Mengenang Sumbangan Madrasah Idrisiah 100 Tahun

Mengenang Sumbangan Madrasah Idrisiah 100 Tahun

Pendidikan agama memainkan peranan yang signifikan kepada negara. Sejarah menyaksikan Madrasah atau sekolah agama pernah menjadi nadi utama melahirkan ramai tokoh-tokoh ilmuwan dalam masyarakat serta pejuang kemerdekaan tanahair. Terdapat beberapa institusi Pendidikan yang memberikan sumbangan besar seawal abad ke-20 seperti Maahad Muhammadi, di Kelantan, Madrasah al-Masyhur di Pulau Pinang dan Madrasah Idrisiah di Perak. Pada tahun ini, genap 100 tahun Madrasah Idrisiah menabur bakti kepada masyarakat. Ribuan pelajar dihasilkan telah memberi khidmat bukan sahaja kepada negeri Perak tetapi negara dan umat. Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah akan mencemar duli meraikan Sambutan 100 Tahun Madrasah Idrisiah pada 15 Oktober 2022 ini.

Madrasah Idrisiah ditubuhkan oleh Sultan Idris Mursyidul Adzam Shah I Sultan Perak yang ke-28 pada 1922. Sepanjang 100 tahun Madrasah Idrisiah, seramai 7 Sultan yang menaunginya dan ini termasuk Sultan Abdul Jalil Nasaruddin, Sultan Iskandar Shah, Sultan Abdul Aziz Al-Mu’tazim Bilah Shah, Sultan Yusuf Izzuddin Shah, Sultan Idris Iskandar Al-Mutawakkil Allalah Shah II, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah dan Sultan Nazrin Shah. Sejarah mencatatkan bahawa Madrasah Idrisiah merupakan institusi pertama yang menggunakan sistem persekolahan di samping mengekalkan ciri sekolah pondok. Bahkan, Madrasah Idrisiah menjadi inspirasi kepada penubuhan sekolah-sekolah agama lain di Perak.

Berbanding dengan banyak institusi lain, Madrasah Idrisiah adalah unik di mana ia diasaskan oleh seorang Sultan dan dibina atas konsep wakaf. Sultan Idris Mursyidul Adzam Shah I telah mewakafkan tanah dan hasil sewaan rumah kedai di sekitar Kuala Kangsar bagi menjamin kelestarian kewangan Madrasah. Wakaf ini dikawal selia oleh Pemegang Amanah Ugama dan Khairat Sultan Idris. Mungkin tidak keterlaluan dikatakan bahawa Madrasah Idrisiah adalah model wakaf institusi Pendidikan agama yang mampan dan lestari. Wakaf Sultan Idris ini telah memberikan manfaat yang berterusan kepada kelestarian Madrasah Idrisiah sejak ia ditubuhkan. Selain itu, pada tahun 1938 Biasiswa Iskandar bersempena nama Sultan Iskandar Qaddasallah Shah juga telah diperkenalkan.

Madrasah Idrisiah telah memberikan sumbangan yang amat bermakna kepada negara. Madrasah Idrisiah berjaya melahirkan tokoh-tokoh bersifat terbuka dan rasional menjadi agen pencerahan dan pencerdasan dalam masyarakat. Selain melahirkan ramai tokoh agama dan intelektual yang memainkan peranan penting dalam masyarakat, Madrasah idrisiah juga melahirkan tokoh perjuangan kemerdekaan tanahair. Sheikh Abdullah Fahim, Mudir Madrasah Idrisiah Kedua merupakan pejuang kemerdekaan dan beliau berperanan secara langsung dalam melahirkan ramai tokoh-tokoh pejuang tanahair. Sheikh Abdullah Fahim mendapat pengiktirafan negara dengan menentukan tarikh kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Begitu juga dengan nama-nama besar seperti Ustaz Abu Bakar al Baqir dan Zulkifli Muhammad merupakan bekas pelajar Idrisiah yang sangat berjasa kepada negara.

Seawal penubuhannya, Madrasah Idrisiah diterajui oleh tokoh ilmuwan hebat yang menjadi rujukan masyarakat. Lebih menarik keempat-empat Mudir terawal Madrasah Idrisiah semuanya mendapat Pendidikan di Mekah. Ini menunjukkan bahawa Madrasah Idrisiah diterajui oleh tokoh ilmuwan yang terkehadapan dan mempunyai ilmu pengetahuan, kebijaksanaan dan pengalaman. Pemilihan Mudir ini juga berkait rapat dengan peranan istana yang mahu melihat institusi Pendidikan seperti Madrasah Idrisiah ini berjaya dan memberi impak yang siginifikan. Jawatan Mudir mesti mendapat perkenan Sultan Perak.

Mufti Perak pernah secara tradisinya berlatarbelakang Pendidikan di Madrasah Idrisiah. Haji Sha’aya bin Abdul Majid, Mufti Kerajaan Negeri Perak ke-4, Dato’ Haji Abu Hassan bin Abdul Majid, Mufti Kerajaan Negeri Perak ke-5, Dato’ Seri Haji Abdul Malek bin Haji Nordin, Mufti Kerajaan Negeri Perak ke-7 dan Tan Sri Dato Seri Haji Harussani bin Haji Zakaria, Mufti Kerajaan Negeri Perak ke-8 kesemuanya pernah mendapat pendidikan di Madrasah Idrisiah.

Ustaz Abu Bakar al Baqir tokoh reformis dan kemerdekaan bekas pelajar dan tenaga pengajar Madrasah Idrisiah menubuhkan Maahad II Ihya AsSyarif di Gunung Semanggol. Beliau pernah belajar di Madrasah Idrisiah selama dua tahun dari 1930-1931 dan menjadi tenaga pengajar pada 1932-1934 sebelum ke Maahad. Maahad ini kemudiannya menjadi sangat instrumental dengan perjuangan kemerdekaan tanahair. Beliau menubuhkan Parti Hizbul Muslimin pada 1948 dan terlibat aktif dengan gerakan kemerdekaan tanahair.

Dari sudut pimpinan politik, Madrasah Idrisiah melahirkan ramai tokoh politik seperti Dato’ Haji Mohd Nakhaie Haji Ahmad, Tan Sri Dr. Abdul Hamid Othman dan Zulkifli Muhammad. Zulkifli Muhammad tokoh tidak asing lagi dengan gerakan politik Islam pernah melanjutkan pengajiannya di Madrasah Idrisiah dari 1943 sehingga 1945. Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman pula adalah ahli akademik yang terjun ke dunia politik dan pernah memegang jawatan Menteri dan Penasihat Agama kepada Perdana Menteri.

Kini, Madrasah Idrisiah telah memasuki era 100 tahun seabad umurnya. Pengalaman 100 tahun ini pastinya sangat bermakna menempuhi pelbagai cabaran dan ujian. Bermula hanya dengan hanya 23 pelajar, Madrasah Idrisiah sudah mampu menampung lebih 500 pelajar daripada Tingkatan Satu sehingga Enam. Madrasah Idrisiah juga mendapat pengiktirafan Arkib Negara dengan secara rasminya diiktiraf sebagai salah satu warisan negara Malaysia pada 31 Mac 2001. Seiring dengan usianya, Madrasah Idrisiah telah membuktikan bahawa sistem Pendidikan agama yang menekankan integrasi ilmu pengetahuan mampu terus relevan memberi sumbangan signifikan kepada negara.

Madrasah Idrisiah pernah melalui zaman sukar dan kemerosotan. Dicatatkan bahawa sekitar 1976 sehingga 1984 keadaan Madrasah dari sudut fizikal dan sistem pengajian adalah terbiar dan tidak teratur. Ini berdasarkan kepada beberapa faktor yang berkaitan pada waktu itu. Sesuatu yang mesti dicatatkan ialah peranan Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Al Marhum Sultan Yusuf Izzuddin GhafarallahuLah mengembalikan kegemilangan Madrasah Idrisiah. Baginda telah membuat kunjungan rasmi ke Madrasah Idrisiah seawal 1984 iaitu pada 5 Oktober dan diberi taklimat oleh pengurusan Madrasah di Rumah Bulat. Baginda telah menitahkan untuk memulih dan menambahbaik Madrasah Idrisiah daripada aspek akademik, fizikal dan keseluruhannya. Malahan, semasa Muzakarah Ulama dan Majlis Perasmian Bangunan Tambahan Madrasah Idrisiah, baginda menyatakan tiga isu utama institusi pengajian Islam iaitu kurikulum, kemudahan infrastruktur dan sumber kewangan. Sultan Azlan juga mengingatkan agar menguasai pelbagai kemahiran dan ilmu sains serta teknikal.

Keprihatinan Sultan Azlan kemudiannya diikuti oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi Menteri Pelajaran pada waktu itu. Beliau telah membuat kunjungan hormat ke Madrasah Idrisiah pada 1985.  Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah juga menunjukkan keprihatinan kepada Madrasah Idrisiah. Baginda sejak memegang jawatan Raja Muda Perak lagi sering hadir ke Majlis Ihtifal Madrasah Idrisiah. Ini menunjukkan keprihatinan baginda kepada perkembangan Madrasah Idrisiah yang diteruskan oleh Ayahanda baginda Sultan Azlan.

Sumbangan Madrasah Idrisiah dapat dilihat menerusi penerapan idea Islah Islamiah mengajak masyarakat kembali kepada ajaran Islam yang sahih dan syumul dan mengelakkan daripada taksub dan taqlid tanpa kekuatan ilmu. Syeikh Abdullah Fahim menggariskan prinsip Pendidikan Madrasah Idrisiah iaitu Tahqiq berdasarkan tafsir muktabar, meneliti hadis dengan faham maufiqah dan muqalaah, mengikut matan-matan ilmu tauhid dan fiqah, menetapkan ujian secara berterusan, semangat belajar dan mengajar, menyebarkan kefahamanya, tidak menimbulkan masalah khilafiah mengambil pandangan aswaja dan mazhab syafie, latihan rohani dan ibadah dan guna kitab bahasa arab dalam semua matapelajaran.

Madrasah Idrisiah pernah menyaksikan penghasilan dan penerbitan Majalah yang menjadi rujukan masyarakat seawall penubuhannya. Antara majalah yang diterbitkan oleh pihak madrasah adalah Panduan (1934-1935). Pada bulan November 1934, majalah Panduan mula diterbitkan oleh guru Madrasah Idrisiah sendiri iaitu Tuan Haji Mohamad dibantu oleh anak muridnya Haji Mohd. Noor Faiz sebagai pengarang. Majalah ini diterbitkan secara bulanan oleh Syarikat percetakan Al-Zainiah di Taiping, Perak mempunyai 32 halaman bercetak dengan harga $0.20 seunit.

Madrasah Idrisiah secara tradisinya mempunyai keakraban dengan institusi Pendidikan dan ulama di nusantara seperti Lebai Said dari Minangkabau, Kadhi Besar Sayyid Abdullah Abu Bakar al Attas, Syeikhul Islam Syeikh Tahir Jalaluddin al Afghani dan Syeikh Islam Muhammad Salleh. Syeikh Tahir pernah menetap di Kuala Kangsar menjadi penasihat Sultan Idris, pengasas Madrasah Idrisiah. Ini membuktikan bahawa Madrasah Idrisiah sememangnya sudah memiliki jaringan dengan institusi-institusi lain di peringkat serantau.

Madrasah Idrisiah pernah memiliki visi yang lebih jauh terkehadapan bukan sahaja terhenti sekadar sebagai sebuah sekolah tetapi dinaiktaraf menjadi sebuah Kolej atau Institut. Sultan Abdul Aziz Al-Mustassim Billah pernah berhasrat untuk menubuhkan Kolej Iskandar pusat pengajian tinggi di Madrasah Idrisiah. Syeikh Abdullah Fahim, Mudir Kedua Madrasah Idrisiah cuba melaksanakan Hasrat ini tetapi tersekat kerana Perang Dunia Kedua. Semasa kunjungan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah Muizzuddin Waddaulah pada 13 Februari 1992, Madrasah Idrisiah pernah memperlihatkan model bangunan Institut Pengajian Tahassus al Idrisiah (IPTA) yang menelan perbelanjaan sebanyak 12.4 juta. Tabung IPTA juga telah dilancarkan Sultan Perak Sultan Azlan Muhibuddin Shah pada 20 Mei 1997.

Dunia hari ini penuh dengan cabaran yang serba hebat. Dalam era abad ke-21 ini, dengan cabaran dalaman dan luaran, menuntut untuk kita membuat perancangan mempersiapkan diri untuk menghadapinya dengan berhikmah. Madrasah Idrisiah akan terus cemerlang melahirkan tokoh-tokoh ilmuan dan intelektual serta aktivis yang sentiasa menyumbang kepada umat dan masyarakat. Madrasah Idrisiah seharusnya menggunakan kelebihan pengalaman dan sejarah cemerlang bagi meneruskan legasi  100 tahun dan mencipta kegemilangan baharu. Dengan sokongan dan dokongan Tuanku Sultan Perak pastinya ia menjadi pencetus semangat untuk melakukan perubahan. Sebagai bekas pelajar, penulis yakin bahawa Madrasah Idrisiah akan terus berkembang dan maju di masa hadapan. – Zulkifli Hasan, Universiti Sains Islam Malaysia.

SUBSCRIBE

Get the latest posts delivered to your mailbox:

Page Reader Press Enter to Read Page Content Out Loud Press Enter to Pause or Restart Reading Page Content Out Loud Press Enter to Stop Reading Page Content Out Loud Screen Reader Support