MEMPROFESIONALKAN AKTIVISME KEMASYARAKATAN

MEMPROFESIONALKAN AKTIVISME KEMASYARAKATAN

Gerakan masyarakat sivil dan aktivisme kemanusiaan semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia. Kita dapat menyaksikan begitu banyak NGO yang ditubuhkan begitu juga inisiatif individu menyumbang kepada masyarakat merangkumi aspek bantuan kesihatan, keperluan harian, pendidikan, kewangan dan sebagainya. Fenomena ini menunjukkan satu perkembangan positif membuktikan rakyat Malaysia semakin prihatin dan cakna mengenai isu dan permasalahan kemasyarakatan. Bahkan sudah mula wujud kesedaran dan keperluan kepada usaha-usaha yang berterusan dan lestari bukan bersifat ‘one off’ menerusi organisasi yang berstruktur dan urus tadbir yang berkesan.

Namun begitu, baru-baru ini timbul beberapa isu berkaitan dengan bantuan kemanusiaan menjadi tumpuan media dan masyarakat seperti isu Gaza yang masih hangat diperkatakan. Isu ketidaktelusan, penyalahgunaan dana, pengubahan wang haram, urus tadbir, pengurusan organisasi, koordinasi dan kolabarasi, etika termasuk selok belok dan ilmu yang perlu dimiliki semasa di lapangan antara yang diketengahkan. Di samping menyaksikan begitu hebat perbincangan yang berlaku khususnya di media sosial yang diwarnai dengan unsur negatif termasuk fitnah dan adu domba, masyarakat secara umumnya semakin cakna dengan kerja-kerja dan organisasi kemanusiaan. Kesannya sedikit sebanyak telah mempengaruhi keseluruhan persepsi masyarakat terhadap NGOs dan individu yang terlibat dengan usaha-usaha kemanusiaan.

Bagi memahami isu ini, adalah amat penting untuk melihat kategori dan tahap kerja-kerja kemasyarakatan. Secara umumnya ia boleh dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Khidmat Komuniti (Community Service), Penglibatan Komuniti (Community Engagement) dan Transformasi Komuniti (Community Transformation). Masyarakat selalu melihat bahawa semua NGOs atau invididu terlibat dalam kerja-kerja kemanusiaan ini adalah sama sedangkan sebaliknya. Menurut pemerhatian, terdapat perbezaan yang nyata antara amalan organisasi dan individu tertentu. Ada yang hanya fokus kepada Khidmat Komuniti yang bersifat ‘one off’ atau tidak berterusan seperti memberi bantuan makanan dan duit poket kepada individu yang memerlukan dan mereka akan meninggalkan komuniti itu setelah selesai aktiviti tersebut.Ada juga yang bersifat Penglibatan Komuniti di mana ia melibatkan kerja-kerja kemanusiaan untuk tempoh tertentu dan menjalinkan kerjasama yang lebih erat bersama komuniti tetapi komuniti masih bergantung kepada bantuan pihak lain.

Kategori yang paling efektif dan memerlukan lebih masa, kepakaran, perancangan jangka masa panjang merujuk kepada Transformasi Komuniti. Kategori ini melibatkan usaha-usaha membangunkan komuniti menerusi transformasi yang boleh dilaksanakan agar mereka boleh berdikari tanpa terus bergantung kepada organisasi tertentu. Kita menyaksikan ada organisasi yang telah berjaya membina sekolah, taman perumahan, kilang, sumber air, tenaga elektrik dan solar malahan membangunkan komuniti secara mampan sehingga mereka berjaya keluar daripada kemiskinan dan kemunduran. Berdasarkan pemahaman ini, masyarakat boleh menghargai, mengenalpasti dan menilai sejauh mana usaha-usaha kemasyarakatan yang dijalankan oleh sesebuah organisasi. Masyarakat juga boleh menentukan organisasi dan projek mana yang paling bersesuaian dan tepat untuk diberikan keutamaan sama ada dari aspek bantuan dana, sumbangan kepakaran dan sebagainya.

Merujuk kepada perkembangan semasa dunia kerja kemanusiaan di luar negara atau peringkat antarabangsa terutamanya negara maju yang semakin teratur dan professional, sudah tiba masanya untuk kita memikirkan perubahan kepada keseluruhan kerangka amalan kerja kemanusiaan di Malaysia merangkumi aspek falsafah, governan dan tadbir urus, ketelusan dan integriti, ruanglingkup etika dan undang-undang, disiplin ilmu dan kepakaran, latihan dan aktiviti termasuk penjenamaan. Dalam erti kata lain, kerja-kerja kemanusiaan dan kemasyarakatan perlu diprofesionalkan dan aktivis yang terlibat dengan usaha-usaha ini juga dianggap sebagai professional. Dengan anjakan paradigma ini, sektor kerja kemasyarakatan ini akan lebih tersusun, telus, teratur, efisyen dan terkawal. Isu akaun yang tidak diaudit, penyalahgunaan dana, pengubahan wang haram, etika, keberkesanan pengurusan dan sebagainya akan dapat ditangani dengan lebih efisyen. Kerangka Kerja Kemanusiaan oleh OECD dan OCHA sebagai contoh boleh dijadikan rujukan umum dan asas kepada ruang lingkup yang lebih kemas dan bersesuaian dengan keperluan dalam konteks Malaysia.

Selain itu, semangat persaingan dalam membuat kebajikan juga perlu diberikan dimensi baharu. Persaingan membuka ruang amalan tidak sihat dikalangan organisasi kerana masing-masing cuba untuk membuktikan kelebihan dan keberkesanan. Persaingan ini perlu digantikan dengan semangat kolaborasi atau Kerjasama antara organisasi dan aktivis masyarakat. Sebarang kelebihan akan menjadi kekuatan untuk dikongsikan dan kelemahan yang ada pada organisasi dijadikan teladan malahan saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Semangat kolaborasi ini menuntut semua pihak yang terlibat dengan kerja kemasyarakatan untuk berkongsi ilmu, pengalaman, sumber yang ada termasuk jaringan kepintaran dan kepakaran bukan atas dasar emosi dan kepentingan tertentu.

Kerja-kerja kemasyarakatan adalah suatu usaha yang mulia dan sepatutnya diberikan sokongan oleh semua pihak. Keadaan masyarakat pada waktu ini yang menghadapi ujian dan cabaran kehidupan yang pelbagai memerlukan pembelaan sewajarnya. Masyarakat tidak lagi hanya boleh mengharapkan kerajaan tetapi sektor masyarakat sivil juga perlu memainkan peranan membantu rakyat yang mengalami kesusahan. Malaysia menyaksikan perkembangan positif terhadap gerakan kerja kemasyarakatan melangkaui komuniti tempatan dan antarabangsa. Pelbagai NGO ditubuhkan termasuk yang bergerak secara individu menjalankan kerja-kerja kemasyarakatan di Malaysia mahupun di luar negara seperti di Syria, Palestine, Yaman dan sebagainya. Seiring dengan perkembangan ini, sememangnya sudah sampai waktunya untuk Malaysia merangka ruang lingkup dan membangunkan kerangka yang lebih kemas dan menyeluruh untuk mengawalselia dan menyediakan garis panduan kepada semua pihak yang terlibat dalam kerja-kerja kemanusiaan. Kerangka ini hendaklah fleksibel dan efisyen serta mampu memastikan keseluruhan ruang lingkup perlaksanaan dan amalan yang dibangunkan menjadi pemangkin kepada pemerkasaan aktivisme kemasyarakatan yang sejagat dan inklusif

SUBSCRIBE

Get the latest posts delivered to your mailbox:

Page Reader Press Enter to Read Page Content Out Loud Press Enter to Pause or Restart Reading Page Content Out Loud Press Enter to Stop Reading Page Content Out Loud Screen Reader Support