Falsafah Gerakan Mahasiswa

FALSAFAH GERAKAN MAHASISWA

Apabila disebut zaman keemasan atau kegemilangan aktivisme mahasiswa, sudah pastinya ramai yang akan merujuk era 1960an dan awal 1970an. Pada waktu itu, mahasiswa memainkan peranan begitu signifikan dalam masyarakat dengan berani ke hadapan membela nasib rakyat walaupun berdepan pelbagai risiko dan cabaran seperti isu kemiskinan di Baling. Namun, setelah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) diperkenalkan, persepsi umum melihat bahawa mahasiswa tidak lagi seagresif era 1960an dan awal 1970an.

Pada 1975, pindaan AUKU yang melarang pelajar terlibat dalam politik merupakan detik penting dalam sejarah gerakan mahasiswa di Malaysia berikutan peristiwa Baling 1974. Pindaan AUKU 1975 khususnya Seksyen 15 dan 16 menyaksikan bermulanya gerakan mahasiswa yang kurang agresif dan bergerak dalam ruang lingkup yang terhad akibat daripada sekatan dan kekangan undang-undang termasuk kawalan daripada kerajaan meliputi larangan memberi sokongan kepada pihak luar kampus, larangan membuat kenyataan akhbar, larangan menganggotai pertubuhan luar kampus dan larangan menguruskan kewangan sendiri. Walaupun pindaan AUKU 2012 dan 2018 telah membuka ruang kepada mahasiswa untuk terlibat dalam politik, ia masih belum cukup untuk menjadi pemangkin kepada kebangkitan pelajar memandangkan kekangan lain yang masih wujud dalam AUKU. Idea pemansuhan AUKU kini terhenti dan usaha penggubalan akta baharu bagi menggantikan AUKU dan Akta Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555) juga tidak lagi diteruskan.

Perkembangan ini seharusnya tidak boleh menjadi alasan untuk melakukan sesuatu. Kita memerlukan perubahan untuk mencipta naratif baharu aktivisme mahasiswa yang progresif dan dinamik. Semangat dan roh kebangkitan mahasiswa era 1960an dan awal 1970an itu pastinya bermanfaat untuk dinilai dan diambil pengajaran. Namun, dengan realiti zaman dan cabaran yang berbeza, aktivisme mahasiswa juga memerlukan anjakan paradigma yang baru mengambil kira masa lalu, dinamika hari ini dan cabaran masa depan.

Seiring dengan perkembangan semasa dan peri pentingnya mengangkat gerakan mahasiswa yang lestari, penulis ingin menyarankan untuk menggubal secara khusus Falsafah Gerakan Mahasiswa Kebangsaan yang boleh dijadikan asas dan kerangka aktivisme pelajar negara ini. Sehingga hari ini, belum ada dokumen rasmi secara khusus mengenai Falsafah Gerakan Mahasiswa. Kepelbagaian gerakan mahasiswa dari sudut bentuk, pendekatan, ideologi dan pemikiran itu boleh diharmonikan dan diseimbangkan menerusi falsafah yang jelas bersesuaian dengan konteks masyarakat, budaya dan tuntutan agama di negara kita. 

Falsafah Gerakan Mahasiswa ini perlu bersifat holistik dibangunkan menerusi libat urus secara menyeluruh pemegang taruh pengajian tinggi dan perlu disepakati dan dipersetujui oleh mahasiswa. Dengan adanya Falsafah Gerakan Mahasiswa yang disepakati buat pertama kalinya dalam sejarah negara pasti akan menjadi pemangkin kepada aktivisme pelajar yang mengandungi visi, hala tuju dan kerangka yang lebih jelas. Dimensi baharu ini perlu berlandaskan dan seiring dengan semangat Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu untuk melahirkan insan seimbang menerusi pendidikan berterusan, perkembangan potensi individu dan pendidikan menyeluruh dan bersepadu yang mengambil kira aspek jasmani, emosi, rohani dan intelektual. Aktivisme mahasiswa juga perlu seiring dan mengambil peranan untuk menghidupkan roh empat Tonggak Pendidikan iaitu belajar untuk mengetahui, belajar untuk melakukan, belajar untuk menjadi apa dan belajar untuk hidup bersama.

Dengan perkembangan dunia yang begitu pantas berubah, aktivisme mahasiswa mesti berpaksikan keadilan dan bersifat universal berlandaskan maslahah umum. Mahasiswa perlu memiliki keberanian dan kebijaksanaan zaman bagi membuat keputusan tanpa ditentukan atau dipengaruhi oleh pihak luar termasuk ‘political master’. Kepentingan masyarakat dan khususnya maslahah universiti perlu dijadikan awlawiyah (keutamaan) melangkaui kepentingan politik pihak tertentu. Aktivisme dan perjuangan mestilah dilihat menerusi kanta keadilan bersandarkan kepada penguasaan ilmu, budi dan hikmah.

Gerakan mahasiswa perlu bersifat global, inklusif dan berorientasikan masyarakat bukan pasaran. Perkembangan dunia teknologi tanpa sempadan menuntut suatu perubahan yang signifikan kepada kerangka dan aktivisme mahasiswa. Aktivisme tidak lagi hanya berkisar apa yang berlaku di dalam negara tetapi mengambil perhatian isu semasa di dunia bersolidariti bersama mahasiswa dan komuniti antarabangsa. Mahasiswa mesti bersifat inklusif meraikan kepelbagaian dalam bingkai kesatuan. Sebarang elemen rasisme atau perkauman perlu dielakkan malahan tidak boleh ada dalam kamus mahasiswa. Kepentingan komuniti dan masyarakat adalah pertimbangan utama gerakan mahasiswa melebihi kepentingan pasaran dan lain-lain.

Aktivisme mahasiswa mestilah bersifat adil, terbuka dan seimbang. Ia melangkaui dimensi politik di kampus. Mahasiswa perlu menjuarai wacana ilmiah yang seimbang, adil dan terbuka dan bukan bersifat emosi dan populis. Bukan sahaja warga kampus malahan masyarakat perlu dibiasakan dan diperbijakkan dengan wacana ilmiah aras tinggi. Mahasiswa perlu bergerak agresif mencerdaskan masyarakat menerusi aktiviti keilmuan yang berkualiti. Kita tidak mahu aktivisme mahasiswa yang bersifat dangkal seperti mana yang diungkapkan Muhammad al-Ghazali kathiri al nashat, qalili al fiqh yang membawa maksud hanya banyak aktiviti tetapi dangkal ilmu dan kefahaman.

Kebebasan dan hak datang dengan tanggungjawab dan amanah serta tidak bersifat ghuluw (melampaui batas). Aktivisme mahasiswa bukan sahaja memperjuangkan hak-hak dan kebebasan tetapi ia perlu datang dengan penuh tanggungjawab. Sebarang kenyataan dan tuntutan yang dibuat mesti berdasarkan fakta yang sahih bukan bersandarkan kepada emosi dan khabar angin. Mahasiswa perlu ikhlas dan bertanggungjawab hatta bersedia untuk membuat permohonan maaf sekiranya melakukan kesilapan. Kenyataan yang tidak berdasarkan fakta yang benar, bersifat menghasut dan menanamkan kebencian demi untuk mendapat publisiti dan perhatian adalah tindakan yang tidak beretika. Aktivisme mahasiswa era baru menjunjung tinggi nilai amanah, integriti dan bertanggungjawab.

Sebagai insan yang berilmu dan mempunyai idealisme, aktivisme mahasiswa juga perlu menekankan aspek adab. Adab di sini bukan sahaja bermaksud bersopan santun tetapi ia merangkumi aspek yang lebih luas. Menurut Syed Muhammad Naquib al-Attas Adab adalah pengenalan dan pengiktirafan hakikat bahawa ilmu dan segala yang wujud teratur bertingkat-tingkat mengikut martabat dan darjatnya masing-masing. Adab ialah pengenalan dan pengiktirafan tempat yang wajar bagi seseorang berhubung dengan hakikat tersebut serta dengan kebolehan dan potensi jasadi, akli dan rohani diri masing-masing. Dalam erti kata lain, nilai keilmuan dan aktivisme mahasiswa itu sendiri perlu disemai dan dilaksanakan dengan penuh adab. Adab inilah yang akan menghasilkan watak seorang insan yang berakhlak dan seimbang.

Sudah sampai masanya untuk kita mencipta kegemilangan baru gerakan mahasiswa menerusi aktivisme mahasiswa yang lebih dinamik dan progresif. Kebangkitan mahasiswa era lalu boleh dijadikan tauladan dan pengajaran serta inspirasi tetapi bukan ikutan secara total. Aktivisme mahasiswa era masa kini perlu mempunyai identiti dan falsafahnya yang tersendiri. Realiti zaman yang berubah dengan begitu pantas, dinamika kepelbagaian, kelajuan dan kecanggihan teknologi, perbezaan generasi, perkembangan sosio-ekonomi termasuk geo-politik dan cabaran dunia semasa pastinya akan mempengaruhi aktivisme mahasiswa masa kini. Naratif baharu aktivisme mahasiswa bukan hanya perlu ada semangat dan tenaga tetapi mesti diiringi dengan kekuatan intelektual, penguasaan ilmu pengetahuan, ketinggian adab, budi dan hikmah serta berjiwa besar dan terbuka. Kini sudah tiba waktunya untuk kita menggubal Falsafah Gerakan Mahasiswa yang tersendiri sebagai asas dan kerangka kepada aktivisme pelajar yang lebih progresif, adil, seimbang dan lestari.

(Zulkifli Hasan, Timbalan Rektor (Pembangunan Pelajar dan Penglibatan Masyarakat, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia)

SUBSCRIBE

Get the latest posts delivered to your mailbox:

Page Reader Press Enter to Read Page Content Out Loud Press Enter to Pause or Restart Reading Page Content Out Loud Press Enter to Stop Reading Page Content Out Loud Screen Reader Support