PROFESOR DR MOHD KAMAL HASAN ILMUWAN MURABBI ULUNG

PROFESOR DR MOHD KAMAL HASAN ILMUWAN MURABBI ULUNG

Mula mengenali Professor Mohd Kamal Hasan semasa menuntut di Madrasah Idrisiah. Ketika itu, sebagai anak muda dan penuntut ilmu, penulis didedahkan dengan tokoh-tokoh tersohor dunia Islam seperti Hasan al Banna, Syed Abul A’la al Maududi, Syed Qutb, Jamaluddin al-Afghani, Muhammad Abduh, Allama Iqbal termasuk tokoh nusantara seperti Hamka, Muhammad Natsir, Syeikh Daud al Fattani dan Syeikh Tahir Jalaluddin dan Syed Syeikh al-Hadi. Antara tokoh tersohor tanahair yang menarik perhatian penulis adalah Profesor Ahmad Ibrahim dan Professor Mohd Kamal Hasan dan berkebetulan kedua-duanya berkhidmat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Penulis mengakui bahawa Professor Mohd Kamal Hasan dan Profesor Ahmad Ibrahim adalah dua tokoh yang menginspirasi dalam kehidupan. Kedua tokoh inilah yang menjadi antara faktor utama penulis memilih UIAM sebagai universiti pilihan walaupun mendapat tawaran daripada pelbagai institusi. Penulis merasa begitu bertuah kerana berpeluang dan pernah berinteraksi dan menimba pengalaman daripada keduanya. Penulis telah menerbitkan satu makalah mengenai Professor Ahmad Ibrahim dan mengambil kesempatan kali ini untuk menulis refleksi peribadi mengenai Profesor Mohd Kamal Hasan. Penulis menggunakan Professor sahaja tanpa menyebut gelaran Tan Sri atau Emeritus dalam penulisan ini kerana Profesor Mohd Kamal Hasan selalu mengingatkan penulis bahawa beliau selesa dengan panggilan ‘Prof Kamal’ menunjukkan ketinggian budi pekerti sentiasa merendah diri seorang tokoh ilmuwan.

Profesor Mohd Kamal Hasan adalah contoh anak Melayu cemerlang dan terbilang bukan sahaja di Malaysia bahkan di persada antarabangsa. Mendapat pendidikan di Universiti Malaya dan di Columbia University, New York dengan keputusan yang sangat cemerlang. Beliau pernah berkhidmat di UIAM sebagai Dekan Pertama Kuliah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan UIAM dan Rektor Ketiga (1998-2006) dan di Georgetown University sebagai Profesor Pelawat dan Pemegang Pertama Kerusi Pemikiran Islam di Asia Tenggara di Centre for Muslim-Christian Understanding. Sebagai pengiktirafan atas sumbangan dan pengaruh, beliau mendapat pelbagai anugerah tertinggi peringkat kebangsaan dan antarabangsa seperti Anugerah Profesor Ulung, Profesor Emeritus dan Pingat Emas Meritorious Service to the Ummah oleh the Islamic World Educational, Scientific and Cultural Organization (ISESCO).

Profesor Mohd Kamal Hasan merupakan sarjana dan ilmuwan ulung dalam bidang pemikiran Islam. Beliau telah menghasilkan ratusan makalah, karya ilmiah dan siri syarahan. Antara karya yang paling terkenal dan menjadi rujukan ramai adalah Al-Wasatiyyah as the basis for Muslim Peaceful Coexistence in Southeast Asia, Integration of Religious Knowledge, Modern Science: The New Trend in Islamic Schools in Southeast Asia Today, The Encyclopedia of Malaysia: Religions and Beliefs, Islamic Identity Crisis in the Muslim Community in Contemporary Malaysia, and Islamic Studies in Contemporary Southeast Asia: General Observations dan Hypocrisy and Corruption in Malay-Muslim Politics: The The Urgency of Moral-Ethical Transformation. Kekuatan karya Profesor Mohd Kamal Hasan ialah kemampuannya mengintegrasikan dan mensintesiskan ilmu aqli dan naqli, duniawi dan ukhrawi dan mencetuskan gagasan-gagasan besar yang mendahului zaman. Sehingga hari ini dan akan datang, karya beliau terus relevan menjadi rujukan ramai di seluruh dunia.

Profesor Mohd Kamal Hasan sangat sinonim dan digelar ‘Bapa UIAM’. Beliau mengabadikan hidupnya berbakti dan berbudi di UIAM. Walaupun beliau adalah Rektor Ketiga UIAM selepas Profesor Muhammad Abdul Rauf dan Profesor Abdul Hamid Abu Sulayman, kertas cadangan penubuhan UIAM sebenarnya diilhamkan oleh beliau. Beliau sendiri menceritakan sejarah idea penubuhan UIAM dalam syarahan khasnya the History of Islamisation of Knowledge in IIUM: the Untold Story. Bukan itu sahaja, beliau juga telah mengilhamkan Visi, Misi, Falsafah UIAM, Logo termasuk ‘tagline’ atau slogan Taman Ilmu dan Budi. Warga UIAM kesemuanya sama ada tempatan mahupun antarabangsa begitu menyayangi dan menghormati beliau. Diceritakan bagaimana sayangnya Profesor Mohd Kamal Hasan dengan UIAM, beliau mengabadikan dan menghabiskan sebahagian besar masanya di UIAM sepanjang perkhidmatan dan selepas persaraan. Sehingga di akhir hayatnya beliau masih menyampaikan kuliah fi zilal Quran di Perpustakaan Mohd Kamal Hasan kampus Gombak UIAM. Penulis sempat menghadiri siri kuliah tafsir ini yang begitu mendalam dan kritis menggabungjalinkan pelbagai pandangan dan pemikiran yang menyegarkan.

Penulis akui bahawa tidak begitu banyak pengalaman dan berinteraksi dengan Profesor Mohd Kamal Hasan. Penulis sejak di UIAM hanya mengagumi dan mengikuti kesarjanaan Profesor Mohd Kamal Hasan secara jarak jauh sama ada mengikuti syarahan atau membaca karya beliau. Namun, setelah diberikan peluang bertugas di UIAM sebagai Timbalan Rektor Pembangunan Pelajar dan Pembangunan Komuniti, antara perkara awal yang dilakukan ialah mendapatkan nasihat dan bimbingan beliau. Masih kukuh diingatan perbincangan dan perbualan pertama bersama Profesor Mohd Kamal Hasan mengenai pembangunan pelajar. Beliau menekankan aspek Syahsiyah, penguasaan ilmu dan Bahasa, pembentukan fikrah dan penghayatan etika, nilai dan akhlak. Sebagai Timbalan Rektor, saya akan memastikan ada sesi Profesor Mohd Kamal Hasan dalam Minggu Taaruf termasuk ‘Grand Usrah’ bagi memposisikan ‘mindset’ atau pandangan alam mahasiswa menghayati visi dan misi UIAM. Antara wasiat beliau yang kekal diingatan sehingga hari ini ialah ‘IIUM students are the new breed of competent and virtuous leaders with a high degree of moral integrity for the troubled world”. Profesor Mohd Kamal Hasan pasti akan menerima jemputan dan sentiasa bermurah hati untuk berkongsi pandangan, pengalaman dan ilmu pengetahuan. Semua staf dan pelajar begitu menyayangi menghormati beliau dengan pelbagai kisah dan cerita yang menginspirasi.

Antara kelebihan dan karakter Profesor Mohd Kamal Hasan adalah ketelitian dan ketinggian kualiti kerjanya. Karya beliau semuanya bermutu tinggi dan progresif menjadi rujukan tempatan dan antarabangsa. Penulis masih ingat bagaimana telitinya Profesor Mohd Kamal Hasan walaupun bukan menyentuh aspek akademik iaitu semasa Deklamasi Puisi Khas di Malam Puisi Hari OKU Sedunia UIAM 2019. Beliau telah mencipta puisi khas dengan tema OKU yang mengesankan. Bagi memastikan persembahan deklamasi puisi akan sempurna, Profesor Mohd Kamal Hasan telah meminta kami menyediakan semua kelengkapan dan dilakukan sesi raptai dan latihan sebelum malam kejadian. Beliau datang sendiri melakukan raptai mendeklamasikan puisi ciptaan beliau diiringi muzik ringkas dan tiupan seruling. Pada Malam Puisi tersebut, Profesor Mohd Kamal Hasan telah memukau semua hadirin dengan penyampaian yang mengagumkan. Penulis melihat sendiri beberapa hadirin yang menitiskan air mata semasa beliau mendeklamasikan puisi.

Profesor Mohd Kamal Hasan memiliki kekuatan pemikiran tersendiri dan berpandangan jauh bervisi masa hadapan. Idea beliau memperkenalkan Kuliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan menerusi Islamisasi dan ‘Islamicisation’ serta integrasi ilmu adalah yang pertama seumpamanya di dunia. Kini, Kuliyah ini menawarkan antara program akademik terbaik di dunia dalam bidang berkaitan. Penulis berkesempatan bekerja di bawah bimbingan beliau dalam projek Visi 2077 atau Visi Abad Ke-16 Hijrah. Beliau telah menyediakan kertas konsep yang begitu menyeluruh merangkumi pelbagai aspek dan bidang. Masih ingat bagaimana beliau menyatakan kebimbangan terhadap masa depan ummah yang tidak mempunyai visi dan strategi yang jelas. Beliau menceritakan kekecewaannya semasa digembar-gemburkan dengan kebangkitan dunia Islam pada awal Abad Ke-15 Hijrah. Kebangkitan Islam menjelang abad Ke-15H yang ditunggu-tunggu itu tidak berlaku malahan dunia Islam terus mundur dan ketinggalan dalam pelbagai aspek. Beliau merangka kertas konsep dan membimbing kami menghasilkan dokumen Senario Masa Depan ke arah Visi 2077.

Ilmuwan ulung bukan sahaja menguasai ilmu pengetahuan tetapi juga mesti bersama masyarakat dan memiliki keberanian intelektual. Karya terakhir Profesor Mohd Kamal Hasan berjudul Korupsi dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu merupakan kritikan dan teguran keras beliau terhadap kebobrokan budaya rasuah yang menular dalam politik. Tanpa takut dan bimbang, beliau menulis dengan penuh berani membangkitkan isu rasuah dan keperluan untuk menanganinya. Beliau menyebut bahawa buku ini merupakan ‘wasiat intelektual’ kepada generasi muda untuk memainkan peranan melakukan transfomasi etika dan moral dalam komuniti Melayu Muslim agar setiap individu ada perasaan ‘Rasa Malu’ dalam hati sanubari. Beliau seakan kecewa atau merasa begitu meluat dengan amalan rasuah dan mengharapkan generasi muda agar menyahut seruan benci rasuah dengan azam, semangat, gerakan dan pelaksanaan.

Penulis ingin menyentuh aspek kekuatan kerohanian Profesor Mohd Kamal Hasan sebagai murabbi yang menginsafkan. Aspek kerohanian ini kurang disentuh apabila berbicara mengenai sosok tubuh seseorang tokoh ilmuwan. Menerusi interaksi dengan Profesor Mohd Kamal Hasan dan inisiatif serta usaha-usaha yang dilaksanakan, beliau sangat menekankan aspek kerohanian. Beliau memperkenalkan program kem ibadah dan usrah kalangan kakitangan dan pelajar. Beliau sendiri akan menghadiri program-program kerohanian dan memberi pengisian bagi memperkukuhkan jati diri dan kesedaran. Diceritakan bahawa Profesor Mohd Kamal Hasan akan meluangkan masa di Masjid dan akan bermalam di Masjid UIAM beribadah di 10 malam terakhir Ramadhan. Amalan kerohanian ini memberikan kekuatan kepada beliau dan seterusnya menginspirasi kakitangan, pelajar dan masyarakat.

Antara kebiasaan dan amalan yang sinonim dengan orang Melayu ialah tidak menepati masa. Profesor Mohd Kamal Hasan cuba mengubah persepsi ini dengan menunjukkan amalan disiplin menepati dan menghormati masa secara konsisten. Masih ingat peristiwa semasa zaman penulis sebagai mahasiswa UIAM, pada ketika itu Profesor Mohd Kamal Hasan baru sahaja dilantik sebagai Rektor UIAM dan sudi menghadirkan diri di Majlis Perasmian dan Pembukaan Liga Bolasepak. Luar daripada kebiasaan sebelumnya, penganjur betul-betul terkejut dan belum bersedia kerana Profesor Mohd Kamal Hasan hadir tepat waktu tanpa perlu kepada protokol yang menyusahkan. Peristiwa ini begitu masyhur di kalangan pelajar dan semua tahu betapa komitednya Profesor Mohd Kamal Hasan dengan disiplin menepati masa.

Tanggal 22 Februari 2023 bersamaan 2 Syaaban 1444H menyaksikan perginya seorang tokoh ilmuwan murabbi ulung tanahair. Umat umumnya dan IIUM khususnya kehilangan sebuah permata yang sukar dicari ganti. Profesor Mohd Kamal Hasan bukan sahaja memiliki keilmuan yang tinggi tetapi menampikan suri teladan dengan kekuatan akhlak, syahsiyah, keberanian, etika dan disiplin serta sentiasa dekat dengan masyarakat. Beliau mengabadikan keseluruhan hidupnya sepenuh jiwa raganya untuk umat tanpa mengharapkan balasan duniawi. Moga Profesor Mohd Kamal Hasan damai di sana ditempatkan di kalangan para solihin di jannatul firdaus.

Zulkiflihasan.com
Nilai 9.3.2023 18 Syaaban 1444H.

SUBSCRIBE

Get the latest posts delivered to your mailbox:

Page Reader Press Enter to Read Page Content Out Loud Press Enter to Pause or Restart Reading Page Content Out Loud Press Enter to Stop Reading Page Content Out Loud Screen Reader Support