Muhasabah Ramadhan: Berubah atau Kekal Sama

Muhasabah Ramadhan: Berubah atau Kekal Sama

Ramadhan kali ini pastinya berbeza dengan Ramadhan sebelum ini. Dunia dikejutkan dengan pandemik Covid-19 yang mengubah kehidupan manusia merangkumi ekonomi, sosial dan budaya termasuk aspek beragama. Solat tarawih misalnya tidak lagi diadakan berjemaah di Masjid dan surau tetapi kini dilakukan di rumah masing-masing bersendirian atau bersama keluarga. Kemungkinan Eidul Fitri disambut hanya sesama ahli keluarga tanpa ada lagi solat Eid di Masjid dan tiada kunjung mengunjung sanak saudara sahabat handai termasuk amalan Rumah Terbuka sepertimana suasana sebelum ini. Bahkan, ibadat Haji tahun ini juga berkemungkinan ditangguhkan. Walaupun pandemik ini memberikan pelbagai kesan signifikan kepada semua pihak, namun, ia sebenarnya membuka peluang kepada kita semua untuk bermuhasabah dan mengambil pengajaran. Firman Allah SWT berfirman: “Tidak ada suatu musibah menimpa (seseorang), kecuali dengan izin Allah dan sesiapa beriman kepada Allah, nescaya Allah akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (At-Taghabun: 11)

Pada 1961, Presiden Habib Burguiba mengejutkan seluruh rakyat Tunisia apabila mengisytiharkan larangan berpuasa di bulan Ramadhan bagi semua penjawat awam. Lebih mengejutkan, beliau sendiri dengan sombong menunjukkan tidak berpuasa dengan minum di khalayak umum ditayangkan secara langsung di media. Tindakan ini jelas menunjukkan kejahilan dan kesombongan. Sejarah telah mencatatkan banyak peristiwa penting umat Islam berlaku pada bulan Ramadhan. Ramadhan bukan menjadi penghalang kepada produktiviti mahupun penyebab kemunduran bahkan ia adalah bulan kemenangan bagi umat Islam. Bermula dari penurunan wahyu pertama kepada Rasulullah Sallallahualaihiwasallam diikuti kemenangan umat Islam dalam peperangan Badar, Khandaq dan Hunain, penaklukan kota Mekah serta kejayaan mendapatkan kembali bumi Al Aqsa semasa era Salahuddin al Ayubi. Pada bulan Ramadhan juga empayar Rome ditakluki dan seterusnya menjadikan negara Islam sebagai salah satu kuasa besar.

Berbanding dengan zaman kegemilangan umat Islam terdahulu, pada masa ini, sesungguhnya umat Islam melalui masa-masa getir dengan pelbagai peristiwa dan tragedi yang berlaku di serata dunia. Walaupun kesemua negara Islam telah mencapai kemerdekaan setelah dijajah puluhan atau ratusan tahun, ramai umat Islam masih berada dalam keadaan yang menyedihkan. Dengan mengenang nasib umat Islam di Syria, Yaman, Myanmar, Afghanistan, Kashmir, Palestine, Iraq, Thailand, Filipina, Sudan, China dan lain-lain, terdetik sejenak mengapakah situasi ini berlaku sedangkan umat Islam telah dianugerahi dengan nikmat Islam dan iman. Lebih menyedihkan lagi, walaupun sempena menyambut bulan Ramadhan yang mulia ini, kita menyaksikan begitu ramai yang tanpa segan silu dan tanpa rasa sesalan menghina, mencaci dan memandang dengan penuh kebencian saudara sesama Islam seperti dalam kes Rohingya yang sedang hangat diperkatakan. Apakah makna sebenar Ramadhan di hati kita semua? Adakah Ramadhan hanya sekadar berlapar dan dahaga? Adakah Ramadhan tidak mengubah apa-apa? Mungkin tindakan sewajarnya sekiranya tidak bersetuju adalah lebih baik diam daripada mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya sebagai seorang Islam. Ini tidak bermakna kita tidak boleh mengkritik ataupun menyuarakan pandangan tetapi gunakanlah perkataan yang sopan dan beradab.

Dari Abu Hurairah r.a sesungguhnya Rasulullah SAW pernah bersabda: “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia BERKATA BAIK atau DIAM. Dan barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia memuliakan tetangganya. Dan barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah ia memuliakan tamunya.” (HR Bukhari dan Muslim)

Institusi Ramadhan merupakan sesuatu yang diperuntukkan khusus oleh Allah untuk melatih, mendidik, menyucikan jiwa dan fizikal. Bagi memotivasikan umat Islam, Allah menjanjikan pelbagai insentif yang hampir mustahil untuk ditolak umpamanya malam ’lailatul qadr’ yang hanya ditawarkan kepada umat Nabi Muhammad Sallallahualaihiwasallam. Nabi Sallallahualaihiwasallam bersabda bahawa apabila Ramadhan menjelang tiba maka pintu syurga dibuka, ditutup pintu neraka serta dibelenggu para syaitan (Al-Bukhari dan Muslim).

Bertepatan dengan makna Ramadhan yang bermaksud panas iaitu bulan menghanguskan dosa, Allah telah memberikan peluang kepada umat Islam untuk beramal dan beribadah tanpa gangguan hasutan syaitan. Segala kelakuan dan perbuatan di bulan Ramadhan menjadi cermin sebenar tatkala syaitan dirantai daripada menghasut dan membisik. Allah telah memberikan peluang yang sangat tinggi nilainya ini untuk umat Islam membentuk dan membina syahsiah diri dengan hanya perlu berhadapan dengan hawa nafsu tanpa dipengaruhi oleh bisikan syaitan.

Tidak dapat dinafikan pelbagai hikmah Ramadhan dan puasa yang dapat dibuktikan melalui kajian saintifik sehinggakan terdapat di Amerika, ‘Fasting Centre International Incorporation’ sebuah institusi yang mempromosikan puasa sebagai cara untuk mencegah dan memulihkan penyakit. Namun begitu, kelebihan berpuasa sama ada dari sudut kesihatan mahupun dari aspek yang lain bukanlah merupakan matlamat utama . Objektif utama berpuasa Ramadhan dirakamkan oleh Allah dengan jelas di dalam al Quran iaitu untuk mencapai darjah KETAQWAAN.

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa” (al-Baqarah: 183)

Melalui ayat di atas tersangatlah jelas bahawa melalui kalimah ‘la’alla’ itu yang bermaksud, ‘agar’ atau ‘semoga’ atau ‘mudah-mudahan’ menunjukkan matlamat sebenar puasa Ramadhan iaitu tidak lain dan tidak bukan mencapai makam taqwa. Kelebihan taqwa ini dinukilkan Allah di dalam al-Quran yang bermaksud:

“Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian Taqwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat” (al-A’raf: 26)

Sekiranya dirujuk kembali, pengertian taqwa bukan sahaja bererti takut namun ia juga membawa maksud yang lebih luas. Ibn Kathir menyatakan taqwa berasal daripada perkataan tawaqqi, iaitu menjaga diri daripada perkara yang tidak diingini. Imam Ibn Kathir menerangkan Taqwa di dalam tafsirnya dengan merujuk kisah dialog Umar al Khattab dan Ubay bin Kaab. Dalam kisah ini Ubay memberikan analogi Taqwa dengan perumpamaan orang melalui jalan berduri di mana sudah pastinya seseorang itu berhati-hati bagi mengelakkan terpijak duri.

Bagi merumuskan makna taqwa, kata-kata daripada Ali Bin Abi Talib sangat relevan untuk dirujuk. Beliau merumuskan ciri taqwa itu kepada empat iaitu takut kepada azab dan murka Allah, yakin dengan al Quran, redha dengan sedikit nikmat dan sedia menghadapi hari kematian. Keempat-empat ciri inilah yang menjadikan seorang yang bertaqwa itu mempunyai peribadi unggul dan jiwa yang merdeka.

Di samping memahami taqwa , ia juga membuktikan keadilan Allah. Sesungguhnya Allah menilai seseorang itu melalui kaca mata taqwa dan bukan dari kualiti yang lain. Taqwa itu boleh dicapai oleh sesiapa sahaja sama ada individu itu kaya, miskin, gemuk, kurus, cantik, kurang upaya, ternama dan sebagainya. Melalui penilaian taqwa ini Allah jelas menunjukkan keadilannya di mana semua manusi berpotensi untuk mencapai makam taqwa dan seterusnya mendapat kasih dan rahmat Allah.

Rasulullah SAW dan para Sahabat serta salaf al-salih menunjukkan amalan dan penghayatan Ramadhan sebaiknya. Para sahabat Rasulullah SAW menanti-nantikan dan merindui Ramadhan. Mereka bergembira menghidupkan Ramadhan dengan tarawih, tadarus, tahajud, qiyamullail dan sebagainya. Amalan bersedekah menjadi lumrah dan kebajikan golongan tidak berkemampuan diambil berat dan dibela. Di kala Ramadhan meninggalkan mereka, para sahabat menangis dan bersedih kerana takut tidak ketemu lagi Ramadhan yang mulia. Alangkah indahnya suasana Ramadhan ketika itu. Setelah melihat kepada situasi dan amalan Ramadhan umat Islam pada hari ini secara umumnya, dapatlah disimpulkan bahawa Ramadhan yang disambut setiap tahun itu tidak akan dapat mengubah apa-apa melainkan Ramadhan itu dimaknai dengan penghayatan dan diikuti dengan pelaksanaan. Ramadhan itu mesti dimanifestasikan dengan matlamat ketaqwaan.

Ketaqwaan tidak akan dapat dicapai melainkan dengan ilmu. Hanya dengan ilmu yang sahih dapat memberi petunjuk kepada kita mengenai cara dan amalan yang boleh mendekatkan diri kepada Allah. Hanya dengan ilmu yang benar bersumberkan nas-nas yang sahih akan memastikan amalan yang dilakukan diterima Allah. Amalan dan ibadah yang bertentangan dengan amalan Rasulullah dan berunsurkan bidaah dhalalah bukan sahaja tidak diterima oleh Allah bahkan ia boleh menjadi faktor kemurkaan Allah.

Taqwa itu sangat berkait rapat dengan amalan. Tanpa amalan walaupun berilmu tidak akan dapat membuatkan seseorang mencapai darjat ketaqwaan. Begitu juga amalan yang dibuat sambil lewa juga tidak mendapat perhatian daripada Allah. Amalan Ramadhan Rasulullah sesungguhnya perlu dijadikan panduan dan rujukan dalam segenap aspek. Dalam hal ini setiap amalan itu perlu mempunyai ciri-ciri Itqan, Istiqamah dan Ikhlas. Rasulullah bersabda: Allah mengasihi seorang hamba kalau ia melakukan sesuatupekerjaan ia melakukannya dengan sempurna (Al-Tabarani). Dan sesungguhnya amal yang paling dicintai Allah adalah yang terus menerus meskipun sedikit.(Muttafaq ‘alaih).

Dalam hadis yang lain, Amirul Mu’minin, Abi Hafs Umar Al Khattab, dia berkata: Saya mendengar Rasulullah bersabda: Sesungguhnya setiap perbuatan tergantung niatnya. Dan sesungguhnya setiap orang (akan dibalas) berdasarkan apa yang dia niatkan. Siapa yang hijrahnya karena (ingin mendapatkan keridhaan) Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada (keridhaan) Allah dan Rasul-Nya. Dan siapa yang hijrahnya karena dunia yang dikehendakinya atau karena wanita yang ingin dinikahinya maka hijrahnya (akan bernilai sebagaimana) yang dia niatkan (Bukhari dan Muslim).

Berdoa merupakan senjata orang mukmin. Sebagai hamba Allah, amalan berdoa dengan sepenuh hati tanpa jemu akan menjadikan diri merasa sangat kecil di hadapan Allah. Doa ini pula mesti diikuti dengan tawakkal iaitu konsep berserah pada ketentuan Allah. Konsep doa dan tawakkal ini yang akan menambahkan ciri ketaqwaan kepada Allah di mana ia memperlihatkan peranan kita sebagai hamba Allah yang menyerahkan sepenuh jiwa raga kepadaNya. Setiap individu yang ingin mencapai darjat ketaqwaan perlu syukur dengan nikmat dan anugerah Allah dan redha dengan apa sahaja ujian, pemberian dan penentuan Allah. Konsep syukur dan redha ini merupakan natijah dari ilmu, amal, doa dan tawakkal.

Ruh dan intipati Ramadhan perlu diberi penghayatan dan diterjemahkan ke dalam hidup umat Islam sepertimana hidupnya Ramadhan sewaktu zaman Rasulullah SAW dan para sahabat. Penghayatan Ramadhan melalui penterjemahan ruh dan intipatinya merupakan pencetus kepada matlamat ketaqwaan. Makam Taqwa itu pula penentu kepada harga diri kita di mata Allah. Hanya dengan pakaian taqwa kita akan mendapat rahmat dan barakah Allah. Apabila kita mendapat rahmat Allah ini, maka dengan itu jugalah segala usaha ke arah islah dan pembangunan diri, negara, bangsa dan umat akan dapat direalisasikan dengan penuh keberkatan.

Ramadhan Kareem!!!!!

SUBSCRIBE

Get the latest posts delivered to your mailbox:

Page Reader Press Enter to Read Page Content Out Loud Press Enter to Pause or Restart Reading Page Content Out Loud Press Enter to Stop Reading Page Content Out Loud Screen Reader Support