MENCIPTA MALAYSIA BAHARU PASCA 19 NOVEMBER 2022

MENCIPTA MALAYSIA BAHARU PASCA 19 NOVEMBER 2022

Seluruh Malaysia kelihatan meriah dengan kempen dan poster pilihanraya oleh parti politik. PRU15 pastinya menimbulkan persoalan mengenai formula terbaik bagi membuat keputusan atau pilihan. Setelah meneliti pandangan, hujah, idea, gagasan, justifikasi, faktor-faktor dan bentuk pemikiran berkaitan dalam konteks politik di Malaysia, saya akhirnya merujuk karya agung Mukaddimah Ibnu Khaldun pada PRU15 ini.

Gambar di atas adalah nota ringkasan saya daripada pemikiran Ibnu Khaldun dalam magnum opus Mukaddimah. Pemikiran Ibnu Khaldun ini juga digunakan oleh ramai sarjana dalam pelbagai bidang. Kelebihan Ibnu Khaldun berbanding ramai pemikir lain ialah beliau melalui era yang begitu bersejarah (Monggol, Abasiyah, Mamluk dan ‘Black Death’) bukan sahaja sebagai intelektual tetapi terlibat sama dalam pentadbiran dan politik di zamannya.

Setelah meneliti dan memerhati perjalanan dan manifesto parti politik pada PRU15 kali ini, keputusan untuk memilih boleh ditentukan menerusi dua dimensi iaitu maslahah dan mafsadah dari perspektif makro dan mikro. Rakyat Malaysia sebenarnya perlu memikirkan dan mengaulakan bukan sahaja maslahah ‘amah (maslahah makro) bahkan lebih penting ialah kemampuan untuk mengenalpasti dan menguruskan mafsadah ‘amah (mafsadah makro). Ibnu Khaldun memperkenalkan kaedah ‘Macro History’ dan ‘Cyclical Theory’ yang sangat relevan dalam menguruskan makro maslahah dan makro mafsadah. Ini adalah sangat penting dalam membina naratif baru mendepani cabaran masa depan ke arah membina negara yang lebih gemilang.

Dalam keadaan Malaysia pada hari ini yang mendepani pelbagai cabaran dengan tanda-tanda kelemahan dan krisis yang semakin dirasakan, kita mesti punya keberanian dan kebijaksanaan melakukan PERUBAHAN menerusi naratif baharu yang dicipta ke arah mengekalkan kemakmuran dan membina negara yang lebih gemilang. Kegagalan atau lambat untuk membuat PERUBAHAN akan mempercepatkan kejatuhan. Ibnu Khaldun menyentuh aspek ‘conventional wisdom’ yang menekankan semangat kekitaan yang melangkaui bangsa.

Semangat kekitaan menerusi tema kesatuan pemikiran ‘wahdatul fikr’ mungkin sesuatu yang sukar untuk menjadi realiti. Penulis ingin membawa gagasan semangat kekitaaan bangsa Malaysia menerusi ‘wahdatul amal’ dan ‘wahdatul khayr’ iaitu kesatuan untuk melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Semangat kekitaan bangsa Malaysia wahdatul khayr dan amal menuntut perpaduan dan kesatuan semua bangsa untuk melakukan perubahan ke arah kebaikan, mencintai keadilan, membenci rasuah dan penyelewengan dan menolak sentimen perkauman.

Perubahan yang didambakan dalam PRU15 adalah sangat penting untuk membina naratif baharu yang seterusnya mengubah cara berfikir, ‘behavior’ dan tindakan. Naratif baharu politik di Malaysia perlu melihat bangsa Malaysia bersama-sama membangunkan negara ini dengan semangat ‘wahdatul khayr dan amal’. Naratif baharu ini perlu menjadikan Islam itu dipertontonkan dengan keindahannya yang meraikan kepelbagaian dalam kerangka Syariat. Naratif baharu ini juga akan memperlihatkan Islam itu sebagai agama yang inklusif, hikmah dan penuh dengan sifat rahmah tidak prejudis mahupun menunggang agama menggunakan sentimen perkauman untuk mengaut sokongan.

Naratif baharu Malaysia akan menyahmitoskan kepercayaan bahawa hanya parti tertentu yang mampu membawa kestabilan mentadbir negara ini di mana peluang patut diberikan kepada mana-mana parti yang sedia berkhidmat demi rakyat. Naratif lama dengan fahaman dan ketakutan bahawa bangsa atau parti politik tertentu akan menggugat keharmonian negara dan mengancam kedudukan Melayu dan Islam, bakal menggugat akidah dan banyak lagi perlu diubah dengan naratif baharu yang lebih dinamik dan bersifat universal seiring dengan tuntutan Islam yang inklusif dan rahmah. Naratif baharu melihat Malaysia yang cemerlang bukan sahaja di arena tempatan malahan antarabangsa.

Naratif baharu Malaysia memberikan peringatan kepada sesiapa sahaja yang berkuasa bahawa semangat kekitaan rakyat yang cintakan kebaikan dan bencikan kemungkaran akan menentukan kedudukan mereka dan pastinya dihukum sekiranya khianat dengan amanah diberikan. Naratif baharu memupuk budaya politik yang bebas rasuah, dinamik, bersih, beretika dan strategik. Lebih utama, Naratif baharu ini akan membina dan membentuk pemikiran bangsa Malaysia yang lebih progresif, positif dan menghormati kepelbagaian dalam bingkai Kesatuan. Bagi mencipta Naratif Baharu ini, rakyat Malaysia tidak punya pilihan melainkan menggunakan kebjiaksanaan dan keberanian untuk membuat perubahan menerusi semangat kekitaan wahdatul khayr bangsa Malaysia. Ingatlah, tarikh 19 November 2022 bukan hanya sekadar turun mengundi tetapi merupakan peluang untuk seluruh rakyat Malaysia mencetuskan PERUBAHAN.

SUBSCRIBE

Get the latest posts delivered to your mailbox:

Page Reader Press Enter to Read Page Content Out Loud Press Enter to Pause or Restart Reading Page Content Out Loud Press Enter to Stop Reading Page Content Out Loud Screen Reader Support