Mahasiswa dan Universiti

Hubungan Mahasiswa dan Universiti

Mahasiswa sering dianggap sebagai pelanggan atau customer kepada universiti.  Naratif mahasiswa sebagai pelanggan ini menjadikan hubungan pelajar dengan universiti lebih bersifat komersan dan tidak  mencerminkan hubungan yang sepatutnya. Konotasi pelanggan sentiasa benar atau Customers are always right dan pelanggan adalah Raja mempengaruhi dinamika hubungan dan perspektif umum pelajar dan universiti. Universiti dianggap sebagai institusi yang memberikan perkhidmatan dan pelajar sebagai pelanggan berhak menentukan bentuk perkhidmatan  yang diperlukan. Hasilnya, suasana yang diwujudkan di universiti  seakan premis perniagaan bukan institusi keilmuan. 

Dalam konteks ini, kita dapat lihat bagaimana mahasiswa membuat pelbagai permintaan demi permintaan tanpa ada perasaan tanggungjawab untuk bersama-sama pihak universiti menyelesaikan sesuatu permasalahan. Sepertimana sifat pelanggan yang mempunyai kuasa beli dan penawaran, mahasiswa akan lebih bersifat ego dengan berpandangan bahawa kebenaran sentiasa berpihak kepada mereka. Ini selari dengan konsep pelanggan sentiasa benar dan pelanggan adalah Raja.

Mahasiswa lebih sesuai dianggap sebagai ahli keluarga dalam sebuah institusi. Hubungan antara universiti dan mahasiswa adalah hubungan antara penjaga dan anak-anak. Universiti berperanan membimbing dan menjaga kebajikan mahasiswa sepertimana ayah atau ibu menjaga anak-anaknya. Manakala mahasiswa pula berperanan sebagai anak-anak yang mempunyai tanggungjawab untuk menuntut illmu dan menyumbang kepada pembangunan keluarga. Sekiranya kerangka ini difahami dan dihayati, universiti pasti akan berkembang dengan jayanya dan mahasiswa pula akan menikmati Rahmah dan kasih sayang. Harus diingat, hubungan ini adalah mutual iaitu memerlukan kedua-dua pihak untuk memainkan peranannya. Kecuaian oleh pihak universiti untuk menjaga kebajikan mahasiswa pastinya akan menimbulkan keresahan dan perasaan tidak puashati para pelajar. Kekangan keterlaluan pihak universiti juga hanya akan lebih menyiram perasaan memberontak anak muda. 

Bukan itu sahaja, perspektif yang menganggap mahasiswa sebagai modal insan atau human capital juga sebenarnya bermasalah. Istilah modal insan ini membawa kepada naratif yang berbeza. Komoditi, saham, wang dan aset adalah contoh modal dalam dunia perniagaan. Istilah Modal Insan ini cenderung untuk melihat bahawa manusia juga boleh disamakan peranannya dengan modal iaitu sebagai sumber untuk menjalankan aktiviti komersan sedangkan mahasiswa adalah manusia yang bersifat insani melangkaui aspek ini.

Kesannya, elemen manusiawi, etika, nilai, adab dan hikmah kurang menjadi tumpuan di universiti. Inilah yang dikatakan oleh Harry Lewis dalam bukunya Excellence without Soul iaitu kecemerlangan tanpa ruh yang akhirnya menghasilkan manusia yang tidak insani. Universiti yang terlalu cenderung dan dipengaruhi dengan dunia kapitalis dan golongan pemodal hanya melahirkan insan yang ruhnya sakit dan akhirnya mereka inilah yang mencipta krisis dan kerosakan di muka bumi ini.

SUBSCRIBE

Get the latest posts delivered to your mailbox:

Page Reader Press Enter to Read Page Content Out Loud Press Enter to Pause or Restart Reading Page Content Out Loud Press Enter to Stop Reading Page Content Out Loud Screen Reader Support