Teladani Allahyarham Profesor Diraja Ungku Aziz Menulis untuk Masyarakat
zulkiflihasan.com
Dunia akademik mendapat perhatian ramai seketika dengan pendedahan amalan segelintir ahli akademik menerbitkan penulisan dalam ‘predatory journal’ atau jurnal pemangsa di mana Malaysia berada antara kedudukan teratas. Dua penyelidik dari negara Czech Republic, Vit Machacek dan Martin Srholec, telah membuat analisa lebih kurang 3294 jurnal bersumberkan Ulrichsweb and Scopus diterbitkan sekitar 2015-2017. Hasil kajian ini merumuskan bahawa sebanyak 324 jurnal yang diragui kualiti penerbitannya dikategorikan sebagai jurnal pemangsa. Negara Indonesia, Kazakhstan, Iraq, Albania termasuk Malaysia merekodkan bilangan tertinggi jurnal pemangsa. Malaysia juga berada antara kedudukan tertinggi dalam tiga bidang utama iaitu kesihatan, sains fizikal dan sains sosial. Walaupun hasil dapatan kajian ini sememangnya masih lagi boleh diperdebatkan, tetapi ia sedikit sebanyak menggambarkan trend atau perkembangan yang berlaku dalam dunia akademik.
Fenomena isu etika penerbitan dalam dunia akademik bukanlah perkara baharu di Malaysia malahan ia juga berlaku di negara-negara lain. Tuntutan Key Performance Indicator penerbitan dalam Scopus atau sewaktu dengannya bagi maksud menaikkan kedudukan universiti telah mengubah naratif penulisan ilmiah secara signifikan. Penerbitan jurnal berindeks kini menjadi syarat utama kenaikan pangkat dan penilaian prestasi tahunan. Ini menghambat segelintir ahli akademik yang terdesak untuk menerbitkan hasil penyelidikan dengan mengambil jalan mudah memilih jurnal pemangsa ini sama ada secara sedar atau tidak. Malahan, ada yang sanggup membayar penerbitan tersebut untuk memenuhi sasaran kerja tahunan masing-masing sehingga menghasilkan fenomena ‘boncengan gratis’ menumpang karya pelajar seliaan semata-mata untuk meningkatkan penerbitan.
Mungkin dunia akademik khususnya di Malaysia perlu mengambil pengajaran dan suri teladan tokoh pendidik-intelektual tersohor negara Profesor Diraja Ungku Aziz. Profesor Ungku Aziz menunjukkan amalan terbaik seorang ahli akademik yang menulis dengan penuh keikhlasan untuk rakyat dan masyarakat. Kompilasi penulisan beliau Writing for the Nation yang diterbitkan oleh Penerbit Universiti Malaya setebal 5 jilid menyaksikan semua koleksi penulisannya menyentuh aspek pendidikan, sosio-ekonomi dan budaya serta hubungannya dengan masyarakat. Buku the Renaissance Man, sebuah kompilasi artikel mengenai personaliti dan sumbangan Professor Ungku Aziz menjadi bukti ketokohan dan kesarjanaan beliau yang boleh diteladani.
Umumnya, kita boleh merasakan keikhlasan dan kejujuran penulisan Profesor Ungku Aziz. Aura istimewa ini menjadikan penulisan beliau terus relevan dan sesuai dengan peredaran zaman. Beliau menggunakan kepakaran dan ilmunya dalam bidang ekonomi menulis untuk negara dan cuba menyelesaikan isu-isu substantif dalam masyarakat. Kajian dan penulisan beliau memberikan solusi bernas dan tuntas terhadap isu dan dilema dalam masyarakat seperti idea penubuhan Lembaga Tabung Haji dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa). Bukan itu sahaja, beliau membawa idea baru yang begitu signifikan sehingga hari ini seperti berperanan dalam penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka, Penerbitan Universiti Malaya dan Koperasi Kedaibuku Universiti Malaya. Profesor Ungku Aziz juga begitu intrumental dengan Akademi Pengajian Islam di mana beliaulah yang membawa Akademi Islam di Nilam Puri, Kelantan menjadi sebahagian daripada Universiti Malaya.
Selain itu, sebagai intelektual awam, Profesor Ungku Aziz mengambil perhatian penulisan yang dekat dengan masyarakat menggunakan bahasa yang mudah difahami. Beliau memperkenalkan teori dan pendekatan intelektual menggunakan istilah yang dekat dengan rakyat seperti Indeks Sarung yang digunakannya untuk mengukur kemiskinan luar bandar berdasarkan bilangan kain sarung yang dimiliki. Sekitar tahun 1980an Prof Ungku Aziz juga memperuntukkan masanya menulis untuk memberi pencerahan kepada masyarakat dengan menjadi kolumnis di akhbar STAR. Penulisannya sentiasa segar membawa idea baharu dan progresif bukan sahaja mempengaruhi minda masyarakat malahan mencetuskan pemikiran-pemikiran baharu yang dinamik dan strategik.
Profesor Ungku Aziz tidak hanya menulis dalam bidang kepakarannya tetapi merentasi aspek yang lain termasuk seni dan budaya. Beliau sangat berminat memperhalusi seni dan budaya orang Melayu khususnya mengenai pantun Melayu. Penulisan Profesor Ungku Aziz adalah bersifat membina dan konstruktif. Apabila berbicara mengenai nasib orang Melayu, beliau memberikan idea, semangat dan harapan kepada orang Melayu untuk melakukan perubahan dan menerajui zaman. Beliau tidak merendah-rendahkan atau memperkecilkan kemampuan orang Melayu tetapi menegur, menyuntik semangat dan membuka minda agar terus berusaha untuk memajukan diri dan bangsa.
Dari aspek personaliti, Profesor Ungku Aziz merupakan seorang yang sederhana. Setelah dilantik menjadi Naib Canselor Universiti Malaya bermula 1968 sehinga 1988, beliau telah membawa Universiti Malaya berkembang maju dengan jayanya. Beliau tidak bermegah dan berfesyen dengan sut mahal tetapi hanya gemar memakai baju batik dan berpakaian kemas. Profesor Ungku Aziz juga tidak suka bermewah dan mengamalkan gaya hidup yang sederhana. Dinukilkan bahawa pernah beberapa Profesor memohon untuk menukar karpet di pejabat masing-masing di Universiti Malaya tetapi membatalkan hasrat mereka setelah melihat pejabat Naib Canselor yang diduduki Prof Ungku Aziz adalah sederhana sahaja.
Menerbitkan hasil penyelidikan atau artikel ilmiah menerusi jurnal pemangsa menunjukkan bahawa terdapat kelemahan dan permasalahan dalam polisi yang dilaksanakan di institusi pengajian tinggi di Malaysia. Tuntutan untuk menaikkan kedudukan universiti dalam senarai universiti terbaik dunia sedikit sebanyak telah menghambat segelintir akademik mengambil jalan pintas menerbitkan artikel dalam jurnal pemangsa. Penulisan bukan lagi bertujuan untuk menyelesaikan isu masyarakat atau menyentuh aspek pembangunan tetapi ia berkait rapat dengan agenda peribadi untuk kenaikan pangkat dan sebagainya.
Namun begitu, harus diingat amalan sebegini hanyalah berlaku di kalangan segelintir ahli akademik. Sebahagian besar ahli akademik yang ada tidak mempunyai masalah untuk menerbitkan hasil penyelidikan dan kajian ilmiah mereka dalam mana-mana jurnal tempatan dan antarabangsa termasuk jurnal berindeks tinggi dan ternama. Kementerian Pengajian Tinggi juga telah melaksanakan beberapa pendekatan dan usaha untuk membanteras amalan penerbitan jurnal pemangsa ini. Universiti-universiti sudah menyenaraihitamkan beberapa jurnal yang diragui dan memberi peringatan kepada seluruh ahli akademik agar tidak menerbitkan dengan jurnal tersebut. Begitu juga dengan garis panduan dan etika untuk tidak menyalahgunakan pelajar siswazah untuk meningkatkan penerbitan penyelia. Usaha-usaha menjaga dan memelihara integriti ini mesti diteruskan bagi memastikan kualiti hasil penerbitan ahli akademik terjamin seiring dengan halatuju pengajian tinggi negara.
Mungkin sudah sampai masanya ahli akademik tidak lagi terlalu teruja dengan penerbitan dalam jurnal Scopus atau jurnal antarabangsa yang diragui kedudukannya. Berbanding menerbitkan artikel dalam jurnal pemangsa, adalah lebih baik ahli akademik menerbitkannya dalam jurnal akademik tempatan. Walaupun sebilangan besar jurnal ini tidak berindeks Scopus, namun banyak jurnal ini adalah berkualiti dan memenuhi piawaian akademik. Amalan menerbitkan hasil penyelidikan dalam jurnal tempatan ini akan dapat merancakkan lagi dunia penerbitan akademik tanahair dan dalam masa yang sama meningkatkan kualiti jurnal ini agar setaraf atau lebih baik dengan jurnal antarabangsa.
Profesor Ungku Aziz telah menunjukkan suri teladan mengenai bentuk penulisan yang jujur, ikhlas dan membina. Walaupun telah menjawat jawatan yang penting dan utama sebagai orang Melayu pertama sebagai Naib Canselor di universiti tertua di Malaysia, Profesor Ungku Aziz terus teguh dengan prinsip dan integriti. Penulisan beliau sentiasa dekat dengan masyarakat merentasi bidang, tidak retorik, bukan sekadar berteori tetapi praktikal untuk dilaksanakan. Profesor Ungku Aziz merupakan ikon intelektual negara yang mengabadikan penulisannya untuk rakyat dan masyarakat. Moga seluruh ahli akademik dapat mencontohi dan meneladani tokoh yang menginspirasi ini.