasiswa mesti bersifat inklusif meraikan kepelbagaian dalam bingkai kesatuan juga merentasi sempadan. Sebarang elemen rasisme atau perkauman perlu dielakkan malahan tidak boleh ada dalam kamus mahasiswa. Kepentingan komuniti dan masyarakat adalah pertimbangan utama mahasiswa melebihi kepentingan yang lain.

Naratif lama aktivisme mahasiswa melihat bahawa membawa ahli politik ke kampus sebagai piawai kepada kebebasan akademik. Maka dengan itu, ramai pihak yang cuba membawa ahli politik masing-masing ke kampus dan melaungkan inilah kebebasan akademik yang dimaksudkan. Hatta ada yang cuba mangambil peluang ini dengan tidak menghormati peraturan dan garis panduan termasuk menerusi cara yang tidak beretika. Apabila menghadapi masalah, mereka ini kemudiannya melaungkan kebebasan akademik yang ada adalah palsu dan telah mati. Ini adalah antara anggapan dan kefahaman yang salah terhadap aktivisme mahasiswa dan kebebasan akademik itu sendiri. Kita tidak mahu aktivisme mahasiswa yang bersifat dangkal seperti mana yang diungkapkan Muhammad al-Ghazali kathiri al nashat, qalili al fiqhyang membawa maksud hanya banyak aktiviti tetapi dangkal ilmu dan kefahaman.

Dalam erti kata lain, aktivisme mahasiswa mestilah bersifat seimbang. Ia melangkaui dimensi penglibatan ahli politik di kampus. Kejayaan membawa ahli politik kecenderungan sendiri ke kampus bukan bermakna kebebasan akademik yang sebenar. Mahasiswa perlu menjuarai wacana ilmiah berkualiti tinggi dan bukan bersifat emosi dan populis. Bukan sahaja warga kampus malahan masyarakat perlu dibiasakan dan diperbijakkan dengan wacana ilmiah aras tinggi. Mahasiswa perlu bergerak agresif mencerdaskan masyarakat menerusi aktiviti keilmuan yang berkualiti. 

Kebebasan dan hak datang dengan tanggungjawab dan amanah serta tidak bersifat ghuluw(melampaui batas). Aktivisme mahasiswa bukan sahaja memperjuangkan hak-hak dan kebebasan tetapi ia perlu datang dengan penuh tanggungjawab. Misalnya sebarang kenyataan dan tuntutan yang dibuat mesti berdasarkan fakta yang sahih bukan bersandarkan kepada emosi dan khabar angin. Malahan, mahasiswa perlu ikhlas dan bertanggungjawab untuk membuat permohonan maaf sekiranya melakukan kesilapan. Aktivisme mahasiswa era baru menjunjung tinggi nilai amanah, integriti dan tanggungjawab.

Usaha menubuhkan Kesatuan Pelajar merupakan sesuatu yang tepat pada masanya. Kesatuan Pelajar yang bersifat bebas, mandiri dan lestari pastinya akan menjadi pemangkin kepada pembangunan dan pemerkasaan mahasiswa. Mahasiswa akan belajar mengendalikan dan menguruskan kesatuan mereka sendiri menerusi tadbir urus tersendiri. Bukan itu sahaja, mahasiswa juga akan belajar menguruskan Pilihan Raya Kampus secara bebas dan berintegriti. Kesatuan Pelajar ini pastinya akan meletakkan aktivisme mahasiswa ke satu peringkat yang lebih tinggi dan paling penting pengiktirafan mahasiswa sebagai pemegang taruh utama di institusi pengajian tinggi. 

Sudah sampai masanya untuk kita mencipta kegemilangan baru gerakan mahasiswa menerusi aktivisme mahasiswa yang lebih dinamik dan progresif. Kebangkitan mahasiswa era lalu boleh dijadikan tauladan dan pengajaran serta inspirasi tetapi bukan ikutan secara total. Aktivisme mahasiswa era masa kini perlu mempunyai identiti dan falsafahnya yang tersendiri. Realiti zaman yang berubah dengan begitu pantas, dinamika kepelbagaian, kelajuan dan kecanggihan teknologi, perbezaan generasi, perkembangan sosio-ekonomi termasuk geo-politik dan cabaran dunia semasa pastinya akan mempengaruhi aktivisme mahasiswa masa kini. Aktivisme Mahasiswa 2.0 bukan hanya perlu ada semangat dan tenaga tetapi mesti diiringi dengan kekuatan intelektual, penguasaan ilmu pengetahuan, ketinggian adab, budi dan hikmah serta berjiwa besar dan terbuka. 

(Zulkifli Hasan, Timbalan Rektor (Pembangunan Pelajar dan Penglibatan Masyarakat, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia)

SUBSCRIBE

Get the latest posts delivered to your mailbox:

Page Reader Press Enter to Read Page Content Out Loud Press Enter to Pause or Restart Reading Page Content Out Loud Press Enter to Stop Reading Page Content Out Loud Screen Reader Support