Dato’ Dr. Siddiq Fadhil Tokoh Intelektual Awam Nusantara

DATO” DR. SIDDIQ FADHIL TOKOH INTELEKTUAL AWAM NUSANTARA

www.zulkiflihasan.com

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum wbt,

Marilah kita sama-sama merafakkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana diberikan peluang dan kesempatan untuk meneruskan kehidupan dalam keadaan aman dan damai.

Mewakili KDH, saya mengalu-alukan kehadiran semua ke Majlis Peluncuran Semula Karya al Marhum Dato Dr. Siddiq Fadhil. Tiga karya penting USF telah dipilih untuk diterbitkan semula iaitu Pendidikan al-Hikmah (edisi ke 3 yang dikemaskini dengan 4 bab baru), Islam dan Melayu dan Puisi dan Pesan dari Haramain. Karya penting ini perlu diwacanakan secara meluas agar boleh dijadikan antara gagasan arus perdana membentuk Malaysia yang harmoni dan progresif.

Hadirin dan Hadirat,

Allah berfirman

كُلُّ نَفْسٍ ذَاۤىِٕقَةُ الْمَوْتِۗ   bermaksud: “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati.” (Surah Ali Imran, ayat 185)

Almarhum USF telah meninggalkan kita semua. Melihatkan wajah al Marhum yang penuh bercahaya dan berseri dan nukilan begitu ramai memperingati pemergiannya, jelas beliau telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan cemerlang dan telah bersedia menemui Tuhannya.

Tanggal 31 Ogos 2021 bersamaan 22 Muharam 1443 hijrah pastinya akan diingati sampai bila-bila. Seorang tokoh yang sentiasa menginspirasi. Sesungguhnya Malaysia kehilangan seorang tokoh ideologue yang sangat signifikan kepada bukan sahaja dunia dakwah tetapi dunia pemikiran yang bersifat wasatiy dan damai meraikan kepelbagaian dalam bingkai kesatuan. Di kala Malaysia diuji dengan konflik dan krisis politik dan kefahaman agama yang sempit dan marah-marah, USF konsisten dan secara elegan intelektual memberi pencerahan dengan memperkenalkan konsep dan istilah yang dinamik dan progresif bersumberkan nas sahih dan mengaplikasikannya dalam konteks realiti dan waqi’ termasuk mengambil kira kebijaksanaan setempat atau local and indigenous wisdom.

Hadirin dan Hadirat,

USF yang berlatarbelakang pendidikan agama berjaya membina persepsi baharu seorang agamawan yang dinamik dan progresif. Penulisan dan syarahan beliau sentiasa bersifat sejagat, inklusif dan universal serta disebatikan dan digabungjalinkan dengan realiti setempat dan konteks masyarakat. Beliau bukan sahaja menguasai turath dan pandangan ulama tradisi dan kontemporari tetapi arif dengan karya-karya besar moden barat dan tradisi keilmuan yang lain.

Wacana dakwah dan gerakan Islam selalunya didominasi oleh idea dan gagasan pemikir dunia Arab atau Timur Tengah. Hatta, penulis dan ahli akademik nusantara juga sentiasa merujuk karya-karya tokoh pemikir luar nusantara walaupun membicarakan realiti politik dan gerakan Islam di Malaysia dan Asia Tenggara. USF mengambil pendekatan yang lebih inklusif dengan merujuk kepelbagaian pandangan termasuk meraikan kebijaksanaan dan hikmah ulama nusantara seperti nama besar HAMKA, Pak Natsir, Mustafa Bisri, Zaaba, Syed Muhammad Naquib al-Attas dan ramai lagi. USF lah yang memperkenal dan mempopularkan gagasan dakwah manhaj maliziy yang bersifat wasatiy, damai dan menghormati dan menghargai kearifan setempat dan realiti masyarakat.

Sehingga hari ini, sukar untuk menemui tokoh akademik dan pendakwah yang menguasai bahasa dan kemahiran kesusasteraan yang hebat. USF bukan sahaja amat teliti dengan setiap karyanya malahan sangat berhati-hati menggunakan setiap patah perkataan dalam ucapannya. Ucapan Dasar USF pula sememangnya mempunyai kualitinya tersendiri dan ini terbukti ia terus relevan dan signifikan sehingga hari ini. USF juga mempopularkan puisi-puisi menghidupkan yang punya citra tersendiri dalam metod perjuangan dakwahnya. Secara jujurnya, jarang kita dapat menikmati keindahan dan kekuatan mesej sesebuah puisi sebagaimana mendengar deklamasi puisi oleh USF.

USF telah meletakkan piawaian yang sangat tinggi pengucapan awam seorang tokoh intelektual dengan penguasaan bahasa yang hebat dan teknik penyampaian yang punya aura tersendiri. Mesej yang berat dan tema besar gagasan umat diolah dengan begitu menarik diselangi dengan seloka intelektual menjadikan syarahannya sentiasa mendapat sambutan ramai.

Hadirin dan Hadirat,

Edward Said telah mempopularkan istilah ’public intellectual’ seperti yang terkandung dalam siri syarahannya di Universiti Colombia dan buku bertajuk ’the Legacy of the Public Intellectual. Intelektual Awam memberikan sumbangan bukan sahaja kepada academia tetapi juga masyarakat dan umat. Seorang Intelektual Awam tidak bersifat ekslusif dan elitis mengasingkan diri dengan realiti masyarakat. Intelektual Awam melibatkan diri bersama komuniti, memahami denyut nadi rakyat memberikan sumbangan pencerahan pemikiran dan kefahaman berpaksikan kebenaran. Melihatkan keseluruhan hidup dan perjuangannya, USF bukan sahaja seorang intelektual tetapi adalah intelektual awam yang sukar di cari ganti. Keseluruhan hidupnya dan karyanya diabadikan untuk masyarakat dan umat.

Hadirin dan hadirat,

Sesungguhnya, kita telah kehilangan seorang tokoh pendidik murabbi yang tiada galang gantinya. Pemergian USF pada 31 Ogos 2021 bersamaan 22 Muharam 1443 hijrah pasti akan diingati oleh ramai pihak terutama anak didiknya dan gerakan dakwah di Malaysia dan nusantara. Walaupun USF tidak pernah menghasilkan memoir kisah hidupnya malahan menolak untuk ditulis biografi dirinya, sehingga hari ini, begitu banyak nukilan dan penulisan oleh ramai ilmuwan, pelajar-pelajarnya, sahabat dan rakan seperjuangan, aktivis masyarakat, ahli politik termasuk bukan Muslim. USF diiktiraf ketokohan dan pemikirannya oleh orang Islam dan bukan Islam dalam dan luar negara.

Sudah sampai masanya, bagi memastikan idea dan pemikiran USF terus hidup dan dijadikan rujukan masyarakat, maka usaha-usaha untuk menerbitkan karya beliau dan menterjemahkan ke bahasa asing lain perlu dimulakan secara intensif. Pemikiran USF yang dinamik dan progresif khususnya dalam konteks Malaysia dan hikmah orang Melayu perlu dikaji dan diwacanakan. Wacana intelektual dan penyelidikan mengenai pemikiran USF mesti dihidupkan dan dilaksanakan secara strategik. Lebih penting lagi adalah untuk memikirkan perancangan melahirkan lebih ramai USF di masa depan.

Hadirin dan hadirat

Pemergian almarhum USF sebenarnya pemergian yang menghidupkan. Beliau bukan sahaja meninggalkan legasi yang begitu besar menerusi karya dan sumbangannya tetapi berjaya mencetak ramai pejuang-pejuang kebenaran.

Dalam konteks KDH, sememangnya almarhum merupakan tunjang dan kekuatan KDH. Sumbangan dan jasa kepada KDH tiada tandingannya. KDH punya sejarah tersendiri dengan almarhum yang perlu dicatat dan direkodkan. Almarhum selalu memperingatkan KDH adalah institusi yang perlu dipertahan dan diberi perhatian sewajarnya. Marilah bersama-sama menghayati pesanan al marhum dan bersama-sama berganding bahu meneruskan legasi keilmuwan dan membangunkan KDH sepertimana yg diimpikan.

Akhir kalam, saya ingin mengucapkan tahniah dan setinggi penghargaan kepada Akademi Kajian Ketamadunan, Kolej Dar al-Hikmah, WADAH, ABIM dan PKPIM atas inisiatif yang sangat signifikan ini. Terima kasih kepada semua yang terlibat dan hadir pada hari ini atas ingatan dan sokongan. Doakan kami di KDH diberikan kekuatan utk meneruskan usaha yang dimulakan almarhum USF.

Moga Allah menempatkan almarhum dikalangan para solihin di jannatul firdaus.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْه

SUBSCRIBE

Get the latest posts delivered to your mailbox:

Page Reader Press Enter to Read Page Content Out Loud Press Enter to Pause or Restart Reading Page Content Out Loud Press Enter to Stop Reading Page Content Out Loud Screen Reader Support