Memelihara Akauntabiliti Seorang Pendidik

MEMELIHARA AKAUNTABILITI SEORANG PENDIDIK

zulkiflihasan.com

Peranan Pendidik

Sebuah negara yang disegani di dunia memiliki satu ketamadunan yang mempunyai masyarakat yang berdisiplin, berhemah tinggi, berilmu, beriman, bertaqwa serta berakhlak mulia. Demi mencapai pembentukan akhlak terunggul, ianya memerlukan kegemilangan ilmu dan pendidikan bagi menjadi pemangkin kemakmuran dan kemajuan. Sejarah telah membuktikan bahawa kegemilangan sesebuah negara bergantung kepada kecemerlangan rakyatnya dan orang yang berperanan besar mewujudkan kegemilangan tersebut, ialah pendidik.

Memerhatikan isu yang sedang hangat diperkatakan mengenai kejadian seorang pendidik yang menegur anak didiknya dengan cara yang tidak bersesuaian, penulis cuba menawarkan perspektif yang sedikit berbeza tetapi mendamaikan. Budaya damai dalam memberikan pandangan dan menyelesaikan sebarang perselisihan dan perbezaan pandangan perlu dijadikan amalan semua. Isu ini sebenarnya membuka ruang kepada semua untuk menilai semula peranan dan kualiti pendidik selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan ajaran Islam. 

Peranan pendidik yang paling utama adalah untuk menyampaikan ilmu pengetahuan agar dapat membina rohani, jasmani, emosi, intelektual pelajar yang seimbang. Dalam melaksanakan tanggungjawab ini, pendidik yang baik mestilah mempunyai ciri-ciri tertentu seperti yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Islam amat menitikberatkan ilmu pengetahuan dan meletakkan darjat yang tinggi kepada orang yang menyebarkan ilmu. Ini telah dirakamkan oleh Allah SWT dalam surah al-Mujadalah ayat 11 yang bermaksud: “Allah meninggikan darjat orang yang beriman dan di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama beberapa darjat”. Ayat ini menunjukkan bahawa orang yang berilmu mempunyai darjat yang lebih tinggi, lebih-lebih lagi orang yang menyebarkan ilmu pengetahuan seperti pendidik sama ada di peringkat rendah mahu pun di institusi pengajian tinggi. Sebagai seorang pendidik yang diberkati Allah SWT, mereka mestilah menjaga akauntabilitinya selaras dengan kesucian dan keberkatan profesion ini.

Akauntabiliti Seorang Pendidik

Akauntabiliti merupakan perkara yang amat penting untuk dipelihara oleh setiap pendidik. Secara umumnya, akauntabiliti ini merujuk kepada tanggungjawab seorang pendidik kepada setiap perkara mahu pun hasil kerjanya. Sebagai seorang yang profesional, pendidik perlu memelihara dan melaksanakan tanggunggjawabnya dengan penuh ikhlas dan sebaik mungkin. Ini adalah kerana pendidik bertanggungjawab menghasilkan manusia yang baik dalam pelbagai bidang demi keperluan negara bahkan umat seluruhnya.

Aspek kepimpinan merangkumi segenap aspek kependidikan. Kepimpinan yang dimaksudkan adalah keupayaan mencorak, mengemudi dan memandu dalam proses pencapaian matlamat kecemerlangan. Pendidik yang mempunyai ciri kepimpinan yang baik akan dapat mengatur strategi dan berusaha mempertingkatkan kualiti, berusaha penambahbaikan kecekapan dan kejituan ilmu dan proses penyebaran ilmu pengetahuan. Adalah menjadi kewajipan seorang pendidik untuk memastikan setiap hasil kerja mereka sesuatu yang berkualiti dalam semua aspek pengajaran dan yang berkaitan.  Pendidik perlu mempergiatkan aktiviti ilmiah dalam perkongsian dan perluasan ilmu termasuk membina jaringan ilmuwan.

Profesionalisme dalam konteks pendidik merujuk kepada keupayaan dan kecekapan melaksanakan sesuatu tanggungjawab berdasarkan kepada panduan ilmu dan latihan, serta kepakaran. Di dalam melaksanakan sesuatu perkara seorang pendidik yang profesional adalah terikat dengan etika profesion yang merangkumi etika dalam keilmuan, sikap dan kemahiran. Sebagai contoh seorang pendidik perlu menyerlahkan elemen-elemen penjagaan tingkahlaku seperti, cara berpakaian, berkomunikasi, tidak mengadakan hubungan dengan pelajar, mematuhi masa, menghormati rakan sejawat, kerja berpasukan dan menjaga kerahsiaan.

Pendidik bertanggungjawab menjaga amanah ilmu bukan sahaja bertindak untuk memperkayakan ilmu dalam diri sebaliknya sentiasa menyalurkan idea-idea dan ilmu yang ada pada mereka baik dan mempunyai integriti yang tinggi. Pendidik juga perlu menitikberatkan aspek ketelusan dan kerahsiaan. Pendidik yang baik akan bersedia menerima teguran-teguran dan komen-komen membina dan ini akan dapat meningkatkan lagi kualiti pengajaran dan penyampaian. Dari aspek kerahsiaan, menjaga kerahsiaan ini seperti memelihara aib pelajar adalah amanah yang sangat penting. Amalan ini akan memberikan keyakinan pelajar dan pihak-pihak lain kepada pendidik itu sendiri. 

Ciri-Ciri Pendidik

Secara umumnya, pendidik perlu memainkan fungsi sebagai mudarris (pengajar), muallim (penyampai yang benar), murabbi (pengasuh dan pendidik dengan kasih sayang), muaddib (pembentuk adab dan akhlak) dan mursyid (pembimbing ke arah kebaikan).

Mudarris bermaksud mengajar ataupun pengajaran. Pendidik hendaklah bertanggungjawab menyampaikan ilmu yang ada padanya kepada pelajarnya bagi membina pemikiran, rohani, jasmani dan emosi. Apa yang diketahuinya hendaklah disampaikan kerana kerja pengajaran adalah sebahagian daripada amal soleh.

Pendidik sebagai muallim akan menyampaikan ilmu kepada orang lain dan mengamalkan apa yang disampaikan di samping berusaha menambah ilmu pengetahuan. Muallim mempunyai rasa belas kasihan kepada pelajar dan memandang mereka dengan kasih sayang.

Murabbi bermaksud memperbaiki, memimpin dan mentadbir. Murabbi akan menyayangi pelajar-pelajarnya, menasihati dan membimbing mereka, bukan sahaja memahami ilmu yang disampaikan tetapi juga ke arah pembentukan syahsiyah yang mulia.

Muaddib bermaksud mendidik ke arah memperelokkan lagi akhlak dan adab pelajar. Pendidik yang muaddib melaksanakan tanggungjawab menyampaikan ilmu dan berusaha membentuk karakter pelajar-pelajar.

Pendidik mursyid akan membimbing pelajar-pelajarnya ke jalan yang benar dengan nilai dan berperanan sebagai hamba Allah SWT dan khalifahNya di muka bumi. Pendidik mursyid mempunyai tingkah laku dan akhlak baik dan terpuji, bersih dari sikap tercela, tidak taasub atau fanatik, zuhud pada amalan dan perbuatan dan mempunyai tokoh kepimpinan serta menjaga amanah seperti memelihara keaiban pelajar-pelajarnya.

Memelihara Akauntabiliti Seorang Pendidik

Setiap pendidik mempunyai amanah untuk memelihara akauntabiliti. Melihat kepada amalan segelintir pendidik yang masih menggunakan pendekatan yang kasar melibatkan perkataan yang kadangkala menghina atau merendahkan anak didiknya walaupun tanpa niat untuk berbuat demikian perlu dilihat semula. Pendekatan sedemikian walaupun pernah menghasilkan kejayaan tetapi ia juga sebenarnya pernah membunuh atau mematahkan semangat pelajar-pelajar tanpa disedari.  Sesungguhnya perbuatan sedemikian tidak selari dengan ajaran al-Quran dan akhlak yang ditunjukkan Rasulullah SAW. Pendidik perlu berusaha sebaik mungkin untuk memperbaiki diri dan bersifat Ihsan. 

Mendidik Mencari Keredhaan Allah SWT

Seorang pendidik perlu memastikan niatnya untuk bersifat ikhlas dalam segala amal pendidik yang dilakukannya. Allah SWT telah merakamkan dalam al-Quran surah al-Bayyinah ayat 5 yang bermaksud ”Dan tiadalah mereka itu diperintahkan, melainkan supaya mereka menyembah Allah dalam keadaan mengikhlaskan agama kepadanya”. Ini dikuatkan lagi dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: ”Sesungguhnya Allah tidak akan menerima suatu amalan melainkan apa yang ikhlas kepadaNya dan yang ditujukan hanya untukNya”. (Riwayat Abu Daud dan al-Nasai). Pendidik hendaklah menunjukkan setiap pekerjaan yang dilaksanakan itu hanya semata-mata kerana Allah SWT kerana hanya dengan keikhlasan akan mendapat keredhaan dan keberkatan bahkan akan dikasihi dan dihormati oleh pelajar mahupun masyarakat.

Peribadi Mulia

Pendidik bukan sahaja menjadi role model atau pun ikutan kepada pelajar menerusi sifat terpuji aspek rohani seperti ikhlas, jujur, sabar, kasih sayang, warak dan takwa, bahkan menerusi sifat-sifat fizikal atau lahiriah seperti tutur kata, tingkah laku, kebersihan diri, pakaian, tempat tinggal dan lain-lain. Bagi mencapai keberkesanan proses pembelajaran dan pengajaran serta pembentukan peribadi mulia, Islam mengutamakan tutur kata, tingkah laku yang baik dan nasihat berguna serta menarik. Hal ini dapat dilihat jika kita merujuk dakwah yang dijalankan oleh Nabi Musa dan Nabi Harun, ketika mereka menyampaikan seruan agama kepada Firaun yang amat zalim seperti yang difirmankan oleh Allah SWT di dalam al-Quran surah Taha ayat 43 yang bermaksud:” Pergilah engkau berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia derhaka. Katakanlah kepadanya perkataan yang lemah lembut, mudah-mudahan ia akan dapat pengajaran atau takut kepada Tuhan”.

Menjaga Kehebatan dan Kehormatan Diri

Sudah menjadi tanggapan masyarakat mahupun pelajar bahawa seorang pendidik adalah seorang yang mempunyai kehormatan diri dan kehebatan ilmu pengetahuan. Oleh itu, sudah semestinya pendidik untuk beramal dan berpegang teguh dengan ilmu yang dimilikinya. Setiap amalan mestilah dilakukan dengan istiqamah dan seterusnya menjadikan diri untuk lebih bertakwa kepada Allah SWT. Pendidik tidak sepatutnya melakukan perkara yang berlawanan dengan ilmu yang dimiliki kerana ini akan menjatuhkan kehormatan diri dan mengurangkan rasa hormat pelajar kepadanya. Hal ini telah dirakamkan oleh Allah SWT di dalam surah al-Maidah ayat 44 yang bermaksud: ”Adakah patut kamu menyuruh manusia membuat kebajikan dan kamu lupakan diri kamu sendiri sedangkan kamu membaca kitab Allah, tidakkah kamu berakal”.

Memiliki Ilmu dan Kaedah Pengajaran

Pendidik sememangnya perlu memiliki ilmu yang mantap dan mendalam dalam bidang yang diceburi. Pelajar akan lebih yakin dan mudah menerima ilmu yang disampaikan sekiranya pendidik benar-benar menguasai ilmu tersebut. Selain itu, pendidik juga perlu kreatif dan inovatif dalam menggunakan kaedah atau teknik pengajaran berkesan. Dalam dunia moden masa kini, pendidik perlu arif dalam penggunaan teknologi dan dalam masa yang sama sentiasa mempelbagaikan teknik pengajaran agar lebih berkesan dan menarik minat pelajar.

Bersifat Kasih Sayang

Pelajar merupakan golongan yang masih muda dan perlukan perhatian oleh pendidik mereka. Oleh itu, pendidik mesti mempunyai sifat kasih kepada pelajar. Dengan sifat ini, pelajar akan lebih mudah mendekati pendidik. Sifat ini juga akan dapat menerbitkan suasana mesra di antara pelajar dan pendidik dan seterusnya akan memudahkan lagi proses pentarbiyahan dan pembentukan peribadi mulia.

Pendidik Membentuk Generasi Berilmu, Berhikmah, Berakhlak dan Berbudi

Secara umumnya, seorang pendidik mesti berusaha untuk  memenuhi kualiti murabbi, mudarris, muallim, muaddib dan mursyid. Dengan kualiti pendidik yang dimiliki, ilmu pengetahuan yang disampaikan akan menjadi lebih berkesan dan mudah diterima oleh para pelajar. Jadilah pendidik yang mendidik kerana Allah SWT, berperibadi mulia, menjaga kehebatan dan kehormatan diri, memiliki ilmu dan kaedah pengajaran dan bersifat kasih sayang. Akauntabiliti seorang pendidik merupakan perkara yang amat penting untuk dipelihara demi menjaga nama baik profesion mulia ini ke arah membentuk generasi yang berilmu, berhikmah, berakhlak dan berbudi.

SUBSCRIBE

Get the latest posts delivered to your mailbox:

Page Reader Press Enter to Read Page Content Out Loud Press Enter to Pause or Restart Reading Page Content Out Loud Press Enter to Stop Reading Page Content Out Loud Screen Reader Support